Friday, April 11, 2008

Manusia terhebat sepanjang zaman...

Telah masyhur sebuah kisah sejarah yang terpenting sepanjang zaman. Watak-watak yang terdapat dalam kisah tersebut ialah watak-watak yang terpenting dalam sejarah ketamadunan manusia. Watak utama dipegang oleh seorang lelaki mulia yg pintar lagi bijaksana. Dia merupakan seorang pemimpin yang adil, bapa yang penyayang, suami yang mulia, pendidik yang berjaya, sahabat yang setia. Akhlaknya mulia, peribadinya mengkagumkan. Budi pekertinya tiada tandingan. Dia jujur dan amanah. Kehebatannya jelas terserlah. Keperwiraannya digeruni musuh lantas memaksa mereka untuk tunduh kalah. Kepimpinannya diakui teman dan lawan. Kesetiannya tidak pernah diragui. Kehebatannya dalam setiap sudut dan segi. Dia seorang manusia……………..tapi bukan manusia biasa! Yang mengatakan dia manusia biasa jelas tersilap. Tidak syak lagi, dia seorang manusia yg amat luar biasa.


Dialah Muhammadصلى الله عليه وسلم .Dengan bangganya, saya rasa teramatlah wajar dan wajib untuk mengubah kata nama am ‘Dia’ kepada ‘Baginda’ apabila berbicara tentang peribadi yg ulung ini. Baginda صلى الله عليه وسلم seorang manusia, tapi bukan manusia biasa! Baginda صلى الله عليه وسلم dibekalkan dengan wahyu dan mukjizat. Mukjizat teragung yang pernah dikurnia ialah Al-Quran yang terpelihara kesuciannya. Terhimpun pada peribadi Baginda صلى الله عليه وسلم jawatan-jawatan yang tidak pernah dipegang oleh sesiapa pun di kalangan manusia mahupun jin. Para malaikat turut memuliakan manusia yang amat unik ini. Pangkat-pangkat kebesaran yang tidak pernah dikurniakan kepada sesiapa pun di dunia ini diserahkan kepada Baginda صلى الله عليه وسلم

Baginda صلى الله عليه وسلم seorang Nabi dan Rasul yang maksum. Bahkan Penghulu kepada sekalian Nabi dan Rasul, Penghulu kepada seluruh anak Adam namun langsung tidak pernah berbangga. Seluruh Nabi dan Rasul telah diperintahkan supaya berjanji dengan Allah Taala untuk beriman dengan kenabian dan kerasulan Baginda صلى الله عليه وسلم. Baginda صلى الله عليه وسلم ialah sebaik-baik makhluk yang pernah tercipta. Baginda صلى الله عليه وسلم merupakan rahmat kepada sekalian alam. Rahmatnya kepada mukmin ialah hidayah petunjuk. Rahmatnya kepada munafik ialah aman daripada dibunuh. Rahmatnya kepada kafir ialah azab ditangguh. Hidupnya dan matinya merupakan rahmat kepada semua. Pada Hari Kiamat kelak, Baginda صلى الله عليه وسلم akan menjadi saksi kepada seluruh makhluk sejak zaman Adam hingga tamatnya dunia. Baginda صلى الله عليه وسلم pemberi syafaat kepada ummat. Baginda صلى الله عليه وسلم dimuliakan di bumi dan di langit. Baginda صلى الله عليه وسلم makhluk termulia. Nama Baginda صلى الله عليه وسلم disebut bersama nama Sang Penciptanya.

Baginda صلى الله عليه وسلم dimuliakan dengan Isra’ Mikraj. Merentasi sempadan akal, menembusi 7 petala langit. Menjejakkan kaki di Sidratul Muntaha. Menerima kurnia Solat 5 waktu. Disingkapkan sebahagian Ghaibiyyat. Batu dan kayu pernah memberi salam kepadanya. Baginda صلى الله عليه وسلم orang pertama memasuki Syurga. Baginda صلى الله عليه وسلم Rasul yg paling ramai pengikut. Taat dan patuh kepada Baginda صلى الله عليه وسلم ialah taat dan patuh kepada Yang Maha Berkuasa.

Sahabat-sahabat di sekeliling Baginda صلى الله عليه وسلم ialah sebaik-baik golongan. Kurun ketika hidupnya Baginda صلى الله عليه وسلم ialah sebaik-baik kurun. Ummat Baginda صلى الله عليه وسلم ialah sebaik-baik ummat. Isteri-isteri Baginda صلى الله عليه وسلم merupakan Ibu kepada orang-orang beriman. Baginda صلى الله عليه وسلم menyelamatkan ummat daripada kegelapan Jahiliyyah kepada cahaya keimanan.

Tiada seorang manusia pun yang dibukukan kisah hidupnya sebagaimana Baginda صلى الله عليه وسلم . Tiada yg mampu menandingi keagungan sejarahnya.

Gerak-gerinya syariat. Kata-katanya penuh dengan makna tersurat dan tersirat. Berselawat ke atasnya pula ialah Ibadat.

Cintailah Baginda صلى الله عليه وسلم , Sahabatnya, ahli keluarganya dan para ulama pewarisnya...dan amalkanlah Sunnahnya. Baginda صلى الله عليه وسلم merupakan idola yg paling sempurna. Baginda صلى الله عليه وسلم merupakan teladan kepada semua.

0 comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin