Sambungan siri 1:
4-Sirah Nabawiyyah merupakan sirah yg meliputi setiap sudut kehidupan manusia.
Sirah Nabawiyyah menghikayatkan kisah perjalanan hidup seorang pemuda mulia dan amanah yg dipercayai masyarakatnya iaitu kisahnya ketika sebelum diangkat menjadi Rasul. Ketika peristiwa peletakan Hajarul Aswad, seluruh kaumnya bersaksi, “Kami redha dengan As-Sodiq Al-Amin.”
Ia juga menghikayatkan kisah seorang Rasul yg berdakwah membawa risalah Tauhid dengan menggunakan pelbagai cara untuk menarik umatnya. Baginda menggunakan segala kekuatan dan kesungguhan untuk menyampaikan risalah Tauhid kepada seluruh umatnya. Tugas Baginda bukanlah hanya dakwah Islam semata-mata. Jika begitu, maka memadai bagi Baginda untuk kekal di Mekah sahaja. Sesiapa yg menyahut dakwahnya, dia selamat. Sesiapa yg menolaknya, maka dia akan diazab. Tetapi tugas Baginda juga keluar ke tempat-tempat lain untuk menyebarkan dakwahnya. Perjalanan ke Taif yg sejauh 60 batu dari Mekah ditempuh oleh Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam bersama Zaid bin Harithah dengan hanya berjalan kaki, pergi dan pulang.
Ia juga menghikayatkan kisah seorang ketua Negara yg menggunakan undang-undang yg terbaik yg bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai asas pemerintahannya. Kisah orang nombor satu dalam Negara yg sentiasa memelihara negaranya dengan ikhlas dan jujur yg menjamin kejayaan kerajaannya. Maka wujudlah Piagam Madinah yg bersifat adil kepada seluruh penduduk tanpa mengira bangsa dan agama. Kefahaman tentang ‘Ummah’ yg hampir lenyap daripada Semenanjung Arab ketika itu dihidupkan kembali melalui piagam ini. Bermulalah era baru pemerintahan sebuah agama yg bertamadun.
Ia juga menceritakan kisah Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam sebagai seorang suami mithali dan bapa penyayang. Etika pergaulannya dengan ahli keluarga, kebijaksanaannya mengatur urusan rumah tangga dan kesabarannya berhadapan dengan masalah keluarga. Tragedi Hadith Al-Ifki yg terlalu dahsyat melanda Madinah. Ia berlaku pada tahun ke-5 Hijrah. Munafik mula mencucuk jarumnya. Tetapi ianya tidak menghilangkan kewarasan Baginda berfikir dan berbincang. Akhirnya turunlah ayat menyucikan Ummul Mukminin Aisyah Radiallahu’anha.
Ia juga merupakan kisah seorang Murabbi atau guru pendidik yg mursyid. Ia menceritakan cara tarbiyyah atau didikannya terhadap anak-anak tarbiyyahnya sehingga mempengaruhi mereka untuk mengikut Murabbi mereka dalam setiap gerak geri dan tingkah lakunya. Daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah kepada sebesar-besar perkara. Pada suatu hari, hamba Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam menjemput Baginda untuk menjamu hidangan yg disediakannya. Anas bin Malik Radiallahu'anhu juga turut bersamanya. Antara hidangan tersebut ialah labu. Anas menyaksikan Baginda memakan labu itu dengan berselera, maka sejak dari saat itu, Anas mula menyukai labu.
Ia juga hikayat tentang seorang kawan yg amat setia dalam persahabatannya. Seorang kawan yg menunaikan hak-hak persahabatan, menjaga adab-adab dalam bergaul sehingga menyebabkan sahabat-sahabatnya terlalu menyayanginya melebihi kasih sayang mereka terhadap diri sendiri dan ahli keluarga mereka. Kisah yg berlaku antara Baginda dan Abu Bakar ketika di Gua Thur tidak akan akan dilupakan sejarah.
Ia kisah seorang pemimpin politik yg berjaya. Baginda mengutus utusan dan surat kepada pemimpin-pemimpin dunia. Ia juga kisah seorang pahlawan berani di medan pertempuran. Ia kisah seorang panglima tentera yg perkasa. Ia kisah seorang jiran yg amanah. Ia kisah seorang yg tidak pernah memungkiri janjinya.
