Thursday, December 18, 2008

Khilaf Ulama siri 2

Khilaf yg berlaku di kalangan ulama bukanlah suatu perkara yg memang disengajakan. Tapi didesak oleh faktor-faktor tertentu. Kesemua ulama cuba untuk mencari kebenaran semampu yg mungkin. Bahkan tiada ulama yg mendakwa pendapatnya merupakan wahyu yg diturunkan, yg wajib berpegang kepadanya hingga tiada pilihan kedua atau ketiga.

Bahkan mereka berkata, "Ini pendapatku, ianya betul (di sisiku) tapi kemungkinan juga salah. Sekiranya betul, maka ianya daripada Allah. Sekiranya salah, maka daripadaku dan daripada syaitan."

Oleh kerana kemungkinan salah dalam pendapat dan ijtihad mereka, maka mereka menghias diri mereka dengan adab-adab ikhtilaf. Walaupun begitu saya pernah berada di dalam sebuah masjid untuk solat Jumaat. Seusai solat Jumaat, didatangkan jenazah untuk disolatkan. Selesai solat, syeikh diajukan dengan beberapa soalan. Kalau tak silap saya, berkenaan solat qabliyyah jumaat dan mengangkat tangan ketika setiap takbir dalam solat jenazah. Maka, dalam keadaan tergesa-gesa dia menjawab dan mengakhiri kalamnya dengan berkata, "Apa yg aku katakan ini ialah Sunnah dan selainnya menyalahi Sunnah," Huh. Sakit hati juga. Apa yg dikatakannya itu telah menghentam mazhab-mazhab yg tidak sependapat dengannya. Seolah-olah pendapat mazhab-mazhab lain tidak berlandaskan Sunnah bahkan menyalahi Sunnah. Orang awam tentu terpinga-pinga!

Sebelum saya menulis tentang sebab-sebab berlakunya khilaf di kalangan ulama, saya nyatakan dahulu secara ringkas sebab-sebab berlaku khilaf di kalangan Sahabat dan Tabiin dalam masalah furu'(cabang). Ketika bersama Nabi Sollallahualaihiwasallam, para sahabat akan terus menemui Baginda untuk bertanya sesuatu masalah. Tetapi setelah kewafatan Baginda, maka mereka perlu menggali jawapannya daripada dua pusaka yg ditinggalkan oleh Baginda. Al-Quran dan As-Sunnah.

:: Sebab-sebab khilaf di kalangan Sahabat & Tabiin

1-Perbezaan dalam menghafaz nas-nas syara'.
Sahabat yg sentiasa bersama Nabi menghafaz lebih banyak hadith berbanding dengan yg lain. Ada sahabat yg hanya meriwayatkan sebuah dua hadith. Mungkin disebabkan kesibukan mereka berniaga di pasar atau berkebun di ladang untuk mencari rezeki yg halal. Maka, mereka tidak mampu untuk bersama Nabi di kebanyakan waktunya. Dengan erti kata lain, sejumlah hadith tidak sampai kepadanya.

Ada pula sahabat yg sentiasa melazimi Nabi di kebanyakan waktunya seperti Abu Hurairah sehingga dicatatkan sebagai sahabat yg paling banyak meriwayatkan hadith iaitu 5374 buah hadith.

2-Perbezaan dalam memahami nas-nas syara'.
Ada sahabat yg hanya mendengar hadith tanpa menghafaz lafaz-lafaznya lalu meriwayatkannya secara makna berdasarkan apa yg difahaminya. Ada pula sahabat yg kuat ingatannya dan bagus kefahamannya seperti Ibnu Abbas. Ada juga yg sederhana. Bahkan peringkat kefahaman mereka terhadap sesuatu nas samada Al-Quran atau Hadith berbeza. Maka fatwa yg dikeluarkan juga berbeza. Dikatakan lebih daripada 130 buah fatwa telah dikeluarkan oleh para sahabat(lelaki dan perempuan).

3-Keluasan daerah ijtihad.
Banyak kota-kota di Timur dan Barat dibuka setelah Islam berkuasa. Lalu berpusu-pusu yg memeluk Islam. Para sahabat berpindah ke sana ke sini menjadi 'duta'. Maka para sahabat mendapati adat dan muamalat di tempat itu berbeza dengan di Semenanjung Arab. Perkara-perkara baru yg berlaku memerlukan fatwa daripada sahabat. Lalu mereka berfatwa berdasarkan hafazan mereka dan kefahaman mereka dalam beristinbat. Sekiranya tiada dalam hafazannya, maka mereka akan berijtihad. Pintu ijtihad terbuka luas. Tapi ia hanya layak dimasuki oleh orang yg ahli.

Perbezaan pendapat yg berlaku di antara 'mazhab-mazhab' para sahabat membawa kepada perbezaan di kalangan Tabiin dan golongan selepas mereka. Lalu setiap ulama tabiin mempunyai mazhabnya yg tersendiri berdasarkan apa yg mereka peroleh daripada sahabat. Sehingga setiap tempat mempunyai Imamnya yg tersendiri. Contohnya:

  • Sa'id bin Al-Musayyib, 'Urwah bin Az-Zubair, Al-Qosim bin Muhammad dan selain mereka daripada Fuqoha' As-Sab'ah(Fuqoha' 7) memimpin ummah di Madinah. Asal mazhab mereka ialah fatwa-fatwa Umar, Uthman, Ibnu Umar, 'Aisyah, Ibnu Abbas. Sa'id bin Al-Musayyib seolah-olah lidah Fuqoha' Madinah. Beliau orang yg paling kuat hafazan terhadap hadith riwayat Abu Hurairah dan fatwa Umar di kalangan mereka.
  • 'Ato' ibn Abi Robah, Towus bin Kisan, Mujahid dan 'Ikrimah pula di Mekah.
  • Ibrahim An-Nakha'ie, As-Sya'bi, Syuraih Al-Qadhi dan selain mereka daripada murid Ibnu Mas'ud dan Ali di Kufah.
  • Hasan Al-Basri, Muhammad ibn Sirin, Muslim bin Yasar dan selain mereka daripada murid Abu Musa Al-Asyaari dan Anas bin Malik di Basrah.
  • Samak bin Al-Fadl, Hisyam bin Yusuf dan Abdul Razak di Yaman.
  • Makhul, Qobisoh ibn Zuaib Al-Khuzaie, Abu Idris Al-Khoulani dan selain mereka daripada murid Muaz bin Jabal, 'Ubadah bin As-Somit dan Abu Darda' di Syam.

Di Madinah As-Salam (Baghdad), telah terhimpun di sana sejumlah besar para ulama. Setelah Al-Mansur membinanya, fuqoha' dan muhaddithin menuju ke sana.

Rujukan:
-Maklumat Tahummuk, karangan Syeikh Nuruddin Al-Banjari
-Adab Al-Ikhtilafat Al-Fiqhiyyah, karangan Dr. Tolaat Muhammad 'Afifi

1 comments:

Unknown said...

Barakallahu fik...
Saya tunggu sambungannya.

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin