Wednesday, June 30, 2010

Al-Mukhatab itu saya - Sa'id Nursi

Di dalam mukadimah kutayyib "Zahirat ad-Dha'f an-Nafsi wa Subulu 'Ilajiha" karangan Dr. Majdi al-Hilali, sebuah kutayyib (kitab bersaiz kecil) yg mengulas tentang gejala keruntuhan jiwa yg melanda umat ini, beliau menyebut,

"Di penghujung mukadimah ini aku berharap setiap orang yg membaca helaian-helaian kertas ini agar tidak menyangka bahawa dirinya jauh daripada gejala ini, dan yg dimaksudkan dengan kata-kata (dalam kutaib) ini ialah individu lain, selainnya. Bahkan kita (mestilah) membaca bersama dan (menganggap) bahawa kitalah yg dimaksudkan dengan kata-kata ini,
al-Mukhatabun (yang ditujukan percakapan) di dalam kata-kata ini.. Mudah-mudahan kita dapat memeriksa penyakit kita, mengetahui ubat kita, dan itu tidaklah sukar bagi Allah..."

Saya telah dihadiahkan sebuah kutayyib bertajuk 'Lamahat min Hayat wa Aathar Badi'izzaman Sa'id an-Nursi' ketika berkunjung ke pameran kitab di Kaherah. Seorang pemuda Turki yg menjaga kedainya menyerahkan kepada saya kutayyib yg mempunyai 32 halaman itu. Kutayyib ini menceritakan sejarah hidup Imam Sa'id Nursi, seorang sufi besar, yg dikupas secara ringkas tapi padat. Kini karyanya 'Risale-I Nur' sudah tersebar ke seluruh pelusuk dunia dan diterjemah ke dalam pelbagai bahasa termasuk Bahasa Melayu. Antara intelektual yg banyak mempengaruhi dan membentuk idea serta pemikiran Fethullah Gülen, seorang ulama Turki yg semakin mengharum namanya di barat ialah Sa'id Nursi, walaupun mereka tidak pernah bersua muka. Adnan Oktar atau lebih terkenal dengan nama penanya Harun Yahya yg cukup hebat mengkritik Darwinisme juga mengaku bahawa dirinya ialah pengikut Nursi. Katanya lagi, "Saya menganggap beliau sebagai seorang yg paling istimewa, muslim paling kuat dan paling tulus di abad ini."



Imam Badiuzzaman Sa'id Nursi rahimahullah dianggap sebagai seorang mujaddid. Di dalam tulisannya, beliau bercerita tentang kisah hidupnya yg berhadapan dengan cabaran dan tribulasi yg tidak henti-henti. Beliau bercerita tentang titik perubahan, pemisah antara dirinya yg lama dengan dirinya yg baru. Sebelum berlaku revolusi dalam pemikirannya, beliau menggelar dirinya sebagai Sa'id al-Qadim (lama) dan setelah itu pula sebagai Sa'id al-Jadid (baru). Sa'id al-Jadid memikul di atas bahunya tanggungjawab menyelamatkan roh ummah setelah penyakit dan wabak yg membunuh iman merebak dengan dahsyat ketika itu.

Sa'id al-Qadim berada dalam keadaan yg sungguh membingungkan. Jalan yg manakah yg harus ditempuhinya? Jalan-jalan yg ada terlalu banyak di hadapannya. Akhirnya, beliau mengambil kitab Futuh al-Ghaib karangan alim besar, Syeikh Abdul Qadir al-Kailani rahimahullah. Beliau membuka kitab itu dengan penuh optimis. Tiba-tiba berlaku satu keajaiban! Beliau mendapati ayat-ayat berikut terbentang di hadapannya:

"Kamu di Dar al-Hikmah, maka carilah tabib untuk merawat hatimu."

Sa'id menceritakan kisah penuh makna itu, "Sungguh mengkagumkan! Sesungguhnya di saat itu aku ialah salah seorang anggota di Dar al-Hikmah al-Islamiyah. Seolah-olah aku telah datang ke situ untuk merawat luka-luka umat Islam, sedang sekarang aku pula yg paling sakit dan tersangat berhajat kepada rawatan berbanding orang lain. Maka terlebih utama bagi pesakit untuk merawat dirinya sendiri sebelum merawat pesakit yg lain. Ya, beginilah Syeikh berbicara denganku, "Kamu sakit... Carilah tabib yg merawatmu!"

"Aku berkata, "Jadilah kamu tabibku wahai Syeikh!"

Satu kebetulan yg amat hebat. Sa'id mulai membaca kitab itu. Beliau berasa seolah-olah Syeikh Abdul Qadir al-Kailani benar-benar bercakap dengannya. Beliau menganggap pengarang kitab menujukan segala tulisan itu kepada dirinya. Begitulah cara Sa'id membaca kitab itu. Sa'id terus meletakkan dirinya sebagai orang yg sedang dibicarakan oleh pengarang kitab sehingga hampir separuh kitab itu dibacanya. Bahasa kitab itu benar-benar tajam, menusuk dan menikam hatinya. Sa'id seolah-olah sedang menjalani satu pembedahan yg sukar dan menderitakan.

Kata Sa'id, "Aku tidak mampu lagi meneruskannya. Aku letakkan kitab di tempatnya. Kemudian setelah beberapa ketika, aku dapat merasakan bahawa kesakitan pembedahan tadi telah pun hilang dan yg menggantikannya ialah kelazatan spiritual yg mengkagumkan."

Lalu, Sa'id kembali meneruskan pembacaannya dan menghabiskannya. Kemudian, beliau mengambil pula kitab Maktubat yg dikarang oleh Imam Ahmad al-Faruqi as-Sirhindi rahimahullah, Mujaddid Kurun ke-12. Dengan penuh optimis, beliau membukanya. Sekali lagi keajaiban berlaku! Di dalam kitab itu, pengarang menyertakan tulisan dua pucuk surat yg tertulis padanya nama 'Mirza Badi'uzzaman'. Maka beliau dapat merasakan penulis surat itu sedang berbicara dengannya bahkan dengan menggunakan namanya!

Kata Said, "Kerana nama bapaku Mirza dan kedua-dua pucuk surat itu ditujukan kepada Mirza Badiuzzaman." Kebetulan itu tidak dibiarkan sekadar itu sahaja bahkan Sa'id seolah-olah mencari kebetulan demi kebetulan dan membayangkan dirinya sedang berinteraksi dengan pengarang, menganggap dirinya sebagai al-mukhatab.

Sa'id al-Qadim akhirnya menghilang dan muncul kembali sebagai Sa'id al-Jadid yg telah berjaya menghasilkan karya tersohornya, Risale-I Nur (Rasail an-Nur - yg bermaksud Risalah-risalah Cahaya). Kehebatan dan keberkatan Risale-I Nur terserlah apabila sebanyak 70 000 naskhah kitab itu telah disalin dengan hanya menggunakan tangan-tangan Tullab an-Nur (gelaran pengikut Sa'id Nursi), gara-gara sekatan untuk mencetak sebarang bahan berunsur Islam atas arahan regim Ataturk ketika itu.



Beliau kembali ke rahmatullah dengan meninggalkan jasa yg cukup besar kepada kebangkitan umat, pada tanggal 25 Ramadhan 1379 Hijrah bersamaan 23 Mac 1960 Masihi. Beliau telah dikebumikan di Urfa, Turki. Tetapi setelah empat bulan kematiannya, pihak kerajaan telah membongkar semula kuburnya lalu memindahkan jasadnya menaiki pesawat menuju ke tempat yg tidak diketahui sehingga kini. Pengaruh Sa'id Nursi cukup besar terhadap masyarakat Islam Turki. Oleh sebab itu, beliau telah dibuang negeri, ketika hidup dan juga ketika matinya.

Ayuh menjadi al-Mukhatab! Bukan sahaja ketika mendengar bahkan juga ketika membaca, sebagaimana perihal Imam Badiu'zzaman Sa'id Nursi rahimahullah. Al-Fatihah untuk beliau!

Saturday, June 26, 2010

40 orang yang membingungkan

25 Jun 2010 mungkin dianggap tarikh keramat dalam sejarah UMNO apabila seramai 40 orang ustaz yg dilaporkan media kebanyakannya masih muda menyerahkan borang UMNO kepada Presidennya Dato' Seri Najib. Tarikh 25 Jun iaitu hari Jumaat mungkin dipilih sempena mengambil keberkatan Sayyidul Ayyam, penghulu segala hari. Islamik sungguh. Berita semalam melaporkan kerajaan tidak jadi keluarkan lesen judi sukan. Ayah saya menyindir. Hebat sungguh ustaz-ustaz muda ini. Baru masuk sebentar, ataupun belum pun masuk, tiba-tiba UMNO, parti komponen yg menerajui kerajaan pusat sudah jadi waras.



Jika ustaz-ustaz tidak menyertai PAS, saya boleh berlapang dada. Tapi jika mereka sertai UMNO, saya rasa sempit dada. Tidak memilih PAS sebagai wadah mungkin boleh terganti dengan memilih jemaah-jemaah Islam seperti Jemaah Tabligh, atau mana-mana NGO Islam. Bahkan bagi saya, lebih baik ustaz bergerak sendirian berbanding memilih UMNO sebagai wadah. Ini kerana sokongan agamawan terhadap UMNO akan terus mengelirukan umat Islam yg jahil dan UMNO akan terus mendapat undi. Justeru, segala bentuk dosa yg telah berlaku akan terus berlaku. Kecuali jika UMNO serius berubah maka PAS bubar. Ubah dasar dan prinsip perjuangan. Kita bersatu atas dasar akidah yg satu. Dan ketika itu kekuatan kita ialah Satu Akidah dan bukan lagi Satu Malaysia. Akidah Islam menghormati akidah-akidah agama lain. Non-muslim tidak perlu bimbang. Lihat sahaja gerombolan non-muslim yg berpusu-pusu menjadi ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS walaupun PAS sudah jelaskan dasar dan prinsipnya secara terang-terangan tanpa berselindung. Mereka perlu tunduk kepada syarat-syarat yg telah diputuskan oleh Majlis Syura Ulama dan mereka sanggup. Non-muslim ini semakin mengenali Islam yg sifatnya membela dan bukan menindas.

Kemasukan ustaz-ustaz ke dalam UMNO cukup membingungkan saya. Adakah mereka sudah fikir dalam-dalam untuk masuk UMNO? Ustaz-ustaz itu mungkin beranggapan merekalah yg mempergunakan UMNO untuk tujuan dakwah tapi saya bimbang yg berlaku ialah sebaliknya. Harapnya mereka tidak dipanggil sekadar untuk membaca doa di awal majlis lalu di pertengahan majlis, maksiat yg mengambil tempat.

Darah yg mengalir di dalam tubuh ini kadang-kadang menyirap dengan tindakan biadap UMNO. Perkataan-perkataan yg pernah dilafazkan oleh pimpinan mereka agak berat dosanya jika ditimbang dengan neraca syara'. Di sinilah peranan ustaz-ustaz di dalam UMNO. Tapi persoalannya, beranikah mereka? Walaupun saya tetap tidak bersetuju dengan kemasukan mereka ke dalam UMNO tapi bukannya mustahil akal mahupun adat yang kita akan melihat perubahan ketara dalam lanskap politik UMNO. Namun, secara jujurnya saya langsung tidak menaruh harapan tinggi kepada UMNO untuk berubah.

Saya masih ingat majlis bersama Dr. Abdullah Mat Zin di Hotel Grand Continental, Kuala Terengganu pada tahun 2005. Beliau ulas tentang gagasan Islam Hadhari, "Tahun 2005, tahun penjelasan. Tahun 2006, tahun pelaksanaan." Kasihan Dr. Abdullah Mat Zin. Beliau tidak diberi ruang yg luas oleh UMNO. Anda berhak menilai sejauh mana keberkesanan Islam Hadhari. Malaysia di tangga ke-10 pengambil arak terbanyak di dunia. Jumlah anak luar nikah semakin meningkat. Kes buang bayi menjadi-jadi. Baca sahaja harian Metro untuk berita-berita lucah.

Sebenarnya masih terlalu awal untuk saya membuat telahan. Saya cuba bersabar untuk melihat perubahan dalam UMNO dengan kemasukan sekumpulan ustaz ini. Ini baru kumpulan pertama, akan ada kumpulan kedua yg menyusul. UMNO janjikan 100 orang. Saya pasti sangat teruja jika ulama' dalam kedua-dua parti, PAS dan UMNO dapat duduk semeja bermuzakarah. Sudah lama PAS menunggu saat ini. Saya tidak mahu lagi menonton debat olok-olok PAS-UMNO yg menampilkan pelakon-pelakon UMNO belaka. Memalukan. Sungguh memalukan. Entah bagaimana video itu boleh terlepas masuk internet dan terjual di pasaran terbuka. Selepas ini harapnya ada debat yg tidak olok-olok atau lebih mesra jika dibuat muzakarah atau munaqasyah, bukan debat. Harapnya kemasukan ustaz-ustaz ini ke dalam UMNO tidak membisukan mereka. Bukankah Nabi pernah bersabda "Sebaik-baik jihad ialah berkata benar di hadapan pemerintah yg zalim." Saya yakin mereka faham benar maksud hadith ini. Status hadith ini sahih. Bahkan syeikh rujukan kebanyakan mereka iaitu Syeikh Al-Albani rahimahullah pun menghukum sahih ke atas hadith ini.




Sejarah membuktikan ulama UMNO lebih banyak mendiamkan diri. Mereka menyepi. Ketokohan mereka tercemar. Nama yg sepatutnya mengharum dalam persada dakwah tiba-tiba membusuk. Kata salah seorang ustaz yg baru dalamUMNO itu, “Kita cukup optimis dengan jaminan pemimpin tertinggi UMNO yang akan memberi ruang seluasnya untuk berdakwah”. Semoga UMNO mengotakan jaminannya. Kita tunggu dan lihat. Hmm, bimbang juga saya terhadap pertembungan kaum muda dan kaum tua dalam UMNO.

Saya harap mereka tidak mengikut jejak langkah Anwar Ibrahim yg kecundang di pertengahan jalan, tersingkir sebelum mencapai kejayaan. Setelah Anwar mengambil keputusan masuk UMNO, ABIM buat resolusi: Penyertaan Anwar ke dalam UMNO tidak syarie. Akibat tidak mengendahkan nasihat, beliau terus berjuang dalam dunia korup itu tapi akhirnya dihalau keluar. Sejarah mungkin berulang. Saya harap saya tidak akan dengar media arus perdana melaporkan Ustaz dot dot dituduh liwat, terlibat dengan skandal seks, rasuah, salahguna kuasa dan pelbagai jenayah lagi. Sangat buruk jika ketika dicekup polis beliau sedang berkuliah di masjid. Berjubah, berserban. Hati-hati dengan permainan UMNO wahai ulama' muda!

p/s: Sekadar membebel. Sudah lama tidak menulis di sini. Nasib baik belum ada sarang labah-labah.

Blog Widget by LinkWithin