Tuesday, May 12, 2009

Adab-adab Ikhtilaf siri 2

Secara umumnya, adab-adab yg disebut ialah adab-adab ikhtilaf dalam masalah Fiqh tapi ia juga boleh diaplikasikan dalam masalah-masalah lain.

Apabila kita berhadapan dengan ikhtilaf atau perselisihan di kalangan ulama, maka kita perlu menghiasi diri dengan adab-adab yg telah diletakkan oleh para ulama sendiri. Adab-adab inilah yg memelihara kesatuan dan perpaduan ummah satu ketika dahulu. Namun, sekarang kesatuan itu semakin rapuh. Perpaduan itu semakin retak. Gara-gara pengabaian terhadap adab-adab yg teramat penting ini.

Antara adab-adab berikut ialah:

1- Tidak memaksa orang lain mengikut pendapat yg dianuti olehnya selagi mana perselisihan yg berlaku berada dalam kategori 'al-mukhtalaf fih'.

Tiada seorang pun di kalangan imam yg mengaku pendapatnya ialah wahyu. Tiada seorang pun yg mendakwa sesiapa yg tidak berpegang dengan pendapatnya sebagai pelaku maksiat. Sesungguhnya mereka hanya berijtihad mencari kebenaran dan ijtihad mereka terbina di atas dalil-dalil yg bersifat zhon. Adapun yg qot'ie, maka tiada khilaf sesama mereka.

Disebut dalam Tarjamah Imam Malik rahimahullah bahawa Abu Jaafar Al-Mansur pernah bercadang untuk menjadikan kitab Muwatto' karangan Imam Malik rahimahullah sebagai rujukan lalu mengabaikan ijtihad dan pendapat-pendapat lain. Maka, Imam Malik segera menolak cadangan itu.


Disebut dalam Tarjamah Imam Ahmad rahimahullah bahawa beliau pernah disoal oleh seorang lelaki tentang masalah talak maka, beliau menjawab, "Jika dia melakukannya maka dia dianggap melanggar sumpah." Lelaki yg menyoal itu berkata, "Jika ada seorang yg memberi fatwa kepadaku bahawa dia tidak dikira melanggar sumpah (adakah boleh)? Lalu, Imam Ahmad menjawab, "Ya" dan menunjukkan kepadanya sesiapa yg berfatwa sedemikian.

Pada hari ini pula kita lihat golongan yg taksub kepada kelompok tertentu dan tidak mahu berlapang dada. Seolah-olah pendapat kelompoknya sahaja yg benar sedangkan apakah jaminan bahawa kebenaran berpihak kepada mereka?

2- Tidak mengingkari pihak yg berlainan pendapat dengannya: Tidak mengeji dan tidak melemparkan tuduhan bidaah atau sesat kepada orang yg tidak sependapat dengannya.

Imam Al-Ghazali menyamakan masalah khilaf di kalangan ulama dengan masalah dua orang musafir yg berijtihad dalam masalah arah kiblat dan ijtihad mereka berbeza. Maka, kedua-duanya berhak solat ke arah kiblat yg disangka berdasarkan zhon mereka yg kuat. Dan hendaklah menyekat diri daripada mengingkari temannya.

Ini bukanlah sekadar teori bahkan telah diterjemahkan dalam bentuk praktikal. Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie pernah solat di belakang para imam di Madinah yg bermazhab Maliki. Sedangkan mazhab Maliki langsung tidak membaca Bismillah samada secara perlahan mahupun kuat. Pada hari ini pula telinga kita sentiasa mendengar kalimah-kalimah seperti bidaah, sesat dan yg sewaktu dengannya digunakan sewenang-wenangnya.

3- Tidak sombong untuk kembali kepada kebenaran apabila yakin dirinya tersilap dan tidak berasa mudarat jika kebenaran terzahir daripada pihak lain.

Imam Ahmad pernah menarik balik tuduhan bidaahnya kepada perbuatan seorang lelaki buta yg membaca Al-Quran di sisi kubur setelah Muhammad bin Qudamah yg ada di sampingnya menyebut hadith yg menyokong perbuatan lelaki tersebut iaitu membaca awal dan akhir Al-Baqarah apabila dikebumikan jenazah. Bahkan Muhammad bin Qudamah menyebut, "Aku mendengar Ibnu Umar mewasiatkan dengan perkara itu."
Ulama menyebut, "Sesungguhnya untuk menjadi ekor dalam kebenaran lebih aku sukai daripada menjadi kepala dalam kebatilan."
Imam Syafie berkata, "Aku tidak pernah berdebat dengan seseorang pun melainkan aku lebih suka dia yg diberi taufiq, diluruskan, dibantu dan dikurniakan pemeliharaan dan penjagaan daripada Allah. Aku tidak pernah berdebat melainkan aku tidak peduli samada Allah menzahirkan kebenaran itu melalui lidahku mahupun lidahnya."
4- Menjauhi masalah-masalah yg menyebabkan fitnah, pergaduhan dan huru hara.

Imam Malik pernah ditanya tentang istiwa' maka beliau memandang ke tanah dan memukul-mukul tongkat yg terdapat di tangannya sehingga keringat membasahi tubuhnya kemudian beliau mengangkat kepalanya dan melemparkan tongkatnya lalu mengucapkan ucapannya yg mayshur itu. Beliau juga memerintahkan supaya yg bertanya itu dihalau.

Pada hari ini kita lihat ramai yg gemar membicarakan perkara-perkara yg mencetuskan kontroversi masyarakat setempat. Sangkaan mereka, masyarakat sekitar termasuk para tok guru telah tersilap. Seolah-olah hanya mereka yg mengetahui hadith dan Quran. Dan mereka kononnya bangkit untuk memperbetulkan masyarakat. Menyebut 'Sayyidina Muhammad' adalah satu bidaah satu ketika dahulu di sisi mereka. Namun sekarang, mungkin setelah dibentangkan dengan dalil-dalil, maka mereka akur dan tunduk. Masjid Nabawi dan Masjidil Haram kini turut menambahkan rasa hormat mereka terhadap Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam dengan menyebut kalimah 'Sayyidina' sebelum kalimah 'Muhammad' Sollallau'alaihiwasallam.



Kesan yg lahir daripada adab-adab ini dapat kita lihat melalui kehidupan para imam mazhab empat.

a) Saling memuji antara satu sama lain.

  • Imam Syafie memuji Imam Abu Hanifah,
"الناس عيال على أبي حنيفة في الفقه"
"Manusia fakir (berhajat) kepada Abu Hanifah dalam Fiqh."


  • Imam Syafie memuji gurunya, Imam Malik ,
"إذا ذكر العلماء فمالك النجم الثاقب"
"Apabila disebut tentang ulama, maka Malik ialah bintang yg bergemerlapan."


  • Imam Ahmad bin Hanbal pernah ditanya adakah Imam Syafie seorang pakar hadith lalu beliau menjawab,
"أي والله كان صاحب حديث"
"Demi Allah, beliau seorang pakar hadith." Diulang-ulangnya sebanyak tiga kali.


  • Imam Syafie berkata, "Aku keluar dari Baghdad dan aku tidak meninggalkan di sana seorang yg lebih wara', lebih bertaqwa, lebih faqih dan lebih alim daripada Ahmad bin Hanbal."

b) Saling menghormati antara satu sama lain.

Penghormatan yg diberikan sesama mereka adalah dalil lain yg menunjukkan kasih sayang dan kekaguman yg terbuku di dalam hati sanubari mereka.

Imam Syafie membelek helaian kertas dengan lembut di hadapan Imam Malik kerana kagum dengan kehebatan beliau. Tujuannya supaya Imam Malik tidak mendengarnya. Imam Syafie tidak berqunut ketika solat Subuh berdekatan dengan kubur Imam Abu Hanifah kerana beradab dengannya. Ini dalil yg menunjukkan bahawa mereka tidak menghormati orang yg masih hidup sahaja bahkan melihat penghormatan ini berhak bagi yg masih hidup mahupun yg telah mati.

c) Saling mendoakan antara satu sama lain dalam keadaan tidak diketahui oleh tuannya.

Imam Ahmad berkata, "Aku tidak pernah solat sejak 40 tahun yg lalu melainkan aku akan mendoakan untuk Imam Syafie rahimahullah."

Yang menyedihkan ialah apabila wujudnya golongan yg celaka lidahnya menyebut "Pi'ie" sebagai gelaran kepada Imam Syafie yg disifatkan oleh Imam Ahmad sebagai 'Mentari kepada dunia dan kesihatan kepada manusia."


Disaring daripada kitab:

Adab Al-Iktilafat Al-Fiqhiyyah karangan Dr. Tolaat Muhammad 'Afifi
Al-Imam As-Syafie fi mazhabihi Al-Qodim wal Jadid karangan Dr. Ahmad Nahrawi Abd Salam

2 comments:

  1. bagus artikel enta ni..alangkah indah jika mereka yg gemar berbalah itu, paham dan beramal dgn adab2 ini...

    ReplyDelete
  2. kita cuma usaha, ulama sejak berkurun-kurun amal adab2 ni dan gesa supaya smua turut beramal tapi perbalahan tetap wujud.

    Kita cuma mampu berusaha, selebihnya kita serah pada Allah. Sama-sama kita hidup dengan aman damai!!!

    ReplyDelete