Tuesday, June 23, 2009

Rejab, bulan mulia...

Bulan Rejab bakal tiba. Bersempena kedatangan bulan mulia ini, saya rasa cukup dengan tulisan saya untuk bulan Rejab tahun lalu, 'Bulan Rejab & Peristiwa Israk Mi'raj' siri 1 dan siri 2.


Bulan Rejab dan Peristiwa Israk Mi'raj siri 1

Kalendar umat Islam sebagaimana yg dinyatakan Al-Quran menetapkan dalam setahun terdapat 12 bulan. Pengiraannya berdasarkan pergerakan bulan dan bukan pergerakan matahari sebagaimana yg diamalkan oleh Ahli Kitab. Di antara bulan-bulan tersebut terdapat 4 bulan haram iaitu Zulqaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Firman Allah Taala,

إِنَّ عِدَّةَ ٱلشُّہُورِ عِندَ ٱللَّهِ ٱثۡنَا عَشَرَ شَہۡرً۬ا فِى ڪِتَـٰبِ ٱللَّهِ يَوۡمَ خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضَ مِنۡہَآ أَرۡبَعَةٌ حُرُمٌ۬‌ۚ ذَٲلِكَ ٱلدِّينُ ٱلۡقَيِّمُ‌ۚ فَلَا تَظۡلِمُواْ فِيہِنَّ أَنفُسَڪُمۡ‌ۚ وَقَـٰتِلُواْ ٱلۡمُشۡرِڪِينَ كَآفَّةً۬ ڪَمَا يُقَـٰتِلُونَكُمۡ ڪَآفَّةً۬‌ۚ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلۡمُتَّقِينَ -سورة التوبة الأية 36 

"Sesungguhnya jumlah bulan menurut Allah ialah 12 bulan, (sebagaimana) dalam ketetapan Allah pada waktu Dia menciptakan langit & bumi, di antaranya ada 4 bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yg lurus, maka janganlah kamu menzalimi dirimu dalam (bulan yg empat) itu, dan perangilah kaum musyrikin semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya. Dan ketahuilah bahawa Allah bersama orang-orang yg bertaqwa." Surah At-Taubah Ayat 36.


Bulan haram yg paling afdhal
Ulama berselisih pendapat dalam menentukan bulan manakah yg paling afdhal di antara bulan-bulan haram tersebut. Sebahagian Syafieyyah berpendapat bulan Rejab. Pendapat ini dikatakan lemah oleh Imam Nawawi. Imam Nawawi mentarjihkan pendapat Hasan Basri iaitu bulan Muharram. Pendapat Sa’id ibn Jubair ialah bulan Zulhijjah.

Sebab dinamakan bulan-bulan haram & sebab diharamkan
Dikatakan bahawa bulan-bulan ini dinamakan bulan-bulan haram ialah kerana kehormatannya yg besar dan besarnya dosa maksiat yg dilakukan di dalam bulan tersebut. Dikatakan juga kerana diharamkan berperang pada bulan tersebut. Dikatakan juga sebab bulan-bulan ini dipilih sebagai bulan-bulan haram adalah untuk membolehkan manusia mengerjakan umrah & haji pada bulan-bulan tersebut.

  • Bulan Zulqaedah: Kerana berlakunya perjalanan menuju ke Makkah untuk mengerjakan umrah & haji

  • Bulan Zulhijjah: Kerana berlakunya haji padanya.

  • Bulan Muharram: Supaya manusia pulang ke rumah mereka selepas mengerjakan haji dalam keadaan selamat & aman.

  • Bulan Rejab: Kerana manusia mengerjakan umrah pada bulan ini iaitu pada pertengahan tahun.Mereka yg tinggal berdekatan dengan Makkah akan mengerjakan umrah pada bulan ini.

Wujudnya bulan-bulan haram ini merupakan tradisi sejak zaman jahiliyyah lagi kemudian diteruskan oleh Islam.

Rejab

Bersempena bulan Rejab yg mulia ini, saya cuba untuk mengupas secebis maklumat tentang Rejab dan peristiwa bersejarah yg berlaku di dalamnya. Rejab diambil daripada perkataan رجب (tasydid atau sabdu di atas ج ) yg bermakna memuliakan atau mengagungkan. Maka, bulan Rejab dinamakan Rejab ialah kerana ia dimuliakan atau diagungkan oleh Allah. Terdapat ulama yg menyatakan nama-nama bulan Rejab iaitu sebanyak 14 nama. Sebahagian yg lain menyatakan 17 nama. Ulama berkata, bulan Rejab ialah bulan menanam, bulan Syaaban ialah bulan menyiram dan bulan Ramadhan ialah bulan menuai.


