Monday, November 9, 2009

Bangkitlah dari lenamu

Apabila bercakap di hadapan pelajar-pelajar perubatan di Mesir, perkara yg saya sebut berulang-ulang kali ialah "Manfaatkan keberadaan anda di sini. Pastikan diri anda berbeza dengan pelajar-pelajar perubatan di tempat lain." Anda dikelilingi para ulama Al-Azhar. Anda juga hidup bersama komuniti pelajar-pelajar agama. Kawan-kawan anda di Ireland misalnya perlu mengeluarkan kos yg mahal untuk menjemput tenaga pengajar dari luar untuk memberi pengisian kepada mereka. Namun di sini, anda berjiran dengan mereka. Bahkan ada yg sebilik dan berkongsi katil. Sedarlah, sudah tiba masanya untuk bangkit dari lena yg panjang.

Sebagaimana anda fokus kepada subjek-subjek di universiti, maka berikan juga penekanan kepada ilmu-ilmu agama. Tamadun Islam yg pernah menaungi dunia satu ketika dahulu ialah kerana kejayaan umat Islam dalam berlaku adil kepada aspek duniawi dan ukhrawi. Pembangunan kebendaan aktif dimajukan. Pembangunan insan tidak pernah diabaikan. Aktiviti-aktiviti intelektual berkembang pesat. Maka, Islam bangkit sebagai sebuah tamadun dan kuasa besar yg mengejutkan dunia di kala itu. Ilmu-ilmu agama diutamakan namun ilmu-ilmu lain tidak diketepikan.

Ketika Imam Syafie (wafat 204 H) tersohor dengan metod ilmiahnya membentuk ilmu Usul Fiqah, maka Jabir bin Hayyan (wafat 200 H) pula tekun dengan kajiannya sehingga dianggap sebagai Bapa Ilmu Kimia. Al-Khawarizmi (wafat 234 H) melalui karyanya, Al-Gebr wa Al-Muqabalah yg ditulis pada zaman pemerintahan Al-Makmun telah memperkenalkan Algebra kepada dunia. Istilah yg berasal daripada bahasa Arab ini masih digunapakai oleh Matematik Moden pada hari ini.

Pada kurun ke-4 Hijrah, Al-Battani telah melakukan pengiraan bahawa setahun menyamai 365 hari, 5 jam, 46 minit dan 24 saat. Pengiraan di zaman moden pula menunjukkan bahawa setahun menyamai 365 hari, 5 jam, 48 minit dan 46 saat. Maka, beza pengiraan Al-Battani dengan pengiraan moden hanyalah 2 minit 22 saat sahaja!

Umat Islam telah mengetahui bahawa bumi beredar mengelilingi matahari sejak dari kurun ke-8 Hijrah lagi melalui kajian Ibnu As-Syatir Ad-Dimasyqi. Tahukah anda bahawa Ahli Falak Islam berperanan besar merancakkan kemajuan ilmu astrologi di barat. Bahkan istilah-istilah yg digunakan mereka masih digunapakai pada hari ini. Zigrid Honka menghitung dan mendapati jumlahnya mencapai 160 istilah.

القانون في الطب - The Canon of Medicine

Siapa tidak mengenali Ibnu Sina yg masyhur dengan karyanya Al-Qanun fi At-Tibb? Ibnu Nafis (wafat 687 H) pula merupakan orang pertama yg menemui sistem peredaran darah dalam tubuh manusia. Beliau juga digelar Ibnu Sina Kedua. Karya bermutu Az-Zahrawi (wafat 404 H) dalam ilmu perubatan diterjemah ke Bahasa Latin lalu diajar di Eropah selama 500 tahun. Ibnu Al-Jazzar Al-Qoirowani (wafat 369 H) pula tokoh perubatan pertama yg menulis buku tentang Paediatrik.

Jangan lupa bahawa nama-nama ini juga tersenarai sebagai ulama dalam bidang ilmu agama. Ibnu Nafis sebagai contoh merupakan ulama besar dalam Mazhab Syafie. Beliau ada mensyarahkan kitab At-Tanbih karangan Abu Ishak As-Syirazi.

Cukuplah sekadar ini sebagai motivasi penguat diri. Ketahuilah sesungguhnya umat Islamlah sebenarnya pemangkin kepada kebangkitan dan kemajuan di Eropah. Kepada pelajar-pelajar perubatan, jangan semata-mata fokus kepada pembelajaran di kuliah sehingga mengabaikan ilmu-ilmu agama. Kepada para pelajar bidang agama pula, janganlah pula buta ilmu-ilmu lain. Kesepaduan ilmu perlu diwujudkan. Masing-masing punya tanggungjawab besar. Sejauh manakah generasi hari ini mampu menjamin kehebatan generasi akan datang? Saya tidak fikir generasi akan datang menjadi generasi yg 'warak' dan serius dengan agama tanpa sibuk dengan kemajuan. Dunia sekarang tidak dipandu ke arah itu. Tapi saya fikir mungkin generasi akan datang serius dengan kemajuan tanpa sibuk dengan agama. Saya bimbang mereka hanya membawa Islam pada nama sedang roh pengamalan Islam jatuh tercicir jauh di belakang.

Ada pihak yg adil dalam aspek dunia tapi zalim dalam aspek akhirat. Begitu jugalah sebaliknya. Akhirnya, Islam dilihat cacat. Ajaran Islam tidak dilihat syumul. Maka, umat Islam mesti mengembalikan keadilan dalam menguruskan kedua-dua aspek, duniawi dan ukhrawi seterusnya sabar menunggu kepulangan Tamadun Islam yg sekian lama menghilang. Yakinlah, Tamadun Islam sedang menunggu gilirannya. Maka, bangkitlah dari lenamu yg panjang!

Berhibur? Silakan tapi jangan melampau.

Artikel ini tidak ditulis khas untuk pelajar-pelajar perubatan. Artikel ini untuk semua.

6 comments:

  1. artikel yg menarik ana kira!
    fakta yg padat n bermotivasi..
    'mereka' semua adlh yg sjrh yg tdk blh dilupakan!

    ReplyDelete
  2. Kalau diikutkan hati, saya mahu tambah lg fakta2 yg kurang diketahui tapi masa mencemburui, mood kurang membantu, kesihatan pula x menentu... Kita hanya kenal Albert Einstein, James Watt, Alexander Graham Bell etc... Bukankah nama2 ni yg dimuatkan dlm silibus Sains di sekolah2? Mengapa nama2 spt Ibnu Nafis, Al-Biruni, Ar-Razi, Nasiruddin At-Tusi x ditonjolkan? Dasar sistem pendidikan yg sekular!

    ReplyDelete
  3. salam...terasa bnyk ni ust...jazzakallah atas perkongsian:)

    ReplyDelete
  4. nak tegur sket je
    al-qanun fi al-tibb..englishnya the canon of medicine ke?

    ReplyDelete
  5. To Anonymous: Wallahu'alam. Saya bertaklid kpd Mr Google :)

    The Canon of Medicine (Arabic: القانون في الطب Al-Qanun fi al-Tibb "The Law of Medicine"; Persian: قانون طب Qanun "Law"; Latin: Canon Medicinae "Canon of Medicine"; Chinese: 回回藥方 / 回回药方 Huíhui Yàofāng "Prescriptions of the Hui Nationality") [sumber:wikipedia]

    Jangan segan-segan utk perbetulkan klu ada silap ye

    To Hamzah Marwan: Alhamdulillah, memang nk suruh terasa :) Saya juga termasuk yg terasa. Saya anggap setiap tulisan dan ucapan saya kpd org lain juga ditujukan kpd diri sendiri... ayuh, kita bangkit sama2!

    bak kata Syeikh Hamza Yusuf, "As an ummah, we need to rise up..."

    ReplyDelete
  6. Askum

    tulisan yang menarik dan eyes opening. Bagus untuk dikedepankan ke pelajar-pelajar medic di sana termasuk adik ana. Susah nak mencari pelajar-pelajar medic Mesir yang cintakan ilmu dan bersungguh mencari ilmu seperti generasi Dr Afifi and generasi awal seterusnya. Apapun, semoga mereaka paling tidak mengetahui lubuk apa yang mereka diami sekarang.

    Cintakan ilmu turathi bukan boleh dipaksa, ia merupakan ransangan dan perkenalan yang perlu dipupuk. Kenapa dan apa keperluaannya untuk mereka yang belajar di bidang yang telah dipisahkan oleh academic segaration oleh sistem sekularisme.

    ReplyDelete