Friday, July 31, 2009

Ada apa dengan Syaaban?

Kesibukan masih belum mahu mengundur diri. Saya bukannya seorang yg berpangkat besar di dalam organisasi. Tapi kesibukan tidak mengenal siapa saya. Kesibukan itu makhluk yg buta. Kesibukan setia mengunjungi saya dari semasa ke semasa. Saya menyambutnya secara terpaksa. Namun, kesibukan tiada sifat malu. Saya akan cuba halau sebahagian kesibukan ini sebelum Ramadan berkunjung. Tidak mungkin kesibukan secara keseluruhannya akan lari dari saya, begitu juga anda. Maka, layanlah kesibukan ini sekadar kemampuan. Bersabarlah dengan kerenahnya.

Kurang sebulan lagi kita akan menyambut Ramadan yg diberkati. Sekarang, kita berada di dalam bulan Syaaban yg mulia. Saya hanya mampu re-publish tulisan saya berkenaan Syaaban. Link asalnya di sini dan sini.

Bulan Syaaban merupakan bulan yg kurang diberi perhatian oleh umat Islam. Perkara ini telah dinyatakan oleh Rasulullah Sollallahualaihiwasallam sendiri apabila ditanya tentang sebab baginda terlalu banyak berpuasa pada bulan Syaaban. Lalu baginda menjawab,

“Ini adalah bulan yg manusia leka terhadapnya di antara bulan Rejab dan Syaaban. Ia ialah bulan yg diangkat amalan kepada Tuhan sekalian alam. Maka aku suka amalanku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa.”

Umat Islam seolah-olah akan menyedari kedatangan Syaaban apabila telah sampai ke pertengahan bulan. Apabila diadakan majlis sempena Nisfu Syaaban, barulah umat Islam terjaga daripada lamunan mereka. Rupanya mereka telah berada di dalam bulan yg juga dinamakan 'Bulan Al-Qurra’' ini.

Cuaca panas terik di sini benar-benar mencabar kehambaan seseorang untuk berpuasa pada bulan mulia ini. Bahkan mungkin puasanya menyebabkannya terhalang daripada terus menuntut ilmu kerana keletihan. Maka, ulama mengajar supaya tinggalkan puasa sunat dan teruskan menuntut ilmu! Imam 4 mazhab telah menyatakan bahawa menuntut ilmu lebih afdhal daripada solat sunat, dan solat sunat pula lebih afdhal daripada puasa sunat. Maka, menuntut ilmu terlebih afdhal daripada puasa sunat. Namun andainya kalian dapat melaksanakan semuanya, maka beruntunglah kalian!

Ibnu Sirin berkata,

“Sesungguhnya ada kelompok manusia yg meninggalkan ilmu dan berada di mihrab-mhrab maka mereka solat dan berpuasa tanpa ilmu. Demi Allah, tidaklah seseorang itu beramal tanpa ilmu melainkan apa yg dia rosakkan lebih banyak daripada yg dia perbaiki.”

Puasa nabi pada bulan Syaaban berbeza dengan puasa-puasa baginda pada bulan lain. Sayyidatuna ‘Aisyah Radiyallahuanha berkata bahawa beliau tidak pernah melihat Rasulullah Sollallahualaihiwasallam berpuasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan. Dan beliau tidak pernah melihat baginda berpuasa paling banyak melebihi puasanya pada bulan Syaaban. Hadith ini diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim. Sekumpulan ulama di antaranya Ibnul Mubarak mentarjihkan bahawa baginda tidak berpuasa penuh pada bulan Syaaban, tetapi baginda berpuasa hampir keseluruhan bulan itu. Pendapat ini dikuatkan dengan hadith-hadith yg lain.


:: Solat khusus pada malam Nisfu Syaaban?

Hakikatnya, tidak pernah wujud solat khusus pada malam nisfu Syaaban walaupun ia pernah disebut dalam kitab-kitab seperti Qut Al-Qulub dan Ihya’.Imam Al-Kauthari menyatakan bahawa Al-Muhaddith Abd Hayy Al-Laknawi telah menjelaskan kebatilan riwayat ini di dalam Al-Athar Al-Marfu’ah fil Akhbar Al-Maudhu’ah’.

:: Puasa bulan-bulan haramkah atau puasa Syaaban yg lebih afdhal?

Terdapat ulama Syafieyyah dan selain mereka berpendapat puasa bulan-bulan haram lebih afdhal berdasarkan hadith,

“Puasa yg paling afdhal selepas puasa bulan Ramadhan ialah puasa pada bulan-bulan haram.”


Sebahagian yg lain berpendapat puasa Syaaban lebih afdhal. Dalil mereka ialah Hadith Anas yg diriwayatkan oleh Imam Tirmizi,

“Nabi ditanya tentang puasa apakah yg paling afdhal selepas Ramadan? Nabi menjawab: Syaaban kerana mengagungkan Ramadhan.”

Tetapi pada sanad hadith ini terdapat pertikaian.

Dalam Sunan Ibn Majah terdapat hadith yg disokong kekuatannya bahawa Usamah berpuasa pada bulan-bulan haram. Maka Rasulullah memberitahunya, “Puasalah Syawal”. Maka Usamah meninggalkan puasa bulan haram dan berpuasa Syawal sehingga meninggal dunia. Maka inilah nas yg menunjukkan kelebihan puasa Syawal terhadap puasa bulan-bulan haram. Tetapi Rasulullah lebih banyak berpuasa Syaaban berbanding Syawal. Maka, puasa Syaaban terlebih afdhal berbanding bulan haram.

:: Kelebihan puasa Syaaban

Puasa Syaaban kadang-kadang dipandang remeh, Akan tetapi kelebihannya amat banyak. Antaranya:

1-Berdasarkan hadith, Syaaban ialah bulan yg manusia terleka akannya. Dalam hadith ini juga mengisyaratkan bahawa sebahagian ibadat yg masyhur kelebihannya kadang-kadang kurang afdhal berbanding selainnya. Maka manusia menyibukkan diri kerana masyhurnya kelebihan sesuatu lalu mereka terluput kelebihan yg lebih besar tetapi kurang kemasyhurannya.

Ulama menyatakan bahawa ibadat yg afdhal ialah ibadat dalam keadaan tersembunyi dan saat manusia sedang lalai daripada ketaatan. Oleh kerana itu, sekumpulan salaf gemar mengisi waktu di antara Maghrib dan Isya dengan solat. Mereka mengatakan waktu itu ialah waktu ghaflah (lalai). Begitu juga dengan kelebihan solat di tengah malam kerana saat itu ialah saat manusia sedang berada dalam kelalaian sepenuhnya daripada mengingati Allah.

Begitu juga dengan kelebihan zikir di pasar sebagaimana yg warid di dalam hadith dan athar. Ini ialah kerana lokasi itu ialah lokasi manusia leka daripada mengingati Allah.

Ibadat secara tersembunyi amat afdhal terutama ibadat puasa kerana puasa merupakan ibadat rahsia di antara hamba dan tuhannya.

Ada seorang ulama salaf yg berpuasa selama 40 tahun tanpa diketahui oleh seorang pun ketika itu. Beliau keluar dari rumahnya menuju ke pasar dengan membawa 2 keping roti. Lalu beliau pun menyedekahkan roti tersebut dan terus berpuasa. Maka ahli keluarga beliau menyangkanya telah makan roti yg dibawa ke pasar.. Manakala orang di pasar pula menyangkanya telah makan di rumahnya.

2-Puasa Syaaban lebih berat kerana persekitaran yg tidak membantu. Kurangnya manusia berpuasa pada bulan ini menyebabkan orang lain liat untuk berpuasa kerana jiwa manusia biasa terpengaruh dengan persekitaran. Akan tetapi hakikatnya, ibadat dalam keadaan berasa berat lebih afdhal.

Oleh kerana itu Rasulullah Sollallahualaihiwasallam,

“Orang yg beramal daripada kalangan mereka mendapat 50 pahala orang yg beramal di kalangan kamu. Sesungguhnya kamu mempunyai pendorong ke arah kebaikan manakala mereka tidak mempunyainya.” Hadith riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah.

“Islam itu bermula dalam keadaan ganjil dan akan kembali ganjil sebagaimana ia bermula maka beruntunglah bagi orang-orang yg ganjil.” Dalam riwayat lain, dikatakan, “Siapakan orang-orang yg ganjil itu?” Maka Rasulullah bersabda, “Orang-orang yg melakukan kebaikan ketika manusia telah rosak.”


“Beribadat dalam keadaan fitnah seperti berhijrah kepadaku” Hadith riwayat Imam Ahmad.


3-Orang yg melakukan ketaatan dalam keadaan orang lain meninggalkannya kadang-kadang boleh menghindarkan bala. (Dengan syarat orang tersebut melakukan amar maaruf nahi munkar). Maka orang yg berpuasa Syaaban seolah-olah mampu menahan daripada daripada diturunkan bala. Sebahagian salaf berkata, “Orang yg mengingati Allah yg berada dalam kelompok orang lalai seumpama orang yg mempertahankan pasukan yg sedang dikalahkan. Kalaulah tidak kerana orang yg mengingati Allah dalam keadaan kelalaian manusia itu, nescaya sesungguhnya akan binasalah manusia itu.”

4-Puasa Syaaban ibarat tamrin atau latihan untuk menghadapi puasa Ramadhan. Mudaha-mudahan manusia tidak masuk ke medan Ramadhan dalam keadaan lemah longlai. Mudah-mudahan juga kita telah merasai kelazatan dan kemanisan puasa lalu memasuki Ramadhan dalam keadaan cergas dan bersemangat.

Oleh kerana Syaaban itu umpama mukaddimah kepada Ramadhan, maka amatlah bagus jika amalan ketika Ramadhan telah dimulakan sejak mukaddimahnya . Sebahagian ulama menamakan bulan Syaaban dengan nama Syahrul Qurra’ iaitu bulan orang-orang yg membaca Al-Quran. Al-Hasan bin Sahl berkata, Bulan Syaaban berkata-kata, “Wahai Tuhanku, Kau telah menjadikanku di antara 2 bulan yg agung (Rejab dan Ramadhan), maka apakah yg terdapat padaku?” Maka dijawab, “Aku jadikan padamu terdapat bacaan Al-Quran.”

Puasa pada siang hari nisfu Syaaban sunat kerana ia termasuk dalam keumuman sunat puasa Syaaban dan juga termasuk hari-hari putih yg memang disunatkan puasa pada setiap bulan iaitu setiap 13, 14 dan 15 haribulan.

:: Hadith-hadith kelebihan malam nisfu Syaaban

Terdapat banyak hadith yg menyatakan kelebihan malam nisfu Syaaban. Terdapat ulama yg menghukum dhaif terhadap hadith-hadith tersebut. Manakala sebahagian yg lain mentashihkannya. Antaranya Ibnu Hibban yg mentashihkan sebahagian hadith tersebut lalu meletakkannya di dalam kitab Sohihnya. Hayatilah sebuah hadith riwayat Abdullah bin ‘Amru, Rasulullah Sollallahualaihiwasallam bersabda,

“Sesungguhnya Allah memandang kepada makhlukNya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia ampunkan hamba-hambaNya kecuali dua iaitu orang yg berdendam dan yg membunuh.” Riwayat Ahmad.

Andainya sejumlah hadith ini dhaif sekalipun, maka ia masih boleh digunakan untuk fadhail amal selagimana ia tidak maudhu’ atau dhaid jiddan.


:: Khilaf ulama dalam mengagungkan malam nisfu Syaaban

Ulama Tabi’en daripada kalangan Ahli Syam seperti Makhul dan Luqman bin ‘Amir mengagungkannya dan bersungguh-sungguh beribadat pada malam itu.

Kebanyakan Ulama Hijaz pula mengingkarinya. Antaranya ialah ‘Atho’ dan Ibnu Abi Mulaikah. Pendapat ini juga dinakalkan oleh Abd Rahman bin Zaid bin Aslam daripada Fuqoha’ Ahli Madinah iaitu pendapat Ashab Malik dan selain mereka. Mereka berkata: Itu semuanya bidaah.

Ulama Ahli Syam yg berpendapat mengagungkan malam nisfu Syaaban berselisih pula mengenai cara menghidupkan malam tersebut.

Pendapat pertama: Disunatkan menghidupkannya secara berjemaah di masjid-masjid. Sebahagian ulama Ahli Syam antaranya ulama Tabi’en, Luqman bin ‘Amir akan memakai pakaian yg paling bagus, membakar bukhur, bercelak dan menghidupkan malam nisfu Syaaban di masjid.

Pendapat ini juga dipegang oleh Ishak bin Ruhawaih dan berkata, "Melakukan secara berjemaah di masjid-masjid, tidaklah perkara itu bidaah."

Pendapat kedua: Makruh berhimpun pada malam itu di masjid untuk solat dan berdoa. Dan tidak makruh seseorang melakukannya khas untuk dirinya sendiri. Dan ini pendapat Imam Ahli Syam, Al-Auzai’e. Imam Ibn Rejab Al-Hanbali mengulas pendapat ini dan berkata, “Dan ini lebih dekat, insya Allah Taala.”


Imam Syafie berkata, “Telah sampai khabar kepada kami, bahawa doa itu dimakbulkan pada 5 malam. Malam Jumaat, dua malam hari raya, malam awal Rejab dan malam Nisfu Syaaban.”

Imam Muhammad Zahid Al-Kauthari pula mengatakan walaupun hadith yg warid tentang nisfu Syaaban itu lemah tapi ia mempunyai sokongan. “Maka kelebihannya tidak boleh diingkari. Begitu juga kelebihan berdoa, istighfar dan beribadah pada malam itu. Oleh kerana itu, kamu akan mendapati di dalam kitab-kitab ulama Fiqh yg menganggap bahawa menghidupkan malam nisfu Syaaban termasuk di dalam malam-malam yg disunatkan untuk menghidupkannya di sisi Syara’.”


:: Kesimpulan

Setelah dilontarkan pelbagai pendapat tentang keharusan menghidupkan malam nisfu Syaaban, maka wajib bagi kita berlapang dada dengan perselisihan yg telah berlaku dan jangan terlalu mudah menghukum bidaah dan haram. Malangnya, masih wujud sekelompok manusia yg keras mempertahankan bidaahnya dan menganggap mereka yg terlibat dengan nisfu Syaaban ini sebagai pelaku bidaah dan haram sehingga membawa kepada persengketaan yg tidak berkesudahan.

"Jangan gaduh-gaduh! Kita berdamai ye!"

Bahkan setiap kali sambutan Maulid Nabi, Isra’ Mikraj, Nisfu Syaaban dan seumpamanya, kita akan mendengar beberapa kalimah yg sentiasa diulang-ulang iaitu bidaah, haram, jahil hadith, taqlid buta dan yg sewaktu dengannya. Saya sengaja menyatakan pelbagai pendapat di atas untuk menunjukkan wujudnya perselisihan ini sejak zaman dahulu. Yang menariknya, mengapa perselisihan ketika itu tidak pula membawa kepada perpecahan di kalangan ummah sebagaimana yg berlaku pada hari ini?

Imam Ibnu Rejab menyatakan bahawa pada malam tersebut, hendaklah orang yg beriman mengosongkan malam itu untuk mengingati Allah, berdoa kepadaNya untuk mengampunkan segala dosa, menutup segala keburukan, menyelesaikan kesusahan dan mendahulukan taubat sebelum segala-galanya.


Rujukan:

Lathoiful Ma'arif karangan Ibnu Rejab Al-Hanbali
Maqolat Al-Kauthari, himpunan tulisan Imam Muhammad Zahid Al-Kauthari


p/s:
Esok keluarga saya akan menyertai himpunan raksasa di KL untuk menunjukkan protes dan menekan kerajaan supaya MANSUHKAN ISA. Kalaulah saya dapat bersama mereka. "Orang yg tidak membenci ISA, tiada iman di dalam dirinya." kata saya.

Rumah kawan saya dimasuki pencuri. Kerugian dianggarkan lebih kurang LE 6000. Innalillah!

Saturday, July 25, 2009

Berhenti wahai sang mentari

"Bercakaplah denganku...", kata seseorang kepada seorang tokoh tabiin, 'Amir bin Abdi Qais. Lalu 'Amir menjawab, "Peganglah matahari." Maksud beliau, "Hentikanlah pergerakan matahari dan sekatlah ia daripada terus bergerak, barulah aku akan bercakap denganmu."

Sesungguhnya masa akan terus bergerak dan ia tidak akan pulang kembali setelah ia berlalu. Apabila masa mengucapkan selamat tinggal, maka ia benar-benar memaksudkannya. Kerugian masa ialah kerugian mutlak. Kerugian yg tidak mungkin digantirugi dan tidak mungkin dituntut kembali. Manusia sekaya Bill Gates dan Warren Buffett pun pasti bankrup untuk membayar gantirugi. Fikir sejenak, jika jam 9 hingga 10 pagi ialah waktu membaca lalu ditangguhkan dan dibiarkan waktu itu kosong sehingga ke jam 10, sebenarnya satu jam yg telah berlalu itu tidak terganti dengan sejam selepasnya. Walaupun anda benar-benar membaca bermula jam 10 dan selesai pada jam 11. Anda fikir anda menggantikan sejam yg telah berlalu. Tapi secara hakikatnya, jam 10 hingga jam 11 juga sememangnya telah ditetapkan untuk anda membaca. Ini bererti, sejam yg lalu kosong tanpa gantian! Kerana setiap waktu itu punya kerja yg mengisinya.


Kesibukan yg melanda bukanlah satu alasan yg bijak untuk saya berhenti menulis. Disiplin dalam kehidupan dan bijak mengatur masa ialah kunci kejayaan para ulama. Ditambah pula dengan keberkatan waktu yg dikurniakan oleh Allah, maka terhasil satu keajaiban yg jarang mendapat perhatian manusia melainkan bagi mereka yg meneliti.

Bagaimana agaknya Ibnu 'Aqil Al-Hanbali mampu mengarang kitab Al-Funun yg tersangat besar kuantitinya?! Jumlah keseluruhannya memenuhi sebuah perpustakaan! Sebuah kitab yg membicarakan pelbagai disiplin ilmu; Tafsir, Fiqah, Usul Fiqah, Akidah, Nahu, Lughah, Syair, Sejarah ... ...

Imam Az-Zahabi menyebut, "Tidak pernah dikarang di dalam dunia sebuah kitab yg lebih besar daripada kitab ini." Imam Ibnu Rejab pula menyebut, "Jumlahnya 800 jilid." Sedangkan karangan Ibnu 'Aqil berjumlah 20 buah karangan dan sebahagiannya pula ada yg mencapai 10 jilid. Mungkinkah tempoh satu hari bagi Ibnu 'Aqil melebihi 24 jam?

Masa bukanlah seperti botol plastik. Tiada istilah kitar semula atau guna semula. "Masa itu kehidupan." Itulah antara kata-kata Imam Hasan Al-Banna. Selagi mana mentari berputar, selagi itulah masa bergerak. Andai ku mampu menghentikan pergerakanmu sang mentari...

Kitab Qimat Az-Zaman karya Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah merupakan motivasi terbaik untuk menyedarkan saya hakikat masa. Jazakumullah Syeikh!


p/s: Fiqah: Ini ejaan yg betul, berdasarkan Kamus Dewan edisi keempat. Kamus Dewan, teman saya sejak beberapa minggu.

Tuesday, July 14, 2009

Ulasan berita dunia

Saya mencuri masa di tengah-tengah kesibukan yg pelbagai. Program Bazaria Seri Iman berlangsung meriah. Program kembara bersama adik-adik medic ke Matruh dan Siwa juga telah berlalu. Mereka telah pun pulang bercuti ke tanah air. Kerja mengedit sejumlah tulisan yg ditaklifkan kepada saya masih belum siap. Berbekalkan sebuah kamus Arab-Arab, sebuah kamus Arab-Melayu, sebuah Kamus Dewan Edisi Keempat dan sebuah Kamus Dwibahasa Oxford Fajar. Tugas saya yg sepatutnya berlegar sekitar masalah tatabahasa akhirnya diberatkan lagi dengan beberapa pembetulan fakta yg perlu dilakukan. Maka, saya perlukan senjata berat. Err, sebenarnya saya telah pun melepasi deadline. Kerja-kerja penyusunan kitab di perpustakaan juga masih tertunda. Insya Allah sedikit masa lagi, saya akan selesaikan segala kerja yg tertunda itu. Ya Allah, bantulah saya.

~Oh, tidak! Saya bukan ingin meraih simpati! Saya tahu di luar sana ramai lagi yg jauh lebih sibuk dari saya.

Saya terputus maklumat dengan dunia luar sejak lama. Ya, saya punya kemudahan maklumat di hujung jari tetapi kemudahan sebegitu tidak banyak membantu dalam waktu-waktu sebegini. Nasib baik kawan-kawan berperanan sebagai pemberita tak rasmi. Saya ingin mengulas ringkas berita-berita berikut walaupun saya rasa saya agak ketinggalan.


Michael atau Mikael?

Mungkin agak ketinggalan untuk mengulas isu hangat ini. Berita kematian Michael Jackson menggegarkan dunia. Peminatnya di seluruh dunia menangisi pemergiannya. Masyarakat dunia bingung memikirkan status agama penyanyi pop dunia itu. Saya dimaklumkan beliau dikebumikan mengikut cara Islam. Cara pengebumiannya ini sekaligus akan menentukan status agama beliau. Saya bersangka baik beliau seorang muslim dan mati sebagai seorang muslim. Berdasarkan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah, sejahat mana pun seseorang tetapi selagi mana beragama Islam, dia akan tetap ditempatkan di syurga walaupun mungkin terpaksa direndam di dalam neraka terlebih dahulu selama beberapa tempoh waktu. Ulasan ini umum, bukan untuk Michael atau Mikael.


~Gara-gara ragukan berita keislamannya, saya tidak sedekahkan Al-Fatihah kepadanya.


Natrah: Akidah yg terbunuh

Saya dikejutkan dengan kematian Natrah atau Bertha Bertogh. Beliau meninggal dunia ketika berusia 72 tahun akibat leukimia. Salah satu latar tempat tragedi Natrah ialah Kemaman, Terengganu, yg merupakan tempat Natrah membesar. Kemaman, lokasi transit kebiasaan saya dalam perjalanan pulang ke Kuantan dari Kuala Terengganu. Ketika itu, saya langsung tidak tahu bahawa Kemaman sebenarnya menyimpan sejarah yg amat pahit untuk ditelan. Untuk bacaan terperinci, anda baca saja di sini.

Rusuhan Tragedi Natrah sekitar tahun 1950-an

Penyakit leukimia yg meragut nyawanya tersangat ringan jika dibandingkan dengan penyakit akidah yg meragut agamanya. Penyakit akidah yg kronik itu bukan kerana sikapnya yg sengaja mengabaikan kesihatan akidahnya. Beliau hanya seorang kanak-kanak di saat itu. Penyakit itu berpunca daripada perancangan jahat British untuk melihat seorang gadis Islam dimurtadkan. Betapa celakanya, perancangan keji mereka beroleh kejayaan. Tragedi itu menyaksikan 18 orang terkorban demi membayar harga akidah seorang gadis. Hakikatnya, akidah itu tidak ternilai harganya. Walau seluruh makhluk dari zaman terciptanya alam hingga kiamat mengorbankan diri mereka sekalipun, nescaya tidak akan mampu membayar kembali harga akidah yg telah dibunuh. Oh, itu kisah tahun 1950-an.


Saya terfikir, mungkinkah Natrah sebenarnya menyembunyikan akidahnya sehingga ke akhir hayatnya? Tidak mustahil! Jika akidahnya masih tertanam di dalam hatinya, walaupun jasad beliau tertanam di tanah perkuburan bukan Islam sekalipun, beliau akan bangkit dengan roh seorang Muslimah. Cuma, kita diperintah menghukum berdasarkan zahir.

50 tahun berlalu, gejala murtad kian berleluasa. Kita mendesak pihak kerajaan supaya bertanggungjawab menanganinya. Bukan semata-mata desakan supaya dikenakan hukuman bunuh kepada pesalah jenayah murtad, bahkan yg lebih penting ialah pencegahan yg BERSUNGGUH untuk mengelakkan masyarakat daripada terus terjerumus ke dalam lembah durjana ini. Bukannya hanya desakan untuk menghukum setelah bersalah, tapi untuk mencegah sebelum tersalah.

Kerajaan sepatutnya berperanan sebagai pengawal kepada akidah Islam. Kerajaan mesti bertindak menjaga dan memelihara agama daripada dicerobohi unsur-unsur luar yg membinasakan. Saya pernah mengupas secara ringkas kaitan antara kerajaan dan akidah di sini. Dulu, apabila satu jiwa dipaksa murtad, 18 jiwa terpaksa mati. Kini, ratusan ribu yg rela murtad, adakah tiada jiwa yg rela mati? Tiada lagi rusuhan. Jika merusuh, ISA jawabnya! Oh Malaysia, tanah airku.


Marwa El-Sharbini: Simbol keganasan barat

Saya menaiki bas menuju ke kelas bersama Mat Salik. Lalu, Mat bertanyakan berita yg terpampang di muka depan akhbar yg sedang dibaca oleh seorang pakcik Arab. Kelihatannya seperti berita utama. Pakcik Arab itu duduk di hadapan kami. Saya mengintai dari belakang . Kelihatan gambar lukisan seorang lelaki yg memegang sebilah pisau sedang menerkam. Tulisan di bawah gambar berbunyi lebih kurang, 'Seorang lelaki membunuh seorang wanita Muslim Mesir yg berhijab, di dalam mahkamah di Jerman.' Kami bingung. Membunuh di dalam mahkamah?!

Ketika di Matruh, Anas bertanyakan kisah Marwa El-Sharbini. Saya menggeleng kepala tanda tidak tahu. Sehinggalah tiba di rumah, akhirnya segala-galanya terjawab. Seorang wanita Islam yg berasal dari Mesir ditikam sebanyak 18 kali di dalam sebuah mahkamah di Jerman. 18 kali tikaman?! Di dalam mahkamah?! Ya. Gara-gara bertudung. Tudung itu diterjemahkan sebagai lambang keganasan menurut akal pendek si pembunuh. Siapa pengganas sebenarnya?! Err, adakah mahkamah itu kosong sehingga si binatang itu sempat menikam sebanyak 18 kali tikaman? Untuk maklumat tambahan, anda baca di sini. Atau anda google sahaja, baca semua sekali. Tapi, dikatakan media barat sengaja mendiamkan berita ini. Marwa dikebumikan di Iskandariah, Mesir pada 6 Julai 2009.




Wahai muslimah, saya merayu, hargailah kebebasan yg anda kecapi. Betapa susahnya muslimah di luar sana bertudung sehingga diancam bunuh. Di Malaysia lain pula ceritanya. Betapa mudahnya muslimah di tempat kita menanggalkan tudung. Sesuka hati mereka. Cuba renungkan. Mengapa muslimah di luar sana terus berkeras untuk bertudung? Ada apa dengan tudung?!


Islam menang di MU

Alhamdulillah, ini berita terbaru yg mendapat tempat di minda saya, Islam menewaskan sekular di MU. Walaupun kemenangan tipis 65 undi. Saya menarik nafas lega, walaupun agak terkejut dengan kesedaran keluar mengundi di kalangan para pengundi di MU. 87 peratus. Peratusan keluar mengundi yg agak 'membanggakan.' Saya kira, BN berjaya memuja roh-roh jahat untuk turut sama keluar mengundi untuk mereka. Wallahu'alam.



Cukuplah sekadar ini sahaja. Saya bukannya seorang pengulas berita pun. Saya ingin sambung kerja.

Blog Widget by LinkWithin