Saturday, October 16, 2010

Permusafiran yg kurang 'azab'

Insya Allah, beberapa jam lagi saya akan memulakan permusafiran. Kali ini saya tidak keseorangan. Saya ditemani seorang teman dari Terengganu, Ustaz Abdul Mannan yg baru sahaja pulang dari Mesir. Saya percaya bau Mesir masih kuat melekat pada badannya. Semoga terubat rindu saya pada Bumi Anbiya' yg penuh kontroversi itu. Asalnya kami berlima. Sepatutnya bersama-sama kami ialah Ustaz Syukri Nazar, abangnya dan Ustaz Farezuan. Tapi, oleh sebab terdapat kesulitan yg tidak dapat dielakkan, mereka tidak dapat menyertai kami. Mudah-mudahan Allah mempermudahkan segala urusan kamu dan kami.

Syaikhul Azhar, Syaikh Mustafa al-Maraghi rahimahullah ketika bermusafir ke Sudan, beliau membawa bersamanya kitab Ihya' Ulumiddin, karangan Hujjatul Islam al-Ghazzali rahimahullah sebagai teman dalam permusafirannya. Gurunya, Imam Muhammad Abduh rahimahullah memujinya dan berkata, telah memadai kitab itu sebagai teman.


Dua orang dalam gambar ni bukan saya dan Manan. Kami tak naik unta.


Para ulama sentiasa berdampingan dengan kitab. Bahkan ada di kalangan mereka yg terlalu asyik bersama kitab sehinggalah luput waktu solat tanpa disedari. Imam Jamaluddin al-Isnawi rahimahullah, seorang alim besar dalam Ilmu Usul Fiqh, kitabnya Nihayat as-Sul syarah kepada matan Minhaj al-Wusul karangan Imam al-Baidhawi merupakan silibus bagi subjek Usul Fiqh Nassi di al-Azhar. Beliau pernah membaca kitab pada suatu malam dan beliau hanya berhenti membaca ketika terik matahari memancar ke wajahnya. Barulah beliau tersedar yg hari sudah pun siang. Bererti, beliau telah pun terlepas solat Subuh dan puncanya ialah kerana tersangat asyik bersama temannya iaitu kitab!

Maka, saya cuba tiru jejak langkah mereka. Menjadikan kitab sebagai teman. Kitab yg saya akan bawa bersama ialah tulisan Syaikh Yusuf al-Qaradhawi hafizahullah, berjudul Risalah al-Azhar bayna al-Ams wa al-Yaum wa al-Ghad terbitan Maktabah Wahbah, bersaiz sederhana, setebal 123 muka surat. Mudah-mudahan dapat dihabiskan pembacaannya sepanjang permusafiran ini.


Dalam sebuah hadith Bukhari, Rasulullah Sollallahualaihiwasallam bersabda, "Permusafiran itu sebahagian daripada azab..."

Imam Al-Haramain rahimahullah ditanya, "Mengapakah permusafiran itu sebahagian daripada azab?"

Beliau menjawab, "Kerana pada permusafiran itu ada perpisahan dengan al-Ahbab (orang yg dikasihi)."


Walaubagaimanapun, saya fikir permusafiran saya ini tidaklah terlalu terasa 'azab' itu, insya Allah. Kerana walaupun saya akan meninggalkan al-Ahbab, saya akan pergi bertemu pula dengan al-Habaib. Mudah-mudahan Allah memberkati dan mempermudahkan permusafiran ini. Amiiinnn.

0 comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin