Saya menyahut permintaan daripada komen terhadap siri-siri artikel Adab-Adab Ikhtilaf. Iaitu berkenaan penggunaan istilah-istilah yg kurang difahami oleh mereka yg tidak berpeluang mempelajari ilmu agama secara lebih mendalam. Istilah-istilah yg digunakan ialah istilah-istilah dalam ilmu Usul Fiqh. Saya hanya akan menjelaskan secara ringkas. Saya akan memulakan dengan istilah-istilah berkaitan Nas. Nas yg saya maksudkan di sini ialah teks-teks syara' samada Al-Quran atau Hadith.


قطعية الثبوت (Qot'ie Thubut) : Bermakna sumber sesebuah nas itu ialah qot'ie (pasti). Iaitu nas tersebut diriwayatkan oleh golongan sahabat daripada Rasulullah secara mutawatir, lalu golongan tabiin meriwayatkan nas tersebut daripada golongan sahabat secara mutawatir. Dan golongan Tabi' Tabiin meriwayatkan nas tersebut daripada golongan Tabiin secara mutawatir ... sehinggalah sampai kepada kita. Mutawatir ialah 'Periwayatan yg berlaku pada setiap peringkat oleh sejumlah manusia yg mustahil berlakunya persepakatan mereka untuk berdusta.'

Nas yg bersifat قطعية الثبوت ialah Al-Quran dan Hadith Mutawatir.

Lawan kepada قطعية الثبوت ialah ظنية الثبوت

____________

ظنية الثبوت (Dzonni Thubut) : Bermakna sumber sesebuah nas itu dzonni (tidak qot'ie). Iaitu nas tersebut diriwayatkan daripada Rasulullah tidak secara mutawatir. Nas yg bersifat ظنية الثبوت (Dzonni Thubut) ialah Hadith-hadith selain Hadith Mutawatir. Al-Quran secara keseluruhannya tidak bersifat ظنية الثبوت (Dzonni Thubut) kerana seluruh Al-Quran diriwayatkan secara mutawatir.

Kedua-dua jenis nas di atas masing-masing bersifat pula dengan قطعية الدلالة (Qot'ie Dilalah) danظنية الدلالة (Dzonni Dilalah). Jadi ada empat bahagian,

1- Qot'ie Thubut yg bersifat Qot'ie Dilalah
2- Qot'ie Thubut yg bersifat dengan Dzonni Dilalah
3- Dzonni Thubut yg bersifat Qot'ie Dilalah
4- Dzonni Thubut yg bersifat Dzonni Dilalah

1-
قطعية الدلالة (Qot'ie Dilalah) : Makna yg ditunjukkan oleh sesebuah nas itu ialah hanya satu makna yg pasti yg tidak mengandungi tafsiran atau makna lain. Sebahagian ayat Al-Quran dan sebahagian hadith bersifat dengan قطعية الدلالة (Qot'ie Dilalah).

Contoh bagi قطعية الدلالة :

Ayat Al-Quran,
إنَّ اللهَ لا يغفرُ أن يُشركَ به ويغفر ما دون ذلك لمن يشاء
Maksudnya: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan sesiapa yg mensyirikkannya dan Allah boleh mengampunkan dosa-dosa yg lebih rendah daripada syirik, bagi sesiapa yg Dia kehendaki" Surah An-Nisa' ayat 48.

Makna yg ditunjukkan oleh ayat ini ialah haramnya mensyirikkan Allah.

___________

2-
ظنية الدلالة (Dzonni Dilalah) : Makna yg ditunjukkan oleh sesebuah nas ialah makna yg tidak pasti dan mengandungi beberapa tafsiran. Oleh kerana itu, wujud khilaf (perselisihan) di kalangan ulama dalam mentafsirkan nas yg bersifat ظنية الدلالة (Dzonni Dilalah). Sebahagian ayat Al-Quran dan sebahagian Hadith bersifat dengan ظنية الدلالة (Dzonni Dilalah).

Contoh bagi ظنية الدلالة :

Ayat Al-Quran,
وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ ثَلاثَةَ قُرُوءٍ
Maksudnya: "Dan isteri-isteri yg diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali Quru'." Surah Al-Baqarah, ayat 228.

Dalam ayat ini, terdapat lafaz quru'. Lafaz quru' mempunyai dua makna iaitu makna suci dan makna haid. Jadi ayat ini tidak menunjukkan satu makna yg pasti tetapi beberapa makna. Sebahagian ulama mengatakan dengan makna suci dan sebahagian yg lain dengan makna haid.


Saya hanya akan menghuraikan istilah-istilah rumit yg saya gunakan di dalam artikel sebelum ini sahaja. Berat juga rupanya hendak menghuraikan dan menterjemahkan istilah-istilah ini ke dalam bahasa yg lebih mudah. Penulisan ilmiah memang amat meletihkan berbanding penulisan kreatif. Akan datang, perbezaan antara khilaf dan ikhtilaf...

Rujukan: Al-Wajiz fi Usul Fiqh karangan Dr. Wahbah Az-Zuhaili

4 comments:

Anonymous said...

tenkiu ustaz fahmi..robbina yusahhil.amin

Anonymous said...

jazakumullah...ustaz fahmi

Hares Takeery said...

ust fahmi best..

kembara said...

baarakallahu fiik..

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin