Tarikh sebenar berlakunya peristiwa Isra' Mi'raj tidak dapat ditentukan secara tepat. Imam Nawawi berpendapat ianya berlaku pada 27 Rejab sebagaimana yg dinyatakan beliau di dalam kitabnya Raudhat at-Talibin[1]. Pendapat ini juga dipegang oleh Imam Ibnul Athir, Imam ar-Rafi'e dan Imam Ibnu Hazm al-Andalusi rahimahumullah. Walaubagaimanapun pendapat ini ditolak oleh ulama yg lain, dan antara ulama yg terkemudian ialah Syeikh Yusuf al-Qaradhawi hafizahullah. Beliau mengatakan bahawa pendapat ini lemah dengan hujah tiada hadith sahih mahupun kata-kata sahabat yg menyokongnya, sambil mendatangkan perakuan daripada Imam Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah. Fatwa beliau di sini. Pendapat 27 Rejab juga dinisbahkan kepada Qassas (tukang-tukang cerita) yg kebiasaannya banyak menyebarkan cerita-cerita palsu bahkan khurafat. Walaubagaimanapun, adalah sesuatu yg biadap jika mengatakan Imam Nawawi taklid pendapat Qassas. Mungkin beliau sudah berijtihad cuma boleh jadi hujahnya itu lemah, pendapat yg sama antara beliau dan Qassas tidak bererti beliau bertaklid kepada Qassas. Sila beradab.

Ulama juga berkhilaf tentang tahun berlakunya peristiwa bersejarah ini. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang perselisihan ulama sekitar tarikh dan tahun peristiwa Isra' Mi'raj anda boleh rujuk tulisan Ust Khairul Azmi di sini.



Apa yg perlu diambil pengajaran bukannya pada tarikh sesebuah peristiwa itu berlaku tapi intipati peristiwa itu. Jika kita tahu sekalipun tarikh yg tepat apakah kelebihannya untuk akidah dan ibadah kita? Tiada nas menyatakan kelebihan khusus beribadah di siang hari atau malamnya, bahkan ia seperti hari-hari dan malam-malam yg lain.

Yang penting, janganlah berbalah dalam perkara sebegini. Penjelasan secara hikmah perlu diberikan kepada masyarakat. Salah satu caranya ialah dengan memberikan pendedahan tentang perselisihan ulama berkenaan tarikh Isra' Mi'raj di dalam ceramah yg biasa diadakan sempena tarikh 27 Rejab itu. Insya Allah masyarakat akan mula sedar dan tidak lagi berkeras dengan pendapat yg satu sahaja. Setelah itu, pada tahun-tahun mendatang jika ceramah Isra' Mi'raj masih diadakan pada tarikh yg sama juga maka bagi saya tiada salahnya sebab mereka tidak lagi beriktikad sepertimana sebelumnya. Bahkan pendedahan sebegini elok diberikan setiap kali ceramah Isra' Mi'raj tanpa menghina dan memperlekehkan pendapat-pendapat yg ada.


Sambutan yg bidaah?!

Bagi saya yg jahil ini tiada salahnya untuk mengadakan sambutan Isra' Mi'raj berbentuk kuliah atau ceramah, ditambah dengan persembahan nasyid dan sebagainya dengan syarat tidak berlaku perkara-perkara yg bertentangan dengan syariat. "Tapi Nabi tidak pernah ceramah Isra' Mi'raj!" kata seorang kawan. Lucu juga rasanya melayan kerenah kawan-kawan sebegini. Masyarakat buta tentang sejarah nabi mereka. Apa salahnya menganjurkan ceramah bagi mencelikkan mata masyarakat Islam yg jahil? Pada waktu-waktu lain bukankah masyarakat kita sibuk dengan pengajian Akidah dan Fiqah? Ini sekadar sindiran. Jangan ambil serius. Maka, dikhususkan satu tarikh untuk menceritakan peristiwa besar ini. Jika tidak boleh pada 27 Rejab, maka tidak mengapa. Kita buat pada 28 Rejab atau tarikh-tarikh lain. Puas hati? Nasyid yg didendangkan pula boleh berperanan sebagai penghibur saat otak sedang sarat dengan maklumat-maklumat yg mungkin agak berat bagi mereka.

Masih juga bidaah? Sebab mengkhususkan tarikh tertentu? Sebab sambutan cara ini tidak pernah dilakukan Nabi? Itu kefahaman bidaah menurut aliran kamu bukan kefahaman bidaah menurut ulama lain di luar sana. Ini bukan medan membahaskan takrif bidaah yg sebenar mahupun pembahagiannya sama ada kepada hasanah dan dolalah atau dari segi lughawi dan syar'ie. Silalah berlapang dada. Hadith yg biasa kamu gunakan sebagai hujah itu juga ditemui oleh para ulama yg lain, namun difahami oleh mereka dengan cara yg berbeza dengan cara aliran kamu.


الفائدة :

Sayyiduna Anas bin Malik radiyallahuanhu meriwayatkan bahawa apabila masuknya bulan Rejab, Rasulullah Sollallahualaihiwasallam akan berdoa dengan doa ini:

اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ، وَشَعْبَانَ، وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ

"Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan kami ke bulan Ramadhan."

Riwayat Ibnu Ahmad, Ibnu Majah dan al-Baihaqi (Kashful Khafa', al-'Ajluni). Juga diriwayatkan oleh al-Bazzar (Musnad al-Bazzar) dan at-Tabarani (al-Mu'jam al-Awsat). Statusnya dhaif, tapi boleh digunakan (beramal) dalam perkara fadhail 'amal.

-------------------------

[1] Imam Nawawi juga mempunyai pendapat yg lain dalam kitabnya yg lain sebagaimana yg disebut oleh Syeikh al-Qaradhawi di dalam fatwanya.

0 comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin