Thursday, December 31, 2009

Masih dengan isu talaqqi

Jika tulisan yg lepas membangkitkan isu 'memadai dengan kelas di dewan kuliah, tidak perlu ke kelas talaqqi', maka tulisan kali ini pula menyentuh isu yg agak bertentangan dengan tulisan sebelumnya.

Pagi tadi seorang kawan menyampaikan tazkirah subuh dan mengingatkan kesilapan yg berlaku sesama kami. Antaranya kurang kecaknaan terhadap pengajian talaqqi. Katanya, satu ketika dulu, tiada orang yg membuka jalan kepadanya untuk ke pengajian talaqqi berbeza sebagaimana hari ini. Bukan seorang ini sahaja yg merungut sebegini bahkan sudah beberapa orang menemui saya dan bercerita perkara yg sama. Dialognya sama cuma karakter yg berbeza. Saya senyum. Sejarah berulang. Itu juga derita yg saya rasai ketika mula menjejakkan kaki di Mesir satu masa dulu. Saya juga menyalahkan orang lain. Gara-gara tidak tahu di mana letaknya Madyafah, saya tersesat jauh. Walhal Madyafah hanya terletak di sebuah lorong berdekatan jalan raya. Akhirnya, sasaran dikenalpasti. Saya menemui Madyafah setelah berpeluh-peluh berjalan sambil melihat-lihat sekeliling. Pintu Madyafah tertutup rapat. Pada hari itu, saya berasa puas. Cukuplah untuk saya kenal dahulu lokasi taman syurga ini. Kelas pengajian di Al-Azhar lebih mudah dicari. Sudah tentu di dalam kawasan masjid.


Setelah beberapa ketika, saya berfikir semula tentang pendirian saya yg menyalahkan orang lain tadi. Saya cuba bersangka baik. Oh, mungkin saya tertinggal ketika kawan-kawan lain dibawa mengenali tempat-tempat talaqqi satu ketika dahulu. Maka, saya mula berpendapat bahawa kesedaran diri sebenarnya amat mampu memberi tunjuk tempat-tempat talaqqi jika tiada yg memberi tunjuk. Kesedaran diri itulah penunjuk jalan saya yg paling setia. Tapi, tugas memberi tunjuk di mana letaknya majlis-majlis ilmu tetap perlu diberikan penekanan. Atas dasar ini, saya membawa junior-junior ke tempat-tempat yg dimaksudkan. Tapi mungkin ada di kalangan junior yg juga tertinggal sebagaimana saya juga tertinggal satu ketika dahulu.

Saya sudah mahu pulang ke Malaysia. Saya tak mahu menyalahkan sesiapa. Saya pohon maaf daripada semua. Saya juga memaafkan semua.

Alhamdulillah, sekarang saya dapati semangat kawan-kawan ke kelas talaqqi semakin membara. AJKT juga tidak kurang hebatnya. Rasulullah Sollallahualaihiwasallam pernah mengutus surat kepada Hercules, mengajaknya supaya memeluk Islam. Baginda berkata, jika Hercules memeluk Islam, beliau akan mendapat dua pahala. Pahalanya memeluk Islam dan pahala rakyatnya yg mengikuti jejak langkahnya memeluk Islam. Begitu juga dengan AJKT, jika mereka ke kelas talaqqi lalu 'rakyat' turut mengikut. Maka, mereka juga dapat pahala ekstra.

Saya mahu kembali semula ke Mesir setelah pulang insya Allah. Dulu, hasrat murni saya pernah disindir. Saya kata mahu kekal empat tahun di Mesir tanpa pulang, bukan dengan nada bercakap besar tapi sebagai motivasi buat diri dan rakan-rakan. Tapi, ada suara-suara yg memperlekehkan walaupun mungkin tanpa niat. Ada juga yg mencabar. Alhamdulillah, terbukti saya berjaya menyahut cabaran. Sekarang, apabila saya menyuarakan keinginan untuk kembali semula ke Mesir setelah pulang ke Malaysia, suara-suara menyindir turut kedengaran di sekeliling. Maka, saya cuba menyahut cabaran seterusnya. Ada juga yg memujuk agar kembali. Maka, saya akan cuba termakan pujuk rayu anda.


*Madyafah ialah tempat pengajian talaqqi yg diasaskan oleh anak-anak Syeikh Ismail Sodiq Al-'Adawi, bekas Imam Masjid Al-Azhar.

p/s: Saya mahu menulis penulisan ilmiah tapi keadaan masih tidak mengizinkan :(

Sunday, December 27, 2009

Penyakit mahu cepat pandai

Penyakit yg menimpa kebanyakan pelajar ialah penyakit mahu cepat pandai. Saya juga tidak terlepas daripada penyakit ini. Sebenarnya, perasaan mahu cepat pandai bukanlah satu masalah, tapi jika perasaan itu tidak dilorongkan ke jalan yg betul maka ianya membawa musibah. Inilah yg saya maksudkan. Berkenaan penyakit ini, saya luangkan masa untuk berfikir sejenak sambil menjangka kesannya. Bagaimanakah agaknya jika pada masa hadapan wujudnya sekelompok pelajar bidang agama yg hanya mahu cepat pandai tanpa melalui jalan yg disediakan para ulama, lalu mereka tidak sedar kehadiran penyakit ini. Lebih dahsyat lagi jika sudah tahu tapi buat-buat tak tahu pula bahawa penyakit bahaya ini sedang menjangkiti mereka secara serius. Maka, ilmu tidak akan lagi dikupas dan dibincangkan dengan baik kerana kecetekan ilmu.

Baru-baru ini saya diberitahu adanya suara sumbang yg mengajak supaya tinggalkan kelas pengajian secara talaqqi dengan para masyayikh dan memadai dengan kelas di dewan kuliah. Pengajian talaqqi yg sebenarnya membincangkan ilmu secara mendalam kononnya dianggap merugikan, memakan masa bertahun-tahun namun kitab masih tidak mampu dihabiskan. Saya menggaru kepala yg langsung tidak gatal dan tertanya-tanya, adakah kebanyakan pensyarah di dewan kuliah mengkhatamkan sebuah kitab dari awal hingga ke akhir atau sekadar menghabiskan silibus? Saya tidak menafikan kepentingan kelas di dewan kuliah cuma menafikan 'memadai dengan kelas di dewan kuliah'. Sila faham.

Imam Syafie menyebut di dalam syairnya yg masyhur,

أخي لن تنال العلم إلا بستة ....... سأنبيك عن تفصيلها ببيان
ذكاء وحرص واجتهاد وبلغة ..... وصحبة أستاذ وطول زمان

"Saudaraku, engkau tidak akan memperolehi ilmu kecuali dengan enam perkara, akan ku terangkan kepadamu perinciannya dengan jelas:

1- Kecerdikan 2-Berkemahuan 3-Bersungguh 4-Mempunyai bekalan 5-Berteman dengan guru 6-Panjang masa."

Jika mahu menjadi pandai, maka penuhilah keenam-enam syarat. Anda mungkin cerdik, tapi adakah anda mahu belajar? Jika mahu, maka mesti dengan kesungguhan. Juga perlu punya bekalan. Sentiasa mendampingi para ulama dan perlu menghabiskan masa yg lama.

Berdasarkan syair di atas, saya kira gesaan supaya tinggalkan pengajian talaqqi di Masjid Al-Azhar semata-mata untuk tumpukan pengajian di universiti ialah satu kesalahan besar yg dilakukan oleh si yg berkata.

Kelebihan pengajian di dewan kuliah ialah pengajiannya bersifat lebih memberi kemudahan kepada pelajar. Maka, sebahagian kitab diringkaskan dan dipersembahkan dengan wajah baru yg mudah untuk difahami. Namun, jika pelajar hanya asyik dengan kitab sebegini, dimanjakan dengan gaya bahasa yg mudah, memadai dengan maklumat-maklumat yg bersifat 'permukaan', tidak menjerumuskan pemikiran ke dasar lautan ilmu yg sebenar, maka akan lahirlah 'ustaz mee segera', meminjam istilah Ustaz Nik Abduh. Si pelajar akan berasa bijak kerana mampu untuk mengetahui banyak maklumat dengan mudah dan hanya dalam jangka masa yg singkat. Kesannya, pengajian secara talaqqi hanya dipandang sebelah mata! Sedangkan pengajian begini lah yg diwarisi zaman berzaman oleh para ulama. Sahabat mewarisinya daripada Baginda, Tabien pula mewarisinya daripada sahabat dan begitu juga golongan-golongan selepas mereka hingga ke hari ini. Bersabarlah untuk sakit kaki sebentar kerana bersila di hadapan para masyayikh.


Ada juga yg khusyuk dan rasa cukup dengan membaca sendiri. Lebih parah lagi jika hanya gemar membaca kitab-kitab terjemahan. Bagi yg tidak mampu memahami bahasa Arab, dipersilakan membaca bahan-bahan bacaan sebegini tapi jangan pula setelah itu berlagak sehebat Imam Syafie. Yang memahami bahasa Arab pula kenapa mesti terlalu cinta dengan buku terjemahan? Belajar cara begini memanglah mudah, tidak perlu nahu yg mantap, kamus tidak perlu menjadi teman di sisi, bahkan membaca dalam keadaan meniarap pun boleh. Secara perlahan-lahan tanpa sedar, adab dengan para ulama semakin terhakis.

Ramai juga yg tertipu dengan seruan yg kelihatannya suci. Seruan 'Berpegang dengan Al-Quran dan As-Sunnah', 'Kita tidak berhujah dengan kalam ulama', 'Jangan taasub' dan pelbagai lagi dengan satu halatuju yg sama, mendapatkan pengaruh umat Islam dan menarik ke arah kefahaman versi mereka. Akibatnya ulama kurang mendapat tempat di hati umat Islam. Sesiapa sahaja boleh bercakap bab hukum hakam. Lebih dahsyat, hingga ada yg menulis buku berkaitan hukum hakam Fiqah sedangkan rujukannya hanya kitab-kitab terjemahan. Apabila seorang yg bukan di bidang perubatan menulis tentang perubatan, tentu akan ditempelak kerana dianggap menceroboh kesucian ilmu perubatan. Maka bagaimanakah pula dengan kesucian ilmu agama khasnya Ilmu Fiqah? Kefahaman secara literal kepada teks nas juga amat menyumbang ke arah kerosakan Ilmu Fiqah. Kononnya, mereka berpegang teguh kepada nas wahyu, bukan kepada kalam ulama lalu berbangga merasakan diri sihat tidak diserang wabak taasub yg teruk melanda orang lain.

Hujah yg digunakan untuk menghalalkan tindakan mereka ialah "Wahyu bersifat maksum manakala kalam ulama tidak maksum". Jawapan untuk menolak hujah dangkal ini ialah "Benar, wahyu memang bersifat maksum tapi kefahaman kamu terhadap wahyu tidak maksum!" Bahkan jika dibandingkan kefahaman kamu dengan para ulama bezanya ibarat langit dengan bumi. Maka, lempar sahaja kefahaman kamu yg cetek itu ke dinding.

Sekarang musibah yg melanda rentetan daripada penyakit mahu cepat pandai ialah gejala membidaahkan umat Islam yg lain dan hasilnya kesatuan ummat semakin meretak. Apabila berasa dirinya betul, dengan cepat dia menuduh orang lain salah. Mujtahid pun tidak terlepas daripada tuduhannya. Jika sesebuah pendapat ulama memang nyata tersilap, maka tegurlah secara terhormat. Namun kini, kebiadapan intelektual nyata terserlah.

Saya bimbang penyakit mahu cepat pandai ini tidak lagi dianggap penyakit pada masa akan datang. Saya jangkakan kesannya amat membinasakan. Satu masa dahulu, pakar psikiatri di Eropah juga menganggap kecenderungan kepada homoseksual ialah satu penyakit, maka disediakan khidmat kaunseling untuk merawat dan membasminya. Namun, kini kecenderungan kepada hubungan sejenis ini dianggap sebagai pilihan cara hidup seseorang individu. Sesiapa sahaja bebas memilih gaya hidup Sodomi warisan kaum Nabi Lut alaihissalam. Bahkan disediakan khidmat kaunseling pula kepada manusia tidak normal ini, dan bukan lagi dengan tujuan untuk membasmi. Bahkan sehingga ke tahap ditubuhkan Kelab Gay Muslim.

Saya tidaklah menyamakan penyakit mahu cepat pandai dengan gejala homoseks. Terlalu kasar bunyinya. Tapi kedua-duanya mempunyai persamaan dari sudut jika tidak merawatnya dengan serius, penyakit ini mungkin boleh berubah sifatnya kepada bukan lagi penyakit. Dan di saat itu, kerosakan berleluasa.

Saya cadangkan supaya baca Sofahat Min Sobril Ulama' karangan Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah rahimahullah dan anda akan tahu apa itu menuntut ilmu.

Leteran ikhlas (insya Allah) dari Baitul Hikmah, H 10.

Wednesday, December 16, 2009

Cabaran bermula!


Bantulah hambaMu ini... Ya Allah!

Cabaran yg tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Sekarang, cabaran itu bermula...


Misi pertama:
Walaupun angin bertiup kencang, misi pertama tetap berjaya.
Kharijin - Maktabah - Khazinah
16 Disember 2009 | 11.10 am

Tema: Nak seribu daya, tak nak setrillion dalih.

Misi kedua menyusul.

Saturday, December 12, 2009

Lahirnya sebilah pedang Allah

Alhamdulillah, akhirnya saya dikurniakan seorang lagi anak saudara. Hasil perkahwinan Kak Ngah dan Abang Ngah, mereka dikurniakan seorang cahaya mata pertama. Seorang putera yg bakal mendukung perjuangan Islam di masa hadapan, insya Allah. Nama yg dipilih ialah Ahmad Saifullah bin Mustafa.

Selepas ini, bolehlah saya panggil Abang Ngah dengan panggilan Abu Ahmad dan Kak Ngah pula dengan panggilan Ummu Ahmad. Begitu kebiasaaan masyarakat Arab. Rasulullah Sollallahualaihiwasallam sendiri digelar dengan Abu Al-Qasim. Al-Qasim merupakan anak Baginda yg pertama, berkat perkahwinannya dengan Sayyidatuna Khadijah Al-Kubra radiyallahuanha. Biasanya, nama anak pertama yg akan dipilih dan diletakkan 'Abu' di hadapannya bagi si bapa , manakala 'Ummu' bagi si ibu.

Namun, bukanlah satu kemestian untuk mempunyai anak. Masyarakat Arab juga menggelar seseorang dengan gelaran Abu atau Ummu walaupun seseorang itu tidak punya anak. Sayyidatuna Aisyah radiyallahuanhu digelar dengan Ummu Abdillah sedangkan beliau tidak mempunyai anak. Ada pendapat yg mengatakan beliau pernah melahirkan anak tetapi keguguran. Tapi, pendapat yg lebih kuat ialah beliau dipanggil dengan gelaran sedemikian kerana beliau mempunyai anak saudara yg bernama Abdullah yg merupakan anak kepada saudara perempuannya, Sayyidatuna Asma Zat An-Nitaqain binti Abi Bakar As-Siddiq, isteri Sayyiduna Zubair bin Al-Awwam radiyallahuanhum. Oleh sebab itulah Sayyidatuna Aisyah radiyallahuanha digelar dengan Ummu Abdillah. Sayyiduna Abdullah bin Az-Zubair akhirnya syahid dibunuh oleh Hajjaj bin Yusuf At-Thaqafi.

Abu Hurairah radiyallahuanhu yg bermaksud 'Bapa Kucing' pula digelar sedemikian kerana sifat kasih sayangnya kepada kucing. Akhirnya, Baginda mula menggelarnya dengan gelaran ini. Lalu, gelaran bagi sahabat yg paling banyak meriwayatkan hadis ini lebih masyhur daripada nama sebenarnya, berkat panggilan Baginda. Bahkan saya sendiri digelar Abu Hamid oleh seorang pakcik Arab yg baik hati, Ammu 'Azim. Saya tidak mempunyai anak, berkahwin pun belum. Tapi, mudah-mudahan berkat gelaran yg serupa dengan gelaran Hujjatul Islam Al-Ghazali rahimahullah menjadikan saya juga seorang yg gigih dalam perjuangan menuntut ilmu. Wahai Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad Al-Ghazali, engkau idolaku selain Nabi Muhammad Sollallahualaihiwasallam.

Saya setuju benar dengan nama Ahmad Saifullah. 'Ahmad' bermaksud 'yg sangat terpuji', juga merupakan salah satu nama Baginda. Terdapat 201 nama dan sifat Baginda yg tertulis di Masjid Nabawi bermula dari pintu sehingga ke mihrab. Jika yg pernah menjejakkan kaki ke sana, mungkin perasan. 'Saifullah' pula bermaksud 'pedang Allah'. Saifullah ialah gelaran Baginda kepada Sayyiduna Khalid bin Al-Walid radiyallahuanhu.


Kisah di sebalik gelaran 'Saifullah'

Rasulullah Sollallahualaihiwasallam telah mengutuskan segerombolan tentera bagi menyerang Rom sebagai menuntut bela atas kematian Al-Harith bin 'Umair Al-Azdiy radiyallahuanhu yg ditugaskan sebagai utusan Baginda kepada pemerintah Busra. Baginda telah menamakan 3 orang panglima. Panglima pertama, Zaid bin Harithah radiyallahuanhu. Jika gugur, maka Jaafar bin Abi Talib radiyallahuanhu. Jika gugur, maka Abdullah bin Rawahah radiyallahuanhu. Perang ini dikenali dengan Peperangan Mu'tah.

Pasukan tentera Muslimin yg berjumlah 3 ribu orang akan berhadapan dengan sejumlah 150 ribu tentera Rom dan golongan Kristian Arab. Perang meletus. Zaid bin Harithah radiyallahuanhu gugur syahid. Panji dipegang pula oleh Jaafar bin Abi Talib radiyallahuanhu sebagaimana yg diperintahkan Baginda. Lalu, Jaafar radiyallahuanhu juga terbunuh syahid. Lantas, Abdullah bin Rawahah radiyallahuanhu pula menggantikannya. Akhirnya , beliau juga syahid. Hampir sahaja tentera Muslimin berundur ke belakang sehinggalah 'Uqbah bin 'Amir radiyallahuanhu [1] menyeru, "Wahai kaum, sesungguhnya seorang manusia yg terbunuh dalam keadaan berhadapan dengan musuhnya lebih mulia daripada yg mati terbunuh membelakangi mereka." Tentera Muslimin kembali thabat.

Mereka sepakat melantik Khalid Al-Walid radiyallahuanhu untuk menjadi panglima perang menggantikan panglima terakhir. Amanah berat itu terpaksa ditanggungnya. Pada hari itu, beliau menyerang musuh penuh berani. Keesokannya, beliau yg terkenal dengan pakar strategi perang sejak di alam jahiliyah lagi telah menukar susunan tenteranya. Yang menunggang diarahkan supaya menggantikan kedudukan tentera yg berjalan kaki. Yang berjalan kaki pula diperintahkan menunggang kuda. Yang di sebelah kanan bertukar ke sebelah kiri. Yang kiri pula ke bergerak ke sebelah kanan. Maka, tentera Rom gentar kerana menyangka bahawa tentera bantuan telah tiba untuk menolong tentera Muslimin. Kehandalan dan kemahiran Khalid dalam ketenteraan tidak dapat disangkal lagi.

Setelah 7 hari bertempur, akhirnya tentera Rom berundur mengalah. Tentera Muslimin pula pulang ke Madinah. Sebelum berita kematian ketiga-tiga panglima sampai ke telinga Baginda, wahyu dari langit telah pun mendahului.

Baginda bersabda,
"Zaid memegang panji lalu terbunuh. Kemudian, Jaafar pula memegangnya lalu terbunuh. Kemudian, Ibnu Rawahah pula memegangnya lalu terbunuh." Air mata Baginda mengalir. Kemudian Baginda berkata, "Sehinggalah panji dipegang oleh sebilah pedang daripada pedang-pedang Allah hingga Allah memberi kemenangan kepada mereka." Riwayat Bukhari.

Ketika tentera tiba di Madinah, penduduk Madinah memanggil mereka, "Wahai orang-orang yg lari dari medan perang..." kerana menyangka bahawa berundurnya Khalid dan tentera sebagai satu kekalahan sedang Baginda pula menganggap itu sebagai strategi lalu bersabda, "Bahkan mereka ialah orang-orang yg mara...". Baginda juga memuji kehandalan Khalid Al-Walid.


Iklan tentang kecintaan Khalid Al-Walid radiyallahuanhu kepada Baginda. Kos iklan bernilai 2.5 juta Dollar


Hikmah kematian Khalid Al-Walid radiyallahuanhu di atas pembaringan

Sebahagian dari kita tertanya-tanya, mengapakah Khalid radiyallahuanhu mati di atas pembaringan sedangkan beliau telah menyertai peperangan yg teramat banyak? Mengapa Khalid radiyallahuanhu tidak terpilih mati sebagai syahid?

Para ulama kita menjawab dengan penuh bijaksana, "Pedang Allah (Saifullah) tidak akan sama sekali patah." Jika Khalid syahid di medan tempur, ini akan menjadi hujah kepada musuh Islam bahawa pedang Allah juga mampu untuk dikalahkan.

Mudah-mudahan anak buah saya yg baru lahir ini, Ahmad Saifullah mewarisi kewibawaan dan ketokohan Sayyiduna Khalid bin Al-Walid radiyallahuanhu yg bermati-matian memperjuangkan Islam tanpa mengenal erti penat dan lelah. Ya Allah, himpunkan kami bersama-sama mereka. Amin.


[1] Beliau dikebumikan di Kaherah. Sesiapa yg berada di Kaherah, luangkan masa untuk menziarahi beliau.

Monday, December 7, 2009

Drama cinta yg bagus untuk ditonton

Saya baru sahaja 'habis' menonton 'Muhammad Sollallahualaihiwasallam-The Final Legacy'. Menonton drama atau filem bersama saya sungguh mudah tapi mungkin tidak memuaskan anda. Filem Ketika Cinta Bertasbih selama lebih 2 jam berjaya saya habiskan sekitar 20 minit sahaja. Semasa menonton filem ini, saya lebih berminat untuk melihat latar tempat filem ini berlangsung. Seronok juga melihat tempat saya lalu lalang, kawasan belajar: kawasan yg menyimpan 1001 kenangan akhirnya masuk filem. Bahkan, kalau diminta untuk bercerita tentang filem ini, saya akan mensyarahkan latar tempatnya, bukan jalan ceritanya. Bagi drama bersiri 'Muhammad Sollallahualaihiwasallam-The Final Legacy' pula, saya tidak menghabiskan kesemua 30 episod. Ketika mulai menonton lagi, saya berkeyakinan penuh bahawa saya tidak akan menghabiskan kesemuanya. Saya bermula dengan episod ke-2 kerana tiada episod pertama. Selesai episod ke-2, saya tonton pula sebahagian episod ke-3, lalu saya terus melompat ke episod ke-24. Jika sudah ada episod ke-30, tentu episod itu mengakhiri slot menonton saya. Saya hanya menonton melalui Youtube. Walaupun kualitinya kurang bagus, saya boleh tersenyum tanda puas.


Trailer 'Muhammad Sollallahualaihiwasallam-The Final Legacy'

Drama berbahasa Arab ini disiarkan di Islam Channel. Drama ini agak bagus walaupun ada perkara yg kurang menyenangkan saya. Saya nyatakan kemudian. Bahasa Arab yg digunakan pula ialah Bahasa Arab Fusha (bukan bahasa pasar) yg memang merupakan bahasa pertuturan masyarakat Arab pada zaman dahulu. Ini membantu saya berkhayal membayangkan suasana sebenar di zaman itu. Tiada peluang untuk mendengar bahasa begini digunakan secara live kecuali dengan membaca Al-Quran, Hadis dan ketika di dewan-dewan kuliah dan masjid-masjid (bukan semua dewan kuliah/masjid dan bukan setiap waktu). Bagi yg tidak memahami bahasa Arab, anda masih berpeluang menontonnya dengan bantuan sarikata Bahasa Inggeris. Jikalau Bahasa Inggeris pun tidak membantu, maka sekurang-kurangnya anda masih boleh menonton gerak-geri para pelakonnya lalu mengangguk-angguk, samada kerana faham atau berlagak faham.

Barisan pelakon drama ini terdiri daripada 203 orang pelakon popular dari Jordan, Syria dan Lubnan. Drama ini mengisahkan sirah Rasulullah Sollallahualaihiwasallam sejak kelahirannya sehingga kewafatannya. Sirah hidup Baginda banyak keistimewaannya. Keistimewaan yg hanya ada pada sirah Baginda, tidak pada sirah para anbiya mahupun tokoh-tokoh agama dan ideologi lain.

"Keistimewaan ini tidak terdapat pada sirah nabi atau tokoh yg lain. Sebagai contoh, sirah Nabi Musa 'alaihissalam telah dicampur adukkan dengan tokok tambah yg dilakukan oleh Yahudi. Ini tidak memungkinkan kita untuk merujuk Taurat pada hari ini untuk mengetahui sirah sebenar Nabi Musa 'alaihissalam.

Pengkritik dari Barat menyatakan kesangsian mereka terhadap sebahagian kitab suci mereka. Mereka menegaskan bahawa sebahagian kitab itu tidak ditulis pada zaman kehidupan Musa 'alaihissalam ataupun selepas zamannya dalam jarak masa yg dekat tetapi ia ditulis selepas itu dalam jarak masa yg jauh tanpa diketahui pula siapa penulisnya. Ini sudah mencukupi untuk berasa syak terhadap sirah Musa 'alaihissalam yg terdapat dalam Taurat. Jadi tidak mungkin bagi seorang Muslim yg ingin mengetahui sirah Musa 'alaihissalam merujuk Taurat bahkan hendaklah dia merujuk apa yg disebut oleh Al-Quran dan Hadith yg sahih.


Begitu juga halnya dengan sirah Isa 'alaihissalam. Injil-injil yg diiktiraf secara rasmi oleh gereja seluruh dunia pada hari ini diakui ditulis ratusan tahun selepas zaman Isa. Injil-injil ini telah dipilih daripada ratusan injil yg tersebar di tangan-tangan Kristian pada waktu itu dan pemilihannya tidak berpandukan manhaj yg ilmiah. Bahkan penisbahan injil-injil ini kepada penulisnya juga tidak dapat dipastikan secara ilmiah. Ia tidak diriwayatkan dengan sanad yg bersambung kepada penulisnya. Pengkritik dari Barat juga berkhilaf tentang nama-nama penulis Injil ini dan pada zaman manakah mereka sebenarnya? Rujuk 'Is The Bible God's Word' karangan Ahmad Deedat Rahimahullah.
"


Untuk lebih lanjut lagi, boleh baca tulisan saya di sini dan di sini.

Drama ini boleh dikategorikan sebagai drama yg Islamik memandangkan ianya bersih dari adegan-adegan yg 'bahaya'. Lebih-lebih lagi ia mengisahkan tentang perjalanan hidup seorang Rasul. Namun, perkara yg kurang menyenangkan saya ialah sebahagian skripnya. Jika Muslim yg membacanya, saya bimbang akidahnya boleh tergugat. Contohnya ketika Kafilah Dagang Quraisy ingin bertolak menuju ke Syam dalam Rihlat As-Shoif mereka. Skripnya berbunyi, "Kita bertolak dengan pemeliharaan daripada Tuhan-tuhan..." Saya kira skrip seperti ini tidak diperlukan walaupun untuk menggambarkan kepercayaan dan pegangan masyarakat Arab Jahiliyah ketika itu. Cukup dengan patung-patung berhala di sekeliling tapak penggambaran. Saya bersangka baik di sebalik tabir penggambaran, ada ulama yg menjadi sumber rujukan.

Berkenaan hukum melakonkan watak nabi dan sahabat, saya pernah menulisnya di sini. Berdasarkan pemerhatian saya secara tidak menyeluruh, saya dapati drama ini mengikut sebahagian syarat yg digariskan ulama tapi saya tidak pasti adakah ia mengikut sebahagian syarat yg lain. Di dalam filem Ar-Risalah atau The Messenger arahan Mustafa Akkad yg disiarkan pada tahun 1976, pelakon utamanya ialah Anthony Quinn. Maka ada yg salah faham menganggap Anthony Quinn yg melakonkan watak Nabi sedangkan sebenarnya dia melakonkan watak bapa saudara Nabi, Saidina Hamzah radiyallahu anhu, Singa Allah. Jika tidak salah saya, watak Nabi di dalam filem itu ditunjukkan sebagai cahaya. Dalam drama 'Muhammad Sollallahualaihiwasallam-The Final Legacy' pula, hanya ditunjukkan sebatang tongkat yg merujuk kepada watak Baginda. Tiada watak 4 Khalifah, 10 Yang Dijanjikan Syurga dan Para Isteri Nabi Ummahatul Mukminin yg dilakonkan.

Maka syarat yg melarang melakonkan watak Nabi, dan para sahabat tertentu yg disebut di atas berjaya ditepati namun bagaimana pula dengan syarat-syarat yg lain? Antaranya, pelakon yg memegang watak para sahabat Nabi hendaklah di kalangan pelakon yg bagus cara hidupnya. Dia tidak boleh memegang watak sahabat nabi kemudian dalam waktu yg lain dia muncul dengan imej yg buruk. Wallahu'alam.


Sedutan filem Ar-Risalah

Mungkin ada yg tertunggu-tunggu apakah judul drama cinta yg saya promosikan. Drama inilah yg saya maksudkan. Drama cinta yg menambahkan cinta kepada Rasulullah Sollallahualaihiwasallam. Cinta pada hari ini disalahertikan bahkan lebih kerap merujuk kepada cinta antara lelaki dan wanita. Drama ini juga secara tidak langsung 'mengajar' subjek Sirah Nabawiyah yg mungkin tiada dalam bidang pengkhususan anda yg belajar di sekolah atau universiti.

Jika anda malas, bosan atau malu membaca buku Sirah, maka ini peluang terbaik untuk anda mengenal kisah perjuangan seorang Rasul yg teramat cinta dan sayangkan anda! Di saat ajal datang bertamu, lidah Baginda yg mulia tidak henti-henti menyebut "Ummati, ummati". Betapa sayangnya Baginda akan umatnya. Baginda berdoa memohon agar seksa maut umatnya ditimpakan ke atasnya. Baginda rela jasadnya menderita kesakitan menanggung seksa maut umatnya. Betapa cintanya Baginda kepada umatnya. Namun, adakah cinta itu berbalas?

Saya sedang menghitung hari. Detik-detik terakhir di Bumi Mesir sebelum pulang ke tanah air perlu digunakan sebaik mungkin. Ini mungkin tulisan-tulisan terakhir saya di sini. Hari ini Kak Ngah saya dijangka melahirkan anak. Doakan Kak Ngah dan anak saudara saya selamat. Insya Allah, lahir seorang lagi pejuang agamaMu Ya Allah!


Thursday, November 26, 2009

Salam Aidil Adha 1430 H, Salam Pengorbanan


Salam Aidil Adha 1430 Hijrah.

Menghayati kegigihan Baginda di waktu muda. Menggembala kambing sebagai tamrin untuk menghadapi 1001 ragam dan kerenah manusia. Menghayati pengorbanan Baginda dan para sahabat, para tabiin serta para ulama bermatian menyebarkan kalimah Tauhid. Kini, populasi Muslim seluruh dunia mencapai angka 1.82 billion.

Korban Habil diterima Allah. Habil kenal hakikat Korban. Habil terus berkorban demi sebuah kebenaran. Qabil membunuh, Habil terbunuh. Namun kematiannya menghidupkan kedamaian. Keinsafan Qabil terzahir setelah pengorbanan jiwa Habil. Walau jasad Habil tertanam di dalam bumi, perjuangannya beroleh hasil. Hakikatnya, Habil yg menang. Maka, pengorbanan itu balasannya kemenangan. Inilah cara berjual beli dengan Allah. Perniagaan denganNya tiada rugi. Hanya keuntungan semata. Modal bukanlah bersifat material sahaja. Salah satu modal perniagaan ialah kesanggupan dan keberanian untuk berkorban.

Tiba-tiba sahaja saya terkenang kata-kata Imam Hasan Al-Banna, khasnya kepada pemuda-pemuda yg agak gopoh dan gelojoh untuk berkorban sebelum tiba masanya. Mereka ingin memetik buah sebelum waktunya. Benar, jalan yg ditempuh ini mungkin panjang jaraknya tapi inilah jalan paling selamat untuk tiba ke destinasi. Beliau berkhutbah menyatakan sesiapa yg sabar bersamanya sehingga sampai ketikanya maka balasannya di sisi Allah. Imam berkata,
إما النصر والسيادة وإما الشهادة والسعادة
"Sama ada kemenangan dan kekuasaan ataupun syahid dan kebahagiaan..."

Perintah Allah ke atas Nabi Ibrahim untuk menyembelih anak kesayangan, Nabi Ismail hanya menguji kesetiaan. Nabi Ibrahim sanggup berkorban. Nabi Ismail rela terkorban. Si ibu redha dengan dugaan. Maka, tatkala pengorbanan sudah pun jelas terbukti, Allah tukar Nabi Ismail dengan seekor kibasy. Pengorbanan tidak semestinya dibuktikan dengan tindakan, tapi dengan azam yg bersungguh.


Saya sedang bersedia menghadapi cabaran tahun baru 1431 H di bumi baru. Ya Allah, permudahkanlah. Amiiinnn.


Baitul Hikmah, Hayyu Asyier
10 Zulhijjah 1430 H

Wednesday, November 18, 2009

Selamat berangkat wahai sahabat!

Jam menunjukkan hampir pukul 12 tengah malam. Saya bergegas memakai jaket kulit yg merupakan uniform musim sejuk saya, keluar dari rumah menuju ke Rumah Terengganu. Bersama-sama Ustaz Syukri, Ustaz Kamal dan Doktor Faris, kami membelah malam Kaherah menghala ke airport untuk menghantar anak usrah saya, Zulkhairi atau lebih manja dengan panggilan Zuket, pelajar perubatan Tahun Dua di Universiti Ain Syams. Dia mahu kembara ke Dublin, Ireland untuk menghadiri majlis graduasi abangnya di sana. Dia akan transit di Istanbul selama 4 jam sebelum tiba di Dublin. Abangnya baru sahaja menamatkan pengajian dalam bidang perubatan. Kakaknya juga pelajar perubatan di sana. Keluarganya keluarga doktor. Ayah, abang, kakak semuanya doktor. Bagusnya. Berkhidmat untuk ummat.

Zuket, anda duta dakwah kami ke bumi Ireland :)

Sebelum itu pula, saya telah menghantar 2 orang rakan yg akan berangkat menunaikan haji ke Baitullah. Mereka ialah Ustaz Hafiz dan Ustaz Faruk. Mereka bertolak menaiki bas ke Pelabuhan Safaga. Kemudian dari sana, mereka akan belayar dengan kapal membelah Laut Merah menuju ke Arab Saudi. Pelayaran yg mengambil masa 30 jam. Saya doakan kalian dikurniakan haji yg mabrur. Mudah-mudahan kalian pulang dalam keadaan suci bersih ibarat anak kecil yg baru dilahirkan ibunya. Doakan saya di lokasi-lokasi dan waktu-waktu yg dimakbulkan doa. Sampaikan juga salam sayang dan rindu saya kepada Baginda Sollallahualaihiwasallam. Salam dari seorang yg hina penuh dosa kepada Nabi yg mulia.

Banjir di Mekah tahun 1941.

Sempena permusafiran anda bertiga, saya berdoa dengan doa yg dibaca oleh Rasulullah Sollallahualaihiwasallam kepada seorang sahabat yg bertemu Baginda dan memberitahu hajatnya untuk bermusafir.

اللهم اطو له الأرض وهون عليه السفر

Ya Allah, dekatkanlah jarak yg jauh kepadanya dan permudahkanlah permusafirannya. (Riwayat Tirmizi)

Doa ini dibaca setelah sahabat tersebut berangkat iaitu setelah ketiadaan sahabat tersebut dan tanpa pengetahuannya. Ini bertepatan dengan hadis yg lain iaitu hadis yg menyatakan bahawa doa seorang rakan kepada rakannya tanpa pengetahuan rakannya itu mustajab, di sisinya terdapat malaikat yg akan mengaminkan doanya dan akan mendoakan pula perkara yg sama untuk si yg membaca doa. Ini kerana doa ketika ketiadaan rakan itu lebih hampir kepada ikhlas. Berdoa untuk kebaikan rakan di hadapan rakan itu kadang-kadang mempunyai kepentingan tertentu. Manakala berdoa tanpa pengetahuan rakan biasanya lahir dari hati yg ikhlas tanpa mempunyai tujuan dan maksud yg tersirat. Berdoa kerana menginginkan kebaikan Allah kepada rakannya itu, bukan mahukan redha rakannya semata.

Saya juga meminta supaya mereka mendoakan saya sepanjang permusafiran mereka. Baginda bersabda bahawa doa orang yg bermusafir itu mustajab.

ثلاث دعوات مستجابات لا شك فيهن: دعوة الوالد، ودعوة المسافر، ودعوة المظلوم

Tiga doa yg mustajab yg tidak syak lagi padanya: Doa seorang bapa, doa orang yg bermusafir dan doa orang yg dizalimi. (Riwayat Abu Daud, Tirmizi, Ahmad dan Ibnu Hibban)

Selamat berangkat wahai sahabat!

p/s: Rupa-rupanya Ayah De dan Cik Na juga telah berangkat menunaikan haji ke Makkah pada 17 Nov 09. Semoga mereka dikurniakan haji mabrur. Amiiinnn... (updated on 18 Nov 09)

Rupa-rupanya Pak Ba dan Mak Su pun akan menunaikan haji. Semoga dapat haji mabrur! Amiiiinnnn... (updated on 19 Nov 09)

Monday, November 9, 2009

Bangkitlah dari lenamu

Apabila bercakap di hadapan pelajar-pelajar perubatan di Mesir, perkara yg saya sebut berulang-ulang kali ialah "Manfaatkan keberadaan anda di sini. Pastikan diri anda berbeza dengan pelajar-pelajar perubatan di tempat lain." Anda dikelilingi para ulama Al-Azhar. Anda juga hidup bersama komuniti pelajar-pelajar agama. Kawan-kawan anda di Ireland misalnya perlu mengeluarkan kos yg mahal untuk menjemput tenaga pengajar dari luar untuk memberi pengisian kepada mereka. Namun di sini, anda berjiran dengan mereka. Bahkan ada yg sebilik dan berkongsi katil. Sedarlah, sudah tiba masanya untuk bangkit dari lena yg panjang.

Sebagaimana anda fokus kepada subjek-subjek di universiti, maka berikan juga penekanan kepada ilmu-ilmu agama. Tamadun Islam yg pernah menaungi dunia satu ketika dahulu ialah kerana kejayaan umat Islam dalam berlaku adil kepada aspek duniawi dan ukhrawi. Pembangunan kebendaan aktif dimajukan. Pembangunan insan tidak pernah diabaikan. Aktiviti-aktiviti intelektual berkembang pesat. Maka, Islam bangkit sebagai sebuah tamadun dan kuasa besar yg mengejutkan dunia di kala itu. Ilmu-ilmu agama diutamakan namun ilmu-ilmu lain tidak diketepikan.

Ketika Imam Syafie (wafat 204 H) tersohor dengan metod ilmiahnya membentuk ilmu Usul Fiqah, maka Jabir bin Hayyan (wafat 200 H) pula tekun dengan kajiannya sehingga dianggap sebagai Bapa Ilmu Kimia. Al-Khawarizmi (wafat 234 H) melalui karyanya, Al-Gebr wa Al-Muqabalah yg ditulis pada zaman pemerintahan Al-Makmun telah memperkenalkan Algebra kepada dunia. Istilah yg berasal daripada bahasa Arab ini masih digunapakai oleh Matematik Moden pada hari ini.

Pada kurun ke-4 Hijrah, Al-Battani telah melakukan pengiraan bahawa setahun menyamai 365 hari, 5 jam, 46 minit dan 24 saat. Pengiraan di zaman moden pula menunjukkan bahawa setahun menyamai 365 hari, 5 jam, 48 minit dan 46 saat. Maka, beza pengiraan Al-Battani dengan pengiraan moden hanyalah 2 minit 22 saat sahaja!

Umat Islam telah mengetahui bahawa bumi beredar mengelilingi matahari sejak dari kurun ke-8 Hijrah lagi melalui kajian Ibnu As-Syatir Ad-Dimasyqi. Tahukah anda bahawa Ahli Falak Islam berperanan besar merancakkan kemajuan ilmu astrologi di barat. Bahkan istilah-istilah yg digunakan mereka masih digunapakai pada hari ini. Zigrid Honka menghitung dan mendapati jumlahnya mencapai 160 istilah.

القانون في الطب - The Canon of Medicine

Siapa tidak mengenali Ibnu Sina yg masyhur dengan karyanya Al-Qanun fi At-Tibb? Ibnu Nafis (wafat 687 H) pula merupakan orang pertama yg menemui sistem peredaran darah dalam tubuh manusia. Beliau juga digelar Ibnu Sina Kedua. Karya bermutu Az-Zahrawi (wafat 404 H) dalam ilmu perubatan diterjemah ke Bahasa Latin lalu diajar di Eropah selama 500 tahun. Ibnu Al-Jazzar Al-Qoirowani (wafat 369 H) pula tokoh perubatan pertama yg menulis buku tentang Paediatrik.

Jangan lupa bahawa nama-nama ini juga tersenarai sebagai ulama dalam bidang ilmu agama. Ibnu Nafis sebagai contoh merupakan ulama besar dalam Mazhab Syafie. Beliau ada mensyarahkan kitab At-Tanbih karangan Abu Ishak As-Syirazi.

Cukuplah sekadar ini sebagai motivasi penguat diri. Ketahuilah sesungguhnya umat Islamlah sebenarnya pemangkin kepada kebangkitan dan kemajuan di Eropah. Kepada pelajar-pelajar perubatan, jangan semata-mata fokus kepada pembelajaran di kuliah sehingga mengabaikan ilmu-ilmu agama. Kepada para pelajar bidang agama pula, janganlah pula buta ilmu-ilmu lain. Kesepaduan ilmu perlu diwujudkan. Masing-masing punya tanggungjawab besar. Sejauh manakah generasi hari ini mampu menjamin kehebatan generasi akan datang? Saya tidak fikir generasi akan datang menjadi generasi yg 'warak' dan serius dengan agama tanpa sibuk dengan kemajuan. Dunia sekarang tidak dipandu ke arah itu. Tapi saya fikir mungkin generasi akan datang serius dengan kemajuan tanpa sibuk dengan agama. Saya bimbang mereka hanya membawa Islam pada nama sedang roh pengamalan Islam jatuh tercicir jauh di belakang.

Ada pihak yg adil dalam aspek dunia tapi zalim dalam aspek akhirat. Begitu jugalah sebaliknya. Akhirnya, Islam dilihat cacat. Ajaran Islam tidak dilihat syumul. Maka, umat Islam mesti mengembalikan keadilan dalam menguruskan kedua-dua aspek, duniawi dan ukhrawi seterusnya sabar menunggu kepulangan Tamadun Islam yg sekian lama menghilang. Yakinlah, Tamadun Islam sedang menunggu gilirannya. Maka, bangkitlah dari lenamu yg panjang!

Berhibur? Silakan tapi jangan melampau.

Artikel ini tidak ditulis khas untuk pelajar-pelajar perubatan. Artikel ini untuk semua.

Ramadhan dan Syawal melambai-lambaikan tangan sambil mengucapkan selamat tinggal. Maka, tiada lagi puasa fardhu Ramadhan. Tiada juga puasa sunat enam hari Syawal. Mudahan-mudahan dipertemukan lagi pada tahun yg mendatang. Salaf berdoa selama 6 bulan agar amalannya di bulan Ramadhan diterima, manakala 6 bulan yg berbaki pula dengan doa supaya dipertemukan dengan Ramadhan akan datang. Falsafah daripada ibadah puasa perlu dihayati. Ibadah puasa mengajar kita supaya mengawal nafsu. Ketika di bulan puasa, kita bersusah payah menahan diri daripada makan di siang hari. Sepinggan nasi goreng kosong pun sudah boleh menyebabkan air liur meleleh. Aromanya tidaklah terlalu menggoda, namun ada muslim yg tertewas. Muslim yg kuat mampu mengawal nafsu walau seekor ayam golek terhidang di hadapannya, walau dia berkurung di dalam bilik yg terkunci. Nafsu makan diserang bertubi-tubi. Ini cerita di bulan Ramadhan.

Setelah Ramadhan berlalu, nafsu kembali bertakhta. Jika di bulan Ramadhan kita bersusah payah menahan diri daripada makan, maka apabila Ramadhan bertolak pergi, kita bersusah payah pula demi makan. Tapi, kalau bersusah payah untuk kawan-kawan, maka itu sikap mulia. Junior saya yg dikenali dengan nama Ustaz Kamal Bulat menghabiskan 3 jam di dapur untuk menyiapkan nasi goreng. Rumah saya penuh dengan asap. Oh, mungkin kali pertama bertemu dapur. Senduk dan sudip masih kelihatan serupa. Kuali dan periuk asyik bertukar nama. Nasib baik, kawan-kawan lain turut membantu. Lain kali, Ustaz Kamal belajar goreng telur dulu ya! Abaikan dulu nasi goreng tu!

Sudah tentu ini bukan nasi goreng yg dimasak oleh Kamal. Mustahil! (gambar hiasan)

Ilmu yg berkaitan Ramadhan dan Syawal serta amalan-amalan di dalamnya janganlah dibiarkan mengiringi pemergian Ramadhan dan Syawal. Maka saya kira tidaklah terlambat untuk menyiarkan jawapan-jawapan bagi Kuiz Ramadhan anjuran KPT sempena Ramadhan baru-baru ini. Jawapan bagi siri pertama telah pun saya siarkan. Tahniah kepada pemenang-pemenang yg kesemuanya bertudung litup. Tiada yg berkopiah layak menang. Tiada yg menghantar kertas jawapan. Mungkin yg berkopiah berpendapat usaha mencari jawapan di dalam kitab tidak layak dibayar dengan hadiah. "Jangan rosakkan amalan kami, cukuplah ganjaran daripada Allah. Kami tak mahu ganjaran daripada makhluk...", mungkin itu bisikan hati sebahagian yg memakai kopiah. Benar, biarlah usaha mulia kalian terbayar dengan ganjaran hadiah yg lebih besar di akhirat nanti.

Berikut ialah jawapan-jawapan bagi siri kedua dan ketiga.

Jawapan Kuiz Ramadhan Siri Kedua:

1- “Kami bersama Nabi SAW pada bulan Ramadhan dalam sebuah permusafiran dan salah seorang daripada kami meletakkan tangannya di atas kepalanya kerana terlalu panas, dan tiada yg puasa di kalangan kami melainkan Nabi SAW dan . . . . “ (Riwayat Bukhari dan Muslim)

a- Abu Darda’

b- Abdullah b. Rawahah

c- Ibnu Jarir

d- Said bin Al-Musayyib

Jawapan : b- Abdullah b. Rawahah radiyallahuanhu


2- Bulan Ramadhan ialah bulan ke- . . . . dalam Kalendar Hijrah.

a- 7

b- 8

c- 9

d- 10

Jawapan : c- 9


3- Peristiwa-peristiwa berikut berlaku dalam bulan Ramadhan kecuali . . . .

a- Perang Badar

b- Pembunuhan Saidina Ali

c- Pembunuhan Saidina Umar

d- Fathu Makkah

Jawapan : c- Pembunuhan Saidina Umar radiyallahuanhu (berlaku pada bulan Zulhijjah, Tahun 23 Hijrah)


4- Siapakah pengarang kitab Lataiful Ma’arif yg membicarakan tentang 12 bulan Islam?

a- Ibnu Hajar Al-Asqalani

b- Ibnu Rejab Al-Hanbali

c- Imam Nawawi

d- Ibnu Jarir At-Tobari

Jawapan : b- Ibnu Rejab Al-Hanbali rahimahullah


5- Perkara-perkara berikut tidak membatalkan puasa di sisi Mazhab Syafie kecuali . . . .

a- Berhadas kecil

b- Berbekam

c- Gila

d- Mencium isteri

Jawapan : c- Gila


6- Perkara-perkara berikut membatalkan puasa di sisi Mazhab Syafie kecuali . . . .

a- Haid

b- Nifas

c- Keluar mazi

d- Melahirkan anak

Jawapan : c- Keluar mazi


7- Tokoh-tokoh tersebut mati pada bulan Ramadhan kecuali . . ..

a- Abdullah bin Al-Mubarak

b- Ibnul Jauzi

c- Hajjaj bin Yusuf At-Thaqafi

d- Hasan Al-Banna

Jawapan : d- Hasan Al-Banna rahimahullah (meninggal pada bulan Rabiul Akhir, 1368 H bersamaan 12 Februari 1949)


8- Dalam Matan Abi Syuja’, perbincangan tentang hukum hakam puasa diletakkan sebelum perbincangan tentang . . . .

a- Haji

b- Solat

c- Zakat

d- Bersuci

Jawapan : a- Haji


9- Ayat-ayat Al-Quran yg berikut membicarakan tentang puasa kecuali . . . .

a- Ayat 183, Surah Al-Baqarah

b- Ayat 184, Surah Al-Baqarah

c- Ayat 187, Surah Al-Baqarah

d- Ayat 188, Surah Al-Baqarah

Jawapan : d- Ayat 188, Surah Al-Baqarah


10- Sila reka tema yg sesuai dan menarik untuk sambutan Aidilfitri yg akan datang.

Jawapan bebas tetapi diberikan keutamaan kepada tema yg mempunyai unsur ukhuwwah dan mahabbah.


Selamat tinggal Ramadhan! Moga bertemu lagi.

1- Bilakah zakat fitrah disyariatkan? _____________ [2 Hijrah, 3 Hijrah, 4 Hijrah]

Jawapan: 2 Hijrah
(pada tahun yg sama disyariatkan puasa Ramadhan)


2- Ulama ________________ [ khilaf, ijmak ] tentang hukum haramnya memberi zakat fitrah kepada orang kafir.

Jawapan : Khilaf
(Ulama ijmak haram hukumnya memberi zakat selain zakat fitrah kepada orang kafir)


3- Zakat fitrah bagi isteri diwajibkan ke atas suami untuk membayarnya menurut 3 mazhab. Hanya mazhab ______________ [ Syafie, Hanafi, Hanbali ] yang mewajibkan si isteri membayarnya sendiri jika si isteri mempunyai harta sendiri.

Jawapan : Hanafi
(pendapat ini juga dipegang oleh Dr. Yusuf Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh Az-Zakat, antara alasannya agar si wanita yg berharta berasa mempunyai tanggungjawab terhadap ibadat zakat fitrah yg ditunaikan hanya setahun sekali)


4- Khatib disunatkan takbir sebanyak _________ [ 5, 7, 9 ] kali pada permulaan khutbah pertama Hari Raya.


Jawapan : 9 kali
(pada khutbah kedua : 7 kali - Khutbah disampaikan selepas solat sunat Hari Raya berbeza dengan khutbah Jumaat yg disampaikan sebelum Solat Jumaat)


5- Bilakah solat sunat Hari Raya Aidiladha dan Aidilfitri disyariatkan ____________ [ 2 Hijrah, 3 Hijrah, 5 Hijrah ]

Jawapan : Tahun ke-2 Hijrah
(Solat Hari Raya pertama yg didirikan oleh Rasulullah Sollallahualaihiwasallam ialah solat sunat Aidilfitri)


6- Apakah hukum takbir sebanyak 7 kali ketika rakaat pertama solat sunat Hari Raya _______________ [ Wajib, Sunat Ab’ad, Sunat Haiah ]

Jawapan : Sunat Haiah
(maka jika meninggalkannya, tidak perlu ditampung dengan sujud sahwi)


7- Ketika solat sunat Hari Raya, Rasulullah Sollallahualaihiwasallam membaca surah ________________ [ Qaf dan As-Shams, Al-‘Ala dan Al-Ghashiyah, Al-Kauthar dan Ad-Dhuha]

Jawapan : Al-'Ala dan Al-Ghashiyah -Riwayat An-Nasaie
(Rasulullah Sollallahualaihiwasallam juga membaca Surah Qaf dan Surah Al-Qamar - Riwayat Muslim dan An-Nasaie)


8- Mandi sunat Hari Raya hanya disunatkan kepada orang yang ingin menghadiri solat sunat Hari Raya sahaja. _____________ [ Betul, Salah ]

Jawapan : Salah
(disunatkan kepada semua kerana tujuannya untuk menzahirkan kecantikan pada Hari Raya)


9- Disunatkan makan dahulu sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri. __________ [ Betul, Salah ]

Jawapan : Betul
(untuk membezakan Aidilfitri dengan hari sebelumnya pada bulan Ramadhanyg diwajibkan berpuasa sejak terbit fajar manakala pada Aidiladha, disunatkan makan setelah solat sunat Aidiladha supaya makanan yg mula-mula dimakannya ialah daging korban yg berkat yg disembelih setelah solat sunat Aidiladha)


10- Sila reka tema yang sesuai untuk sambutan Hari Raya AidilAdha yang akan datang.

Jawapan bebas
tetapi diberikan keutamaan kepada tema yg mempunyai unsur ukhuwwah dan mahabbah.


Perbanyakkan selawat! Pastikan selawat meniti di bibir kita yg mengaku cintakan Nabi Muhammad Sollallahualaihiwasallam.

Seorang sahabat Nabi Sollallahualaihiwasallam, Jabir bin Abdillah radiyallahuanhuma menempuh jarak sejauh sebulan perjalanan semata-mata untuk bertemu Abdullah bin Unais demi sebuah hadith. Bayangkan, demi hanya sebuah hadith, Jabir sanggup menempuk jarak yg jauh sedangkan beliau antara sahabat yg paling banyak meriwayatkan hadith. Beliau meriwayatkan sebanyak 1540 buah hadith.

Seorang tabi'i, Rufai' bin Mihran Ar-Riyahi Al-Basri rahimahullah (wafat 93 H) yg terkenal dengan gelaran Abul 'Aliyah berkata "Kami mendengar riwayat daripada sahabat-sahabat Nabi Sollallahualaihiwasallam di Basrah, kami tidak redha sehinggalah kami bermusafir ke Madinah lalu kami mendengarnya daripada mulut-mulut mereka sendiri."

Imam Sa'id bin Al-Musayyib atau Al-Musayyab rahimahullah, alim besar Madinah (wafat 94 H) berkata, "Aku bermusafir selama berhari-hari termasuk malamnya untuk mendapatkan sebuah hadith." Siapakah beliau? Beliau merupakan antara individu yg digelar Sayyidut Tabi'in!

Seorang tabi'i terkenal, 'Amir bin Syarahil Al-Kufi rahimahullah atau terkenal dengan gelaran As-Sya'bi (wafat 103 H) keluar dari Kufah menuju ke Madinah kerana tiga buah hadith yg disebut kepadanya.

Manuskrip Kitab Sahih Bukhari yg terdapat di Indiana University Bloomington yg dibuka kepada umum

Imam Ibnul Jauzi rahimahullah berkata, "Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah mengelilingi dunia sebanyak dua kali sehinggalah beliau menghimpunkan Al-Musnad." Beliau merentas dunia menuju Syam, Maghribi, Algeria, Mekah, Madinah, Hijaz, Yaman, Iraq, Parsi, Khurasan .... kemudian beliau pulang kembali ke Baghdad.

Imam Baqiy bin Makhlad Al-Andalusi rahimahullah (lahir 201 H, wafat 276 H) berjalan kaki dari Andalus (Sepanyol) ke Baghdad semata-mata untuk menemui Imam Ahmad bin Hanbal dan mempelajari hadith daripadanya. Usianya ketika itu lebih kurang 20 tahun. Tiba di sana, beliau hanya mampu mempelajari hadith di sebalik pintu gara-gara fitnah yg menimpa Imam Ahmad. Setiap hari, hanya beberapa buah hadith diperolehi. Berkat kesabaran dan kesungguhannya, sebanyak 300 buah hadith telah didengari.

Imam Ibnu Abi Hatim Ar-Razi rahimahullah menceritakan kehebatan bapanya, Imam Abu Hatim Muhammad bin Idris Ar-Razi rahimahullah (lahir 195 H, wafat 277 H). Beliau bermusafir dari Kufah ke Baghdad berkali-kali. Begitu juga dari Mekah menuju ke Madinah. Dari sebuah tempat berdekatan Madinah Sala pula menuju ke Mesir dengan hanya berjalan kaki. Beliau juga menempuh perjalanan berjalan kaki dari Mesir ke Ar-Ramlah. Dari Ar-Ramlah ke Baitul Maqdis, 'Asqalan dan Tobariyah. Dari Tobariyah pula ke Damsyik. Dari Damsyik ke Hims. Dari Hims ke Antakia. Dari Antakia ke Tarasus. Dari Tarasus, beliau kembali semula ke Hims. Kemudian ke Baisan dan ke Ar-Raqqah. Dari Ar-Raqqah, beliau mengharungi Sungai Furat menghala ke Baghdad. Usianya ketika itu hanyalah 20 tahun. Jarak yg terlalu jauh ditempuh dengan hanya berjalan kaki. Pengembaraan kali pertamanya memakan masa 7 tahun manakala pengembaraan kali keduanya pula selama 3 tahun.

Ibnul Muammal rahimahullah berkata, "Tiada negeri yg tidak dimasuki oleh Al-Fadhlu As-Sya'rani rahimahullah (wafat 282 H) untuk menuntut Ilmu Hadith kecuali Andalus."

Al-Hafiz Al-Arghiyani rahimahullah (lahir 223 H, wafat 315 H) berkata, "Aku tidak mengetahui (wujudnya) mimbar dari mimbar-mimbar Islam yg masih tidak dimasuki oleh aku untuk mendengar hadith."

Ibnul Muqri' rahimahullah berkata, "Aku mengelilingi timur dan barat sebanyak empat kali."

Al-Hafiz Al-Faqih Abu Sa'd As-Saman Ar-Razi rahimahullah (wafat 445 H) mengelilingi dunia dari timur ke barat dengan berjalan kaki. Bilangan syeikhnya mencapai jumlah 3600 orang!

Al-Hafiz Abul Fityan Umar Ar-Rowwasi rahimahullah (lahir 428 H, wafat 503 H) telah putus jarinya ketika pengembaraan ilmunya di kawasan yg bersangatan sejuknya. Beliau merupakan seorang alim besar sehinggakan gurunya sendiri, Abu Bakar Khatib Al-Baghdadi dan Imam Ghazali meriwayatkan daripadanya. Bahkan Imam Ghazali amat memuliakannya di dalam majlisnya.

Ketika di Iskandariyah, Abu Tohir As-Silafi rahimahullah tidak pernah keluar ke taman melainkan sekali. Kebanyakan masanya dihabiskan di madrasahnya. Para pelajar membacakan hadith di hadapannya sedang usianya ketika itu menjangkau 100 tahun! Kehidupannya benar-benar dihabiskan sebagai khadam kepada ilmu hadith.

Imam Ibnu A'bdil Daim Al-Maqdisi rahimahullah (lahir di Nablus 575 H, wafat di Damsyik 668 H) meriwayatkan hadith selama 60 tahun. Beliau merupakan guru kepada para ulama terbilang seperti Ibnul Hajib, Imam Nawawi, Ibnu Daqiq Al-'Id, Ibnu Taimiyah, Ad-Dimyati dan Ibnul Khabbaz rahimahumullah.

Al-Hafiz Muhammad bin Tohir Al-Maqdisi rahimahullah (wafat 507) kencing berdarah sebanyak dua kali ketika pengembaraannya menuntut ilmu hadith. Beliau sanggup menempuh jarak yg amat jauh ketika panas yg amat terik.

Al-Hafiz Abu Sa'd As-Sam'ani rahimahullah (lahir 506 H, wafat 562 H) mengembara selama lebih kurang 20 tahun. Ibnu Najjar rahimahullah berkata, "Aku pernah mendengar seseorang berkata bahawa bilangan syeikhnya seramai 7000 orang!"

Bapanya membawanya ke Naisabur, Kota Ulama Muhaddith pada tahun 509 H. Usianya ketika itu hanya 3 tahun setengah. Beliau telah merantau ke lebih daripada 100 buah bandar. Pengembaraannya secara keseluruhan memakan masa lebih kurang 23 tahun! Jangan lupa bahawa sistem pengangkutan yg paling bagus di zaman itu hanyalah binatang tunggangan dan ianya bagi mereka yg berkemampuan sahaja. Jika tidak, maka mereka akan berjalan kaki.


Golongan penuntut dan Ulama Ilmu Hadith ialah sekelompok manusia yg terpilih. Mereka cintakan pembacaan dan pengajian hadith. Mereka sanggup menghabiskan harta dan masa demi kalam Rasulullah Sollallahualaihiwasallam. Bergerak dari sebuah negeri ke sebuah negeri. Jarak yg jauh rela diredah. Menempuh perjalanan ketika panas yg terik dan sejuk yg membeku. Membelah lautan, meredah lembah. Dengan rambut yg penuh debu, kaki yg pecah-pecah, haus serta lapar. Namun, segala-galanya tidak pernah menghalang sebuah pengembaraan ilmu.

Jika Islam diserang, mereka bingkas dan bangkit menentang. Bersenjatakan ilmu dan segenap pengetahuan. Mereka menyerang ibarat singa lapar dari hutan belantara. Segala-galanya demi mempertahankan kesucian Islam. Maka, kitab-kitab disalin dan ditulis sebagai warisan untuk umat zaman berzaman.

Mereka ialah kaum yg berjaga malam untuk membaca dan menulis. Tangan mereka sering menggosok-gosok mata untuk menghilangkan rasa mengantuk. Ketahuilah, merekalah pembela Islam! Pemergian mereka diratapi seluruh alam.

Mereka diuji dengan pelbagai rintangan. Jika kita ingin mengikut jejak langkah mereka, maka bertahanlah dengan rintangan yg mendatang. Apalah sangat cubaan dan cabaran yg terpaksa kita hadapi jika dibandingkan dengan para ulama terdahulu. Penat dan lelah mereka tidak terbayar walau dengan dunia dan segala isinya.

Berdoalah mudah-mudahan kita dihimpunkan bersama mereka di akhirat kelak, bertemankan Nabi Muhammad Sollallahualaihiwasallam.

-------------------------------------------------

Kepada mereka yg menyertai Majlis Pembacaan Kutub Sittah, manfaatkan peluang yg ada. Beradab ketika majlis berlangsung. Hayati kesungguhan dan semangat para ulama Hadith. Saya sedih kerana tidak mampu menghadirinya atas sebab-sebab yg tidak dapat dielakkan.

Kepada Adhoc Majlis Pembacaan Kutub Sittah, berusahalah bersungguh-sungguh untuk menjayakan program mega ini. Anda terpilih untuk berkhidmat kepada para penuntut ilmu.


Berita pembatalan majlis ini mengecewakan ramai pihak. Kali pertama saya mendengarnya, darah saya menyirap. Hati saya berbisik, "Jangan buat kerja bodoh!" Saya tahan untuk tidak menzahirkan rasa marah saya tetapi saya kira berdiam diri ketika ini ialah satu perkara yg salah. "Sesiapa yg diperlakukan kepadanya sesuatu yg sepatutnya menjadikan dia marah (marah yg syar'ie), lalu dia tidak marah, maka dia ialah seekor himar." Begitu lebih kurang kalam Imam Syafie rahimahullah.

Maka, kepada pihak JPMK yg dikepalai oleh Profesor Jamil, jangan... jangan... jangan... ! Cukuplah saya zahirkan kemarahan saya dengan lisan, bukan dengan tulisan. Janganlah disebabkan perbezaan pendapat yg berlaku di antara JPMK dan PMRAM merosakkan majlis mulia ini. Fikirkan kerja keras individu-individu yg menganjurkannya. Janganlah termasuk di kalangan orang-orang yg menyekat daripada jalan Allah tanpa disedari. Sikap JPMK di dalam program ini sepatutnya membantu bukannya membantut. Apa alasan konkrit JPMK untuk membatalkan program ini?! Saya kira usaha menggagalkan program ini ialah usaha gila!

Program ini bukan program tari menari. Ini program baca hadith. Diulangi. Ini program baca hadith!!! Di manakah bidaahnya untuk diingkari?! Dengarnya keputusan tentang program ini akan diketahui esok. Marilah bersama-sama mengangkat tangan, bermunajat dan memohon kepada Allah agar segala-galanya berjalan lancar sebagaimana yg dirancang. Sesungguhnya Allah sebaik-sebaik perancang.

Hasbunallahu wa ni'mal wakil....

Oh, mungkin juga JPMK mahu pelajar-pelajar belajar hadith seperti alim ulama yg kisah mereka disebut di atas. Berjalan kaki beribu batu. Meredahi hutan rimba. Berlayar membelah lautan. Hebat sungguh tarbiyah yg mahu diterapkan oleh JMPK. JPMK mahu kita hayati kisah-kisah di atas lantas mempraktikkannya...

Sunday, October 11, 2009

Selamat Berbahagia hingga ke Syurga!

Saya tidak akan lupa hari gembira kawan-kawan saya. Harapnya masih belum terlambat. Kesibukan yg melanda menyebabkan ucapan keramat ini tertunda. Maka, buat kali yg ke seterusnya blog ini mengucapkan 'Selamat Pengantin Baru, Semoga Berbahagia hingga ke Syurga' kepada pasangan-pasangan berikut. Tahniah!

Che Ku Ahmad Saufi dan pasangannya, Munirah Sakinah.

Mohd Noor Alif dan pasangannya, Siti Saniyatul Nusaibah.

Noor Shazana dan pasangannya, Arif.

Che Ku di majlis akad nikahnya

Saya kira semuanya sudah mengadakan walimah. Tahniah sekali lagi kerana tuntutan sunat muakkad telah ditunaikan. Dalam sebuah hadith sahih yg diriwayatkan oleh Imam Bukhari rahimahullah, Rasulullah Sollallahualaihiwasallam bersabda,

أولم ولو بشاة
"Buatlah kenduri kahwin walaupun dengan menyembelih seekor kambing."


Maaf, tiada hadiah yg mampu saya berikan kepada kalian di hari yg bermakna itu. Namun, sekalung doa warisan Rasulullah Sollallahualaihiwasallam lebih mahal dan berharga. Doa yg diriwayatkan oleh Imam Tirmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah rahimahumullah.

بارك الله لك وبارك عليك وجمع بينكما في خير

“Semoga Allah memberkatimu di saat rumah tanggamu dalam keadaan harmoni, semoga Allah memberkatimu di saat rumah tanggamu terjadi kerenggangan, dan semoga Allah mengumpulkan kalian berdua di dalam kebaikan”.

Amiiinnn...

Dalam tempoh beberapa hari sahaja lagi, saya akan mengucapkan ucapan dan doa yg sama kepada mantan bos saya. Wahai artis-artis nasyid dan pesilat-pesilat KPT, bersedia untuk beraksi!


p/s: Bagaimanakah keputusan pilihanraya di Bagan Pinang pada hari ini?

Tuesday, October 6, 2009

Kisah orang alim dan singa

Seorang kawan saya yg tinggi semangatnya meminta kepada saya untuk mencari sumber asal kisah yg pernah saya tulis di sini. Kisah seorang alim dengan singa yg lapar. Katanya ada projek besar. Oh ya, kawan saya ini bukan sahaja tinggi semangat bahkan seorang yg paling tinggi di KPT. Mungkin boleh diberikan anugerah 'The Tallest Man in KPT". Sahabat-sahabat di KPT mungkin sudah boleh meneka siapakah gerangannya.

Alhamdulillah, berikut merupakan apa yg saya temui. Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah melakukan kerja-kerja tahkik, takhrij hadith dan ta'liq ke atas kitab Risalatul Mustarsyidin karangan Imam Al-Harith bin Asad Al-Muhasibi Al-Basri. Syeikh Abdul Fattah meletakkan biodata serta kisah seorang muhaddith yg bernama Bunan Al-Hammal Al-Baghdadi ketika menta'liq kitab ini (halaman 98, cetakan Darus Salam). Beliaulah yg dimaksudkan di dalam kisah orang alim dan singa ini.

Biodata dan kisah beliau dinukilkan oleh Syeikh Abdul Fattah daripada kitab Hilyatul Auliya' karangan Imam Abu Nu'aim, kitab Tarikh Baghdad karangan Al-Khotib Al-Baghdadi dan kitab Al-Muntazim karangan Imam Ibnul Jauzi. Imam Az-Zahabi juga memuatkan biodata dan kisah beliau di dalam kitabnya yg terkenal, Siyar 'Alam An-Nubala'.

Siapakah beliau?

Beliau ialah Bunan bin Muhammad bin Hamdan bin Sai'd Al-Wasiti. Gelarannya ialah Abu Al-Hasan Az-Zahid. Dikenali dengan 'Al-Hammal'. Juga dianggap sebagai seorang Syeikhul Islam. Seorang yg alim besar dalam ilmu hadith, thiqah, zuhud dan kuat beribadat. Mencapai tahap 'Muhaddith'. Berasal dari Baghdad dan menetap di Mesir. Beliau mempunyai kedudukan yg tinggi di sisi orang ramai. Beliau tidak menerima sebarang habuan daripada sultan. Beliau juga bersahabat dengan Imam Junaid rahimahullah.

Bahkan Abu Ali Ar-Ruzabari berkata, "Sebab aku memasuki Mesir ialah kisah Bunan Al-Hammal." Beliau ke Mesir untuk melihat sendiri seorang soleh yg dicampakkan kepada singa untuk dibaham. Namun anehnya, si singa tidak mengapa-apakannya.

Bunan telah menyuruh Ibnu Tulun (pemerintah Mesir, mati tahun 270 H) agar melakukan perkara kebaikan. Maka, Ibnu Tulun murka kepadanya lalu memerintahkan agar beliau dicampakkan ke hadapan singa. Lantas si singa mendekatinya lalu menghidu-hidunya. Subhanallah. Si singa tidak mengapa-apakannya. Lalu, beliau dikeluarkan semula. Beliau ditanya, "Apakah perasaanmu ketika singa itu menghidu-hidumu?" Beliau menjawab, "Aku berfikir tentang khilaf ulama dalam masalah bekas minuman singa dan air liurnya... (adakah ia suci ataupun najis?)".

Singa mempunyai nama yang cukup banyak di dalam bahasa Arab. Ibn Khaluyah mengatakan bahawa nama singa menjangkau sehingga 500 nama. Baca di sini.

Beliau hidup setelah kematian Ibnu Tulun selama 43 tahun. Beliau meninggal dunia di Mesir pada tahun 313 Hijrah. Dalam kitab Siyar 'Alam An-Nubala' tercatat bahawa anak murid beliau, Ibnu Yunus berkata Bunan meninggal pada bulan Ramadhan tahun 316 Hijrah. Jumlah penduduk Mesir yg hadir ke majlis pengebumiannya amat mengagumkan sehingga berlaku kesesakan yg amat teruk.

Antara kalam-kalam beliau,

الحر عبد ما طمع ، والعبد حر ما قنع
"Seorang yg merdeka ialah hamba yg tidak tamak, seorang hamba ialah orang merdeka yg tidak pernah puas."


Wallahu'alam.

Wednesday, September 30, 2009

Biar gambar yg berbicara...

Posting saya kali ini untuk menggambarkan rasa gembira dan rasa bengang. Rasa gembira kerana Aidilfitri. Rasa bengang pula kerana pengurusan UMNO yg tidak profesional.

5 tahun beraya di perantauan...

Syawal 1426 H / 2005 Kaherah

Masih segar di ingatan, tetamu pertama yg datang ke rumah saya (bukan gambar di atas) ialah Ustaz Asri Bait Muslim KPT. Ketika itu beliau belum berkahwin. Saya dan Hanbali hidangkan biskut arab, tiada biskut raya.


1427 H / 2006 Kaherah

Err, sebenarnya gambar di atas ialah semasa Aidiladha. Gambar semasa Aidilfitri tidak ditemui. Saya letakkan juga gambar di atas untuk menyempurnakan koleksi gambar 5 tahun raya versi di perantauan :)


Syawal 1428 H / 2007 Kaherah


Syawal 1429 H / 2008 Mekah, indahnya memori itu


Syawal 1430 H / 2009 Kaherah



Bersama Syeikh Yusri hafizahullah

Selesai solat Aidilfitri di Masjid Asyraf, rempit versi Mesir


Di hadapan Rumah Terengganu




Lawak di bulan Syawal.

Manila kad yg tertampal ialah 'banner' yg dipasang oleh pihak Pejabat Pengurusan Pentadbiran Siswa/wi Terengganu yg bernaung di bawah Kerajaan Negeri Terengganu. Manakala banner yg tergantung ialah banner yg dipasang oleh Unit Sambutan Mahasiswa/wi Baru (USMB KPT 09).

Sejak beberapa tahun lalu, Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) telah dinafikan peruntukan LE10 ribu dan peruntukan tersebut telah disalurkan kepada Ikatan Ulul Albab Mesir yg halimunan. Tetapi, KPT nampaknya 'lebih kaya' dan masih mampu mengeluarkan sedikit kos untuk menyambut adik-adik baru berbanding krew-krew penculik tajaan UMNO! Semoga Allah memelihara kita semua.


5 Syawal 1430 H - Mahasiswa/wi baru tajaan Yayasan Terengganu seramai 38 orang yg baru tiba...

...sebelum diculik selama 10 hari. Pihak USMB diugut agar tidak turut sama menyambut mahasiswa/wi baru di airport. Believe it or not?!

Sepanjang diculik, kebajikan mahasiswa/wi baru tidak terjaga. Saya tak bohong. Tak percaya, sudah!


9 Syawal 1430 H - Mahasiswa/wi baru persendirian seramai 10 orang disambut oleh USMB dengan aman, damai dan harmoni tanpa sebarang ugutan


Wajah-wajah ceria mahasiswa baru yg selesai menunaikan solat dengan tenang sedang rakan-rakan mereka tajaan Yayasan Terengganu sudah berkali-kali solat di akhir waktu akibat ketidakcaknaan UMNO dalam keghairahan bersiar-siar. Jangan marahkan mereka yg baru, mereka masih bingung dengan dengan waktu solat di Mesir.

Sebagai penutup, hayati kata-kata keramat ini "UMNO tidak pernah serius menangani isu akidah, inikan pula isu ibadah?! Isu akhlak? Jauh sekali..."


~Coretan dari Kota Seribu Menara, 1430 H

Sunday, September 20, 2009

Sunat-sunat dan Adab-adab Hari Raya

1- Disunatkan mandi dan membersihkan diri (niat mandi sunat Hari Raya). Hukum sunatnya diqiyaskan dengan hukum sunat mandi Jumaat kerana Hari Raya ialah hari berhimpunnya manusia. Mana-mana waktu atau tempat yg berlakunya perhimpunan manusia, maka disunatkan mandi.

Bahkan disunatkan mandi kepada semua, samada yg ingin menghadiri solat Hari Raya ataupun tidak kerana mandi ini bertujuan untuk menzahirkan kecantikan.

Disunatkan membersihkan diri dengan mencukur buku-bulu pada tubuh, memotong kuku (cara potong kuku klik SINI), menghilangkan bau-bau yg tidak menyenangkan dari badan dan pakaian dan memakai wangi-wangian.

2- Disunatkan makan dahulu sebelum solat sunat Aidilfitri (afdhal makan tamar dengan bilangan ganjil) jika tidak sempat makan di rumah, maka makan di jalanan, musolla dan sebagainya supaya dapat membezakan Aidilfitri dengan hari sebelumnya yg diwajibkan berpuasa. Manakala bagi Aidiladha, disunatkan makan selepasnya supaya makanan yg mula-mula dimakan pada hari itu ialah daging korban yg berkat. Anas radiyallahuanhu meriwayatkan, "Nabi Sollallahualaihiwasallam tidak keluar pada Aidilfitri sehinggalah Baginda memakan beberapa tamar, Baginda memakannya dengan bilangan ganjil." Riwayat Bukhari

3- Memakai pakaian yg paling bagus, walaupun bukan berwarna putih kerana tujuannya untuk menzahirkan nikmat. Tetapi jika warna putih maka terhimpun padanya dua sunat; pakaian yg bagus dan warna putih iaitu warna yg paling afdhal.

Disunatkan menghadirkan anak-anak yg sudah mumayyiz untuk solat sunat Hari Raya.


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini



4- Bertakbir. Takbir terbahagi kepada dua. Takbir mutlak atau mursal dan takbir muqayyad. Pada Aidilfitri, hanya disunatkan takbir mutlak sahaja.

1- Takbir mutlak atau mursal : Takbir yg dilaungkan pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja tanpa terikat dengan solat.

-Waktu bermula pada kedua-dua hari Raya ialah selepas gelincir matahari iaitu masuknya hari baru iaitu selepas masuknya waktu maghrib. Berakhir setelah imam bertakbiratul ihram untuk solat sunat Hari Raya.

2- Takbir muqayyad : Takbir selepas menunaikan solat sama ada solat tunai mahupun qadha', fardhu mahupun sunat kerana takbir ialah syiar waktu. Takbir muqayyad selepas solat tidak disunatkan pada malam Aidilfitri menurut pendapat yg ashah dalam mazhab Syafie. Walaubagaimanapun, takbir yg bergema di masjid-masjid pada malam Aidilfitri tidaklah dianggap sebagai bidaah yg keji kerana ia boleh dianggap sebagai takbir mutlak dan bukan takbir muqayyad yg dikhususkan selepas solat.

-Waktu bermula dari subuh Hari Arafah iaitu 9 Zulhijjah sehingga asar Hari Tasyriq iaitu 13 Zulhijjah.

Tidak disunatkan takbir selepas sujud tilawah dan sujud syukur kerana kedua-duanya bukan solat.

*Ini semuanya bagi orang yg tidak mengerjakan haji. Bagi yg mengerjakan haji, maka bagi mereka ada hukum-hukum yg khas.

5- Pergi awal ke musolla bagi makmum, manakala bagi imam disunatkan untuk lewat sedikit sehingga tiba waktu untuk solat kerana mengikut perbuatan Nabi Muhammad Sollallahualaihiwasallam. Disunatkan bagi imam untuk melewatkan solat sunat Aidilfitri untuk memberi ruang kepada umat Islam untuk membayar zakat fitrah pada waktu yg afdhal iaitu sebelum solat, manakala disunatkan menyegerakan solat sunat Aidiladha untuk segera menjalankan acara korban.

6- Disunatkan berjalan dan melalui jalan yg berbeza ketika pergi dan ketika pulang. Tidak menaiki kenderaan melainkan kerana terdapat keuzuran seperti sakit, lemah dan jauh, maka tidak mengapa untuk menaiki kenderaan. Jabir radiyallahuanhu meriwayatkan, "Adalah Nabi Muhammad Sollallahualaihiwasallam apabila Hari Raya, Baginda membezakan jalan (pergi melalui jalan lain dan pulang melalui jalan lain). Riwayat Bukhari.

Disunatkan ketika pergi ke musolla untuk melalui jalan yg lebih jauh kerana pergi lebih afdhal daripada pulang. Supaya jalan-jalan yg dilaluinya menjadi saksi atas ibadatnya dan supaya memperbanyakkan pahalanya. Ini disunatkan dalam setiap ibadat seperti Solat Jumaat, Haji dan menziarahi orang sakit.

7- Disunatkan wanita untuk hadir ke kawasan Solat Hari Raya (walaupun berada dalam keadaan uzur dan tidak boleh solat, tetapi tidak dibenarkan masuk ke masjid kerana uzur). Tujuannya untuk menyaksikan kebaikan, doa umat Islam dan mendengar khutbah.

Tidak dibenarkan wanita memakai wangi-wangian melainkan yg baunya hanya memadai untuk dirinya sahaja.

8- Menghidupkan malam Hari Raya dengan solat, membaca Al-Quran, berzikir, berdoa dan istighfar. Walaupun hadith-hadith yg menceritakan kelebihannya berstatus dhaif, tetapi dibenarkan untuk tujuan fadhail amal. Abu Umamah radiyallahuanhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Sollallahualaihiwasallam bersabda, "Sesiapa yg menghidupkan dua malam Hari Raya, maka hatinya tidak akan mati pada hari matinya hati-hati." Riwayat Ibnu Majah.

9- Solat sunat mutlak. Tiada solat sunat khas sebelum dan selepas solat Hari Raya. Tetapi harus bagi selain imam untuk solat sunat (nafilah) mutlak pada Hari Raya selepas naiknya matahari sebelum menunaikan solat Hari Raya ataupun selepasnya (bukan dengan niat solat sunat sebelum dan selepas Solat Sunat Hari Raya). Kerana tiada yg lebih penting daripada solat. Abu Burdah, Anas, Al-Hasan dan Jabir bin Zaid solat sebelum keluarnya imam pada Hari Raya - Riwayat Baihaqi.

Adapun bagi imam, dimakruhkan baginya solat sunat sebelum Solat Sunat Hari Raya dan selepasnya kerana menyibukkan dirinya dengan perbuatan yg tidak penting pada ketika itu. Imam disunatkan datang lewat maka apabila tiba, disunatkan untuk menyibukkan diri dengan yg lebih penting iaitu Solat Sunat Hari Raya. Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas radiyallahuanhuma "Sesungguhnya Nabi Sollallahualaihiwasallam keluar pada Hari Aidilfitri, lalu solat dua rakaat (solat sunat Hari Raya), Baginda tidak solat sebelum dan selepasnya." Riwayat Bukhari.

Imam Syafie rahimahullah berkata, “Telah sampai khabar kepada kami, bahawa doa dimakbulkan pada 5 malam. Malam Jumaat, dua malam hari raya, malam awal Rejab dan malam Nisfu Syaaban.”

10. Sunat mengucapkan tahniah sempena Hari Raya seumpama ucapan تقبل الله منا ومنك "Taqabbalallahu minna wa minka" yg bermaksud, "Semoga Allah menerima amalan kami dan kamu." Inilah yg diamalkan oleh para Sahabat Nabi SAW sebagaimana yg diriwayatkan oleh Sayyiduna Jubair bin Nufair RA, "Apabila para sahabat Nabi SAW bertemu sesama mereka pada Hari Raya, mereka saling mengucapkan تقبل الله من ومنك." Kata Imam Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah, sanad hadith ini hasan.

Rujukan :

al-Muktamad fi al-Fiqh as-Syafie, Dr. Muhammad Az-Zuhaili hafizahullah.
al-Azkar, Imam an-Nawawi rahimahullah
Fathul Bari, Imam Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah

Hamba yg hina ini mengucapkan kepada semua, Selamat Aidilfitri, Maaf Zahir Batin, Semoga Allah menerima amalan kita semua.

- Kota Seribu Menara, 1430 H

Blog Widget by LinkWithin