Sunday, May 9, 2010

Wanita sebelum Islam

Kelas bersama muslimat di Surau Idaman Bayu petang semalam berjalan dengan lancar. Kehadiran yg membanggakan. Saya cuba membuatkan kaum wanita yg hadir berasa sangat bersyukur, bertuah dan berbangga kerana beragama Islam. Saya sengaja menceritakan nasib kaum wanita yg ditindas sepanjang sejarah kehidupan manusia. Penindasan yg dahsyat dan berpanjangan memaksa mereka bangkit tetapi setelah bermandikan darah dan air mata.

Ketika Kristian mendominasi masyarakat barat, gereja cukup kejam membunuh manusia. Robert Held dalam bukunya, Inquisition memuatkan gambar-gambar yg sangat mengerikan akibat kejahatan dan kezaliman tokoh-tokoh gereja ketika itu. Dipaparkan lebih daripada 50 jenis alat-alat penyeksa yg digunakan. Anehnya, sekitar 85% korban penyeksaan dan pembunuhan ialah wanita! Antara tahun 1450 sehingga 1800, sekitar dua sehingga empat juta wanita dibakar hidup-hidup sama ada di kawasan yg dikuasai Katolik mahupun Protestan. Golongan feminis di barat satu ketika dahulu berusaha keras agar mereka diberikan hak sewajarnya sehingga mereka tidak lagi menulis God tapi juga Goddess merujuk kepada tuhan perempuan, akibat salah faham mereka bahawa tuhan dalam agama mereka ialah lelaki. Tivka Frymer-Kensky pernah menulis makalah berjudul Goddesses: Biblical Echoes.

Pamela J. Milne menyatakan bahawa Bible menjadi sumber terpenting bagi penindasan terhadap kaum wanita. Philip J. Adler dalam bukunya World Civilizations menukilkan kata-kata seorang penulis Jerman di abad ke-17, "It is a fact that women has only a weaker faith (In God)...", "Therefore, the female is evil by nature..." Maka, ini sesuai dengan konsep etimologi mereka tentang wanita kerana perkataan wanita dalam bahasa mereka disebut female yg berasal daripada bahasa Yunani iaitu femina. Perkataan femina berasal daripada fe dan mina. Fe bererti fides, faith iaitu keimanan dan mina pula dari minus yg bererti kurang. Jadi, femina ertinya seorang yg kurang imannya. Fakta-fakta di atas diambil dari buku Wajah Peradaban Barat, Dari Hegemoni Kristian ke Dominasi Sekular-Liberal tulisan Dr. Adian Husaini hafizahullah.
Orang-orang Greek mengangap wanita termasuk dalam kategori harta. Wanita dijual kepada sesiapa yg sanggup membayar harganya lalu menjadi tuannya. Undang-undang Roman pula meletakkan wanita pada kedudukan kanak-kanak dan orang gila serta tidak mempunyai hak. Ketua keluarga berhak menjual anak-anak perempuan, adik-adik perempuan atau mana-mana perempuan yg dipunyainya kepada sesiapa sahaja. Mereka terpaksa tunduk kepada tuannya sejak dari buaian hingga ke liang lahad. Tuannya berhak membuangnya, menjualnya, menyeksanya bahkan membunuhnya! Di sisi orang Yahudi pula wanita dianggap sebagai khadam dan diharamkan dari menerima harta pusaka jika si mati ialah lelaki.

Dalam undang-undang di China, wanita tiada nilai dan diberikan kerja-kerja yg amat hina. Dalam undang-undang di India, wanita tiada hak untuk memilih. Ketika kecil, dia mesti mengikut kehendak bapanya. Setelah berkahwin, mengikut kehendak suaminya dan apabila suaminya mati, dia mesti mengikut kehendak anak-anak lelakinya pula. Di England, antara kurun ke-5 hingga kurun ke-11, suami-suami menjual isteri-isterinya. Mahkamah-mahkamah gereja membuat peraturan yg membenarkan suami menyerahkan isterinya kepada lelaki lain dalam jangka masa tertentu sama ada dengan mendapat bayaran atau secara percuma. Peraturan ini terlaksana dalam satu tempoh yg agak lama sehinggalah akhirnya ia dibatalkan. Pada tahun 1933, seorang lelaki berbangsa Inggeris menjual isterinya dengan harga 500 pound sterling namun mahkamah membatalkan kontrak jualbeli itu. Sebelum tahun 1942, si suami yg menguruskan harta isterinya. Begitulah sebahagian tulisan Syeikh Mutawalli as-Sya'rawi rahimahullah yg saya kutip dari kitabnya, Fiqh al-Mar'ah al-Muslimah.

Di Semenanjung Arab, masyarakat jahiliyah menguburkan bayi perempuan hidup-hidup. Mempunyai anak perempuan dianggap satu keaiban yg perlu ditutup secepat yg mungkin. Kaum wanita diharamkan daripada menerima harta pusaka kerana mereka tidak ikut berperang. Harta pusaka hanya layak diwarisi oleh kaum lelaki yg membela kabilahnya.

Hakikat yg tidak dapat disangkal lagi bahawa wanita di barat terpaksa berusaha keras menuntut hak-hak asasi mereka dan baru-baru ini sahaja mereka memperolehinya. Jika dulu, barat menindas wanita habis-habisan, kini mereka pula memberi kebebasan kepada wanita habis-habisan. Islam tidak menunggu usaha keras kaum wanita menuntut hak-hak mereka bahkan Islam yg mengurniakannya terlebih dahulu sebelum sempat mereka menuntutnya. Malangnya, lahirnya kumpulan wanita yg tidak reti menilai hak-hak dan penjagaan yg telah dikurniakan Islam bahkan menganggapnya sebagai penindasan dan penghinaan. Jahil murakkab ialah status yg paling tepat untuk mereka. Jelas, mereka terpedaya dengan slogan-slogan yg dilaungkan golongan feminis di barat. Mereka mahu menelanjangkan diri mereka daripada syariat! Hakikatnya, mereka menyembah ideologi liberal barat!

2 comments:

Anonymous said...

kebebasan hakiki seorang wanita adalah di sebalik pakaian labuh,hijab dan niqab...renung2kan

Someone said...

mereka terikut2 barat yg kononnya mengangkat martabat kaum wanita tanpa memahami Islam lah sebenarnya menjaga bahkan melindungi wanita dan memberikan byk keistimewaan kepada wanita.

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin