Thursday, December 4, 2008

Kaitan antara Akidah dan Kerajaan

Baru-baru ini saya berbual dengan kawan-kawan tentang murtad. Apabila berbicara tentang isu ini, saya terkenang sebuah kisah penuh duka yg berlaku pada sekitar tahun 1950-an. Kisah Natrah, kisah yg menggambarkan tragedi perjuangan berdarah umat Islam ketika itu demi menyelamatkan akidah seorang muslimah yg ingin dimurtadkan. Malangnya, kisah Natrah kekal sebagai sejarah semata-mata. Tiada pengajaran yg diambil daripadanya.

:: Akidah binasa tanpa pembelaan
Pada hari ini kita menyaksikan puluhan bahkan ratusan ribu muslim telah murtad. Cuba renung, tragedi Natrah yg melibatkan seorang muslimah sahaja yg dimurtadkan telah cukup untuk menggelegakkan darah ummah ketika itu. Ada yg terkorban dan tidak sedikit yg cedera. Semata-mata untuk mempertahankan akidah seorang muslimah sahaja. Tragedi murtad pada hari ini pula melibatkan jumlah yg amat menakutkan, tapi darah ummah mengalir tenang. Ada pula mulut pemimpin yg cabul mendakwa jumlah sebenar yg murtad tidak sebagaimana yg digembar-gemburkan. Kasihannya orang ini. Bodoh atau buat-buat bodoh.

Mengapa tragedi Natrah sanggup mengorbankan sejumlah nyawa walaupun yg dimurtadkan hanya seorang? Kerana mereka faham bahawa krisis murtad bukan krisis bilangan. Tapi krisis nilai. Seberapa banyak pun yg dimurtadkan bukan persoalannnya. Persoalannya ialah akidah ummah tidak terjaga! Akidah ummah tergadai begitu murah. Apakah nilai sebuah akidah sebenarnya? Tidak ternilai...

Isu Natrah membangkitkan kemarahan masyarakat Islam ketika itu.

Tidak cukup dengan itu, ada pula yg memohon daripada Jabatan Pendaftaran Negara untuk membuang perkataan Islam yg tercatat pada kad pengenalannya. Kononnya untuk membuktikan kekafirannya secara rasmi. Hakikatnya, tersirat di sebaliknya satu penghinaan besar terhadap agama Islam. Oh, silap! Bukan penghinaan terhadap agama Islam tetapi penghinaan terhadap umat Islam. Islam tidak pernah hina, tapi penganutnya yg hina apabila meninggalkan akidah, syariat dan akhlaknya.

Tragedi begini tidak mustahil berlaku kepada sesiapa sahaja. Masyarakat Malaysia berada dalam ancaman terbesar yg pernah melanda mereka. Ancaman terhadap akidah umat. Generasi akan datang berada dalam bahaya yg amat sangat. Ancaman bunuh nyawa hanya melibatkan nyawa. Ia akan bangkit semula dengan jasadnya di akhirat kelak. Tapi ancaman bunuh akidah jauh lebih berbahaya. Sekiranya tidak diselamatkan, ia tidak akan bangkit sama sekali di akhirat kelak. Kerana akidah yg dibunuh ini telah mati buat selama-lamanya. Nauzubillah.

Seolah-olah tiada halangan atau sekatan untuk murtad. Malangnya, sekelompok manusia pada hari ini sibuk menumpukan persoalan cabang dalam agama sedangkan persoalan usulnya tidak terjaga. Bergaduh sesama sendiri. Musuh bersorak sambil bertepuk tangan. Cukuplah pecah belahkan ummah atas nama yg suci itu! Kita sedang diancam bahaya.

Sekelompok yg lain hanya pentingkan perut dan takhta. Islam yg dinginkan hanya yg selari dengan nafsu celaka. Talam bermuka-muka. Apabila bersama dengan para ulama dan golongan profesional, maka ilmu, Al-Quran dan Hadith yg dibentangkan. Apabila bersama dengan muda mudi yg gila hiburan, maka muzik dan seks yg ditawarkan. Apabila bersama dengan orang kampung, maka kain pelekat, RM dan janji yg ditaburkan. Apabila bersama dengan yg sekepala dengan mereka, maka projek dan rasuah yg disuakan.

Saya juga sedang menyalahkan diri sendiri. Apakah yg telah saya sumbangkan untuk ummah ini? Saya perlu mencari sebelum memberi.' فاقد الشيء لا يعطي ' Orang yg tiada apa-apa tidak boleh memberi. Apa yg ingin diberi? Diri sendiri fakir. Fakir ilmu, fakir akhlak, fakir amal, fakir harta.

:: Tanggungjawab Kerajaan memelihara agama
Ah, cukup! Saya sudah menyalahkan diri sendiri. Masa untuk menyalahkan orang lain pula. Dan memang layak pun mereka dipersalahkan. Siapakah yg bertanggungjawab memelihara akidah ummah? Pihak nombor satu yg perlu dipersalahkan ialah kerajaan! Tanpa saya menafikan tanggungjawab dan peranan pihak-pihak lain. Imam Ghazali telah menjawab persoalan ini dalam kitab beliau, Ihya' Ulumiddin dalam Bab Kedua, Kitab Al-'Ilm. (m/s 23, cetakan Darul Fikr, Beirut)

Imam Ghazali mengatakan,

Tulisan di dalam kurungan ialah matan kitab Ihya' Ulumiddin dan yg berada di luar kurungan ialah Ithaf Sadat Al-Muttaqin syarah kepada Ihya, karangan Imam Murtadha Az-Zabidi.

"Kerajaan dan agama itu ialah 2 kembar. Dan agama itu asal (asas), dan pemerintah itu pengawal. Dan apa yg tiada asal (asas) baginya, maka ia akan runtuh. Dan apa yg tiada pengawal baginya, maka ia akan hilang."

Sebelum itu, Imam Ghazali menyebut bahawa Faqih (ulama) merupakan mu'allim atau guru kepada pemimpin atau mursyid kepadanya dalam perkara politik. Di negara kita, para ulama digam kerana menegur kerajaan. Tidak kurang juga yg di'ISA'kan. Ada yg dihantar jauh dari kaum keluarga. Tujuan mereka semata-mata untuk menutup mulut yg mengkritik mereka. Maka siapakah lagi yg akan meluruskan perjalanan kerajaan apabila kerajaan terpesong?

Agama dan kerajaan tidak boleh terpisah. Kerajaan merupakan sebuah pasukan yg dipimpin oleh seorang ketua. Ketua inilah yg akan memelihara agama daripada diserang dari segenap penjuru. Dialah yg memberikan arahan dan perintah. Sekiranya dia mengabaikan tanggungjawab memelihara agama ini bermakna dia telah mengabaikan tanggungjawab utamanya. Pengawasan terhadap agama terabai dan terbiar kerana tiada lagi pengawal yg menjaganya. Maka, agama akan binasa. Akidah hancur. Syariat musnah. Akhlak punah. Masyarakat terumbang-ambing.

Sehinggalah Allah menggantikan mereka dengan golongan yg lain. Ciri-ciri mereka disebut oleh Allah di dalam Surah Al-Maidah, ayat 54:

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَن يَرۡتَدَّ مِنكُمۡ عَن دِينِهِۦ فَسَوۡفَ يَأۡتِى ٱللَّهُ بِقَوۡمٍ۬ يُحِبُّہُمۡ وَيُحِبُّونَهُ ۥۤ أَذِلَّةٍ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى ٱلۡكَـٰفِرِينَ يُجَـٰهِدُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوۡمَةَ لَآٮِٕمٍ۬‌ۚ ذَٲلِكَ فَضۡلُ ٱللَّهِ يُؤۡتِيهِ مَن يَشَآءُ‌ۚ وَٱللَّهُ وَٲسِعٌ عَلِيمٌ (٥٤
"Wahai orang-orang yg beriman, sesiapa di kalangan kamu yg murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan satu golongan yg Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai Allah, bersikap lemah lembut terhadap orang beriman, tegas terhadap orang kafir, berjihad di jalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang yg mencela. Itulah kurniaan Allah yg Dia kurniakan kepada sesiapa sahaja yg dikehendakiNya. Dan Allah itu Maha Luas (pemberianNya) lagi Maha Mengetahui." Surah Al-Maidah, ayat 54.

Walaupun Asbab Nuzul ayat ini berkaitan dengan apa yg berlaku di zaman Nabi Sollallahualaihiwasallam, tetapi para ulama mengajar kita bahawa,' العبرة بعموم اللفظ لا بخصوص السبب ' Pengajaran diambil berdasarkan lafaz yg umum dan bukan sebab yg khusus.

Maka , marilah sama-sama kita membentuk peribadi kita berdasarkan ciri-ciri yg disebut di dalam ayat di atas. Terdapat 6 ciri:
  • Mereka dicintai Allah.
  • Mereka mencintai Allah (dengan menjunjung perintahNya dan menjauhi larangannya)
  • Bersikap lemah lembut terhadap orang beriman (kasihan belas dan merendahkan diri sesama mereka)
  • Bersikap tegas terhadap orang kafir(yg memerangi mereka)
  • Berjuang di jalan Allah (untuk meninggikan kalimah Allah)
  • Tidak takut kepada celaan orang yg mencela (kerana thabatnya mereka di atas agama Islam)
Sifat-sifat ini merupakan pemberian daripada Allah terhadap sesiapa sahaja yg Dia kehendaki. Tetapi orang beriman wajib berusaha untuk memiliki sifat-sifat ini. Seterusnya, mereka akan menjadi golongan yg layak untuk mewarisi kekuasaan memakmurkan bumi ini.

:: Kesimpulan
Kerajaan pada hari ini dianggap tidak pernah serius dengan gejala murtad yg berleluasa. Ditambah pula dengan gejala sosial yg bermaharajalela. Konsert tajaan kerajaan terus mendapat sambutan. Masjid-masjid sunyi. Bak kata seorang ustaz, "Masjid tunggu jemaah, mikrofon tunggu bilal, sejadah tunggu pak imam."

Jadi apa sikap anda terhadap kerajaan sekarang? Biarkan generasi masa depan terbunuh akidahnya? Syariat entah ke mana. Akhlak pula lebih keji dari binatang. Renungkan sendiri kemudian bertindak.


Rujukan:
Ihya' Ulumiddin, karangan Imam Ghazali
Tafsir Al-Munir, karangan Dr. Wahbah Az-Zuhaili

1 comments:

Anonymous said...

Allah yeftah alaik.Robbuna yusahhil lakk..ya hamaaada!
waza

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin