Thursday, May 21, 2009

Cetusan hati di pagi hari

Jam menunjukkan pukul 2 pagi. Keadaan amat sunyi. Saya nekad untuk tidak melelapkan mata. Saya tertidur sejak sebelum Isyak lagi. Esok, saya akan menduduki peperiksaan bertulis bagi subjek Fiqh. Silibusnya ialah bab yg tidak akan dilaksanakan di Malaysia selagimana kerajaan rimba hari ini tidak ditumbangkan. Bab Hudud. Bab yg ditakuti oleh muslim yg tidak memahami. Mereka tidak bersalah secara total. Mereka diberi maklumat yg salah. Jadi, ini krisis maklumat yg diputarbelit. Maka, natijahnya ada non-muslim yg yakin dengan Hudud malah menyokongnya. Dan ada pula muslim yg takut dengan Hudud lantas menolaknya.

Kawan-kawan yg datang ke rumah saya sering saya anggap sebagai tetamu. Datangnya mereka menggembirakan saya. Sekarang semuanya sedang tidur. Mudah-mudahan tidur mereka diulit dengan mimpi yg indah. Mereka kawan-kawan yg mulia. Andai kalian mimpikan Nabi Muhammad Sollallahualaihiwasallam, jangan lupa sebutkan nama saya di hadapan Baginda. Minta supaya Baginda doakan saya.

Kemuliaan hakiki dinilai berdasarkan ketakwaan. Seorang ulama yg jahat adalah hina di sisi Tuhannya. Seorang pakcik tua yg baru belajar Alif Ba Ta setelah menyesali kehidupan silamnya adalah mulia di sisi Tuhannya. Terngiang-ngiang di telinga saya akan kata-kata yg pernah dituturkan oleh Syeikh Ahmad Hafizohullah, "Seawal-awal taqwa ialah kesedaran." Kesedaran itulah yg membawa tuannya menaiki satu demi satu anak tangga kemuliaan.


Rasa hina diri adalah kemuliaan di sisi Allah. Rasa mulia diri adalah kehinaan di sisi Allah. Waktu yg paling tepat untuk berasa hina ialah ketika dahi mencecah ke lantai bersujud, bermunajat memohon keampunanNya. Makhluk termulia telah bengkak kakinya gara-gara solat malam. Baginda ingin mengajar umat kesayangannya bahawa waktu tengah malam ialah waktu yg amat sesuai untuk bersujud, menghina diri di hadapan Tuhan Yang Maha Mulia. Kemuliaan seorang hamba terletak pada Qiamullailnya dan kehebatannya ialah apabila dia tidak bergantung kepada selain Tuhannya.

Bermunajatlah memohon keampunanNya. Pintalah, nescaya akan dikabulkan. Yakinlah akan janji Tuhanmu, sesungguhnya Dia tidak pernah dan tidak akan sekali-kali memungkiri janjiNya. Kadang-kadang hati ini keliru, tidak tahu apa yg ingin dipinta. Teringat kata-kata Imam Haddad Rahimahullah yg mengajar akan hakikat berdoa. Berdoa bukanlah untuk memberitahu hajat kepada Tuhan Yang Maha Tahu. Berdoa ialah satu bentuk persembahan oleh hamba kepada Tuhannya. Persembahan seorang hina yg terlalu fakir untuk membuktikan kefakirannya kepada Tuhannya. Sesungguhnya telah cukup ilmu pengetahuan Allah akan apa yg dihajati oleh hati kecil setiap hambaNya. Maka, berdoa hanyalah semata-semata untuk mempamerkan kehambaan sang hamba kepada tuannya. Sekadar itu sahaja, bukan untuk mengadu isi hatinya. Apa guna memberitahu kepada yg lebih mengetahui akan keadaan dirinya?

Imam Haddad Rahimahullah berkata,
قد كفاني علم ربي /// من سؤالي واختياري
فدعائى وابتهالي /// شاهد لي بافتقاري

"Sesungguhnya telah cukup bagiku ilmu Tuhanku tentang permintaan dan usahaku, maka doa serta permintaanku sebagai bukti kepada kefakiranku."

Cukup sekadar ini sahaja. Esok saya ada dua projek yg perlu diselesaikan. Saya akan menduduki peperiksaan dan saya juga akan bertemu Dr. Fauzi Hamat, pensyarah Fakulti Usuluddin di Universiti Malaya. Beliau baru tiba bersama 30 orang pelajar UM. Ahlan wasahlan ke bumi para nabi dan ulama!

Hmmm... internet terputus seketika.

~Sambung study~

1 comment: