Kalendar umat Islam sebagaimana yg dinyatakan Al-Quran menetapkan dalam setahun terdapat 12 bulan. Pengiraannya berdasarkan pergerakan bulan dan bukan pergerakan matahari sebagaimana yg diamalkan oleh Ahli Kitab. Di antara bulan-bulan tersebut terdapat 4 bulan haram iaitu Zulqaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Firman Allah Taala,

إِنَّ عِدَّةَ ٱلشُّہُورِ عِندَ ٱللَّهِ ٱثۡنَا عَشَرَ شَہۡرً۬ا فِى ڪِتَـٰبِ ٱللَّهِ يَوۡمَ خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضَ مِنۡہَآ أَرۡبَعَةٌ حُرُمٌ۬‌ۚ ذَٲلِكَ ٱلدِّينُ ٱلۡقَيِّمُ‌ۚ فَلَا تَظۡلِمُواْ فِيہِنَّ أَنفُسَڪُمۡ‌ۚ وَقَـٰتِلُواْ ٱلۡمُشۡرِڪِينَ كَآفَّةً۬ ڪَمَا يُقَـٰتِلُونَكُمۡ ڪَآفَّةً۬‌ۚ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلۡمُتَّقِينَ -سورة التوبة الأية 36 

"Sesungguhnya jumlah bulan menurut Allah ialah 12 bulan, (sebagaimana) dalam ketetapan Allah pada waktu Dia menciptakan langit & bumi, di antaranya ada 4 bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yg lurus, maka janganlah kamu menzalimi dirimu dalam (bulan yg empat) itu, dan perangilah kaum musyrikin semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya. Dan ketahuilah bahawa Allah bersama orang-orang yg bertaqwa." Surah At-Taubah Ayat 36.

Bulan haram yg paling afdhal
Ulama berselisih pendapat dalam menentukan bulan manakah yg paling afdhal di antara bulan-bulan haram tersebut. Sebahagian Syafieyyah berpendapat bulan Rejab. Pendapat ini dikatakan lemah oleh Imam Nawawi. Imam Nawawi mentarjihkan pendapat Hasan Basri iaitu bulan Muharram. Pendapat Sa’id ibn Jubair ialah bulan Zulhijjah.

Sebab dinamakan bulan-bulan haram & sebab diharamkan
Dikatakan bahawa bulan-bulan ini dinamakan bulan-bulan haram ialah kerana kehormatannya yg besar dan besarnya dosa maksiat yg dilakukan di dalam bulan tersebut. Dikatakan juga kerana diharamkan berperang pada bulan tersebut. Dikatakan juga sebab bulan-bulan ini dipilih sebagai bulan-bulan haram adalah untuk membolehkan manusia mengerjakan umrah & haji pada bulan-bulan tersebut.

  • Bulan Zulqaedah: Kerana berlakunya perjalanan menuju ke Makkah untuk mengerjakan umrah & haji
  • Bulan Zulhijjah: Kerana berlakunya haji padanya.
  • Bulan Muharram: Supaya manusia pulang ke rumah mereka selepas mengerjakan haji dalam keadaan selamat & aman.
  • Bulan Rejab: Kerana manusia mengerjakan umrah pada bulan ini iaitu pada pertengahan tahun.Mereka yg tinggal berdekatan dengan Makkah akan mengerjakan umrah pada bulan ini.
Wujudnya bulan-bulan haram ini merupakan tradisi sejak zaman jahiliyyah lagi kemudian diteruskan oleh Islam.

Rejab
Bersempena bulan Rejab yg mulia ini, saya cuba untuk mengupas secebis maklumat tentang Rejab dan peristiwa bersejarah yg berlaku di dalamnya. Rejab diambil daripada perkataan رجب (tasydid atau sabdu di atas ج ) yg bermakna memuliakan atau mengagungkan. Maka, bulan Rejab dinamakan Rejab ialah kerana ia dimuliakan atau diagungkan oleh Allah. Terdapat ulama yg menyatakan nama-nama bulan Rejab iaitu sebanyak 14 nama. Sebahagian yg lain menyatakan 17 nama. Ulama berkata, bulan Rejab ialah bulan menanam, bulan Syaaban ialah bulan menyiram dan bulan Ramadhan ialah bulan menuai.

Solat Raghaib
Hadith-hadith yg diriwayatkan tentang kelebihan Solat Raghaib yg ditunaikan pada malam Jumaat pertama daripada bulan Rejab merupakan hadith-hadith maudu’. Jumhur ulama menyifatkan Solat Raghaib sebagai bidaah. Ianya wujud selepas tahun 400 Hijrah. Oleh sebab itu, ia tidak pernah dikenali oleh ulama sebelumnya maka mereka tidak pernah membicarakan tentangnya.

Puasa Rejab
Menurut Imam Ibn Rejab Al-Hanbali, tiada hadith shahih yg menyatakan secara khusus tentang kelebihan puasa di bulan Rejab. Tetapi terdapat hadith shahih yg menyatakan kelebihan puasa pada bulan-bulan haram dan Rejab adalah salah satu daripadanya. Antara hadith-hadith tersebut ialah,

أفضل الصيام بعد رمضان شهر الله الحرام وأفضل الصلاة بعد الفريضة صلاة الليل ~ رواه مسلم

“ Puasa yg paling afdhal selepas Ramadhan ialah puasa pada bulan-bulan haram, dan solat yg paling afdhal selepas solat fardhu ialah ialah solat malam.” Riwayat Muslim.

Bahkan, sebahagian salaf berpuasa pada keseluruhan bulan haram antaranya ialah Ibn Umar, Hasan Basri & Ibn Ishak As-Sabi’ey.

Anas bin Malik berkata apabila tiba bulan Rejab, Baginda Sollallahualaihiwasallam berdoa,

اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغنا رمضان

“Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab & Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan.” Walaupun sanad hadith ini dhaif tetapi sebagaimana yg disepakati oleh kebanyakan ulama, harus & sunat beramal dengan hadith dhaif selagimana tidak maudu’.

Israk Mi'raj
Antara peristiwa penting yg berlaku pada bulan Rejab ialah peristiwa bersejarah Israk Mi’raj. Ulama berselisih pendapat adakah Israk Mi’raj berlaku secara sedar atau mimpi?

Mereka terbahagi kepada beberapa kumpulan.

  • Ulama salaf terbahagi kepada 2 kumpulan. Terdapat salaf yg menyatakan ia berlaku secara sedar.
  • Terdapat salaf yg menyatakan secara mimpi.
  • Sebahagian ulama antaranya, Abu Bakar ibn Al-‘Arabi. Beliau telah membenarkan kedua-dua pendapat salaf dengan menyatakan peristiwa Israk Mi’raj berlaku 2 kali. Pendapat ini ialah hasil gabungan sejumlah hadith yg merakamkan peristiwa bersejarah ini. Kali pertama secara mimpi sebagai persediaan kepada Nabi Sollallahualaihiwasallam untuk memudahkan baginda menghadapi perjalanan sebenar kerana perjalanan ini merupakan perjalanan yg cukup mencabar. Israk Mi’raj yg kedua pula secara sedar.
  • Terdapat ulama yg menyatakan Israk ke Baitul Maqdis berlaku secara sedar dengan jasadnya manakala Mi’raj menembusi 7 petala langit pula berlaku dengan ruhnya sahaja.

Jumhur ulama berpendapat Isra’ Mi’raj berlaku hanya sekali iaitu pada waktu malam, secara ruh dan jasad dan secara sedar. Ulama juga sepakat bahawa ibadat Solat difardhukan pada malam Mi’raj.

Imam Nawawi mentarjihkan bahawa Israk Mi’raj berlaku pada malam 27 Rejab. Pendapat ini juga dipegang oleh Ibnul Athir dan Imam Rafie’…bersambung…

Rujukan:
Lathoiful Ma'arif, karangan Imam Ibn Rejab Al-Hanbali
Dhous-Siraj fi fadli Rejab wa Qissatil Mi'raj, karangan Syeikh Muhammad Amin Al-Kurdi
Maqolat Al-Kauthari, himpunan tulisan Imam Muhammad Zahid Al-Kauthari

1 comments:

ayyush faaqihah said...

salam..artikel y mnarik..smge diberkati n dirahmati Allah swt..mohon share

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin