Thursday, January 6, 2011

Kenaikan kuasa tiga

Beberapa kenaikan sedang berlaku dalam kehidupan saya sekarang ini. Yg pertama, kenaikan berat badan. Saya percaya ini gara-gara ibu yg sentiasa memaksa saya makan. Bukankah anak yg soleh itu akan patuh dan taat kepada segala titah perintah ibubapanya selagi tidak bertentangan dengan syarak. Saya belum pernah timbang badan sejak pulang ke Malaysia. Tapi saya dapat tahu berat badan saya bertambah melalui cermin sakti. Katanya, pipi saya sedikit tembam berbanding dahulu. Sekian dahulu kisah kenaikan pertama. Tak boleh panjang-panjang.

Kenaikan kedua ialah kenaikan air di kawasan rumah saya. Ini berlaku disebabkan air laut pasang besar dan hujan lebat yg turun tak henti-henti. Alhamdulillah, saat saya menulis ini hujan sedang reda. Hujan dalam Bahasa Arab disebut المطر atau الغيث. Saya teringat kisah kehebatan seorang tokoh Muktazilah, Abu 'Ali al-Jubbaie rahimahullah ,ayah tiri kepada Imam Ahlus Sunnah, Abu Hasan al-'Asyaari rahimahullah (260H-324H). al-Jubbaie dikatakan tidak mampu menyebut huruf ر dengan betul sedangkan beliau ialah seorang tokoh Muktazilah yg sangat hebat berdebat. Maka untuk mengelakkan dilihat mempunyai kekurangan, beliau mengurangkan semampu mungkin penggunaan kalimah yg mempunyai huruf ر. Jika beliau ingin menyebut satu kalimah tapi ia mempunyai huruf ر, maka beliau akan mencari kalimah seerti baginya, yg tiada padanya huruf ر. Misalnya kalimah المطر yg bermaksud hujan diganti dengan kalimah الغيث yg membawa maksud yg sama. Sehinggakan orang yg mendengar pidatonya tidak mampu mengesan kekurangan yg ada pada pidatonya!


Ramalan cuaca menunjukkan Kuantan akan mengalami hujan sepanjang hari bermula hari ini sehingga lusa. Imam Nawawi rahimahullah di dalam kitabnya al-Azkar, mendatangkan sebuah doa yg dibaca oleh Rasulullah Sollallahualaihiwasallam apabila melihat hujan turun.

اللَّهُمَّ صَيِّباً نَافِعاً

"Ya Allah, jadikanlah ia hujan yg membawa manfaat.." (Riwayat Bukhari)


Apabila hujan turun dengan lebat dan takut akan menyebabkan kemudaratan, maka Baginda mengajar sebuah doa,

اللَّهُمَّ حَوَالَيْنا ولا عَلَيْنا

"Ya Allah, turunkanlah hujan di sekitar kami, bukan ke atas kami (yg membinasakan kami)" (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadith di atas ini menunjukkan adab yg cukup tinggi dalam berdoa. Baginda tidak meminta supaya Allah menghentikan hujan serta merta tetapi meminta supaya hujan diturunkan di kawasan lain yg memerlukannya. Dalam sambungan hadith di atas, Baginda meminta supaya hujan diturunkan di kawasan bukit, lembah dan kawasan yg banyak pohon bertujuan untuk menyuburkan tanahnya.

Ketika tangan saya sedang menaip, kaki saya sedang bermain-main air. Selepas ini mahu sambung kerja menceduk air keluar dari rumah. Sesekali rasa seperti seorang krew kapal yg menceduk air keluar dari kapal yg mahu karam. Banjir di rumah saya tidak teruk. Buktinya, saya masih sempat menulis blog!


Kenaikan ketiga ialah kenaikan harga minyak RON97. Saya memandang kenaikan ini secara serius. Seorang kawan berseloroh, "Kamu baru pakai Suzuki SS tu, belum pakai Suzuki 125.. Itu pun dah mengeluh.." Kenaikan harga minyak tidak boleh dipandang selapis. Kenaikan harga minyak memberi impak besar kepada harga barang dan perkhidmatan lain. Maka difahami bahawa banyak yg akan naik harga. Ini bererti semua orang akan menerima kesan samada yg menggunakan minyak mahupun tidak. Maka, kenaikan harga minyak ialah satu musibah yg bersifat melata. Benar, ia musibah!

Pelbagai alasan diberikan bagi mempertahankan wajarnya kenaikan harga minyak ini. Jika alasan-alasan itu boleh dipakai sekalipun (walaupun banyak hujah yg mempertikaikannya), saya mahu mengatakan ini berlaku akibat tiada keberkatan dalam tanahair. Benar, semuanya berlaku atas sebab-sebab yg Allah ciptakan. Tapi kita perlu melihat dari sudut yg lain iaitu ini merupakan musibah akibat rancaknya kegiatan maksiat, industri judi dan arak di negara ini. Kemunkaran ini seolah-olah tidak tercegah. Maksiat ditaja dengan kelulusan pemerintah. Konsert Adam Lambert, ikon gay yg diadakan di Stadium Bukit Jalil tempoh hari sudah cukup untuk mengundang bala. Saya percaya bahawa tindakan seorang jurutera Melayu Islam yg membuat pengakuan berani dalam Youtube, 'Saya gay, saya OK' beserta angkatannya itu ialah sebagai feedback terhadap restu kerajaan yg membenarkan ikon pujaan mereka menjejakkan kaki ke negara ini. Tindakan ini juga untuk mengumpan sejauh manakah kerajaan dan orang awam melatah dengan mereka. Jika latahnya perlahan, mereka mahu melangkah lebih jauh ke hadapan.

Operasi mencegah maksiat tidak diperkasakan. Jabatan Agama Islam tidak memberikan kerjasama sepenuhnya. Sebelum ini ada seorang ustaz di JAIP yg memberikan kursus kepada para sukarelawan yg melibatkan diri dengan operasi cegah maksiat sehingga melayakkan mereka menerima kad kuasa. Operasi juga dilakukan secara bersama. Namun, tahun ini ustaz itu dipindahkan ke tempat lain. Pelaku maksiat pula semakin mencabar. Ketika mengedarkan risalah berdekatan tapak konsert Red On Black iaitu di Stadium Makmur tempoh hari, seorang gadis mengambil sekeping kertas risalah yg dihulurkan lalu berkata, "Haaa, boleh buat alas duduk!!" Berderau darah saya tapi mujur saya masih mampu mengukir sekuntum senyuman. Minggu lepas, ketika Malam Tahun Baru, kami dapat pangkat "Menyampah!"

Maksiat terus berleluasa tanpa usaha bersungguh untuk menyekatnya. Dari mana mahu datangnya barakah jika segala pintunya sudah ditutup oleh Allah?

Hujan sudah berhenti.

Saya berhenti di sini.

1 comment: