Thursday, May 21, 2009

Cetusan hati di pagi hari

Jam menunjukkan pukul 2 pagi. Keadaan amat sunyi. Saya nekad untuk tidak melelapkan mata. Saya tertidur sejak sebelum Isyak lagi. Esok, saya akan menduduki peperiksaan bertulis bagi subjek Fiqh. Silibusnya ialah bab yg tidak akan dilaksanakan di Malaysia selagimana kerajaan rimba hari ini tidak ditumbangkan. Bab Hudud. Bab yg ditakuti oleh muslim yg tidak memahami. Mereka tidak bersalah secara total. Mereka diberi maklumat yg salah. Jadi, ini krisis maklumat yg diputarbelit. Maka, natijahnya ada non-muslim yg yakin dengan Hudud malah menyokongnya. Dan ada pula muslim yg takut dengan Hudud lantas menolaknya.

Kawan-kawan yg datang ke rumah saya sering saya anggap sebagai tetamu. Datangnya mereka menggembirakan saya. Sekarang semuanya sedang tidur. Mudah-mudahan tidur mereka diulit dengan mimpi yg indah. Mereka kawan-kawan yg mulia. Andai kalian mimpikan Nabi Muhammad Sollallahualaihiwasallam, jangan lupa sebutkan nama saya di hadapan Baginda. Minta supaya Baginda doakan saya.

Kemuliaan hakiki dinilai berdasarkan ketakwaan. Seorang ulama yg jahat adalah hina di sisi Tuhannya. Seorang pakcik tua yg baru belajar Alif Ba Ta setelah menyesali kehidupan silamnya adalah mulia di sisi Tuhannya. Terngiang-ngiang di telinga saya akan kata-kata yg pernah dituturkan oleh Syeikh Ahmad Hafizohullah, "Seawal-awal taqwa ialah kesedaran." Kesedaran itulah yg membawa tuannya menaiki satu demi satu anak tangga kemuliaan.


Rasa hina diri adalah kemuliaan di sisi Allah. Rasa mulia diri adalah kehinaan di sisi Allah. Waktu yg paling tepat untuk berasa hina ialah ketika dahi mencecah ke lantai bersujud, bermunajat memohon keampunanNya. Makhluk termulia telah bengkak kakinya gara-gara solat malam. Baginda ingin mengajar umat kesayangannya bahawa waktu tengah malam ialah waktu yg amat sesuai untuk bersujud, menghina diri di hadapan Tuhan Yang Maha Mulia. Kemuliaan seorang hamba terletak pada Qiamullailnya dan kehebatannya ialah apabila dia tidak bergantung kepada selain Tuhannya.

Bermunajatlah memohon keampunanNya. Pintalah, nescaya akan dikabulkan. Yakinlah akan janji Tuhanmu, sesungguhnya Dia tidak pernah dan tidak akan sekali-kali memungkiri janjiNya. Kadang-kadang hati ini keliru, tidak tahu apa yg ingin dipinta. Teringat kata-kata Imam Haddad Rahimahullah yg mengajar akan hakikat berdoa. Berdoa bukanlah untuk memberitahu hajat kepada Tuhan Yang Maha Tahu. Berdoa ialah satu bentuk persembahan oleh hamba kepada Tuhannya. Persembahan seorang hina yg terlalu fakir untuk membuktikan kefakirannya kepada Tuhannya. Sesungguhnya telah cukup ilmu pengetahuan Allah akan apa yg dihajati oleh hati kecil setiap hambaNya. Maka, berdoa hanyalah semata-semata untuk mempamerkan kehambaan sang hamba kepada tuannya. Sekadar itu sahaja, bukan untuk mengadu isi hatinya. Apa guna memberitahu kepada yg lebih mengetahui akan keadaan dirinya?

Imam Haddad Rahimahullah berkata,
قد كفاني علم ربي /// من سؤالي واختياري
فدعائى وابتهالي /// شاهد لي بافتقاري

"Sesungguhnya telah cukup bagiku ilmu Tuhanku tentang permintaan dan usahaku, maka doa serta permintaanku sebagai bukti kepada kefakiranku."

Cukup sekadar ini sahaja. Esok saya ada dua projek yg perlu diselesaikan. Saya akan menduduki peperiksaan dan saya juga akan bertemu Dr. Fauzi Hamat, pensyarah Fakulti Usuluddin di Universiti Malaya. Beliau baru tiba bersama 30 orang pelajar UM. Ahlan wasahlan ke bumi para nabi dan ulama!

Hmmm... internet terputus seketika.

~Sambung study~

Terus terang saya mengatakan saya agak sibuk + malas untuk meneruskan penulisan berkaitan istilah-istilah Usul Fiqh yg saya gunakan dalam artikel yg lalu. Tetapi, saya akan copy paste tulisan berkenaan perbezaan antara khilaf dan ikhtilaf daripada blog Tahu, Faham & Amal milik Ibnu Nafis.


KONSEP IKHTILAF ATAU KHILAF

Ikhtilaf dalam bahasa Arab membawa maksud tidak sependapat atas sesuatu perkara dalam ertikata setiap orang mengambil jalan yang berbeza sama ada dalam perkataan mahu pun pendapat. Ikhtilaf juga memberi erti tidak sama, oleh itu setiap yang tidak sama dikatakan ikhtilaf. Sementara khilaf ialah pertentangan atau berlawanan “ ”مضادة (mudadah), jadi ia membawa erti yang sama dengan ikhtilaf, walaupun maknanya lebih umum.7

Ikhtilaf menurut istilah fuqaha’ bererti berbeza tentang pendapat, agama, jalan-jalan dalam agama dan kepercayaan terhadap sesuatu yang boleh membawa kebahagiaan atau kecelakaan kepada manusia di dunia dan akhirat.8

Al-Imam al-Syatibi berpendapat al-Khilaf ialah sesuatu yang lahir dari hawa nafsu yang menyesatkan, bukan hasil daripada mencari objektif syara’ dengan mengikut dalil-dalilnya. Oleh itu ia tidak diambilkira kerana lahir daripada hawa nafsu, sepertimana tidak mengambil kira mana-mana pendapat yang menyalahi hukum syara’ yang sabit secara qat’iy. Manakala Ikhtilaf menurut Syatibi ialah:

• Pendapat-pendapat yang lahir daripada ulama mujtahidin dalam masalah-masalah ijtihadiyyah yang tiada nas qat’iy padanya, atau

• Pendapat-pendapat terhadap masalah-masalah yang berlaku di antara dua pihak yang jelas bertentangan menurut pandangan mujtahidin disebabkan tersembunyi sebahagian dalil-dalil dan tidak ditemuinya.9

Namun demikian perbezaan di antara Ikhtilaf dan Khilaf yang dikatakan oleh al-Syatibi itu hanyalah istilah sahaja yang dilihat tidak ada kekuatan sandarannya, kerana para fuqaha’ telah menggunakan al-khilaf dan al-ikhtilaf dengan makna yang sama sahaja iaitu “Sesuatu yang tidak disepakati para fuqaha’ dalam masalah-masalah ijtihad tanpa memandang betul atau salah atau ganjil pendapat yang diperkatakan itu”.10

Penerangan dan Sumber Rujukan :

7 Kerana khilaf itu sebahagian daripada (al-did) dan tidak semestinya setiap dua benda yang berbeza itu berlawanan, walaupun dua benda yang berlawanan itu berbeza. Lihat Ibn Manzur (t.t) “Lisan al-Arab”, Matba’ah al-Dar al-Arabiyyah Lial-Ta’lif wa al-Tarjamah. Kaherah. jld :1, hal : 430

8 Al-Syatibi, Abu Ishaq Ibrahim bin Musa al-Lakhmi al-Gharnati (t.t), “al-Muwafaqat”, Kaherah. Matba’ah ‘Ali Subaih Wa Auladihi. jld : 4, hal : 110

9 Ibid

10 Dr. Abd al-Karim Zaidan (1982), “Majmu’ah Buhuth Fiqhiyyah”, hal : 275. Lihat juga Ibn Taymiyyah (1326H), “Majmu’ al-Fatawa”, Matba’ah Kurdistan. Kaherah. jld : 20. hal : 42

Sumber asal: Adab Dalam Khilaf Ulamak 5

Saya menyahut permintaan daripada komen terhadap siri-siri artikel Adab-Adab Ikhtilaf. Iaitu berkenaan penggunaan istilah-istilah yg kurang difahami oleh mereka yg tidak berpeluang mempelajari ilmu agama secara lebih mendalam. Istilah-istilah yg digunakan ialah istilah-istilah dalam ilmu Usul Fiqh. Saya hanya akan menjelaskan secara ringkas. Saya akan memulakan dengan istilah-istilah berkaitan Nas. Nas yg saya maksudkan di sini ialah teks-teks syara' samada Al-Quran atau Hadith.


قطعية الثبوت (Qot'ie Thubut) : Bermakna sumber sesebuah nas itu ialah qot'ie (pasti). Iaitu nas tersebut diriwayatkan oleh golongan sahabat daripada Rasulullah secara mutawatir, lalu golongan tabiin meriwayatkan nas tersebut daripada golongan sahabat secara mutawatir. Dan golongan Tabi' Tabiin meriwayatkan nas tersebut daripada golongan Tabiin secara mutawatir ... sehinggalah sampai kepada kita. Mutawatir ialah 'Periwayatan yg berlaku pada setiap peringkat oleh sejumlah manusia yg mustahil berlakunya persepakatan mereka untuk berdusta.'

Nas yg bersifat قطعية الثبوت ialah Al-Quran dan Hadith Mutawatir.

Lawan kepada قطعية الثبوت ialah ظنية الثبوت

____________

ظنية الثبوت (Dzonni Thubut) : Bermakna sumber sesebuah nas itu dzonni (tidak qot'ie). Iaitu nas tersebut diriwayatkan daripada Rasulullah tidak secara mutawatir. Nas yg bersifat ظنية الثبوت (Dzonni Thubut) ialah Hadith-hadith selain Hadith Mutawatir. Al-Quran secara keseluruhannya tidak bersifat ظنية الثبوت (Dzonni Thubut) kerana seluruh Al-Quran diriwayatkan secara mutawatir.

Kedua-dua jenis nas di atas masing-masing bersifat pula dengan قطعية الدلالة (Qot'ie Dilalah) danظنية الدلالة (Dzonni Dilalah). Jadi ada empat bahagian,

1- Qot'ie Thubut yg bersifat Qot'ie Dilalah
2- Qot'ie Thubut yg bersifat dengan Dzonni Dilalah
3- Dzonni Thubut yg bersifat Qot'ie Dilalah
4- Dzonni Thubut yg bersifat Dzonni Dilalah

1-
قطعية الدلالة (Qot'ie Dilalah) : Makna yg ditunjukkan oleh sesebuah nas itu ialah hanya satu makna yg pasti yg tidak mengandungi tafsiran atau makna lain. Sebahagian ayat Al-Quran dan sebahagian hadith bersifat dengan قطعية الدلالة (Qot'ie Dilalah).

Contoh bagi قطعية الدلالة :

Ayat Al-Quran,
إنَّ اللهَ لا يغفرُ أن يُشركَ به ويغفر ما دون ذلك لمن يشاء
Maksudnya: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan sesiapa yg mensyirikkannya dan Allah boleh mengampunkan dosa-dosa yg lebih rendah daripada syirik, bagi sesiapa yg Dia kehendaki" Surah An-Nisa' ayat 48.

Makna yg ditunjukkan oleh ayat ini ialah haramnya mensyirikkan Allah.

___________

2-
ظنية الدلالة (Dzonni Dilalah) : Makna yg ditunjukkan oleh sesebuah nas ialah makna yg tidak pasti dan mengandungi beberapa tafsiran. Oleh kerana itu, wujud khilaf (perselisihan) di kalangan ulama dalam mentafsirkan nas yg bersifat ظنية الدلالة (Dzonni Dilalah). Sebahagian ayat Al-Quran dan sebahagian Hadith bersifat dengan ظنية الدلالة (Dzonni Dilalah).

Contoh bagi ظنية الدلالة :

Ayat Al-Quran,
وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ ثَلاثَةَ قُرُوءٍ
Maksudnya: "Dan isteri-isteri yg diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali Quru'." Surah Al-Baqarah, ayat 228.

Dalam ayat ini, terdapat lafaz quru'. Lafaz quru' mempunyai dua makna iaitu makna suci dan makna haid. Jadi ayat ini tidak menunjukkan satu makna yg pasti tetapi beberapa makna. Sebahagian ulama mengatakan dengan makna suci dan sebahagian yg lain dengan makna haid.


Saya hanya akan menghuraikan istilah-istilah rumit yg saya gunakan di dalam artikel sebelum ini sahaja. Berat juga rupanya hendak menghuraikan dan menterjemahkan istilah-istilah ini ke dalam bahasa yg lebih mudah. Penulisan ilmiah memang amat meletihkan berbanding penulisan kreatif. Akan datang, perbezaan antara khilaf dan ikhtilaf...

Rujukan: Al-Wajiz fi Usul Fiqh karangan Dr. Wahbah Az-Zuhaili

Thursday, May 14, 2009

Adab-adab Ikhtilaf siri 3

Sesetengah umat Islam tidak akan berpuas hati dengan kewujudan khilaf dalam ilmu fiqh yg telah berlaku dan terus berlaku. Mereka berasa sempit dada. Mereka beranggapan khilaf di kalangan ulama tidak sepatutnya berlaku kerana nas Al-Quran dan As-Sunnah sudah ada. Cukup dengan merujuk dengan kedua-duanya. Mengapa masih bertelingkah? Pemikiran sebegini tidak akan timbul melainkan bagi mereka yg kurang kefahamannya tentang sebab-sebab khilaf di kalangan ulama. Apabila mereka mengetahuinya mereka akan tunduk dan akur. Jika anda seorang yg cakna dengan masalah khilaf yg terus melanda ummat dan menyedari wujudnya perbalahan hangat sesama kita maka luangkanlah masa untuk mengetahui sebab-sebab yg membawa kepada khilaf di kalangan ulama. Setelah itu insya Allah, anda tidak akan mengingkari kekhilafan yg berlaku bahkan bersikap berlapang dada.

Harus hukumnya berkhilaf dalam masalah ilmiah dan khilaf ini dianggap terpuji dan diterima apabila dipenuhi dua syarat asas:

1- Khilaf berlaku dalam memahami dalil dzonni yg bersifat terdedah kepada khilaf.

2-Khilaf tersebut datang daripada ahli ilmu dan mujtahid dan khilaf itu pula dalam masalah yg masih dalam kategori al-mukhtalaf fih.
Maka, kedua-dua syarat ini akan menjadikan khilaf yg berlaku ialah khilaf yg muktabar. Sekiranya tidak dipenuhi salah satu syarat ini, maka khilaf yg berlaku ialah khilaf yg diharamkan, keji dan tidak diiktibar.

-Salah faham terhadap maksud لا اجتهاد مع النص
Ramai juga yg salah faham dengan maksud kalam ini. Secara mudah, diterjemah dengan makna 'Tiada ijtihad bersama wujudnya nas.' Tetapi hakikatnya, lafaz nas yg dikehendaki di sini ialah ialah nas yg tidak menerima ijtihad padanya iaitu nas yg sahih dan jelas, tiada kesamaran padanya. Bukannya wujudnya nas secara mutlak bererti tidak boleh berijtihad. Bahkan memang para mujtahid berijtihad mengistinbatkan hukum daripada nas! Kalau bukan daripada nas, daripada mana lagi? Sebab itulah Dr. Sano Qutb Mustafa mengatakan jika ijtihad itu tidak berlaku ketika wujudnya nas, maka ketika bilakah lagi? Jadi, fahamilah bahawa nas yg dimaksudkan dalam kalam di atas ialah nas yg tidak menerima ijtihad padanya.

Yang peliknya ialah pendirian sebahagian pihak pada hari ini yg memahami لا اجتهاد مع النص secara permukaan sahaja. Lalu berhadapan dengan pihak yg bercanggah dengannya dalam suatu masalah ilmiah dengan mengeluarkan hujjah لا اجتهاد مع النص . Sedangkan mereka sendiri menggunakan nas-nas yg petunjuknya bersifat dzonni ( ظنيّة الدلالة ). Apatah lagi jika nas itu hanya dzonn dari sudut thabitnya ( ظنية الثبوت ). Bukankah jika nas itu bersifat dzonni, maka ia layak menerima ijtihad? Seolah-olah penghukum kepada qot'ie atau dzonni sesebuah nas ialah kefahaman mereka. Sila fahaminya betul-betul!

Dan sebagaimana kefahaman pihak lawan tidak diterima oleh mereka, maka begitu juga kefahaman mereka tidak diterima oleh lawan. Apakah bukti kefahaman mereka yg paling tepat? Adakah semata-mata kerana selari dengan zahir hadith? Hujjah mereka dengan لا اجتهاد مع النص adalah hujjah yg tidak kena pada tempatnya.


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Antara adab yg disebut dalam tulisan yg lepas ialah tidak mengingkari pihak yg berlainan pendapat dengannya. Maka, antara syarat amar ma'ruf dan nahi munkar ialah hendaklah perkara yg diingkari itu disepakati kemunkarannya. Secara umumnya, ulama bersepakat bahawa tidak boleh mengingkari sesuatu yg masih dalam kategori khilaf dan khilaf itu berlaku pada sesuatu perkara yg boleh menerima ijtihad, iaitu yg berdalilkan dalil dzonni. Cuma secara lebih khusus, sebahagian ulama membezakan antara khilaf-khilaf yg berlaku samada khilaf yg kuat atau lemah.

Untuk meraikan semua pendapat, maka kita mengatakan bahawa masalah-masalah yg menerima ijtihad dan masih berlaku khilaf padanya, tidak boleh diingkari kecuali dalam beberapa perkara berikut. Maka amar ma'ruf nahi munkar perlu berlaku dalam masalah:

1- Khilaf yg berlaku telah menjadi sejarah dan ia tidak berterusan. Contohnya, khilaf sebahagian salaf pada zaman awal Islam dalam hukum riba al-fadl dan hukum nikah mut'ah. Para ulama telah menukilkan penarikan balik pendapat-pendapat sebahagian salaf ini lalu mereka turut bersama jumhur. Atau para ulama menganggap pendapat yg bercanggah ini ialah pendapat yg syaz (ganjil). Maka wajib untuk diingkari berpandukan syarat-syarat amar ma'ruf nahi munkar.

2- Jika khilaf yg berlaku ialah khilaf yg lemah, maka dipecahkan kepada dua bahagian.

Pertama: Khilaf yg bersangatan lemahnya dan bertembung dengan nas syara' yg thabit. Maka, diingkari.

Kedua: Khilaf yg ijtihadnya berlaku tanpa ada nas secara mutlak. Maka, tidak boleh diingkarinya melainkan atas dasar nasihat dan menyuruh atau melarangnya secara lembut untuk keluar daripada khilaf.
Sila baca dengan tenang dan jangan emosi. Emosi anda ketika membaca mempengaruhi cara berfikir anda.

Sekarang, timbul persoalan... Mengapa banyak perkara yg diamalkan oleh umat Islam pada hari ini diingkari semahu-mahunya? Sedangkan perkara yg yg diingkari itu tidak termasuk dalam perbahasan munkar yg disepakati. Bahkan ramai ulama yg membolehkannya dan mempunyai dalil yg menyokong. Jadi, mengapa orang yg melakukannya ditohmah dengan bidaah?!!

