Saturday, August 15, 2009

Selamat pulang...

Entri kali yg ke 100. Allah telah tetapkan ianya untukmu berdua guruku, Ust Syed Abdul Kadir Al-Jofree dan sahabatku, Ustaz Safwan. Saya baru sahaja bangun dari tidur setelah bersengkang mata selama 5 jam di dalam kelas pengajian Ustaz Syed Abdul Kadir. Alhamdulillah tamat juga daurah kitab Tazkirah As-Sami' wal Mutakallim karangan Ibnu Jama'ah rahimahullah. Semalam jam 3.30 pagi, saya tiba di rumah setelah pulang dari airport menghantar Ustaz Safwan. Turut pulang bersama ialah Ust Alif Mahari yg akan kembali semula ke sini bertemankan isteri, insya Allah. Esok, Ustaz Syed Abdul Kadir pula akan pulang ke tanahair. Dua kehilangan yg teramat-amat dirasai.

Saya masih belum menyiapkan kerja-kerja Sutra. Masih berbaki 60%. Saya tidak mahu menulis panjang, cuma sekadar meluahkan apa yg terbuku di hati.

Selamat pulang guruku dan sahabatku. Semoga kita bertemu lagi. Teruskan perjuangan.

Siapalah saya untuk menasihati kalian. Lebih-lebih lagi kepada guru yg dikasihi, Ustaz Syed. Bahkan mungkin sahaja kewujudan blog saya yg hina ini tidak pernah disedari olehnya. Jazakumullah khairan kathira saya ucapkan kepada Al-Fadhil Ustaz Syed Abdul Kadir. Mudahan-mudahan ilmu dan tarbiyah yg dicurahkan selama ini dapat saya amalkan, insya Allah.

Kepada Ustaz Safwan secara khasnya, jaga adik-adik medic kita di sana. Mereka ibarat permata-permata yg menunggu masa untuk digilap agar semakin bersinar kilauannya. Teruskan belajar dan mengajar. Ingatlah, ilmu dan perjuangan tidak pernah terpisah. Semarakkan Islam dengan ilmu. Masyarakat memerlukanmu.

Cukuplah dahulu sekadar ini. Untuk mereka berdua, saya doakan agar terus thabat di dalam dunia dakwah yg penuh mencabar ini.

Jika selepas saat ini kita tidak bertemu lagi di dunia, Syurga Allah tempat pertemuan kita insya Allah!

Sunday, August 2, 2009

Syukur dan Fikiran Rabbani

Alhamdulillah. Lafaz puji saya ucapkan kepada Allah Yang Maha Terpuji. Pujian dari yg baharu kepada Yang Qadim. Pujian makhluk yg tidak mengangkat martabat kemuliaanNya. Dia telah cukup mulia. Bahkan tanpa pujian, martabat kemulianNya kekal seperti sediakala. Dia Maha Mulia seadanya. Dia tidak berhajat kepada pujian untuk dimuliakan dan Dia juga tidak terhina dengan kejian.

Alhamdulillah, syukur keluarga saya selamat. Cuma terkena sedikit tempias kezaliman UMNO demi menuntut sebuah keadilan. ISA wajib dikuburkan! Walaupun keluarga saya selamat, saya tetap tidak maafkan kamu wahai pencabul kebebasan! Kebebasan yg sepatutnya diberikan, kamu sekat. Maka berhimpunlah manusia berdemonstrasi menuntut keadilan. Kebebasan yg sepatutnya disekat, dengan murah hati kamu berikan. Hasilnya ratusan ribu yg murtad akidah. Wahai penyokong dan pendokong UMNO, bertaubatlah! Ini isu survival agama!

Alhamdulillah, syukur Budin dibebaskan. Lega sungguh apabila kawan serumah saya, Budin atau lebih masyhur dengan nama Abang Bu dibebaskan dari lokap. Mesej yg dihantarnya ke handphone buruk saya menyatakan syukur dan kepuasannya berpengalaman naik trak polis serta masuk lokap gara-gara demonstrasi 'Mansuhkan ISA' siang tadi. Tazkirah malam terakhirnya di Musolla Rumah Terengganu masih terngiang-ngiang di telinga. Pada bulan lepas beliau tinggalkan bumi Kaherah, Kota Seribu Menara menuju bumi tumpah darahnya, Malaysia yg masih diperintah UMNO durjana. Malaysia, lorong-lorongnya masih dihuni kegelapan. Budin, tariklah anak-anak muda yg malang di lorong gelap itu ke arah cahaya Islam. Mereka itu jahil. Dekati dan bimbinglah saudara-saudaramu itu. Kau ditempatkan di situ untuk menyelamatkan mereka.

Bagaimanakah nasib mereka yg masih ditahan polis gara-gara demonstrasi tadi?! Mudah-mudahan Allah menyelamatkan mereka. Amiinnn...

Antara tujuan utama saya menulis kali ini ialah untuk berkongsi kisah pendek yg diceritakan oleh Syeikh Ahmad hafizahullah di dalam kelas pengajian petang tadi. Harapnya kisah yg akan dilakar ini menjawab permintaan Dr. Akmal yg mahu saya menulis tentang pengajian kitab Ihya' Ulumiddin yg turut dihadirinya di anjung Masjid Al-Azhar yg tua itu. Kitab Ihya' bukan buku picisan yg layak dikupas intipatiya oleh minda kecil saya lebih-lebih lagi tanpa merujuk kembali kepada kitab besar itu. Saya pernah menulis tentang Ihya' di sini dan sini. Terus terang saya katakan bahawa kepala saya juga sedang sakit sekarang. Ini mengurangkan lagi kemampuan saya untuk meneliti kitab Ihya'. Kitab yg akan melemaskan dan menenggelamkan saya dalam gelora dan gelombang ombak badai lautan ilmu Hujjatul Islam Al-Ghazali, Filsuf terulung di zamannya.

Syeikh bercerita tentang seorang lelaki soleh yg dihumban ke dalam lokap. "Mungkin kerana menentang kerajaan zalim", bisik hati kecil saya.

Seorang lelaki soleh telah dihumban ke dalam sebuah lokap atau sangkar yg dihuni singa-singa lapar, dengan harapan agar si lelaki menjadi santapan segerombolan binatang buas itu. Singa-singa lapar mula mendekati si lelaki. Namun, si lelaki hanya dijilat-jilatnya. Singa-singa yg tidak berakal itu diilhamkan agar tidak membahamnya. Maka, si lelaki akhirnya dikeluarkan.

Yang menyaksikan berasa kagum. Satu pertanyaan dilontarkan kepadanya,

"Apa yg kamu sedang fikir ketika singa-singa lapar itu datang dan menjilat-jilatmu?"

Si lelaki soleh dengan tenang menjawab,

"Aku berfikir, adakah air liur singa itu najis...?"
"Jika najis, aku perlu membersihkan diriku sebelum mengerjakan solat. Solat tidak sah jika diriku terkena najis..."

Ayuh kita renungkan kisah pendek ini. Tiada yg terlintas di hati lelaki soleh itu melainkan tentang kegiatan ibadahnya kepada Tuhannya. Ini bukan maqam biasa. Si lelaki soleh itu tidak sibuk memikirkan hal kematiannya kerana ajalnya bukan urusan yg boleh menerima campur tangannya. Maka, diserahkan saja urusan ajal yg telah ditentukan waktunya itu kepada Allah. Dia hanya sibuk memikirkan hal kehidupannya sebagai hamba kepada Allah. Hatta singa-singa lapar reti untuk menghormati si lelaki lalu enggan menjadikannya sebagai habuan walau nafsu makan tidak terpenuhi.

Ayuh kita berfikir seperti si lelaki soleh itu berfikir. Fikiran yg bersifat rabbani. Dan bersyukurlah banyak-banyak kepada Allah jika kita mampu melazimi gaya berfikir ini.

Saya kira ini merupakan posting terakhir saya. Saya ingin memberikan sepenuh penumpuan kepada kerja-kerja penting yg masih terbengkalai. Saya sudah sepakat dengan Farezuan untuk melangsaikan hutang-hutang yg masih belum terbayar itu. Fiqah Aulawiyyat perlu diaplikasikan ketika saat-saat genting seperti ini. Saya akan kembali beraksi setelah kerja-kerja itu diselesaikan. Saya bukan mengundur diri. Ini strategi.

Saya masih mengikut ragam kelawar. Saya tahu kepentingan tidur di malam hari. Dr. Anas ada menulis tentangnya di sini. Tapi saya masih belum mempunyai kesediaan untuk disiplin itu. Saya punya disiplin tersendiri.

Blog Widget by LinkWithin