Solat Raghaib


Hadith-hadith yg diriwayatkan tentang kelebihan Solat Raghaib yg ditunaikan pada malam Jumaat pertama daripada bulan Rejab merupakan hadith-hadith maudu’. Jumhur ulama menyifatkan Solat Raghaib sebagai bidaah. Ianya wujud selepas tahun 400 Hijrah. Oleh sebab itu, ia tidak pernah dikenali oleh ulama sebelumnya maka mereka tidak pernah membicarakan tentangnya.


Puasa Rejab

Menurut Imam Ibn Rejab Al-Hanbali, tiada hadith shahih yg menyatakan secara khusus tentang kelebihan puasa di bulan Rejab. Tetapi terdapat hadith shahih yg menyatakan kelebihan puasa pada bulan-bulan haram dan Rejab adalah salah satu daripadanya. Antara hadith-hadith tersebut ialah,


أفضل الصيام بعد رمضان شهر الله الحرام وأفضل الصلاة بعد الفريضة صلاة الليل ~ رواه مسلم

“ Puasa yg paling afdhal selepas Ramadhan ialah puasa pada bulan-bulan haram, dan solat yg paling afdhal selepas solat fardhu ialah ialah solat malam.” Riwayat Muslim.


Bahkan, sebahagian salaf berpuasa pada keseluruhan bulan haram antaranya ialah Ibn Umar, Hasan Basri & Ibn Ishak As-Sabi’ey.

Anas bin Malik berkata apabila tiba bulan Rejab, Baginda Sollallahualaihiwasallam berdoa,

اللهم بارِكْ لنا في رجب وشعبان وبَلِّغْـنا رمضان

“Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab & Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan.” Walaupun sanad hadith ini dhaif tetapi sebagaimana yg disepakati oleh kebanyakan ulama, harus & sunat beramal dengan hadith dhaif selagimana tidak maudu’.



Israk Mi'raj

Antara peristiwa penting yg berlaku pada bulan Rejab ialah peristiwa bersejarah Israk Mi’raj. Ulama berselisih pendapat adakah Israk Mi’raj berlaku secara sedar atau mimpi?

Mereka terbahagi kepada beberapa kumpulan:
  • Ulama salaf terbahagi kepada 2 kumpulan. Terdapat salaf yg menyatakan ia berlaku secara sedar.
  • Terdapat salaf yg menyatakan secara mimpi.
  • Sebahagian ulama antaranya, Abu Bakar ibn Al-‘Arabi. Beliau telah membenarkan kedua-dua pendapat salaf dengan menyatakan peristiwa Israk Mi’raj berlaku 2 kali. Pendapat ini ialah hasil gabungan sejumlah hadith yg merakamkan peristiwa bersejarah ini. Kali pertama secara mimpi sebagai persediaan kepada Nabi Sollallahualaihiwasallam untuk memudahkan baginda menghadapi perjalanan sebenar kerana perjalanan ini merupakan perjalanan yg cukup mencabar. Israk Mi’raj yg kedua pula secara sedar.
  • Terdapat ulama yg menyatakan Israk ke Baitul Maqdis berlaku secara sedar dengan jasadnya manakala Mi’raj menembusi 7 petala langit pula berlaku dengan ruhnya sahaja.

Jumhur ulama berpendapat Isra’ Mi’raj berlaku hanya sekali iaitu pada waktu malam, secara ruh dan jasad dan secara sedar. Ulama juga sepakat bahawa ibadat Solat difardhukan pada malam Mi’raj.

Imam Nawawi mentarjihkan bahawa Israk Mi’raj berlaku pada malam 27 Rejab. Pendapat ini juga dipegang oleh Ibnul Athir dan Imam Rafie’…bersambung…


Rujukan:
Lathoiful Ma'arif, karangan Imam Ibn Rejab Al-Hanbali
Dhous-Siraj fi fadli Rejab wa Qissatil Mi'raj, karangan Syeikh Muhammad Amin Al-Kurdi
Maqolat Al-Kauthari, himpunan tulisan Imam Muhammad Zahid Al-Kauthari

_______________________________


Bulan Rejab dan Peristiwa Israk Mi'raj siri 2

Israk Mi'raj merupakan kisah yg telah masyhur sebutannya. Sebut sahaja 'Israk Mi'raj', insya Allah ramai orang Islam yg punya pengetahuan umum tentangnya. Saya tidak berniat untuk mengupas peristiwa Israk Mi'raj secara terperinci dari A hingga Z. Saya juga tidak punya ilmu sehebat itu. Cuma sekadar untuk cuba menyatakan sudut-sudut yg tertentu daripada peristiwa unik ini.

Jumhur ulama berpendapat bahawa Israk Mi'raj berlaku pada satu malam, secara ruh & jasad, dalam keadaan sedar. Andainya Israk Mi'raj hanyalah sebuah mimpi maka Rasulullah Sollallahualaihiwasallam tidak akan ditentang hebat & dihentam teruk oleh Musyrikin Makkah. Tetapi andainya bukan mimpi, maka ini dianggap mengundang kutukan dan cercaan daripada masyarakat sekeliling.



:: Hujjah menolak pendapat Isra' Mikraj berlaku secara ruh dan mimpi sahaja, bukan secara ruh dan jasad dan dalam keadaan sedar:

Hadith riwayat 'Aisyah yg menyatakan bahawa 'Tidak hilang jasad Rasulullah akan tetapi baginda diisra'kan dengan ruhnya' adalah hadith yg tidak thabit. Begitu juga halnya dengan hadith riwayat Muawiyah yg menyatakan bahawa 'Al-Isra' ialah Ru'ya Sodiqah(mimpi yg benar)' merupakan hadith yg tidak thabit kerana terputus sanad.

Adapun tentang ayat 60 Surah Al-Isra':

وَمَا جَعَلۡنَا ٱلرُّءۡيَا ٱلَّتِىٓ أَرَيۡنَـٰكَ إِلَّا فِتۡنَةً۬ لِّلنَّاسِ

"Dan Kami tidak menjadikan Ar-Ru'ya yg telah kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai ujian kepada manusia"

Pendapat Ibnu Abbas sebagaimana yg diriwayatkan oleh Imam Bukhari mentafsirkan kalimah Ar-Ru'ya dalam ayat di atas ialah penglihatan. Maksudnya, penglihatan yg dialami oleh Rasulullah pada malam Isra' Mikraj. [1] Kalaulah Ar-Ru'ya itu dengan makna mimpi maka sudah tentu kejadian ini tidak akan diingkari seteruk-teruknya oleh orang kafir ketika itu.

Maka telah jelas lagi bersuluh bahawa Isra' Mikraj itu berlaku secara sedar dalam keadaan ruh dan jasad sebagaimana pendapat jumhur ulama.

:: Perhimpunan agung
Perhimpunan para nabi dan rasul 'alahimussalam pada malam yg bersejarah itu membuktikan kesatuan akidah & iman para nabi dan rasul 'alahimussalam. Pertemuan Rasulullah Sollallahualaihiwasallam dengan para nabi & rasul 'alaihimussalam pada malam itu merupakan pertemuan rohani & Taaruf maknawi di antara para utusan Allah. Sekaligus memperkenalkan kepada mereka kedudukan Rasulullah Sollallahualaihiwasallam di sisi Allah. Solat yg didirikan pada malam itu yg diimamkan oleh Rasulullah Sollallahualaihiwasallam dan diikuti oleh sekalian nabi itu membuktikan kepimpinan Rasulullah terhadap seluruh nabi bahkan seluruh makhluk!

:: Hikmah Mi'raj berlaku dari Masjidil Aqsa bukan Masjidil Haram
Hikmah berlakunya Mi'raj iaitu naiknya Rasululullah Sollallahualaihiwasallam ke langit bermula dari Masjidil Aqsa dan bukan dari Masjidil Haram ialah untuk membuktikan kebenaran kerasulan Rasulullah Sollallahualaihiwasallam apabila mampu menjawab tentang struktur Masjidil Aqsa di Palestin yg disoal oleh Musyrikin Makkah. Allah menguatkan lagi hujjah kerasulan baginda dengan menjelmakan Masjidil Aqsa di hadapan baginda lalu dengan mudah baginda menjawab setiap soalan yg dikemukakan itu. Maka akibat tetap berdegil dan taasub terhadap agama nenek moyang, telah terbongkar dengan jelas kekufuran mereka walaupun setiap soalan yg dilontarkan berjaya dijawab dengan tepat oleh Rasulullah Sollallahualaihiwasallam. Inilah mukjizat yg telah dikurniakan Allah kepada RasulNya!

Bahkan peristiwa Mi'raj merupakan isyarat bahawa Masjidil Aqsa satu ketika nanti akan dicabuli kehormatannya dan ummat Islam wajib mempertahankannya kerana ia merupakan kiblat pertama & lokasi Mi'raj Rasulullah Sollahualaihiwasalam.

:: Isra' Mikraj: Mukjizat atau Khususiyyat?
Kesan daripada isu hangat yg melanda penduduk Makkah ini, maka berlakulah kes murtad di kalangan umat Islam yg masih daif imannya. Dari sudut yg berlainan, makin bertambah iman sebahagian yg lain. Oleh itu, sebahagian ulama tidak menganggap peristiwa Isra' Mikraj ini sebagai mukjizat tapi menyenaraikannya dalam kategori Khususiyyat Rasul iaitu perkara yg hanya dikurniakan kepada Rasulullah Sollallahualaihiwasallam sahaja. Hujjah mereka ialah mukjizat sepatutnya melemahkan dan menundukkan orang kafir tapi peristiwa ini pula sebaliknya. Menurut mereka, peristiwa ini sebenarnya lebih bersifat ujian dan fitnah terhadap manusia ketika itu.

Orang yg paling bersungguh membenarkan kejadian yg mustahil saat itu ialah Sayyiduna Abu Bakar As-Siddiq Radiyallahu'anhu. Dengan sikapnya itu, beliau telah mendapat gelaran As-Siddiq. Kesimpulannya, Isra' Mikraj merupakan mukjizat & khususiyyat. Dan ini sekaligus meraikan pendapat kedua-dua belah pihak.

:: Soalan Akidah berkaitan Isra' Mikraj:
  1. Adakah perisitwa Mikraj menunjukkan Allah berada di langit?
  2. Adakah Mikraj ke langit untuk mendekatkan Rasulullah Sollallahualaihiwasallam kepada Allah, dengan hujjah Allah itu di langit?
Sebahagian manusia telah berhujjah dengan menyatakan Allah itu di langit berdasarkan perisitiwa Isra' Mikraj.

:: Jawapan:
  1. Tidak!!! Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah menyatakan bahawa Allah tidak bertempat. Belajarlah dengan alim ulama yg pakar dalam ilmu akidah. Belajar secara berguru dan lebih elok berkitab. Jangan jadikan kitab sebagai guru. Dan internet bukan madrasah untuk belajar Ma'rifatullah dengan serius!
  2. Mikraj bukanlah untuk mendekatkan Rasulullah Sollallahualaihiwasallam kepada Allah dengan hujjah semakin tinggi Rasulullah Sollallahualaihiwasallam diangkat, semakin hampir baginda kepada Allah. Kerana untuk mendekatkan diri kepada Allah bukanlah dengan mendekatkan jarak.
Antara dalilnya:

1-Ayat 19, Surah Al'Alaq:

وَٱسۡجُدۡ وَٱقۡتَرِب

"Dan sujudlah serta dekatkanlah (dirimu kepada Allah)"


2-Hadith:
أقرب ما يكون العبد من ربه وهو ساجد

" Paling hampir sesorang hamba itu dengan tuhannya dalam keadaan dia sujud"


3-Hadith:

لا تفضلوني على يونس بن متى

" Janganlah kamu melebih-lebihkan aku melebihi Yunus bin Matta".

Ini ialah di antara hujjah Imam Haramain yg menyatakan bahawa Allah suci daripada bertempat. Wajah pendalilan yg digunakan oleh Imam Haramain ialah bahawa ketika Rasulullah Sollallahualaihiwasallam tiba di Sidratul Muntaha tidaklah baginda lebih hampir kepada Allah melebihi hampirnya Nabi Yunus kepada Allah ketika munajat di dalam perut Ikan Hut dengan alasan yg salah iaitu lokasi Rasulullah lebih hampir kerana baginda dia atas langit.

Oleh sebab itulah Rasulullah Sollallahualaihiwasallam bersabda supaya janganlah melebih-lebihkan baginda melebihi Nabi Yunus dari segi hampirnya kepada Allah dalam situasi tersebut kerana kononnya jarak baginda lebih hampir dengan Allah kerana baginda berada tinggi di atas langit. Fahamilah, sesungguhnya hampirnya seseorang kepada Allah tidak melibatkan jarak kerana Allah suci dari bertempat. Tempat & jarak merupakan sifat makhluk dan tidak layak bagi Khaliq!




Nota kaki:
[1] Menurut sebahagian ulama tafsir, kalimah Ar-Ru'ya dalam ayat tersebut bermaksud mimpi tentang Perang Badar yg dialami oleh Rasulullah sebelum perang itu terjadi.


Rujukan:
Lathoiful Ma'arif, karangan Imam Ibn Rejab Al-Hanbali
Dhous-Siraj fi fadli Rejab wa Qissatil Mi'raj, karangan Syeikh Muhammad Amin Al-Kurdi
Maqolat Al-Kauthari, himpunan tulisan Imam Muhammad Zahid Al-Kauthari
Syaamil Al-Quran(terjemahan Al-Quran)


p/s: Entri 'Jangan hina ulama' siri akhir terpaksa saya tangguhkan.
Doktor Azhan, jangan marah ya! Saya sedang usaha untuk siapkan entri khas untuk anda sekarang :)

0 comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin