Wednesday, June 30, 2010

Al-Mukhatab itu saya - Sa'id Nursi

Di dalam mukadimah kutayyib "Zahirat ad-Dha'f an-Nafsi wa Subulu 'Ilajiha" karangan Dr. Majdi al-Hilali, sebuah kutayyib (kitab bersaiz kecil) yg mengulas tentang gejala keruntuhan jiwa yg melanda umat ini, beliau menyebut,

"Di penghujung mukadimah ini aku berharap setiap orang yg membaca helaian-helaian kertas ini agar tidak menyangka bahawa dirinya jauh daripada gejala ini, dan yg dimaksudkan dengan kata-kata (dalam kutaib) ini ialah individu lain, selainnya. Bahkan kita (mestilah) membaca bersama dan (menganggap) bahawa kitalah yg dimaksudkan dengan kata-kata ini,
al-Mukhatabun (yang ditujukan percakapan) di dalam kata-kata ini.. Mudah-mudahan kita dapat memeriksa penyakit kita, mengetahui ubat kita, dan itu tidaklah sukar bagi Allah..."

Saya telah dihadiahkan sebuah kutayyib bertajuk 'Lamahat min Hayat wa Aathar Badi'izzaman Sa'id an-Nursi' ketika berkunjung ke pameran kitab di Kaherah. Seorang pemuda Turki yg menjaga kedainya menyerahkan kepada saya kutayyib yg mempunyai 32 halaman itu. Kutayyib ini menceritakan sejarah hidup Imam Sa'id Nursi, seorang sufi besar, yg dikupas secara ringkas tapi padat. Kini karyanya 'Risale-I Nur' sudah tersebar ke seluruh pelusuk dunia dan diterjemah ke dalam pelbagai bahasa termasuk Bahasa Melayu. Antara intelektual yg banyak mempengaruhi dan membentuk idea serta pemikiran Fethullah Gülen, seorang ulama Turki yg semakin mengharum namanya di barat ialah Sa'id Nursi, walaupun mereka tidak pernah bersua muka. Adnan Oktar atau lebih terkenal dengan nama penanya Harun Yahya yg cukup hebat mengkritik Darwinisme juga mengaku bahawa dirinya ialah pengikut Nursi. Katanya lagi, "Saya menganggap beliau sebagai seorang yg paling istimewa, muslim paling kuat dan paling tulus di abad ini."



Imam Badiuzzaman Sa'id Nursi rahimahullah dianggap sebagai seorang mujaddid. Di dalam tulisannya, beliau bercerita tentang kisah hidupnya yg berhadapan dengan cabaran dan tribulasi yg tidak henti-henti. Beliau bercerita tentang titik perubahan, pemisah antara dirinya yg lama dengan dirinya yg baru. Sebelum berlaku revolusi dalam pemikirannya, beliau menggelar dirinya sebagai Sa'id al-Qadim (lama) dan setelah itu pula sebagai Sa'id al-Jadid (baru). Sa'id al-Jadid memikul di atas bahunya tanggungjawab menyelamatkan roh ummah setelah penyakit dan wabak yg membunuh iman merebak dengan dahsyat ketika itu.

Sa'id al-Qadim berada dalam keadaan yg sungguh membingungkan. Jalan yg manakah yg harus ditempuhinya? Jalan-jalan yg ada terlalu banyak di hadapannya. Akhirnya, beliau mengambil kitab Futuh al-Ghaib karangan alim besar, Syeikh Abdul Qadir al-Kailani rahimahullah. Beliau membuka kitab itu dengan penuh optimis. Tiba-tiba berlaku satu keajaiban! Beliau mendapati ayat-ayat berikut terbentang di hadapannya:

"Kamu di Dar al-Hikmah, maka carilah tabib untuk merawat hatimu."

Sa'id menceritakan kisah penuh makna itu, "Sungguh mengkagumkan! Sesungguhnya di saat itu aku ialah salah seorang anggota di Dar al-Hikmah al-Islamiyah. Seolah-olah aku telah datang ke situ untuk merawat luka-luka umat Islam, sedang sekarang aku pula yg paling sakit dan tersangat berhajat kepada rawatan berbanding orang lain. Maka terlebih utama bagi pesakit untuk merawat dirinya sendiri sebelum merawat pesakit yg lain. Ya, beginilah Syeikh berbicara denganku, "Kamu sakit... Carilah tabib yg merawatmu!"

"Aku berkata, "Jadilah kamu tabibku wahai Syeikh!"

Satu kebetulan yg amat hebat. Sa'id mulai membaca kitab itu. Beliau berasa seolah-olah Syeikh Abdul Qadir al-Kailani benar-benar bercakap dengannya. Beliau menganggap pengarang kitab menujukan segala tulisan itu kepada dirinya. Begitulah cara Sa'id membaca kitab itu. Sa'id terus meletakkan dirinya sebagai orang yg sedang dibicarakan oleh pengarang kitab sehingga hampir separuh kitab itu dibacanya. Bahasa kitab itu benar-benar tajam, menusuk dan menikam hatinya. Sa'id seolah-olah sedang menjalani satu pembedahan yg sukar dan menderitakan.

Kata Sa'id, "Aku tidak mampu lagi meneruskannya. Aku letakkan kitab di tempatnya. Kemudian setelah beberapa ketika, aku dapat merasakan bahawa kesakitan pembedahan tadi telah pun hilang dan yg menggantikannya ialah kelazatan spiritual yg mengkagumkan."

Lalu, Sa'id kembali meneruskan pembacaannya dan menghabiskannya. Kemudian, beliau mengambil pula kitab Maktubat yg dikarang oleh Imam Ahmad al-Faruqi as-Sirhindi rahimahullah, Mujaddid Kurun ke-12. Dengan penuh optimis, beliau membukanya. Sekali lagi keajaiban berlaku! Di dalam kitab itu, pengarang menyertakan tulisan dua pucuk surat yg tertulis padanya nama 'Mirza Badi'uzzaman'. Maka beliau dapat merasakan penulis surat itu sedang berbicara dengannya bahkan dengan menggunakan namanya!

Kata Said, "Kerana nama bapaku Mirza dan kedua-dua pucuk surat itu ditujukan kepada Mirza Badiuzzaman." Kebetulan itu tidak dibiarkan sekadar itu sahaja bahkan Sa'id seolah-olah mencari kebetulan demi kebetulan dan membayangkan dirinya sedang berinteraksi dengan pengarang, menganggap dirinya sebagai al-mukhatab.

Sa'id al-Qadim akhirnya menghilang dan muncul kembali sebagai Sa'id al-Jadid yg telah berjaya menghasilkan karya tersohornya, Risale-I Nur (Rasail an-Nur - yg bermaksud Risalah-risalah Cahaya). Kehebatan dan keberkatan Risale-I Nur terserlah apabila sebanyak 70 000 naskhah kitab itu telah disalin dengan hanya menggunakan tangan-tangan Tullab an-Nur (gelaran pengikut Sa'id Nursi), gara-gara sekatan untuk mencetak sebarang bahan berunsur Islam atas arahan regim Ataturk ketika itu.



Beliau kembali ke rahmatullah dengan meninggalkan jasa yg cukup besar kepada kebangkitan umat, pada tanggal 25 Ramadhan 1379 Hijrah bersamaan 23 Mac 1960 Masihi. Beliau telah dikebumikan di Urfa, Turki. Tetapi setelah empat bulan kematiannya, pihak kerajaan telah membongkar semula kuburnya lalu memindahkan jasadnya menaiki pesawat menuju ke tempat yg tidak diketahui sehingga kini. Pengaruh Sa'id Nursi cukup besar terhadap masyarakat Islam Turki. Oleh sebab itu, beliau telah dibuang negeri, ketika hidup dan juga ketika matinya.

Ayuh menjadi al-Mukhatab! Bukan sahaja ketika mendengar bahkan juga ketika membaca, sebagaimana perihal Imam Badiu'zzaman Sa'id Nursi rahimahullah. Al-Fatihah untuk beliau!

3 comments:

Ahmad Ulwan b Hassim said...

Salam..sememangnya Imam Badiu'zzaman Sa'id Nursi rahimahullah insan yg terpilih oleh Allah..

saya ingt lg ketika saya ditingkatn 2..gambar Imam Badiu'zzaman Sa'id Nursi lah pertama sekali saya gantungkan dlm bilik..sbb tertarik dgn kata2nya..iaitu jika aku mati seribu kali pon akan ku tetap bersam Islam (lebih krg mcmtu r kata2nya)ketika beliau dlm kepungan polis yg menyebbkn kematiannya ketika tu..

kata2 tu mmberi satu spirit kpd sya untuk mengenali beliau dgn lebih dlm lg..beliau mmg insan terpilih dn karya2 beliau mmg mengagumkn..

al-aman said...

Salam.. Sufyan bin 'Uyainah berkata, "Ketika menyebut tentang orang-orang saleh, turunnya rahmat.."

Mudah-mudahan tulisan tentang Imam Sa'id Nursi dapat kita terjemahkan ke dalam bentuk tindakan... insya Allah.

Semoga Allah menghimpunkan kita semua bersama Baginda Muhammad sollallahualaihiwasallam.

Ahmad Ulwan b Hassim said...

InsyaAllah ust fahmi...
ermm cuti nie ramai yg balik Mesia..susun r jdual tuk diorg jgn biar duk sjer...huhu

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin