Sunday, April 20, 2008

Kejiranan Dalam Islam

Dewasa ini kita menyaksikan masyarakat semakin rosak dan porak poranda. Ya, saya tak pernah mengecualikan diri saya. Saya juga terdedah kepada kerosakan itu. Antara puncaya ialah institusi kekeluargaan dan kejiranan yg tidak diberikan perhatian sepenuhnya. Kita berbicara tentang isu kejiranan. Seorang penduduk di sebuah kawasan perumahan misalnya tidak merasakan dirinya bertanggungjawab untuk mengetahui keadaan sekitar rumahnya. Rumah jiran dimasuki pencuri. Anak jiran ponteng sekolah, terlibat dengan gejala sosial. Isteri jiran curang. Seolah-olah dia terlupa bahawa dia juga sedang terdedah kepada perkara-perkara sedemikian jika terus bertindak tidak mempedulikan jiran tetangganya.

Saya ingin menulis secara ringkas tentang isu kejiranan ini. Islam merupakan agama yg syumul. Kejiranan ialah satu cabang kesyumulan Islam. Allah memerintahkan hamba-hambaNya supaya berbuat baik kepada jiran tetangga. Firman Allah Taala di dalam Surah An-Nisa' ayat 36 yg bermaksud:
"Dan sembahlah Allah, dan janganlah kamu mensyirikkanNya dengan sesuatu pun, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yg mempunyai hubungan kerabat dan jiran tetangga yg bukan kerabat."
Rasulullah sendiri terlalu memandang berat akan hak-hak jiran dan menggesa supaya berbuat baik kepada mereka. Baginda juga melarang keras daripada menyakiti dan meyusahkan jiran. Sehingga Rasulullah pernah bersabda:

"Jibril sentiasa berpesan kepada aku tentang hak jiran sehingga aku menyangka dia (jiran) akan mewarisi harta pusaka" Hadith 'Aisyah & Ibnu Umar, Riwayat Bukhari & Muslim.
Nasihat Jibril yg terlalu kerap menyentuh hak-hak jiran menyebabkan Rasulullah menyangka bahawa jiran juga akan mendapat bahagian dalam pembahagian harta pusaka. Rasulullah juga bersabda:

"Sesiapa yg beriman dengan Allah Taala dan Hari Akhirat, maka berbuat baiklah kepada jirannya" Hadith Abi Syuraih, Riwayat Bukhari & Muslim.
"Sesiapa yg menyakiti jirannya, maka sesungguhnya dia telah menyakiti aku, dan sesiapa yg menyakiti aku, maka sesunggunya dia telah menyakiti Allah Taala. Dan sesiapa yg memerangi jirannya, maka sesunggunya dia telah memerangi aku, dan sesiapa yg memerangi aku maka dia telah memerangi Allah." Hadith Anas, Riwayat Abu As-Syeikh Ibnu Hibban.
"Demi Allah, tidak beriman seseorang itu selagi mana jirannya belum terlepas daripada kejahatannya" Hadith Abu Hurairah, Riwayat Ahmad & Syaikhan
Maksudnya, selagi mana sesorang itu menganggu jirannya, memfitnahnya dan melakukan kejahatan kepadanya, maka dia belum dianggap sebagai seorang Mukmin yg baik. Jiran yg paling berhak untuk dilakukan kebaikannya ialah yg paling dekat pintunya dengan rumah kita. Oh, semalam kawan saya mengadu dia telah diludah oleh jiran rumahnya. Astaghfirullah...

Terdapat hadith yg menyebut bahawa di kalangan jiran itu ada yg mempunyai 3 hak, iaitu jiran Muslim yg mempunyai hubungan kerabat dengan kamu. Ada pula yg mempunyai 2 hak, iaitu jiran Muslim. Dan ada juga yg mempunyai satu hak, iatu jiran Zimmi (kafir yg berada di bawah naungan Islam) Antara hadith yg membicarakan perkara ini ialah hadith yg diriwayatkan oleh Al-Hasan bin Sufyan dan Al-Bazzar di dalam Musnad mereka. Tetapi hadith tersebut berstatus dhaif, walaubagaimanapun masih boleh digunakan dalam Fadhail Amal.


Cuba kita perhatikan, hadith ini ada menyebut tentang hak kejiranan terhadap jiran yg zimmi, sedangkan dia bukan seorang Muslim. Betapa mulianya Islam kerana memandang jiran yg kafir sebagai seorang yg layak untuk menerima layanan baik walaupun berlainan agama. Ia juga menunjukkan betapa pentingnya hak-hak kejiranan pada pandangan agama.

Apabila berbicara soal kejiranan yg merupakan satu cabang kemasyarakatan, membicarakan soal Al-'Amru bil Ma'ruf dan An-Nahyu 'anil Munkar ialah satu perkara yg wajib! Sistem dakwah dengan berhikmah yg dianjurkan Islam amat diyakini akan berjaya memulihkan kembali kebobrokan yg berlaku dalam masyarakat yg mana saya juga salah seorang ahli masyarakat itu. Saya tak pernah terkecuali.

Kesedaran seseorang individu untuk menjadi individu muslim yg sejati akan melahirkan keluarga muslim yg sejati. Gabungan keluarga-keluarga ini pula akan mewujudkan masyarakat Islam yg sejati. Akan tetapi gabungan ini tidak akan berjaya sekiranya konsep kejiranan berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah tidak diterapkan. Kejiranan yg harmonilah yg akan menjayakan kewujudan masyarakat Islam yg seterusnya membawa kepada penubuhan sebuah daulah Islam yg dicita-citakan. Formula ini tidak akan berjaya melainkan unsur-unsur dalam formula tersebut dipenuhi. Dan kejiranan merupakan unsur penting formula ini! Jika dahagakan Khilafah, maka kejiranan jangan diabaikan! Jangan terlalu gopoh inginkan kemenangan Islam sedangkan kejiranan masih dalam porak poranda...

Sumber: An-Nasoih Ad-Diniyyah wal Wasoya Al-Imaniyyah, karangan Imam Abdullah Al-Haddad


0 comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin