Setiap kali masuknya bulan Ramadhan, umat Islam di Malaysia akan dihidangkan dengan beberapa persoalan yg sejak dulu dan sehingga sekarang masih diperdebatkan. Antaranya, apakah hukum berselawat di antara dua rakaat solat sunat Terawih? Adakah ianya bidaah dan haram kerana ia tidak pernah wujud di zaman Rasulullah Sollallahualaihiwasallam dan tiga kurun yg pertama?
Syeikh 'Atiyyah Saqr rahimahullah, Bekas Ketua Lajnah Fatwa al-Azhar di dalam kitabnya al-Fatawa min Ahsan al-Kalam fi al-Fatawa wa al-Ahkam, di halaman 507, ditanya bahawa terdapat jemaah yg berzikir antara dua atau empat rakaat Terawih dan sebahagian menganggap perbuatan itu bidaah yg tidak dibenarkan syarak. Apakah hukumnya di sisi agama?
Beliau menjawab bahawa, "Tiada nas yg melarang berzikir, berdoa atau membaca Al-Quran sebagai pemisah di celah antara setiap dua atau empat rakaat Terawih. Ia termasuk di bawah perintah umum berzikir dalam setiap keadaan. Ulama salaf tidak melakukannya tidak menunjukkan kepada larangan melakukannya, bahkan riwayat bahawa mereka melarang zikir itu tidak boleh dipercayai."
"Pemisah ini (zikir) menyerupai apa yg dilakukan oleh penduduk Mekah (satu ketika dahulu, bukan sekarang) yg bertawaf 7 kali mengelilingi Kaabah antara setiap dua rakaat terawih. Perkara demikian menyebabkan penduduk Madinah menambahkan bilangan solat terawih mereka melebihi 20 rakaat dan tambahan itu sebagai ganti kepada tawaf yg tidak dapat dilakukan. Ia juga merupakan satu cara yg tersusun dan bersistematik, dengan cara ini mereka akan mengetahui bilangan rakaat terawih yg telah dikerjakan. Di samping itu, ia juga menambahkan kecergasan orang yg solat."
"Maka, tidak ada larangan secara mutlak. Dengan sebab itu, ia tidak termasuk di bawah kategori bidaah. Nas-nas yg umum bukan sekadar tidak menentangnya bahkan menyokongnya. Jika dinamakan bidaah sekalipun, maka ia dikira selari dengan kata-kata Sayyiduna Umar bin al-Khattab radiyallahuanhu, "نعمت البدعة هذه" yg bermaksud, "Betapa nikmatnya bidaah ini" setelah melihat berhimpunnya umat Islam ketika itu mengerjakan solat terawih berimamkan Sayyiduna Ubai bin Ka'ab radiyallahuanhu."
Komentar saya: Kepada yg ingin berselawat di celah-celah solat sunat Terawih, jangan beriktikad bahawa ini memang sunnah yg ditunjukkan secara langsung oleh Baginda. Tapi terdapat perintah secara umum untuk berselawat tanpa mengkhususkan waktunya di celah-celah Terawih. Perkara ini harus diperjelas kepada masyarakat agar mereka memahami bahawa selawat di antara Terawih itu bukanlah suatu perkara yg wajib dan haram jika ditinggalkan.
Kepada yg tidak mahu berselawat pada waktu itu janganlah menghukum bidaah kepada amalan ini, ditambah pula dengan alasan ia dilakukan secara berjemaah, secara jahr (nyaring), dengan lafaz dan susunan yg tertentu, berhujah dengan hadith 'كل بدعة ضلالة'. Bukankah hadith ini juga ditemui oleh para ulama' yg lain? Namun kefahaman mereka terhadap hadith itu berbeza dengan kefahaman kamu. Ayuh kita mengamalkan sikap berlapang dada. Kita bantu membantu dalam perkara yg kita sepakati dan kita bertolak ansur dalam perkara yg kita perselisihkan.
Jangan lupa untuk memasukkan slot pengisian ilmu antara Terawih. Jangan buat selepas Terawih, nanti ramai ahli jemaah yg angkat punggung keluar dari masjid. Gunakan kesempatan yg ada untuk membincangkan perkara penting yg diabaikan oleh masyarakat. Bahkan pada awal-awal Ramadhan, boleh gunakan ruang ini untuk memberi kefahaman tentang hukum selawat antara Terawih, adakah ianya sunnah atau bidaah? Di manakah kesilapan yg perlu diperbetulkan. Kemudian, teruskan dengan pengisian-pengisian lain pada malam-malam berikutnya. Tapi slot ini jangan terlalu lama. Saya fikir 15-20 minit sudah mencukupi.
Rujukan:
al-Fatawa min Ahsan al-Kalam fi al-Fatawa wa al-Ahkam, Syeikh 'Atiyyah Saqr