Memandangkan ramai yg terkeliru antara al-Ustaz Sa'id Ramadhan dan Syaikh Muhammad Sa'id Ramadhan al-Buti, maka saya ingin menceritakan serba sedikit tentang peribadi tokoh hebat ini.

al-Ustaz Sa'id Ramadhan rahimahullah (1929-1995M = 1345-1416H)


al-Ustaz Sai'd Ramadhan (Abu Aiman) rahimahullah merupakan seorang ahli pidato dan pendakwah yg berasal dari Tanta, Mesir. Beliau ialah menantu kepada as-Syahid Imam Hasan al-Banna rahimahullah. Imam Hasan al-Banna telah mengahwinkan beliau dengan anak sulungnya. Beliau antara individu paling rapat dengan as-Syahid. Beliau juga merupakan pimpinan gerakan Ikhwanul Muslimin dan mempunyai jasa yg besar dalam perjuangan umat Islam di Palestin. Beliau ialah Setiausaha Peribadi kepada as-Syahid. Beliau ialah bapa kepada Prof Tariq Ramadhan, cendekiawan Islam terkenal dewasa ini.

Beliau ialah seorang pendakwah yg petah, berakhlak mulia, berjiwa tentera tapi mudah mengalirkan air mata, pidatonya mampu membuatkan sidang pendengar menangis. Beliau antara pemuda Ikhwan yg aktif di Kuliyah Huquq, Universiti Kaherah. Beliau juga mengepalai penerbitan Majalah as-Syihab yg diterbitkan secara bulanan oleh as-Syahid Hasan al-Banna pada tahun 1948.


Jangan terkeliru! Ini pula ialah Syaikh Prof Dr. Muhammad Sa'id Ramadhan al-Buti hafizahullah. Seorang ulama besar dari negara Syria. Pengarang kitab Fiqh Sirah yg terkenal.


Jihad di Palestin

Beliau terlibat dalam jihad di Palestin bersama-sama Kataib Ikhwanul Muslimin. Pada tahun 1949, beliau menuju ke Baghdad setelah pulang dari Palestin, setelah pihak Mesir yg bekerjasama dengan penjajah Yahudi merancang untuk menangkapnya. Ikhwanul Muslimin Iraq telah menyambutnya dengan penuh kehormatan sebagai seorang mujahid dan pendakwah Ikhwan. Kerajaan Iraq diminta oleh Mesir supaya menyerahkan beliau ke negara asalnya. Kerajaan Iraq akhirnya bersetuju untuk tidak menyerahkan beliau dengan syarat beliau mesti keluar dari Iraq dalam waktu yg terdekat. Beliau merantau bersama al-Mustasyar Abdullah al-Aqil dari Baghdad ke Basrah dengan menaiki keretapi. Lalu dari Lapangan Terbang Basrah, beliau menaiki kapal terbang ke Pakistan. Mereka ditemani oleh seorang polis bagi memastikan mereka benar-benar berlepas keluar dari Iraq dan tidak tertinggal.

Kerajaan Mesir telah mencabut kewarganegaraannya lalu beliau terus hidup merantau. Raja Arab Saudi ketika itu, al-Malik Faisal telah memberikan kepadanya pasport khas untuk membolehkan beliau bergerak ke mana sahaja.


Sumbangan kepada Dunia Islam

Beliau ialah salah seorang pengasas Rabitah 'Alam Islami di Makkah. Beliau juga Setiausaha Agung al-Muktamar al-Islami lil-Quds. Beliau juga telah mengasaskan al-Markaz al-Islami di Geneva pada tahun 1961. Beliau juga membina markaz di London dan Munich pada tahun 1964. Beliau juga telah menerbitkan Majalah al-Muslimun sebagai ganti kepada Majalah as-Syihab. Antara tokoh-tokoh yg pernah berdampingan dengan beliau ialah as-Syahid Imam Hasan al-Banna, as-Sayyid Abul Hasan an-Nadwi, Abul 'Ala al-Maududi, Dr. Mustafa Sibaie, Dr. Mustafa Zarqa dan Imam Muhammad Abu Zahrah.


