Diambil dari blog : 'Santapan Minda Pejuang' - Blog Ust Yussaine
Salam Islah,
Sejak menjawat jawatan sebagai gabenor, Amr bin Al-Ash tidak lagi turut serta di medan pertempuran. Dia lebih banyak tinggal di istananya di Mesir. Di hadapan istananya yang mewah itu terdapat sebidang tanah yang luas dan sebuah pondok usang milik seorang lelaki Yahudi tua. “Alangkah baik dan indahnya jika di atas tanah itu berdiri sebuah masjid”. Detik hati sang gabenor.
Dipendekkan cerita, Yahudi itu dipanggil mengadap gabenor untuk melakukan proses tawar-menawar bagi membeli tanah milik Yahudi tua itu. Namun keputusannya sungguh mengecewakan. Amr bin Ash sangat kesal kerana si tua itu menolak dan enggan menjual tanah dan pondok buruknya. Ini kerana harga yang ditawarkan oleh gabenor adalah lima kali ganda dari harga pasaran.
“Baiklah jika itu keputusanmu, saya harap anda tidak menyesal!”. Tegas gabenor dengan nada ancaman.
Setelah orang tua Yahudi itu berlalu, Amr segera memerintahkan orang bawahannya mengeluarkan sepucuk surat pemberitahuan bagi membongkar tanah milik Yahudi tersebut. Apabila peristiwa itu berlaku, orang tau tadi hanya mampu menangis kerana tidak berdaya melakukan apa-apa. Dalam situasi mengecewakan itu, terdetiklah dalam hati orang Yahudi itu untuk mengadu keputusan gabenor Mesir kepada Khalifah Umar al-Khattab.
“Ada apa-apa keperluan yang pentingkah wahai datuk, kerana kau datang begitu jauh ke sini?, Tanya Umar al-Khattab kehairanan.
Datuk tua itu sebenarnya sungguh gementar berdepan dengan seorang klhalifah yang berkedudukan tinggi dan penuh wibawa. Walaupun pada hakikatnya penampilan khalifah Umar amat sederhana dibandingkan dengan keluasan kekuasaan pemerintahan beliau. Setelah degup jantungnya bertambah reda, datuk tua itu mula bercerita bagaimana perjuangannya mempertahankan miliknya dan melaporkan aduan kesnya penuh kesedihan.
Merah padam wajah Umar apabila mendengar aduan datuk tua Yahudi itu. “Masya Allah, kurang sopan sungguh Amr!” kecam Umar.
“ Sungguh tuan saya tidak mengada-ngadakan cerita walau sepotong ayat” sahut datuk itu bertambah gementar dan kebingungan. Malah dia semakin bingung apabila Umar memintanya mengambil sepotong tulang lalu menggoreskan sesuatu pada tulang itu dengan pedangnya.
“ Berikan tulang ini kepada gabenorku, saudara Amr bin Ash di Mesir,” perintah khalifah Al-Faruq Umar al-Khattab.
Setelah menyerahkan tulang goresan Umar kepada gabenor Mesir, datuk tua Yahudi itu semakin tidak faham. Dia semakin tak faham kerana gabenor Mesir dengan segera memerintahkan sesuatu yang di luar dugaan. “Bongkar dan runtuhkan masjid itu!” teriak Amr bin Ash dengan nada yang gementar. Wajah gabenor Mesir itu pucat, seperti dilanda satu situasi ketakutan yang amat dahsyat.
Yahudi itu segera berlari keluar dari isatana, menuju ke kawasan pondok usangnya bagi melihat akan kebenaran arahan gabenor tadi. Tepat sekali sebagaimana yang dijangkakan. Beberapa petugas sedang bersiap sedia menghancurkan masjid yang tersergam indah yang hampir siap dibina itu.
“Tunggu!” jerit orang tua Yahudi itu. “Maafkan saya tuan gabenor, tolong jelaskan kepada saya segala peristiwa yang pelik ini? Adakah ia berpunca daripada tulang itu? Apa keistimewaan tulang itu sehingga Tuan begitu nekad membuat keputusan membongkar semula bangunan yang amat mahal ini? Sesungguhnya saya benar-benar tak faham?” tanya orang tua itu bertalu-talu dengan nada yang penuh kehairanan.
Amr bin Ash memgang bahu datuk tua itu penuh mesra, “Wahai datuk, sebenarnya, tulang itu hanyalah tulang biasa, baunya juga busuk”.
“Tapi...” datuk tua itu cuba mencelah.
“ Namun, keran ia mengandungi perintah khalifah, maka tulang itu menjadi sangat bererti. Ketahuilah, tulang yang busuk itu adalah peringatan bahawa betapa pun tingginya kekuasaan seseorang ia akan kembali menjadi tulang yang busuk. Manakala huruf alif yang digores di atas tulang itu bermaksud kita mestilah berlaku adil sama ada ke atas (di kalangan pembesar) mahu pun ke bawah (di kalangan rakyat biasa). Lurus seperti huruf alif. Dan bila saya tidak mampu menegakkan keadilan, khalifah tidak akan teragak-agak untuk memenggal kepala saya!” jelas gabenor Mesir itu panjang lebar.
“Sesungguhnya, amat agung ajaran agama Tuan. Sungguh, saya rela menyerahkan tanah dan pondok usang saya itu. Dan bimbinglah saya dalam memahami ajaran Islam,” ujar orang Yahudi itu pasarah berserta linangan air mata yang tak tertahan.
Allahu Akbar!. Inilah Islam yang benar dan agung. Inilah antara deretan kisah sejarah dan keunikan pemerintahan Islam yang sedia mendengar rintihan dan keluhan walaupun ianya daripada seorang tua Yahudi!. Kita hendaklah sentiasa menegakkan keadilan tanpa memilih taraf dan agama. Lihatlah pula bagaimana pemerintah menerima teguran!. Sungguh mengharukan...tidak pernah berdendam atau bermusuhan. Menerima kebenaran dan segera membetulkan kesilapan tanpa berlengah atau ditangguhkan. Betapa kerendahan yang ada pada pemerintah- pemerintah teladan. Sehingga mampu menawan hati kufar yang asalnya ingin berlawan. Mengkagumkan!
Benarlah sebagaimana yang disabdakan oleh baginda Nabi Muhammad SAW, “... umat yang terbaik adalah semasa zamanku, kemudian selepasnya, serta berikutnya...”. (Amat besarlah kata-kata Rasulullah SAW)