Sunday, November 28, 2010

Usah kucup tangan Syaikh al-Buti

Kali pertama saya bertemu beliau ialah ketika Pameran Kitab Antarabangsa di Mesir tahun 2006. Beliau berada di booth Maktabah Darul Salam. Orang ramai mengerumuni beliau. Beliau akan turunkan autograf pada setiap kitab tulisannya yg dibeli oleh pengunjung. Saya beli kitab Fiqh Sirahnya yg terkenal. Melalui kitab ini, beliau telah terpilih sebagai pemenang kategori Anugerah Buku Terbaik di dalam Festival Anugerah al-Mahabba yang berlangsung di Dubai pada tahun 2006 yang lalu. Saya merapati Syaikh. Saya hulurkan tangan untuk bersalam tapi sengaja tidak mengucup tangannya. Lalu, saya serahkan buku saya dan beliau turunkan autograf. Awal-awal lagi saya sudah diingatkan oleh senior bahawa beliau tidak suka tangannya dikucup. Beliau seorang yg tegas. Namun loghat percakapannya lembut, sama seperti orang Syria yg lain. Tutur katanya tersusun indah. Beliau pengarang lebih daripada 60 buah kitab. Beliau ialah Syaikh Prof. Dr. Muhammad Sa'id Ramadhan al-Buti hafizahullah, yg kini berusia 81 tahun.




Dalam sebuah rancangan TV, beliau pernah ditanya oleh pengacara, mengapakah beliau agak tegas melarang orang mengucup tangannya. Lalu beliau menjawab dengan nada yg penuh sayu,

"Demi Allah.. Yang Tiada Tuhan SelainNya.. Aku berasa malu dengan Allah apabila orang mencium tanganku. Kerana aku kenal diriku! Tuhanku bersifat Sittir.. Yang menutup (keburukan).. Aku tahu apa yg aku lalai.. berapa kali aku telah lalai di sisi Tuhanku! Tapi Tuhanku tidak mahu (keadaan) orang terhadapku melainkan sesuatu yg positif. Dia menutup perkara yg lain. Dia sembunyikannya antaraku dan antaraNya. Baiklah, jika seorang manusia datang... melihat perihal zahirku dan tidak pernah ternyata perihal batinku, dia tidak tahu.. tapi Allah tidak tahu?! .... Dan Allah 'azza wajalla melihat, (berkata) "Bukankah kamu buat begini, kamu buat begitu?! ...." Inilah yg menyebabkan aku menghalang orang dari mengucup tanganku.."

Syaikh memejam-mejamkan matanya agar air matanya tidak mengalir.

Kali kedua saya bertemu beliau ialah ketika berkunjung ke Syam, Syria pada tahun 2007. Sampai saja di pintu masjid, saya terkesima. Jumlah yg hadir mendengar pengajiannya selepas Solat Maghrib itu umpama yg hadir Solat Jumaat. Malam itu beliau mengulas kitab Akidah karangannya, Kubra al-Yaqiniyyat al-Kauniyyah. Saya sudah lupa nama masjid itu. Di masjid yg sama, saya hadiri kelas pengajian Sahih Bukhari yg disampaikan oleh Syaikh Muhammad Naim al-'Araqsusi hafizahullah. Saya juga tidak melepaskan peluang berkunjung ke masjid yg dibina oleh Syaikh al-Buti, yg dinamakan sempena nama ayah yg tercinta, Syaikh Mulla Ramadhan al-Buti rahimahullah.

Pada satu pagi, ayahnya mengetuk pintu biliknya. Ketika itu beliau sedang tidur. Kejadian ini berlaku setelah lebih kurang seminggu berlangsung perkahwinannya. Beliau pada asalnya bertegas dengan keputusan masih tidak mahu berkahwin, sehinggalah ayahnya berjaya memujuknya. Beliau redha. Akhirnya beliau berkahwin dengan seorang wanita yg lebih berusia daripadanya beberapa tahun tapi mempunyai kebaikan yg sangat besar.

Setelah mengetuk pintu, ayahnya memanggilnya dengan suara yg tinggi, "Kamu masih tidur! Berita baik yg datang kepadamu ini menuntutmu supaya membelah malam keseluruhannya dengan bersujud bersyukur!!"

Beliau terkejut dari lena lantas keluar bertanya tentang berita gembira yg dimaksudkan. Maka ayahnya berkata, "Aku bermimpi bertemu Nabi pada malam ini. Baginda tampil dan bersama-samanya beberapa orang lelaki yg aku tahu mereka itu ialah sahabat-sahabatnya. Baginda berkata kepadaku, "Kami datang untuk mengucapkan tahniah kepada Sa'id atas perkahwinannya!"

Insya Allah, esok pagi saya akan menuju ke Selangor untuk menghadiri pengajian yg akan disampaikan oleh Syaikh Muhammad Sa'id Ramadhan al-Buti hafizahullah. Mudah-mudahan Allah memberkati. Sudah lama mata saya tidak menatap wajah para ulama' bumi Syam.


p/s: Saya tidak pasti reaksi Syaikh terhadap orang yg mahu mencium tangannya di Malaysia. Mungkinkah beliau akan membiarkan sahaja?!

3 comments:

Qistina Qibtiya said...

masyaAllah.... :)

mushi kerok said...

minta share ye..

فاز على حسن said...

حسبي الرب من المربوبين
حسبي الساتر من المستورين

Moga Allah memanjangkan umur beliau dan memberkati beliau...

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin