Sunday, April 13, 2008

Sampah yang berselerakan..

Kami tinggal berempat. Tapi seorang teman serumah, Syawal telah pulang ke Malaysia. Maka tinggallah kami bertiga sahaja. Saya, Hakimi dan Sofwah. Kami tinggal di tingkat 4 di sebuah rumah flat. Kebetulan, semalam kami bertiga tiada di rumah. Hakimi pergi ke rumah kawan manakala saya dan Sofwah mempunyai kerja penting dan terpaksa keluar rumah seawal jam 6 pagi dan akan menghabiskan masa sehari suntuk di luar rumah. Kami ditemani oleh seorang lagi kawan, namanya Syukur, seorang pemuda berkaca mata yg zuhud. Hanya yg mengenalinya sahaja mampu memahami kaitan antara kaca matanya dan sikap zuhudnya. Sebelumnya, seorang lelaki datang ke rumah dan menawarkan khidmat membuang sampah dengan upah tertentu. Kami setuju. Jadi, kami hanya perlu meletakkan sampah di luar rumah dan lelaki tersebut akan mengambilnya lalu membuangnya.

Dipendekkan cerita yg memang pendek, kami pulang pada jam 8 malam. Rumah masih kosong. Lalu, Sofwah menyediakan makan malam. Kami makan malam. Aku lihat Syukur melantak dengan penuh selera tapi masih mampu berlagak sopan. Tiba-tiba, loceng rumah berbunyi. Sofwah buka pintu, kelihatan seorang pakcik berbadan gempal yg merupakan jiran yg tinggal di tingkat 5 sedang tercegat dan memasamkan muka tapi masih kelihatan comel. Lalu marah-marah kepada kami. Rupanya kerana sampah yg masih lagi belum terbuang. Bahkan sampah berselerakan disebabkan oleh seekor makhluk yg berkuku tajam telah mencakar dan mengoyakkan plastik sampah. Lalu mengeluarkan sebahagian isi kandungannya. Angin yg bertiup pula menyelerakkan lagi sampah yg telah sedia berselerakan. Tiada apa yg boleh saya lakukan melainkan berhujah dengan hujah yg amat tidak konkrit.

Sepatutnya jika sudah nampak sampah masih lagi berada di luar rumah, maka rajin-rajinkan tangan untuk buang sendiri. Tapi mungkin kelaparan dan keletihan membutakan mata kami daripada memandang sampah itu, ditambah pula dengan kemalasan yg menguasai diri. Akhirnya, saya hanya boleh memuaskan hati pakcik itu dengan memberi jaminan bahawa saya akan membuang sampah itu sekarang dan memang itu yg mampu menutup mulutnya daripada terus bersuara. Saya mengaku bahawa itu memang kesalahan kami. Tetapi ada beberapa persoalan yg masih boleh diragui dan amat tak memuaskan hati iaitu:

1) Pakcik itu menambah-nambah fakta dengan mengatakan sampah itu berbau.

2) Rumah saya pernah dimasuki asap rokok yg datangnya dari luar. Mungkin sekali dari tingkat atas. Hmmm, mungkin pakcik itu yg merokok. Asap rokoknya ditiup angin lalu masuk ke rumah kami. Ini dianggap mencabul hak-hak kejiranan!

3) Mengapa pakcik itu tak bertindak mambantu jirannya membuang sampah jirannya yg lain? Bukankah itu satu kebajikan? Kata saya dalam nada yg tak puas hati.

Sampah yg berselerakan di hadapan rumah tidaklah seteruk ini
Lalu, saya teringat nasihat Al-Habib Abdullah Bin Shihab Hafizohullah yg sering diulang-ulang dalam ucapannya. 'Husnu Dzon Billah wa Husnu Dzon Bi 'Ibadillah'. Maknanya, berbaik sangkalah dengan Allah, dan berbaik sangkalah dengan hamba-hamba Allah.

Benar sekali! Saya memang bersalah. Jangan tambah lagi kesalahan dengan berburuk sangka dengan pakcik itu. Jalan keluar bagi ketidakpuashatian saya itu ialah dengan menjawab segala persoalan yg timbul dengan berbaik sangka!

1) Sampah berbau: Pakcik itu mempunyai daya hidu yg kuat. Manakala hidung kami mungkin dipenuhi mukus yg menghalang kami menghidu sampah itu. Maka dia mampu menghidu bau busuk sampah. Logik juga.

2) Asap rokok: Saya tak pernah memastikan asap itu datang dari rokok yg dihisap oleh pakcik. Berbaik sangkalah bahawa asap itu datang dari arah lain. Lagipun sekarang, tingkap rumah yg dimasuki asap itu memang sentiasa tertutup. Err, apa? Pakcik tu tak merokok? Malunya saya...

3) Pakcik tak tolong buangkan sampah: Hei! Banyak cantik...ingat pakcik tu kuli awak ke? Dia banyak lagi kerja lain lah...Awak tu pernah terfikir nak tolong buang sampahnya?

Alhamdulillah, dengan berbaik sangka, insya Allah semuanya selesai dengan aman dan harmoni. Bukankah mesej Islam itu bersifat membawa keamanan dan keharmonian? 'Islam is peace!'

Jika ada kelapangan, saya ingin menulis tentang kejiranan mengikut perspektif Islam.




0 comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin