Tuesday, March 29, 2011

Fallujah satu masa dahulu

Walaupun kes Libya tidak sama dengan kes Iraq tetapi apabila barat mula campur tangan, segala-galanya mungkin terjadi. PBB melancarkan serangan dengan alasan mahu membela rakyat tertindas dan menghukum Gaddafi. Liga Arab pula seolah-olah tiada fungsi manakala PBB sudah mula bergerak jauh. Serangan yg dilancarkan PBB dikatakan untuk melumpuhkan persenjataan tentera Gaddafi. Taktik ini digunakan oleh pihak tertentu untuk monopoli suasana di Libya. Mereka mahu rakyat Libya bergantung harap kepada mereka. Mereka mahu Islam berada di bawah telapak kaki mereka.

Bekas Duta Jerman yg memeluk Islam, Dr Murad Hoffman pernah berkata, “Barat saling berbalah sesama mereka tapi apabila berbicara mengenai Islam, mereka bersatu..” Umat Islam di akhir zaman ibarat hidangan yg sedang menunggu masa untuk disantap. Saya bimbang Libya akan berakhir dengan kemusnahan seperti Iraq dan Afghanistan. Apabila membaca mengenai tajuk sebuah artikel ‘Libya jadi Iraq’, saya teringat satu kisah yg diceritakan oleh seorang tokoh ulama dari bumi Iraq. Beliau ialah Syaikh Dr. Abdul Malik as-Sa’di hafizahullah, bekas mufti Negara Iraq yg lepas. Seorang ulama dari Iraq pernah menulis, "Jika tiada ulama di Iraq kecuali keluarga as-Sa’di maka ia telah pun memadai." Keluarganya ialah keluarga ulama. Salah seorang adiknya mengajar di UIAM. Baru-baru ini seorang adiknya yg lain, Syaikh Abdul ‘Alim as-Sa’di terbunuh dalam satu kejadian yg dikatakan didalangi oleh kumpulan al-Qaeda at-Takfiri. Beliau dipercayai dibunuh oleh seorang lelaki yg berpura-pura meminta fatwa. Kononnya, Syaikh ini ialah seorang mufti upahan Amerika dan telah halal darahnya hanya kerana beliau berfatwa agar semua penduduk Iraq keluar mengundi. Al-Fatihah..

Ketika saya berkunjung ke bumi Jordan, saya menghabiskan masa lebih kurang sebulan di Mu’tah, lokasi berlakunya peperangan Mu'tah yg menyaksikan gugurnya sebilangan sahabat termasuk 3 orang ketua pasukan tentera yg dilantik Baginda iaitu Zaid bin Harithah, Jaafar bin Abi Talib dan Abdullah bin Rawahah radiyallahu'anhum. Saya tidak melepaskan peluang menghadiri kelas pengajian Syaikh Abdul Malik as-Sa’di yg diadakan pada waktu malam, khas untuk mahasiswa-mahasiswa Malaysia di sana. Ketika itu beliau bertugas sebagai pensyarah di Universiti Mu’tah. Dalam kelas pengajian khas itu, beliau mengajar Fiqh Mazhab Syafie menerusi kitab Minhaj at-Talibin, Ilmu Sarf menerusi kitab tulisannya dan Ilmu Mantiq menerusi kitab as-Sullam yg dipermudahkan sendiri olehnya.

Libya akan jadi Iraq? Mudah-mudahan tidak. Saya teringat bahawa Syaikh Abdul Malik as-Sa’di pernah bercerita mengenai Fallujah di Iraq yg lebih dikenali sebagai sarang pengganas sebagaimana yg dijaja oleh media barat. US telah menggunakan White phosphorus - WP (Fosforus putih) untuk menyerang Fallujah yg kononnya dihuni oleh golongan pengganas. Justeru, seorang ahli parlimen US meletakkan jawatan sebagai tanda protes tindakan kerajaannya yg kejam dan zalim terhadap Iraq yg sehingga sekarang masih tidak mampu dibuktikan bersalah. WP juga telah digunakan ketika serangan Israel ke atas bumi Gaza pada 2008-2009 yg lalu. Bom kimia ini telah diharamkan penggunaannya di seluruh dunia kerana boleh menyebabkan kebakaran dahsyat kepada orang awam. WP boleh mengakibatkan kecederaan bahkan kematian melalui 3 cara. Yg pertama melalui kebakaran yg membakar jauh ke dalam tisu tubuh. Yg kedua melalui cara menghidunya dalam bentuk asap. Yg ketiga melalui cara menelannya. Baca lagi mengenai WP di sini. Saksikan juga sebuah filem dokumentari, Fallujah, The Hidden Massacre. Saya berpeluang menontonnya ketika di Mesir dahulu. Terdapat pengakuan dari bekas anggota tentera US yg terlibat dalam operasi memusnah Fallujah. Antara yg diakuinya ialah terdapat penggunaan WP dalam serangan di Fallujah. Filem ini juga mendedahkan keadaan mayat-mayat yg sangat mengerikan akibat serangan menggunakan WP.


Syaikh berkata, ramai yg tidak mengenal Fallujah. Syaikh menyifatkan penduduk Fallujah tidak seperti yg disifatkan oleh media barat. Mereka ialah golongan yg sangat memuliakan tetamu. Syaikh mula bercerita. Di satu kawasan di Fallujah, tiada sebuah pun kedai makan. Sesiapa yg berkunjung ke sana pasti akan dijadikan tetamu. Sabda Baginda, “Sesiapa yg beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka muliakanlah tetamunya.”-Riwayat Bukhari dan Muslim. Dipendekkan cerita, akhirnya ada seorang lelaki yg membuka kedai makan di situ. Terdapat seorang badwi yg melintas di situ lalu dia terus dijemput untuk masuk ke kedai barunya. Si badwi dilayan dengan penuh mesra bahkan ditanya apa yg mahu dimakan. Si badwi tersenyum gembira. Hatinya girang dilayan umpama raja. Namun, si badwi tidak pelik. Memang itu adat kebiasaan penduduk di situ, suka memuliakan tetamu.

Selesai makan, si badwi bangun untuk beredar. Tiba-tiba tuan kedai menyebut harga makanan-makanan yg dimakannya. Si badwi terperanjat. Dia mengibas-ngibas bajunya, sebagai isyarat untuk menunjukkan rasa pelik - satu isyarat yg biasa dilakukan oleh penduduk di sana. Kata si badwi, “Makan pun kena bayar?!” Tidak tergambar pada pemikirannya bahawa dia perlu bayar apa yg dimakannya. Kebiasaannya, dia dijamu secara percuma. Fallujah yg dikenalinya ialah Fallujah yg melayan tetamu tanpa sebarang bayaran. Itulah Fallujah satu masa dahulu. Kini, apa cerita Fallujah?!

Monday, February 14, 2011

Aku, Valentine dan TC

Sasaran malam semalam ialah muda-mudi Pantai TC. TC ialah singkatan bagi Teluk Cempedak. Lokasi popular perkelahan yg juga merupakan tempat muda-mudi dating dan melampiaskan nafsu. Di TC, kita boleh menikmati pemandangan Laut China Selatan di samping menyaksikan maksiat anak muda yg bermaharajalela. XPDC dakwah peringkat negeri Pahang pada malam semalam bermula di Masjid Negeri. XPDC kali ini bersempena dengan Valentine's Day yg disambut oleh pasangan yg memadu cinta tanpa mengenal dosa pahala. Setelah diberikan taujihat oleh Ustaz Nasrudin Tantawi dan Ustaz Fadhli, kami bersedia untuk bergerak. Ustaz Fadhil Nor mengetuai bacaan doa.

Kami bergerak secara berkumpulan. Kami dinasihatkan supaya tidak melayan sebarang provokasi. Kami diingatkan bahawa kami ialah duta penyelamat dan kasih sayang. Saya pula mengingatkan diri supaya tidak merasa lebih mulia dari mad'u. Dalam al-Mustakhlas fi Tazkiyyat al-Anfus tulisan Syaikh Sa'id Hawwa rahimahullah, ada dinukilkan kata-kata Abu Yazid al-Bustomi rahimahullah,

ما دام العبد يظن أن في الخلق من هو شر منه فهو متكبر

"Selagi mana seseorang hamba menyangka ada makhluk yg lebih buruk daripadanya, maka dia ialah seorang yg takabbur; sombong..."

Kami tiba di TC. Kawasan yg luas itu dibahagi-bahagikan dan semua diarahkan bergerak berkumpulan. Kami dekati sepasang kekasih. Si lelaki berkata ,"Perempuan di sebelah ini isterinya.." Wallahu'alam. Jika dia menipu, maka dia tambah dosanya. Kami berbual pendek, hulurkan risalah dan beredar. Kami bukan budak kecil yg mudah ditipu. Tapi kami tak mahu penipuannya melarat. Kami juga tiada kuasa untuk soal siasat.


Seterusnya, kami mendapati seorang gadis duduk atas peha kekasihnya. Salah seorang daripada kami merapati mereka, minta izin untuk bercakap seminit dua sambil menghulurkan sehelai risalah. Apabila ditanya mengenai valentine, dijawabnya, "Saya tak sambut valentine.." Saya bermonolog, "Tak sambut valentine, tapi si gadis sudah rela duduk atas peha, kalau sambut?"

Kami terus berjalan. Susah juga mahu panjat batu besar. Tapi ada dua pasangan di atasnya. Pandai betul mereka memanjat. Kawan kami hulurkan risalah, nasihat supaya bubar lalu kami beredar. Apabila berpatah balik, kami dapati mereka masih di situ. Mereka tahu kami cuma orang biasa, tiada kad kuasa. Lalu, beberapa pegawai dari Pejabat Agama menuju ke sana. Hah, siap la mereka kena denda. Takutnya! Kena denda! Tentu mereka serik.

Sepasang kekasih duduk rapat-rapat atas batu besar. Kami menegur. Si gadis berkata, ibunya ada memerhati di belakang. Apabila disoal, ternyata memang itu ibunya. Oh ibu, kau di pintu neraka. Ayuh kita taubat. Ada cadangan mahu selam makcik itu ke dalam Laut China Selatan tapi cadangan itu ditolak sebulat suara.

Di dalam sebuah pondok, terlihat kelibat dua orang manusia. Seorang rakan pergi kepada mereka manakala yg lain tunggu di belakang. Kami diingatkan supaya jangan melingkungi mereka seperti samseng. Kami bukan mahu memukul. Kami hanya mahu menjentik hati. Apabila didekati, si lelaki segera mengalihkan tangannya dari bahu si gadis. Apabila disoal siapa gadis di sebelah, dia pula menyoal si gadis. Si gadis membisu. Oh, mungkin mereka lupa mereka tiada sebarang hubungan pun sebenarnya. Setelah berpatah balik, mereka sudah tiada. Mungkin terus pulang ke rumah masing-masing.

Kami juga tertipu dengan penampilan luaran sesetengah orang. Seorang brader yg kelihatan rock dengan mudah menerima risalah yg dihulurkan sambil mengucapkan terima kasih dan mengukirkan senyuman. Seorang brader yg berwajah skema pula hanya memandang dengan ekor mata dan berwajah masam. Walaupun kami tidak berkopiah, kami tetap dikenali. Mungkin kerana sejemput janggut pada dagu kami dan kertas-kertas pada tangan kami. Maka apabila melintas di hadapan sekumpulan anak gadis Melayu, ada di kalangan mereka yg bertakbir raya 'menyambut' kami. Sakitnya hati hanya Allah Yg Maha Tahu.

Sekian.

Wednesday, February 2, 2011

Dosa kahwin dua

Seorang lelaki telah berkahwin dua, sedangkan undang-undang negaranya mengharamkan poligami. Lalu pihak berkuasa datang untuk menangkapnya setelah menerima aduan daripada masyarakat setempat.

Sebelum ditangkap, berlaku dialog antara pihak berkuasa dengan si lelaki.

Pihak berkuasa: Tidakkah kamu tahu bahawa undang-undang melarang poligami?

Mereka bertanya si lelaki dengan penuh kehairanan.


Si lelaki: Ya, aku tahu.

Pihak berkuasa: Kalau begitu, mengapa kamu berkahwin juga dengan wanita ini? Ini satu kesalahan!

Si lelaki: Ini bukan isteri aku.. ini kekasih aku.

Pihak berkuasa: Oh... maafkan kami! Kami sangka dia isteri kedua kamu.. maafkan kami ya!


Lalu, pihak berkuasa beredar meninggalkan si lelaki itu. Si lelaki hidup bahagia bersama keluarganya.

p/s: Adaptasi dari kisah yg diceritakan oleh Syaikhul Azhar Syaikh Abd Halim Mahmud rahimahullah, yg diceritakan semula oleh Syaikh Yusuf al-Qaradhawi hafizahullah. Kisah benar di atas berlaku di sebuah negara arab.

- Saya bawakan kisah ini bukan berniat kempen untuk poligami ;)

Thursday, January 6, 2011

Kenaikan kuasa tiga

Beberapa kenaikan sedang berlaku dalam kehidupan saya sekarang ini. Yg pertama, kenaikan berat badan. Saya percaya ini gara-gara ibu yg sentiasa memaksa saya makan. Bukankah anak yg soleh itu akan patuh dan taat kepada segala titah perintah ibubapanya selagi tidak bertentangan dengan syarak. Saya belum pernah timbang badan sejak pulang ke Malaysia. Tapi saya dapat tahu berat badan saya bertambah melalui cermin sakti. Katanya, pipi saya sedikit tembam berbanding dahulu. Sekian dahulu kisah kenaikan pertama. Tak boleh panjang-panjang.


Kenaikan kedua ialah kenaikan air di kawasan rumah saya. Ini berlaku disebabkan air laut pasang besar dan hujan lebat yg turun tak henti-henti. Alhamdulillah, saat saya menulis ini hujan sedang reda. Hujan dalam Bahasa Arab disebut المطر atau الغيث. Saya teringat kisah kehebatan seorang tokoh Muktazilah, Abu 'Ali al-Jubbaie rahimahullah ,ayah tiri kepada Imam Ahlus Sunnah, Abu Hasan al-'Asyaari rahimahullah (260H-324H). al-Jubbaie dikatakan tidak mampu menyebut huruf ر dengan betul sedangkan beliau ialah seorang tokoh Muktazilah yg sangat hebat berdebat. Maka untuk mengelakkan dilihat mempunyai kekurangan, beliau mengurangkan semampu mungkin penggunaan kalimah yg mempunyai huruf ر. Jika beliau ingin menyebut satu kalimah tapi ia mempunyai huruf ر, maka beliau akan mencari kalimah seerti baginya, yg tiada padanya huruf ر. Misalnya kalimah المطر yg bermaksud hujan diganti dengan kalimah الغيث yg membawa maksud yg sama. Sehinggakan orang yg mendengar pidatonya tidak mampu mengesan kekurangan yg ada pada pidatonya!


Ramalan cuaca menunjukkan Kuantan akan mengalami hujan sepanjang hari bermula hari ini sehingga lusa. Imam Nawawi rahimahullah di dalam kitabnya al-Azkar, mendatangkan sebuah doa yg dibaca oleh Rasulullah Sollallahualaihiwasallam apabila melihat hujan turun.

اللَّهُمَّ صَيِّباً نَافِعاً

"Ya Allah, jadikanlah ia hujan yg membawa manfaat.." (Riwayat Bukhari)


Apabila hujan turun dengan lebat dan takut akan menyebabkan kemudaratan, maka Baginda mengajar sebuah doa,

اللَّهُمَّ حَوَالَيْنا ولا عَلَيْنا

"Ya Allah, turunkanlah hujan di sekitar kami, bukan ke atas kami (yg membinasakan kami)" (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadith di atas ini menunjukkan adab yg cukup tinggi dalam berdoa. Baginda tidak meminta supaya Allah menghentikan hujan serta merta tetapi meminta supaya hujan diturunkan di kawasan lain yg memerlukannya. Dalam sambungan hadith di atas, Baginda meminta supaya hujan diturunkan di kawasan bukit, lembah dan kawasan yg banyak pohon bertujuan untuk menyuburkan tanahnya.

Ketika tangan saya sedang menaip, kaki saya sedang bermain-main air. Selepas ini mahu sambung kerja menceduk air keluar dari rumah. Sesekali rasa seperti seorang krew kapal yg menceduk air keluar dari kapal yg mahu karam. Banjir di rumah saya tidak teruk. Buktinya, saya masih sempat menulis blog!


Kenaikan ketiga ialah kenaikan harga minyak RON97. Saya memandang kenaikan ini secara serius. Seorang kawan berseloroh, "Kamu baru pakai Suzuki SS tu, belum pakai Suzuki 125.. Itu pun dah mengeluh.." Kenaikan harga minyak tidak boleh dipandang selapis. Kenaikan harga minyak memberi impak besar kepada harga barang dan perkhidmatan lain. Maka difahami bahawa banyak yg akan naik harga. Ini bererti semua orang akan menerima kesan samada yg menggunakan minyak mahupun tidak. Maka, kenaikan harga minyak ialah satu musibah yg bersifat melata. Benar, ia musibah!

Pelbagai alasan diberikan bagi mempertahankan wajarnya kenaikan harga minyak ini. Jika alasan-alasan itu boleh dipakai sekalipun (walaupun banyak hujah yg mempertikaikannya), saya mahu mengatakan ini berlaku akibat tiada keberkatan dalam tanahair. Benar, semuanya berlaku atas sebab-sebab yg Allah ciptakan. Tapi kita perlu melihat dari sudut yg lain iaitu ini merupakan musibah akibat rancaknya kegiatan maksiat, industri judi dan arak di negara ini. Kemunkaran ini seolah-olah tidak tercegah. Maksiat ditaja dengan kelulusan pemerintah. Konsert Adam Lambert, ikon gay yg diadakan di Stadium Bukit Jalil tempoh hari sudah cukup untuk mengundang bala. Saya percaya bahawa tindakan seorang jurutera Melayu Islam yg membuat pengakuan berani dalam Youtube, 'Saya gay, saya OK' beserta angkatannya itu ialah sebagai feedback terhadap restu kerajaan yg membenarkan ikon pujaan mereka menjejakkan kaki ke negara ini. Tindakan ini juga untuk mengumpan sejauh manakah kerajaan dan orang awam melatah dengan mereka. Jika latahnya perlahan, mereka mahu melangkah lebih jauh ke hadapan.

Operasi mencegah maksiat tidak diperkasakan. Jabatan Agama Islam tidak memberikan kerjasama sepenuhnya. Sebelum ini ada seorang ustaz di JAIP yg memberikan kursus kepada para sukarelawan yg melibatkan diri dengan operasi cegah maksiat sehingga melayakkan mereka menerima kad kuasa. Operasi juga dilakukan secara bersama. Namun, tahun ini ustaz itu dipindahkan ke tempat lain. Pelaku maksiat pula semakin mencabar. Ketika mengedarkan risalah berdekatan tapak konsert Red On Black iaitu di Stadium Makmur tempoh hari, seorang gadis mengambil sekeping kertas risalah yg dihulurkan lalu berkata, "Haaa, boleh buat alas duduk!!" Berderau darah saya tapi mujur saya masih mampu mengukir sekuntum senyuman. Minggu lepas, ketika Malam Tahun Baru, kami dapat pangkat "Menyampah!"

Maksiat terus berleluasa tanpa usaha bersungguh untuk menyekatnya. Dari mana mahu datangnya barakah jika segala pintunya sudah ditutup oleh Allah?

Hujan sudah berhenti.

Saya berhenti di sini.

Blog Widget by LinkWithin