Mungkin ada yg menjawab kerana memang ianya bidaah. Ketahuilah, 'Bidaah' juga telah berlaku khilaf padanya. Adakah Hadith 'Kullu Bidaatin Dholalah' itu tidak bersifat dzonni? Mengapa tidak meraikan khilaf ini? Tiada wahyu yg diturunkan untuk menyokong mana-mana pihak. Saya bukannya mahu pihak yg tidak sekepala dengan saya turut sekepala dengan saya tapi saya hanya mahu kita berlapang dada. Jangan terlalu keras menghentam.




Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Tidak mengingkari sesuatu perbuatan munkar yg tidak disepakati kemunkarannya bukanlah bermakna meninggalkan terus seseorang bersama perbuatannya itu tetapi hendaklah mengajaknya supaya keluar daripada khilaf. Dakwah mesti terus kerana kaedah menyebut, 'Keluar daripada khilaf sunat'.


Rujukan:

Dirasat fil Ikhtilafat Al-Ilmiyyah karangan Dr. Muhammad Abul Fath Al-Bayanuni

Tuesday, May 12, 2009

Adab-adab Ikhtilaf siri 2

Secara umumnya, adab-adab yg disebut ialah adab-adab ikhtilaf dalam masalah Fiqh tapi ia juga boleh diaplikasikan dalam masalah-masalah lain.


Apabila kita berhadapan dengan ikhtilaf atau perselisihan di kalangan ulama, maka kita perlu menghiasi diri dengan adab-adab yg telah diletakkan oleh para ulama sendiri. Adab-adab inilah yg memelihara kesatuan dan perpaduan ummah satu ketika dahulu. Namun, sekarang kesatuan itu semakin rapuh. Perpaduan itu semakin retak. Gara-gara pengabaian terhadap adab-adab yg teramat penting ini.

Antara adab-adab berikut ialah:

1- Tidak memaksa orang lain mengikut pendapat yg dianuti olehnya selagi mana perselisihan yg berlaku berada dalam kategori 'al-mukhtalaf fih'.

Tiada seorang pun di kalangan imam yg mengaku pendapatnya ialah wahyu. Tiada seorang pun yg mendakwa sesiapa yg tidak berpegang dengan pendapatnya sebagai pelaku maksiat. Sesungguhnya mereka hanya berijtihad mencari kebenaran dan ijtihad mereka terbina di atas dalil-dalil yg bersifat zhon. Adapun yg qot'ie, maka tiada khilaf sesama mereka.

Disebut dalam Tarjamah Imam Malik rahimahullah bahawa Abu Jaafar Al-Mansur pernah bercadang untuk menjadikan kitab Muwatto' karangan Imam Malik rahimahullah sebagai rujukan lalu mengabaikan ijtihad dan pendapat-pendapat lain. Maka, Imam Malik segera menolak cadangan itu.


Disebut dalam Tarjamah Imam Ahmad rahimahullah bahawa beliau pernah disoal oleh seorang lelaki tentang masalah talak maka, beliau menjawab, "Jika dia melakukannya maka dia dianggap melanggar sumpah." Lelaki yg menyoal itu berkata, "Jika ada seorang yg memberi fatwa kepadaku bahawa dia tidak dikira melanggar sumpah (adakah boleh)? Lalu, Imam Ahmad menjawab, "Ya" dan menunjukkan kepadanya sesiapa yg berfatwa sedemikian.

Pada hari ini pula kita lihat golongan yg taksub kepada kelompok tertentu dan tidak mahu berlapang dada. Seolah-olah pendapat kelompoknya sahaja yg benar sedangkan apakah jaminan bahawa kebenaran berpihak kepada mereka?

2- Tidak mengingkari pihak yg berlainan pendapat dengannya: Tidak mengeji dan tidak melemparkan tuduhan bidaah atau sesat kepada orang yg tidak sependapat dengannya.

Imam Al-Ghazali menyamakan masalah khilaf di kalangan ulama dengan masalah dua orang musafir yg berijtihad dalam masalah arah kiblat dan ijtihad mereka berbeza. Maka, kedua-duanya berhak solat ke arah kiblat yg disangka berdasarkan zhon mereka yg kuat. Dan hendaklah menyekat diri daripada mengingkari temannya.

Ini bukanlah sekadar teori bahkan telah diterjemahkan dalam bentuk praktikal. Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie pernah solat di belakang para imam di Madinah yg bermazhab Maliki. Sedangkan mazhab Maliki langsung tidak membaca Bismillah samada secara perlahan mahupun kuat. Pada hari ini pula telinga kita sentiasa mendengar kalimah-kalimah seperti bidaah, sesat dan yg sewaktu dengannya digunakan sewenang-wenangnya.

3- Tidak sombong untuk kembali kepada kebenaran apabila yakin dirinya tersilap dan tidak berasa mudarat jika kebenaran terzahir daripada pihak lain.

Imam Ahmad pernah menarik balik tuduhan bidaahnya kepada perbuatan seorang lelaki buta yg membaca Al-Quran di sisi kubur setelah Muhammad bin Qudamah yg ada di sampingnya menyebut hadith yg menyokong perbuatan lelaki tersebut iaitu membaca awal dan akhir Al-Baqarah apabila dikebumikan jenazah. Bahkan Muhammad bin Qudamah menyebut, "Aku mendengar Ibnu Umar mewasiatkan dengan perkara itu."
Ulama menyebut, "Sesungguhnya untuk menjadi ekor dalam kebenaran lebih aku sukai daripada menjadi kepala dalam kebatilan."
Imam Syafie berkata, "Aku tidak pernah berdebat dengan seseorang pun melainkan aku lebih suka dia yg diberi taufiq, diluruskan, dibantu dan dikurniakan pemeliharaan dan penjagaan daripada Allah. Aku tidak pernah berdebat melainkan aku tidak peduli samada Allah menzahirkan kebenaran itu melalui lidahku mahupun lidahnya."
4- Menjauhi masalah-masalah yg menyebabkan fitnah, pergaduhan dan huru hara.

Imam Malik pernah ditanya tentang istiwa' maka beliau memandang ke tanah dan memukul-mukul tongkat yg terdapat di tangannya sehingga keringat membasahi tubuhnya kemudian beliau mengangkat kepalanya dan melemparkan tongkatnya lalu mengucapkan ucapannya yg mayshur itu. Beliau juga memerintahkan supaya yg bertanya itu dihalau.

Pada hari ini kita lihat ramai yg gemar membicarakan perkara-perkara yg mencetuskan kontroversi masyarakat setempat. Sangkaan mereka, masyarakat sekitar termasuk para tok guru telah tersilap. Seolah-olah hanya mereka yg mengetahui hadith dan Quran. Dan mereka kononnya bangkit untuk memperbetulkan masyarakat. Menyebut 'Sayyidina Muhammad' adalah satu bidaah satu ketika dahulu di sisi mereka. Namun sekarang, mungkin setelah dibentangkan dengan dalil-dalil, maka mereka akur dan tunduk. Masjid Nabawi dan Masjidil Haram kini turut menambahkan rasa hormat mereka terhadap Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam dengan menyebut kalimah 'Sayyidina' sebelum kalimah 'Muhammad' Sollallau'alaihiwasallam.



Kesan yg lahir daripada adab-adab ini dapat kita lihat melalui kehidupan para imam mazhab empat.

a) Saling memuji antara satu sama lain.

  • Imam Syafie memuji Imam Abu Hanifah,
"الناس عيال على أبي حنيفة في الفقه"
"Manusia fakir (berhajat) kepada Abu Hanifah dalam Fiqh."


  • Imam Syafie memuji gurunya, Imam Malik ,
"إذا ذكر العلماء فمالك النجم الثاقب"
"Apabila disebut tentang ulama, maka Malik ialah bintang yg bergemerlapan."


  • Imam Ahmad bin Hanbal pernah ditanya adakah Imam Syafie seorang pakar hadith lalu beliau menjawab,
"أي والله كان صاحب حديث"
"Demi Allah, beliau seorang pakar hadith." Diulang-ulangnya sebanyak tiga kali.


  • Imam Syafie berkata, "Aku keluar dari Baghdad dan aku tidak meninggalkan di sana seorang yg lebih wara', lebih bertaqwa, lebih faqih dan lebih alim daripada Ahmad bin Hanbal."

b) Saling menghormati antara satu sama lain.

