Kami bergerak secara berkumpulan. Kami dinasihatkan supaya tidak melayan sebarang provokasi. Kami diingatkan bahawa kami ialah duta penyelamat dan kasih sayang. Saya pula mengingatkan diri supaya tidak merasa lebih mulia dari mad'u. Dalam al-Mustakhlas fi Tazkiyyat al-Anfus tulisan Syaikh Sa'id Hawwa rahimahullah, ada dinukilkan kata-kata Abu Yazid al-Bustomi rahimahullah,
ما دام العبد يظن أن في الخلق من هو شر منه فهو متكبر
"Selagi mana seseorang hamba menyangka ada makhluk yg lebih buruk daripadanya, maka dia ialah seorang yg takabbur; sombong..."
Kami tiba di TC. Kawasan yg luas itu dibahagi-bahagikan dan semua diarahkan bergerak berkumpulan. Kami dekati sepasang kekasih. Si lelaki berkata ,"Perempuan di sebelah ini isterinya.." Wallahu'alam. Jika dia menipu, maka dia tambah dosanya. Kami berbual pendek, hulurkan risalah dan beredar. Kami bukan budak kecil yg mudah ditipu. Tapi kami tak mahu penipuannya melarat. Kami juga tiada kuasa untuk soal siasat.
Seterusnya, kami mendapati seorang gadis duduk atas peha kekasihnya. Salah seorang daripada kami merapati mereka, minta izin untuk bercakap seminit dua sambil menghulurkan sehelai risalah. Apabila ditanya mengenai valentine, dijawabnya, "Saya tak sambut valentine.." Saya bermonolog, "Tak sambut valentine, tapi si gadis sudah rela duduk atas peha, kalau sambut?"
Kami terus berjalan. Susah juga mahu panjat batu besar. Tapi ada dua pasangan di atasnya. Pandai betul mereka memanjat. Kawan kami hulurkan risalah, nasihat supaya bubar lalu kami beredar. Apabila berpatah balik, kami dapati mereka masih di situ. Mereka tahu kami cuma orang biasa, tiada kad kuasa. Lalu, beberapa pegawai dari Pejabat Agama menuju ke sana. Hah, siap la mereka kena denda. Takutnya! Kena denda! Tentu mereka serik.
Sepasang kekasih duduk rapat-rapat atas batu besar. Kami menegur. Si gadis berkata, ibunya ada memerhati di belakang. Apabila disoal, ternyata memang itu ibunya. Oh ibu, kau di pintu neraka. Ayuh kita taubat. Ada cadangan mahu selam makcik itu ke dalam Laut China Selatan tapi cadangan itu ditolak sebulat suara.
Di dalam sebuah pondok, terlihat kelibat dua orang manusia. Seorang rakan pergi kepada mereka manakala yg lain tunggu di belakang. Kami diingatkan supaya jangan melingkungi mereka seperti samseng. Kami bukan mahu memukul. Kami hanya mahu menjentik hati. Apabila didekati, si lelaki segera mengalihkan tangannya dari bahu si gadis. Apabila disoal siapa gadis di sebelah, dia pula menyoal si gadis. Si gadis membisu. Oh, mungkin mereka lupa mereka tiada sebarang hubungan pun sebenarnya. Setelah berpatah balik, mereka sudah tiada. Mungkin terus pulang ke rumah masing-masing.
Kami juga tertipu dengan penampilan luaran sesetengah orang. Seorang brader yg kelihatan rock dengan mudah menerima risalah yg dihulurkan sambil mengucapkan terima kasih dan mengukirkan senyuman. Seorang brader yg berwajah skema pula hanya memandang dengan ekor mata dan berwajah masam. Walaupun kami tidak berkopiah, kami tetap dikenali. Mungkin kerana sejemput janggut pada dagu kami dan kertas-kertas pada tangan kami. Maka apabila melintas di hadapan sekumpulan anak gadis Melayu, ada di kalangan mereka yg bertakbir raya 'menyambut' kami. Sakitnya hati hanya Allah Yg Maha Tahu.
Sekian.