Saturday, January 30, 2010

Pindah rumah lagi!

Tahun ini masuk tahun kelima saya menetap di Mesir. Selama 5 tahun di Mesir, sebanyak 5 buah rumah yg pernah saya duduki. Seminggu lagi saya akan pulang ke Malaysia tapi masih setia dengan gaya masyarakat badwi yg asyik berpindah randah :)

1-Rumah Terengganu
2-Rumah Pahang (menumpang sementara Rumah Terengganu diperbaiki)
3-Rumah Sewa 700
4-Baitul Hikmah
5-Bait Nawwar @ Rumah Pak Abu



Jazakumullah kepada semua yg membantu. Sabda Rasulullah Sollallahualaihiwasallam, "Sebaik-baik manusia ialah yg memberikan manfaat kepada manusia." Para ulama menyatakan bahawa ibadah yg bersifat muta'addiyah (melampau manfaatnya kepada orang lain) lebih afdhal berbanding ibadah yg bersifat qasirah (manfaat terhad untuk dirinya sahaja).


Friday, January 29, 2010

Kamu hanya menyangka, tapi saya yakin

Saya kenal sungguh diri saya yg lemah dan sering lalai. Saya tidak mahu tertipu dengan pujian dan sanjungan palsu daripada lidah manusia yg tidak bertulang. Apa yg kamu tahu tentang diri saya hanyalah pada zahir yg masih Allah pelihara. Kamu mengenali saya bukan atas dasar keyakinan tapi hanya dzon atau sangkaan semata. Saya pula mengenali diri sendiri dengan keyakinan yg nyata. Orang yg berakal tidak akan meninggalkan keyakinan yg ada padanya hanya semata-mata kerana dzon atau sangkaan yg ada pada orang lain. Maka, bodohlah saya jika percayakan kamu tetapi tidak percayakan diri sendiri. Saya tertarik dengan hikam Imam Ibnu 'Athaillah As-Sakandari rahimahullah yg berbunyi,

"Manusia-manusia memujimu kerana apa yg mereka sangka ada padamu, maka jadilah engkau pula mengeji dirimu kerana apa yg memang engkau tahu mengenainya."

Syarah Ibnu 'Abbad merupakan syarah Al-Hikam Al-'Athaiyah yg pertama


Apabila anda dipuji, maka berdoalah juga sebagaimana Sayyiduna Abu Bakar As-Siddiq radiyallahuanhu yg berdoa,

اللّهم أنت أعلم بي من نفسي وأنا أعلم بنفسي منهم. اللّهم اجعلني خيراً مما يظنون واغفر لي ما لا يعلمون ولا تؤاخذني بما يقولون

"Ya Allah, Engkau lebih mengetahui keadaan diriku berbanding diriku, dan aku lebih mengetahui keadaan diriku berbanding mereka. Ya Allah, jadikanlah aku lebih baik daripada apa yg mereka sangka, dan ampunilah aku pada perkara yg mereka tidak ketahui, dan janganlah menghukumku dengan apa yg mereka katakan."

Allah mencela orang yg suka dipuji dengan apa yg tidak mereka lakukan. Firman Allah di dalam Surah Aal Imran, ayat 188,


"Jangan sekali-kali engkau menyangka (Wahai Muhammad, bahawa) orang-orang yang bergembira dengan apa yang mereka telah lakukan, dan mereka pula suka dipuji dengan apa yang mereka tidak lakukan - jangan sekali-kali engkau menyangka mereka akan terselamat dari seksa, dan mereka pula akan beroleh azab yang tidak terperi sakitnya."

Jelas, bahawa orang sebegini tertipu dengan dirinya. Bagaimanakah dia boleh berbangga sedangkan dia tidak melakukan apa-apa?! Dipuji jauh lebih berbahaya daripada dikeji. Jika dikeji, kita akan berasa malu, hina dan mula memeriksa diri. Tapi jika dipuji, kita akan berasa hebat, bangga dan mula membesarkan diri. Kepada kawan-kawan yg ditegur atau dikeji, anda wajib bersyukur dengan teguran dan kejian yg zahirnya memang pedih namun tersirat di sebaliknya nikmat yg besar untuk diri.

Walaubagaimanapun, terima kasih kepada semua yg berbaik sangka dengan saya. Pesan Habib Abdullah bin Shihab hafizahullah yg terlalu kerap disebut dalam tazkirah-tazkirah yg disampaikannya, "Bersangka baik dengan Allah dan bersangka baik dengan hamba-hamba Allah." Jazakumullah atas husnu dzon kamu semua. Betapa mulianya Allah yg menutup keaiban yg ada pada diri manusia. Segala puji bagi Allah yg tidak menciptakan dosa itu berbau busuk secara zahirnya. Jika tidak, sudah tentu manusia mahupun binatang tidak mahu lagi mendekati si hina ini. Syukur kepadaMu ya Allah, yg masih menutup keburukan-keburukan hambaNya. Ya Allah, tutupkanlah keburukan-keburukan kami di akhirat kelak. Amiiinnn.

Terima kasih juga kepada kawan-kawan yg menutup keaiban diri ini. Rasulullah Sollallahualaihiwasallam menjanjikan ganjaran istimewa kepada muslim yg menutup keaiban saudaranya. "Sesiapa yg menutup keaiban seseorang muslim, maka Allah akan menutup keaibannya pada hari kiamat." Riwayat Bukhari dan Muslim.

Salman Al-Farisi radiyallahuanhu pernah berkata, "Perumpamaan dua orang saudara yg beriman, umpama dua tangan yg saling membersihkan antara satu sama lain."



p/s: Saya mula mencari-cari maksud hikam di atas apabila mendengar kalam Syeikh Yusuf Al-Qaradawi hafizahullah ketika di Majlis Multaqa Al-Imam Al-Qaradawi yg dianjurkan khas untuk meraikan beliau. Setelah menerima penghargaan dan pujian, beliau berucap dan menyebut hikam di atas. Di dalam majlis itu, beliau menangis.

Alhamdulillah, takdir Allah menghantar Ust Suhaimi Daud ke sini. Bolehlah saya mempelajari hikam daripada guru yg pakar kitab Hikam ini.



Tuesday, January 26, 2010

Jangan jadi serangga perosak

Maka saya menyeru kepada akhawat, janganlah 'merosakkan' ikhwah. Begitu juga dengan ikhwah, janganlah 'merosakkan' akhawat. Saya mulakan dengan menyebut akhawat kerana menuruti Al-Quran. Apabila Allah berbicara tentang maksiat zina, Allah menyebut wanita terlebih dahulu kemudian menyebut lelaki. Ini kerana fitnah daripada wanita jauh lebih merbahaya berbanding lelaki. Fitnah pertama yg menimpa Bani Israel juga ialah fitnah wanita.

Kepada ikhwah dan akhawat, mainkan peranan masing-masing. Janganlah menjadi serangga perosak kepada pokok yg sedang membesar. Jangan bimbang akan jodohmu. Segalanya di dalam jaminan Allah, Tuhan Sebaik-baik Pemberi Jaminan.

Ibnu 'Athaillah As-Sakandari rahimahullah menyebut di dalam Hikamnya,

[1]

Artinya: Bersungguh-sungguh engkau pada barang [perkara] yang telah diakui [Allah] bagimu daripada rezeki dan taqsir [lalai, tidak ambil berat] engkau pada barang yang telah dituntut [Allah – yakni perkara yang ditakhlif oleh Allah keatas hambaNYA iaitu mengenalNya dan mengabdikan diri kepadaNya] daripadamu daripada ibadat menunjukkan atas ketiadaan yaqinmu dan hapus [nur] mata hatimu daripadamu.

~Terjemahan Tok Ku Pulau Manis rahimahullah. Sumber: http://al-fanshuri.blogspot.com/


Tazkirah pendek daripada saya, yang lemah tiada daya, yg terdedah kepada pelbagai maksiat dan noda, yg banyak berdosa. Ya Allah, Kau kurniakanlah kepadaku kesihatan ruh dan jasad. Amiiinnn.

Tazkirah ini bukan menafikan perlunya usaha mencari jodoh tetapi menafikan usaha itu sebelum tiba masanya apatah lagi untuk bersuka-suka.


Nota kaki:
[1] Terdapat kesilapan pada matan hikam di atas. Iaitu pada lafaz فيمن sepatutnya فيما

Sunday, January 24, 2010

Manfaat daripada non-muslim. Bolehkah?

Sesetengah orang terlalu jumud dengan pegangan mereka. Sesetengah lagi terlalu terbuka sehingga menjejaskan prinsip. Sikap tidak mahu mengambil manfaat daripada non-muslim ialah sikap yg merugikan. Ada yg berhujah, jangan menyerupai atau tasyabbuh dengan mereka. Ini kerana terdapat hadith yg melarangnya,
"Sesiapa yg menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka." Riwayat Abu Daud.

Namun, kita sepatutnya memahami dengan pemahaman yg sebenar, adakah mengambil kebaikan daripada orang kafir itu dikira tasyabbuh yg dicela syarak? Maka, bezakan antara mengambil manfaat daripada mereka dengan tasyabbuh dengan mereka. Jauh sekali perbezaannya. Kesilapan dalam memahami maksud hadith ini menyebabkan seseorang akan ketinggalan jauh di belakang. Janganlah kerana terlalu bencikan barat, maka kita abaikan segala manfaat yg boleh diambil daripada mereka.

Dalam Sunan Tirmizi dan Ibnu Majah terdapat hadith yg berbunyi,

"Hikmah itu laksana barang tercicir kepunyaan orang beriman, di mana dia menemuinya, dialah yang paling berhak mengambilnya."

Kesilapan dalam memahami hadith di atas juga bakal menjerumuskan seseorang ke lembah kesesatan dan kekufuran. Adakah kita boleh mengambil manfaat daripada non-muslim secara mutlak? Saya tertarik dengan ulasan Habib Ali Al-Jifri hafizahullah mengenai perbezaan antara mengambil faedah daripada non-muslim dan menyerupai atau tasyabbuh dengan mereka. Kita hendaklah terlebih dahulu melihat kepada apa yg ingin kita ambil daripada non-muslim. Adakah ianya dicela oleh syarak atau tidak? Jika ia tidak dicela syarak, maka ambil faedah daripadanya dan ini dikira beramal dengan hadith di atas. Jika sebahagian juzuknya dicela syarak manakala sebahagian juzuk lagi tidak, maka ambil faedah daripada juzuk yg tidak dicela sahaja lalu tinggalkan juzuk yg dicela. Sifirnya mudah sekali.

Ilmu mantik misalnya telah diislamkan oleh para ulama kita. Ilmu mantik telah dibersihkan daripada segala unsur kekufuran dan akhirnya menjadi antara silibus penting pengajian di Al-Azhar sehingga ke hari ini. Imam Ghazali dan Imam Fakhruddin Ar-Razi rahimahumallah menganggap bahawa hukum mempelajari ilmu mantik ialah fardhu kifayah dan ianya bertujuan untuk mendirikan dalil-dalil secara akli untuk membela akidah Islam sekaligus menolak syubuhat yg dilontarkan oleh musuh-musuh Islam. Manakala sebahagian ulama seperti Imam Ibnu Solah dan muridnya, Imam Nawawi rahimahumallah mengharamkan ilmu mantik hanya apabila ilmu mantik bercampur baur dengan kalam ahli falsafah yg sesat. Maka ilmu mantik yg telah suci daripada najis falsafah sesat tidaklah dilarang untuk mempelajarinya bahkan ianya termasuk dalam fardhu kifayah. Wallahu'alam. Hmmm, baru-baru ini saya terbaca komen seorang kawan yg menghentam ilmu mantik. Cukuplah menhentam ilmu mantik wahai saudara. Jangan jadi seperti anjing yg menyalak bukit.

Teori bahawa 'Kita perlu mengambil segala yg dilaksanakan barat' dengan hujah bahawa mereka telah mencapai kemajuan dan kemodenan, maka kita perlu meniru mereka secara total ialah teori yg amatlah menyesatkan. Teori inilah yg digunapakai oleh Ataturk dalam usaha memodenkan Turki setelah meruntuhkan institusi khilafah satu ketika dahulu. Si bedebah ini beranggapan Islam dan kemodenan ialah dua perkara yg saling bertentangan dan tidak boleh bersama. Ajaran Islam kononnya dilihat sebagai tidak selari dengan kemajuan dan kemodenan. Teori sesat ini masih dianuti oleh golongan muslim sekular di Turki pada hadir ini. Kekaguman mereka terhadap Ataturk masih di tahap yg tinggi. Ini jelas dilihat pada duit syiling Turki yg masih lagi terukir wajah Ataturk yg diwarwarkan sebagai Bapa Kemodenan Turki. Hakikatnya, si bedebah Ataturk dan penyembah ideologi sekular di Turki memang buta sejarah atau buat-buat buta sejarah. Lupakah mereka bahawa Islam terlebih dahulu merintis keilmuan dan kemodenan yg kemudiannya hanya diteruskan sahaja oleh barat. Barat bukanlah perintis, tapi hanya penerus. Oh ya, sila fahami bahawa saya mengkritik barat bukan kerana geografinya. Islam tiada masalah dengan geografi.

Islam semakin berkembang di barat.

Sebagaimana kita tidak menerima apa yg dibawa oleh barat secara mutlak, kita juga tidak menolaknya secara mutlak. Hujah bahawa barat ialah musuh Islam maka kita diharamkan mengambil apa sahaja yg dibawa barat merupakan hujah yg tidak berasas sama sekali. Saya masih ingat kalam Habib Umar hafizahullah yg pernah menyifatkan bahawa media elektronik yg asalnya digunakan oleh barat sebagai هادم (pembinasa) yg merosakkan umat Islam hendaklah ditukar peranannya kepada خادم (hamba) kepada umat Islam. Umat Islam perlu menjadikan kemodenan dan teknologi sebagai hamba untuk menyebarkan dakwah Islam ke seluruh pelusuk dunia. Senjata yg digunakan oleh barat untuk menyerang kita perlu dimanipulasi untuk digunakan bagi menyerang balas.

Saya kagum dengan Tuan Guru Haji Abdul Hadi hafizahullah yg telah menguasai ilmu IT sejak lebih 20 tahun yg lalu. Bahkan dari sudut penggunaan komputer atau laptop, beliau ialah seorang heavy user. Baca di sini. Alhamdulillah, sekarang kebanyakan ulama telah mempunyai laman web peribadi walaupun mungkin bukan mereka sendiri yg menguruskannya. Sekurang-kurangnya ilmu-ilmu mereka boleh berlegar-legar di alam siber setelah lama bertapak di alam maya. Himpunan kitab, artikel, audio dan video para ulama juga semakin membanjiri alam siber.

Berpegang dengan prinsip tetapi jangan sehingga jadi jumud. Berfikiran terbuka tapi jangan sehingga keluar dari orbit Islam.

~Faedah daripada cerita kartun animasi Naruto: Jiraiya menasihati Naruto, "Ninja yg sebenar bukanlah yg mempunyai banyak ilmu dan kemahiran semata-mata tetapi ninja yg sebenar ialah yg tidak berputus asa." Saya kira ini juga sikap sebenar seorang penuntut ilmu. Jangan berputus asa.

p/s: Saya bukanlah penggemar Naruto. Maka, saya minta maaf jika tersalah dalam menukilkan kalam Jiraiya.


Rujukan:

Muqawwimat Ad-Daieyah, ringkasan pengajian Al-Fikr Ad-Da'wi oleh Habib Ali Al-Jifri
Syarah As-Sulam fil Mantik karangan Syeikh Abdul Rahim Farj Al-Jundi

Sunday, January 10, 2010

Dunia oh dunia

Malaysia yg dikuasai media=yg dikuasai UMNO

Di Malaysia, isu hangat kehilangan 2 buah enjin jet di Kementerian Pertahanan semakin kurang diperkatakan gara-gara masyarakat disajikan oleh media dengan isu kalimah Allah yg ingin digunakan oleh pihak gereja. Saya yakin semua tahu, tidak perlu ulasan panjang. Kuasa media memang hebat. Cerita enjin pesawat hilang yg menggemparkan negara tiba-tiba diganti dengan cerita penyalahgunaan kalimah Allah. Saya tidak menafikan kehangatan isu kalimah Allah, saya cuma mengkagumi kehebatan kuasa media di Malaysia. Masyarakat hampir lupa, bagaimana 2 buah enjin jet boleh lesap di kawasan Kementerian Pertahanan??? Saya tidak mahu ulas isu kalimah Allah. Sudah ramai yg berbicara tentangnya sehinggakan yg jahil pun mahu bersuara. Maka, suara mereka penuh emosional dan jauh dari landasan ilmu sehingga ada yg menghina agama lain.

Jangan lupa, di Malaysia isu hina agama Islam bermula dari orang Islam sendiri. Jika si celaka Salman Rushdie masyhur di mata dunia sebagai penghina Islam kelas pertama, maka di Malaysia kita juga ada wakilnya. Mudah-mudahan beliau telah sedar. Saya bersangka baik kerana saya sempat menjenguk blog beliau yg mengulas tentang Ahlus Sunnah wal Jamaah.

Jangan lupa orang Islam juga mengajar non-muslim untuk kurang ajar dengan agama Islam. Isu heret kepala lembu di Selangor sebenarnya boleh mengancam keselamatan negara. Siapakah yg menganjurkan perhimpunan haram ini ya? Mereka sepatutnya dibawa ke kandang mahkamah. Ya Allah, saya tidak mahu tragedi 13 Mei 1969 kembali berulang. Jika anda menuduh Kristian menghina agama Islam melalui kalimah Allah, maka apa jawapan anda jika Hindu mempersoalkan tindakan anda yg mengheret kepala tuhan suci mereka? Ada pula yg berlagak genius mentakwil bahawa kepala lempu yg dibawa sebagai simbolik kepada kebodohan macam lembu pihak kerajaan Negeri Selangor. Usah berdalih, kepala lembu itu dibawa kes kuil hindu. Kalau sekadar nak berkata bodoh, tulis sahaja di kain rentang. Maka, berfikir sebelum bertindak wahai saudara!

Isu kalimah Allah menyebabkan beberapa gereja di ibu negara dibom dan yg terbaru di Taiping, Perak. Si pelakunya wajib diambil tindakan. Sebagai balasan tindakan tolol itu, sebuah surau di Taman Menara Waju dibaling batu. Lihatlah kesan tindakan bodoh akibat bakar gereja. Walaubagaimanapun, pihak polis nasihat agar jangan kaitkan insiden ini dengan insiden bom api yg dilempar ke gereja. Jangan hingga kepala bab* pula diletakkan di surau seperti yg berlaku di surau UM!


Provokasi... provokasi. Itu yg terlintas di hati saya. Dalam cerita bakar gereja ini, Pak Najib mahu pegang watak hero. Skripnya, "Kalau polis dapat cari siapa yang melakukan perkara ini, kita akan hukum dia dengan adil dan saksama".(berita harian) Saya harap isu Altantuya juga begitu. Namun, Pak Najib hanya menafikan, langsung terlepas. Isu bahan letupan C4 yg dikeluarkan juga masih misteri. Terkini, isu 2 enjin jet hilang. Semua isu yg disebut berkait dengan Kementerian Pertahanan ketika masih dipegang oleh Pak Najib. Bersih sungguh rekod Pak Najib. Hmmm, sepatutnya skrip yg sama dibaca oleh Pak Najib dalam isu ini, tapi mengapa tidak dibaca ya?! Biarlah saya sahaja yg baca, "Kalau polis dapat cari siapa yang melakukan perkara ini, kita akan hukum dia dengan adil dan saksama."


Tembok Mesir-Palestin, Viva Palestin, Fiqh Al-Jihad

Dr. Yusuf Al-Qaradawi, Presiden Persatuan Ulama Sedunia menyatakan haram hukumnya membina tembok keluli yg memisahkan dua negara itu. Palestin bukan sahaja dikepung oleh Israel bahkan juga Mesir. Di dalam sebuah hadith, "Masuk neraka seorang wanita disebabkan kucing yg dikurungnya." Riwayat Bukhari dan Muslim.


Jika seekor kucing yg tidak berakal dikurung dan mati akibat tidak makan dan minum pun dibela oleh Allah lalu mengazab pelakunya, maka bagaimanakah pula dengan umat Islam di Palestin yg berjuang membebaskan bumi Mikraj dari penjajahan Zionis? Mereka terpenjara. Bekalan makanan, minuman dan ubat-ubatan amat terhad. Akibatnya, penduduk Palestin terpaksa menyeludup makanan dari Mesir melalui terowong bawah tanah. Mengapa perlu seludup? Kerana urusan di sempadan teramat ketat dan menyusahkan. Bahkan selepas Gaza diserang dengan dahsyat tahun lepas, bekalan makanan, minuman dan ubat-ubatan masih sukar untuk dibenar masuk dan urusan di sempadan amat menyakitkan hati. Hanya bekalan tertentu dibenar masuk. Apa motif dan alasan pihak kerajaan Mesir bertindak menyusahkan urusan kemasukan misi bantuan ini? Natijahnya, penduduk Palestin terpaksa melanggar undang-undang Mesir lalu melakukan operasi seludup.

Sebahagian mendakwa pihak Mesir berhak membina tembok keluli sedalam 30 meter, sepanjang lebih 1 kilometer itu, kerana sesiapa yg ingin masuk ke negara lain perlu meminta izin terlebih dahulu. Benar, itulah kepentingan imigresen di setiap negara tapi adakah imigresen Mesir memberikan kemudahan untuk melepasi sempadan Mesir? Dan jika benar tembok itu sekadar untuk memelihara Mesir daripada diceroboh, maka mengapa pula bantuan misi kemanusiaan Viva Palestin disekat-sekat bahkan baru-baru ini sahaja dilepaskan masuk? Mengapa tidak diberikan kebebasan kepada misi-misi sebegini? Lebih teruk lagi, Pakcik Galloway yg bersungguh membawa bantuan pula ditangkap dan dipaksa terbang pulang ke Britain. Pakcik Galloway itu bukannya muslim. Saya terharu dan sungguh malu. Mudah-mudahan Allah memberikan hidayah kepada mereka yg membantu umat Islam Palestin. Amiiinnn.

Mesir mengarahkan imam-imam masjid mengajar kitab Fiqh Al-Jihad karangan Dr. Al-Qaradawi bagi memberikan gambaran yg sebenar tentang jihad kepada masyarakat. Kerajaan Mesir menyuruh rakyat berjihad dengan kefahaman sebenar, tapi apa yg berlaku sekarang adakah lahir dari kefahaman jihad yg sebenar. Huh! Dr. Al-Qaradawi telah dihukum keluar dari Mesir gara-gara keterlibatannya dengan Ikhwan Muslimin satu masa dahulu sehingga melambatkannya menyelesaikan pengajian peringkat PhD-nya. Setahu saya hukuman itu masih berkuat kuasa. Tapi kini, ilmu dan fikrah Dr. Al-Qaradawi dijemput masuk secara terhormat ke dalam negaranya biarpun jasadnya masih dibuang keluar negara.

Menurut Dr. Al-Qaradawi, tujuan beliau menulis kitab itu ialah untuk membetulkan kefahaman orang yg keliru dan salah faham tentang jihad. Tentang isu Hamas yg menyerang sebuah kumpulan Islam, Jundu Ansarillah di Masjid Ibnu Taimiyah di Gaza, Dr. Al-Qaradawi menyatakan kebenaran berada di sebelah Hamas dan menyatakan pendiriannya bersama Hamas. Beliau juga berkata, "Untuk orang-orang seperti mereka (merujuk kepada anggota Jundu Ansarillah), kami menulis Fiqh Al-Jihad..." Kumpulan berfahaman salafi ini mengisytiharkan daulah Islamiah di wilayah Gaza dan menolak kerajaan syar'ie yg dipimpin Hamas. Rundingan demi rundingan tidak membuahkan hasil yg baik sehingga akhirnya terpaksa membawa kepada pertumpahan darah.

~Saya belum beli lagi kitab Fiqh Al-Jihad. Saya mahu beli sebelum pesta buku, takut tak sempat, habis stok.


Isu niqab di Mesir, isu hijab di Perancis

Di sebuah universiti di Mesir, pelajar muslimat dihalang memakai niqab memasuki dewan periksa. Maka, kira-kira 200 pelajar muslimah memakai mask untuk menggantikan niqab. Mereka beralasan memakainya kerana H1N1. Bijak! Saya fikir fatwa Syeikh Tantawi disalahguna oleh pihak tertentu untuk halang pemakaian niqab. Jika sebelum ini memang wujud kes penipuan semasa peperiksaan akibat memakai niqab maka ketatkanlah pengawasan. Periksa identiti di pintu masuk universiti dan kawasan-kawasan yg perlu. Nak seribu daya, tak nak setrillion dalih. Mengaku sahaja anda memang anti Islam wahai pendukung-pendukung liberal Mesir. Jika di Perancis, apabila diharamkan pemakaian hijab, muslimat berhelah dengan menggunakan rambut palsu atau memakai bandana demi menutup aurat mereka sekadar kemampuan. Terkini, kerajaan pimpinan Sarkozy ingin mengenakan denda 750 Euro kepada wanita muslimah yg memakai hijab di tempat awam. Kata mereka, undang-undang ini dikuatkuasakan untuk menghormati hak-hak wanita dan menjaga keselamatan awam?!


Saya fikir, tidak pelik jika non-muslim di Perancis bersikap agak keras dengan muslim di sana kerana kini, minoriti muslim di negara itu telah berjumlah sekitar 7 juta orang dan merupakan minoriti muslim paling ramai jika dibandingkan dengan negara-negara lain di Eropah.

Perancis kononnya mengamalkan sekular lalu menyeru supaya tidak memakai simbol-simbol keagamaan. Undang-undang tahun 2004 menetapkan peraturan ini berkuat kuasa di sekolah-sekolah di Perancis, maka sepatutnya pemakaian salib besar dan bintang-bintang yahudi turut termasuk dalam larangan. Tapi yg anehnya, peraturan itu seolah-olah hanya ditujukan khas kepada pelajar wanita Islam yg bertudung sahaja.

Teringat kata-kata Dr. Murad Hoffman, bekas duta Jerman yg telah memeluk Islam, "Eropah dan Amerika bertoleransi dengan mana-mana agama, kecuali apabila agama ini ialah Islam."


~Jadi, jika ada muslimah yg berniat untuk melancong ke Perancis batalkan sahaja niat anda!
~Di Barat, muslimah gila-gila mahu bertudung. Kenapa ya? Di Malaysia pula, muslimah gila-gila melondehkan seluar sehingga nampak lurah punggung. Adakah ini masih trend sekarang? Cukuplah, saya mahu pulang ni...


Scanner 'pembogel' di Amerika dan Eropah

Dr. Al-Barazi, anggota Majma' Fuqaha Syariah Islamiah Amerika mengulas isu scanner di lapangan terbang Amerika dan Eropah yg 'menelanjangkan' orang yg di-scan sedangkan telah pun wujud alat pengesan yg amat teliti untuk mengesan. Beliau berkata "Muslim yg tidak terdesak untuk bermusafir ke negara-negara yg menggunakan scanner ini di airport (Amerika dan Eropah) hendaklah tidak bermusafir ke sana sehinggalah kehormatannya terjaga." Beliau mengatakan beliau sendiri telah melihat scanner itu dan menyatakan tidak setuju kerana tiada darurat untuk menggunakannya dan telah wujud alat pengesan lain yg canggih.

Walaupun gambar yg kelihatan di skrin kabur tapi menurut Dr. Al-Barazi, masih jelas kelihatan dot dot dot. Dan yg lebih menbengangkan lagi, scanner ini hanya digunakan kepada orang-orang tertentu, khasnya umat Islam dari negara yg dituduh pengganas. Bahkan kes terbaru ialah kes Nadia yg digeledah seluruh tubuhnya di lapangan terbang Amerika gara-gara memakai tudung, sedangkan dia ialah seorang warganegara Amerika. Terdapat wanita lain yg turut memakai pakaian longgar dan gaun panjang tetapi tidak dikenakan pemeriksaan seperti mana Nadia.

~Fikir berkali-kali untuk ke Amerika dan Eropah. Jika tak terdesak, tak perlu!


Portugal pula benar kahwin sejenis

Setelah 3 jam berbincang di Parlimen, akhirnya Portugal bersetuju membenarkan kahwin sejenis, mengikut jejak langkah Norway, Belgium, Sweden, Belanda dan Sepanyol. Dulu, kahwin sejenis di Portugal dianggap sebagai suatu jenayah dan layak dikenakan hukuman undang-undang namun semenjak 1982, kahwin sejenis dianggap sebagai suatu kebebasan yg dipelihara oleh undang-undang. Bala... bala. Syeikh Hamza Yusuf pernah menyebut homoseks yg dahulunya dianggap suatu penyakit dan perlu dirawat dengan khidmat kaunseling kini telah menjadi satu perkara yg dibantu perkembangannya dengan khidmat kaunseling.


Israel latih anjing menyerang apabila dengar 'Allahu Akbar'

Tentera Israel melatih anjing untuk menyerang sesiapa sahaja yg menyebut 'Allahu Akbar'. Anjing-anjing itu dilengkapi kamera dan telefon itu dan memang berpotensi. Harga seekor mencecah 20 ribu dolar. Anjing-anjing ini hanya mengikut arahan dalam bahasa Hebrew. Sekarang, anjing-anjing jenis ini banyak digunakan di Iraq dan Afghanistan. Obama juga ada membeli seekor anjing ini, namanya Miki, baka Jerman.


p/s: Isu-isu di atas ialah huraian daripada sejumlah tulisan yg saya siarkan di dinding/tembok@ wall facebook. Saya biasa sertakan sekali link-link berita-berita ini.

Sunday, January 3, 2010

Sebulan lagi sebelum terbang

Sebulan sahaja lagi. Tempoh empat tahun dirasakan terlalu singkat. Rasanya seperti baru sahaja saya keluar daripada pesawat Qatar Airways dan menjejakkan kaki buat kali pertama ke bumi Mesir. Saya masih ingat saya ditahan seketika di airport, gara-gara gambar saya di pasport seperti seorang samurai dari Jepun. Entah mengapa gambar itu tidak seiras muka sebenar saya. Kini, pasport saya itu hampir tamat tempohnya. Sudah banyak cop imigresen yg menghiasi halaman-halamannya. Bermula dengan Mesir, Yaman, Jordan, Syria, Turki dan diakhiri dengan Arab Saudi. Pengembaraan ke negara-negara ini seolah-olah baru selesai sebentar tadi. Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah pernah berkata bahawa perumpamaan waktu muda itu seperti sesuatu yg berada di dalam lengan baju, lalu tercicir. Mungkin beliau ingin menyifatkan bahawa berlalunya waktu muda itu tanpa disedari.

Pepatah Melayu berbunyi 'Masa itu emas'. Pepatah Arab pula, 'Masa itu umpama pedang, jika engkau tidak memotongnya, ia akan memotongmu'. Imam Hasan Al-Banna rahimahullah mengatakan 'Masa itu ialah kehidupan'. Semuanya benar. Saya mengatakan, masa ialah makhluk Allah yg 'sombong', ia tidak akan sama sekali berpaling dan berundur semula walaupun dipanggil berkali-kali. Masa yg berlalu tidak mungkin kembali. Saya membelek-belek kitab Yatimat Ad-Dahr fi Tafsir Surah Al-'Asr. Lalu, saya memandang kitab Qimatuz Zaman, kitab tulisan tokoh kegemaran saya, Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah rahimahullah. Kedua-dua kitab membicarakan tentang masa.

Imam Abu Yusuf rahimahullah, anak murid setia Imam Abu Hanifah rahimahullah rela menyerahkan urusan jenazah anaknya yg meninggalkan dunia kepada jiran dan keluarganya kerana takut terlepas pengajian bersama gurunya. Masyarakat hari ini tentu menyifatkan perbuatannya sebagai melampau kerana mereka tidak sehandal Imam Abu Yusuf dalam menilai masa. Imam Jamaluddin Al-Qasimi rahimahullah yg telah menghabiskan usianya lebih kurang 50 tahun, hasil karangannya melebihi 50 buah karangan, waktu hidupnya dipenuhi dengan ilmu, namun masih lagi merungut, "Andainya masa itu dijual, maka bolehlah aku membelinya."


Sungguh saya merasakan saya hanya bermain-main dengan masa. Terlalu banyak perkara yg ditangguhkan. Alangkah indahnya jika tempoh sebulan yg berbaki ini diberkati Allah, lalu saya dapat manfaatkannya sebaik-baik mungkin. Mudah-mudahan juga tempoh sebulan ini ibarat sehari buat keluarga yg sejak lama merindu. Debaran untuk menghadapi cabaran masyarakat majmuk di tanah air semakin kuat.

40 minit lagi akan masuk waktu Maghrib. Saya ada projek dengan Nasir Al-Mubtasim. Saya gelarnya sedemikian kerana dia sungguh murah dengan senyuman. Namun, senyuman istimewanya masih disimpan untuk seseorang yg masih menjadi misteri.

Blog Widget by LinkWithin