Friday, January 29, 2010

Kamu hanya menyangka, tapi saya yakin

Saya kenal sungguh diri saya yg lemah dan sering lalai. Saya tidak mahu tertipu dengan pujian dan sanjungan palsu daripada lidah manusia yg tidak bertulang. Apa yg kamu tahu tentang diri saya hanyalah pada zahir yg masih Allah pelihara. Kamu mengenali saya bukan atas dasar keyakinan tapi hanya dzon atau sangkaan semata. Saya pula mengenali diri sendiri dengan keyakinan yg nyata. Orang yg berakal tidak akan meninggalkan keyakinan yg ada padanya hanya semata-mata kerana dzon atau sangkaan yg ada pada orang lain. Maka, bodohlah saya jika percayakan kamu tetapi tidak percayakan diri sendiri. Saya tertarik dengan hikam Imam Ibnu 'Athaillah As-Sakandari rahimahullah yg berbunyi,

"Manusia-manusia memujimu kerana apa yg mereka sangka ada padamu, maka jadilah engkau pula mengeji dirimu kerana apa yg memang engkau tahu mengenainya."

Syarah Ibnu 'Abbad merupakan syarah Al-Hikam Al-'Athaiyah yg pertama


Apabila anda dipuji, maka berdoalah juga sebagaimana Sayyiduna Abu Bakar As-Siddiq radiyallahuanhu yg berdoa,

اللّهم أنت أعلم بي من نفسي وأنا أعلم بنفسي منهم. اللّهم اجعلني خيراً مما يظنون واغفر لي ما لا يعلمون ولا تؤاخذني بما يقولون

"Ya Allah, Engkau lebih mengetahui keadaan diriku berbanding diriku, dan aku lebih mengetahui keadaan diriku berbanding mereka. Ya Allah, jadikanlah aku lebih baik daripada apa yg mereka sangka, dan ampunilah aku pada perkara yg mereka tidak ketahui, dan janganlah menghukumku dengan apa yg mereka katakan."

Allah mencela orang yg suka dipuji dengan apa yg tidak mereka lakukan. Firman Allah di dalam Surah Aal Imran, ayat 188,


"Jangan sekali-kali engkau menyangka (Wahai Muhammad, bahawa) orang-orang yang bergembira dengan apa yang mereka telah lakukan, dan mereka pula suka dipuji dengan apa yang mereka tidak lakukan - jangan sekali-kali engkau menyangka mereka akan terselamat dari seksa, dan mereka pula akan beroleh azab yang tidak terperi sakitnya."

Jelas, bahawa orang sebegini tertipu dengan dirinya. Bagaimanakah dia boleh berbangga sedangkan dia tidak melakukan apa-apa?! Dipuji jauh lebih berbahaya daripada dikeji. Jika dikeji, kita akan berasa malu, hina dan mula memeriksa diri. Tapi jika dipuji, kita akan berasa hebat, bangga dan mula membesarkan diri. Kepada kawan-kawan yg ditegur atau dikeji, anda wajib bersyukur dengan teguran dan kejian yg zahirnya memang pedih namun tersirat di sebaliknya nikmat yg besar untuk diri.

Walaubagaimanapun, terima kasih kepada semua yg berbaik sangka dengan saya. Pesan Habib Abdullah bin Shihab hafizahullah yg terlalu kerap disebut dalam tazkirah-tazkirah yg disampaikannya, "Bersangka baik dengan Allah dan bersangka baik dengan hamba-hamba Allah." Jazakumullah atas husnu dzon kamu semua. Betapa mulianya Allah yg menutup keaiban yg ada pada diri manusia. Segala puji bagi Allah yg tidak menciptakan dosa itu berbau busuk secara zahirnya. Jika tidak, sudah tentu manusia mahupun binatang tidak mahu lagi mendekati si hina ini. Syukur kepadaMu ya Allah, yg masih menutup keburukan-keburukan hambaNya. Ya Allah, tutupkanlah keburukan-keburukan kami di akhirat kelak. Amiiinnn.

Terima kasih juga kepada kawan-kawan yg menutup keaiban diri ini. Rasulullah Sollallahualaihiwasallam menjanjikan ganjaran istimewa kepada muslim yg menutup keaiban saudaranya. "Sesiapa yg menutup keaiban seseorang muslim, maka Allah akan menutup keaibannya pada hari kiamat." Riwayat Bukhari dan Muslim.

Salman Al-Farisi radiyallahuanhu pernah berkata, "Perumpamaan dua orang saudara yg beriman, umpama dua tangan yg saling membersihkan antara satu sama lain."



p/s: Saya mula mencari-cari maksud hikam di atas apabila mendengar kalam Syeikh Yusuf Al-Qaradawi hafizahullah ketika di Majlis Multaqa Al-Imam Al-Qaradawi yg dianjurkan khas untuk meraikan beliau. Setelah menerima penghargaan dan pujian, beliau berucap dan menyebut hikam di atas. Di dalam majlis itu, beliau menangis.

Alhamdulillah, takdir Allah menghantar Ust Suhaimi Daud ke sini. Bolehlah saya mempelajari hikam daripada guru yg pakar kitab Hikam ini.



2 comments:

  1. Pencerahan yang bagus untuk taraqi/perjalanan kematangan rohani.

    Semoga selamat pulang dan dapat memberi manfaat. Jika ke Kuala Terengganu jemput datang rumah kami.

    ReplyDelete
  2. Amiinnn. Semoga Allah permudahkan semua urusan. Insya Allah, jika ada kesempatan saya ziarah kakak dan abang. Boleh taaruf :) Kirim salam kpd suami kakak.

    ReplyDelete