Sa'id Ramadhan pada zaman mudanya


Nota an-Nadwi

As-Sayyid Abul Hasan an-Nadwi melalui kitabnya, Muzakkirat Saih fi as-Syarq al-'Arabi menceritakan tentang kehebatan al-Ustaz Sa'id Ramadhan rahimahullah. Setelah mengetahui bencana dahsyat yg melanda dunia Arab ketika itu, pengarang menyusun pertemuannya dengan tokoh-tokoh pejuang di sana khususnya Sa'id Ramadhan. Beliau suarakan hasratnya itu melalui al-Ustaz Soleh 'Ashmawi. Antara yg hadir sama dalam pertemuan itu ialah Syaikh Yusuf al-Qaradhawi, Muhammad ad-Damardash dan al-Mustasyar Abdullah al-'Aqil.

Pada petang esoknya, pengarang menghadiri syarahan Sa'id Ramadhan di Dewan Abdul Hamid Sa'id di Dar as-Syubban al-Muslimin di Kaherah. Syarahannya memakan masa 2 jam. Kehadiran sungguh membanggakan. Syarahan itu sesekali diselang seli dengan laungan takbir dan tahmid oleh audien yg hadir. Pada hari perbicaraannya di mahkamah iaitu 4 Februari 1951, mahkamah telah berubah menjadi dewan syarahannya. Beliau berbicara dengan bersemangat. Suasana mahkamah berubah menjadi suasana masjid. Mereka yg hadir menitiskan air mata mendengar kalamnya yg menusuk hati, mendengar satu demi satu ayat al-Quran dan Hadith yg dilafazkannya. Kata pengarang, "Kami keluar dari mahkamah dalam keadaan terharu dengan apa yg kami lihat dan apa yg kami dengar."


Hidup terbuang

Beliau menghabiskan kebanyakan hidupnya dalam buangan. Beliau juga enggan untuk pulang ke tanah airnya, Mesir setelah melihat pemerintahan negara itu yg bersilih ganti dengan pemerintah taghut. Pada tahun 1958, beliau berhijrah ke Geneva. Beliau memilih untuk hidup di negara barat bersama isterinya, Ummu Aiman dan anak-anaknya. Beliau telah dikurniakan 5 anak lelaki dan seorang anak perempuan. Beliau banyak menghabiskan masanya dengan membaca dan menulis. Beliau telah memperoleh PhD dalam Islamic Law di University of Cologne, Germany.


Kembali ke Rahmatullah

Beliau meninggal dunia pada 5 Ogos 1995. Sebenarnya, beliau bercita-cita untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan al-Baqi' di Madinah tetapi hasratnya ditolak oleh kerajaan Arab Saudi. Beliau akhirnya dikebumikan di tanah airnya, Mesir yg tidak dimasuki sejak 1954. Al-Fatihah!

______________

Rujukan:

Min 'Alam ad-Dakwah wa al-Harakah al-Islamiyyah al-Mu'asirah (ms 288-298), tulisan al-Mustasyar Abdullah al-'Aqil

http://www.ikhwanonline.com/

http://www.ikhwanwiki.com/

Kali pertama saya bertemu beliau ialah ketika Pameran Kitab Antarabangsa di Mesir tahun 2006. Beliau berada di booth Maktabah Darul Salam. Orang ramai mengerumuni beliau. Beliau akan turunkan autograf pada setiap kitab tulisannya yg dibeli oleh pengunjung. Saya beli kitab Fiqh Sirahnya yg terkenal. Melalui kitab ini, beliau telah terpilih sebagai pemenang kategori Anugerah Buku Terbaik di dalam Festival Anugerah al-Mahabba yang berlangsung di Dubai pada tahun 2006 yang lalu. Saya merapati Syaikh. Saya hulurkan tangan untuk bersalam tapi sengaja tidak mengucup tangannya. Lalu, saya serahkan buku saya dan beliau turunkan autograf. Awal-awal lagi saya sudah diingatkan oleh senior bahawa beliau tidak suka tangannya dikucup. Beliau seorang yg tegas. Namun loghat percakapannya lembut, sama seperti orang Syria yg lain. Tutur katanya tersusun indah. Beliau pengarang lebih daripada 60 buah kitab. Beliau ialah Syaikh Prof. Dr. Muhammad Sa'id Ramadhan al-Buti hafizahullah, yg kini berusia 81 tahun.




Dalam sebuah rancangan TV, beliau pernah ditanya oleh pengacara, mengapakah beliau agak tegas melarang orang mengucup tangannya. Lalu beliau menjawab dengan nada yg penuh sayu,

"Demi Allah.. Yang Tiada Tuhan SelainNya.. Aku berasa malu dengan Allah apabila orang mencium tanganku. Kerana aku kenal diriku! Tuhanku bersifat Sittir.. Yang menutup (keburukan).. Aku tahu apa yg aku lalai.. berapa kali aku telah lalai di sisi Tuhanku! Tapi Tuhanku tidak mahu (keadaan) orang terhadapku melainkan sesuatu yg positif. Dia menutup perkara yg lain. Dia sembunyikannya antaraku dan antaraNya. Baiklah, jika seorang manusia datang... melihat perihal zahirku dan tidak pernah ternyata perihal batinku, dia tidak tahu.. tapi Allah tidak tahu?! .... Dan Allah 'azza wajalla melihat, (berkata) "Bukankah kamu buat begini, kamu buat begitu?! ...." Inilah yg menyebabkan aku menghalang orang dari mengucup tanganku.."

Syaikh memejam-mejamkan matanya agar air matanya tidak mengalir.

Kali kedua saya bertemu beliau ialah ketika berkunjung ke Syam, Syria pada tahun 2007. Sampai saja di pintu masjid, saya terkesima. Jumlah yg hadir mendengar pengajiannya selepas Solat Maghrib itu umpama yg hadir Solat Jumaat. Malam itu beliau mengulas kitab Akidah karangannya, Kubra al-Yaqiniyyat al-Kauniyyah. Saya sudah lupa nama masjid itu. Di masjid yg sama, saya hadiri kelas pengajian Sahih Bukhari yg disampaikan oleh Syaikh Muhammad Naim al-'Araqsusi hafizahullah. Saya juga tidak melepaskan peluang berkunjung ke masjid yg dibina oleh Syaikh al-Buti, yg dinamakan sempena nama ayah yg tercinta, Syaikh Mulla Ramadhan al-Buti rahimahullah.

Pada satu pagi, ayahnya mengetuk pintu biliknya. Ketika itu beliau sedang tidur. Kejadian ini berlaku setelah lebih kurang seminggu berlangsung perkahwinannya. Beliau pada asalnya bertegas dengan keputusan masih tidak mahu berkahwin, sehinggalah ayahnya berjaya memujuknya. Beliau redha. Akhirnya beliau berkahwin dengan seorang wanita yg lebih berusia daripadanya beberapa tahun tapi mempunyai kebaikan yg sangat besar.

Setelah mengetuk pintu, ayahnya memanggilnya dengan suara yg tinggi, "Kamu masih tidur! Berita baik yg datang kepadamu ini menuntutmu supaya membelah malam keseluruhannya dengan bersujud bersyukur!!"

Beliau terkejut dari lena lantas keluar bertanya tentang berita gembira yg dimaksudkan. Maka ayahnya berkata, "Aku bermimpi bertemu Nabi pada malam ini. Baginda tampil dan bersama-samanya beberapa orang lelaki yg aku tahu mereka itu ialah sahabat-sahabatnya. Baginda berkata kepadaku, "Kami datang untuk mengucapkan tahniah kepada Sa'id atas perkahwinannya!"

Insya Allah, esok pagi saya akan menuju ke Selangor untuk menghadiri pengajian yg akan disampaikan oleh Syaikh Muhammad Sa'id Ramadhan al-Buti hafizahullah. Mudah-mudahan Allah memberkati. Sudah lama mata saya tidak menatap wajah para ulama' bumi Syam.


p/s: Saya tidak pasti reaksi Syaikh terhadap orang yg mahu mencium tangannya di Malaysia. Mungkinkah beliau akan membiarkan sahaja?!

Blog Widget by LinkWithin