Penghormatan yg diberikan sesama mereka adalah dalil lain yg menunjukkan kasih sayang dan kekaguman yg terbuku di dalam hati sanubari mereka.

Imam Syafie membelek helaian kertas dengan lembut di hadapan Imam Malik kerana kagum dengan kehebatan beliau. Tujuannya supaya Imam Malik tidak mendengarnya. Imam Syafie tidak berqunut ketika solat Subuh berdekatan dengan kubur Imam Abu Hanifah kerana beradab dengannya. Ini dalil yg menunjukkan bahawa mereka tidak menghormati orang yg masih hidup sahaja bahkan melihat penghormatan ini berhak bagi yg masih hidup mahupun yg telah mati.

c) Saling mendoakan antara satu sama lain dalam keadaan tidak diketahui oleh tuannya.

Imam Ahmad berkata, "Aku tidak pernah solat sejak 40 tahun yg lalu melainkan aku akan mendoakan untuk Imam Syafie rahimahullah."

Yang menyedihkan ialah apabila wujudnya golongan yg celaka lidahnya menyebut "Pi'ie" sebagai gelaran kepada Imam Syafie yg disifatkan oleh Imam Ahmad sebagai 'Mentari kepada dunia dan kesihatan kepada manusia."


Disaring daripada kitab:

Adab Al-Iktilafat Al-Fiqhiyyah karangan Dr. Tolaat Muhammad 'Afifi
Al-Imam As-Syafie fi mazhabihi Al-Qodim wal Jadid karangan Dr. Ahmad Nahrawi Abd Salam

Sunday, May 10, 2009

Adab-adab Ikhtilaf siri 1

Saya tak mampu untuk meneruskan penulisan tentang khilaf sebagaimana yg dirancang. Entah mengapa perbincangan tentang khilaf, bidaah dan yg berkait dengannya benar-benar mengganggu otak saya. Sebab-sebab berlakunya khilaf fiqh boleh dirujuk dalam kitab-kitab yg menimbun di perpustakaan. Saya akan jadi jemu untuk bicara soal khilaf. Isu yg tak pernah berkesudahan.

Kalau perbincangan tentang khilaf dari sudut fiqh perbandingan mazhab, maka ia memang menyeronokkan. Tapi jika dari sudut perbincangan untuk menghapuskan khilaf dan menyatukan semua pendapat, maka ia satu usaha yg sia-sia dan amat membosankan. Perhatikanlah sebab-sebab yg melahirkan perbezaan pendapat. Rujuklah kitab-kitab berkaitan. Sifar khilaf adalah mustahil. Memaksa orang lain mengikut pendapat yg dirasakannya betul adalah satu kebodohan. Berlapang dada merupakan jalan penyelesaian.

Cukuplah siri-siri tentang adab-adab ikhtilaf ini sebagai penutup kepada entri ini dan ini. Jika semua mengamalkan adab-adab dalam berkhilaf, maka insya Allah perbalahan akan semakin reda dan beransur-ansur selesai. Itulah yg dilaungkan para ulama dan du'at zaman berzaman. Akan tetapi, slogan "Tinggalkan perkara cabang" dikatakan menyekat perkembangan ilmu fiqh. Jika perkara cabang fiqh dikaji secara amanah dan berlapang dada, maka tiada yg menyeru supaya meninggalkannya bahkan itulah yg diajarkan di pusat-pusat pengajian. Masalahnya ialah setelah kajian selesai, wujudnya puak yg seakan-akan memaksa ke arah satu pendapat sahaja dan menganggap kononnya pendapat selain yg dianutinya itu batil! Slogan "Tinggalkan perkara cabang" bukannya bermaksud tinggalkan perbincangan tentangnya tapi tinggalkan perbalahan tentangnya.


Insya Allah, saya akan cuba menyelesaikan penulisan tentang adab-adab ikhtilaf ini! Saya akan cuba untuk tidak meleret-leret.

Blog Widget by LinkWithin