Sirah Nabawiyyah meliputi setiap aspek kehidupan bagi seluruh lapisan dalam sesebuah masyarakat. Peribadi seorang manusia yg agung ini cukup untuk menjadi contoh dan ikutan bagi manusia-manusia mengikut posisi masing-masing. Baginda contoh bagi setiap pendakwah, setiap pemimpin, setiap bapa, setiap suami, setiap kawan, setiap pendidik, setiap ahli politik, setiap ketua negara…
Kita tidak akan menemui seorang tokoh pun yg mempunyai keperibadian sesempurna keperibadian Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam. Kita menemui keperibadian Nabi Musa sebagai seorang tokoh pemimpin yg gigih menyelamatkan kaumnya. Tapi kita tidak akan menemui keperibadian beliau sebagai seorang panglima perang, seorang ahli politik, seorang pemimpin negara, seorang suami ataupun seorang bapa.
Nabi Isa pula seorang nabi yg zuhud kepada dunia. Tetapi sirahnya yg terdapat di tangan-tangan Kristian pada hari ini tidak menggambarkannya sebagai seorang pemimpin tentera, seorang ketua negara, apatah lagi seorang bapa dan suami kerana beliau tidak berkahwin. Tetapi segala keperibadian ini wujud pada peribadi yg bernama Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam!
Maka, bagaimana pula keperibadian tokoh-tokoh dunia seperti Buddha, Confucius, Aristotle, Plato, Napoleon? Jika dikatakan layak untuk dijadikan contoh sekalipun, maka hanyalah contoh dari satu sudut sahaja tidak dari sudut-sudut yg pelbagai. Satu-satunya tokoh yg layak untuk dijadikan contoh dalam setiap sudut ialah Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam! Tiada yg setanding Baginda!
5-Sirah Nabawiyyah merupakan dalil kebenaran dan kerasulan Nabi Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam.
Sirah seorang insan kamil yg menyebarkan dakwahnya melalui cara mengambil sebab. Bukan menggunakan mukjizat semata. Baginda telah berdakwah lalu disakiti. Baginda terus menyampaikan sehingga mempunyai ramai pengikut. Lalu, terpaksa menghadapi peperangan, maka Baginda berperang. Baginda juga berhijrah. Wafatnya Baginda dalam keadaan Semenanjung Arab telah diliputi dakwahnya melalui jalan iman dan bukan jalan perang dan paksaan.
Sesiapa yg mengetahui adat dan akidah kepercayaan masyarakat Jahiliyyah yg tersangat jelas menentang dakwah Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam, bahkan mengetahui pula betapa tidak seimbangnya situasi dalam setiap peperangan, lalu melihat pula jangka masa yg amat singkat yg ditempuhi oleh dakwah Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam iaitu 23 tahun, maka pasti akan meyakini bahawa Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam ialah seorang Rasul!
Mukjizat yg dikurniakan kepadanya bukanlah faktor utama kepada berimannya seluruh Arab dengan dakwahnya. Bahkan kita tidak mendapati mukjizat yg menundukkan kekufuran Musyrikin walaupun ia berjaya menundukkan akal pemikiran mereka. Bahkan manusia zaman sekarang yg langsung tidak pernah melihat Nabi Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam dan mukjizat-mukjizatnya yg mengkagumkan tetap beriman kepadanya. Mereka beriman dengan risalahnya kerana dalil-dalil aqli yg teramat membenarkan kerasulannya. Di antara dalil-dalil ini ialah Al-Quran. Ia adalah mukjizat yg bersifat akal yg mewajibkan setiap yg berakal mengimani kebenaran kerasulan Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam.
Ini jelas berbeza dengan sirah para nabi terdahulu. Sirah yg menunjukkan bahawa manusia beriman dengan para nabi terdahulu setelah melihat mukjizat-mukjizat yg dizahirkan oleh para nabi. Bukan dengan meneliti apa yg didakwah lalu tunduk kepadanya.
Contoh paling jelas ialah sirah Nabi Isa yg dirakamkan Al-Quran. Al-Quran menyatakan bahawa faktor utama untuk memuaskan hati kaumnya dengan kebenaran risalahnya ialah mukjizatnya yg mampu merawat buta dan penyakit kusta, menyembuhkan orang sakit, menghidupkan orang mati dan menceritakan apa yg dimakan dan apa yg disimpan di rumah mereka. Injil-injil pada hari ini juga menyebut bahawa sejumlah mukjizat inilah satu-satunya sebab kepada berimannya sejumlah manusia yg ramai secara serentak. Bahkan bukanlah keimanan yg disebut Injil itu keimanan kepada kerasulan Isa tetapi keimanan kepada ketuhanan Isa berdasarkan iktikad kufur mereka bahawa Isa ialah anak Tuhan.
Jadi keimanan mereka tidak diasaskan di atas dasar akal yg sejahtera tetapi di atas dasar mukjizat yg mencarik adat semata-mata. Maka, kita dapat melihat perbezaan yg jelas pada Sirah Nabawiyyah. Keimanan para sahabat Baginda bukanlah melalui penyaksian mereka terhadap mukjizat yg mencarik adat tetapi melalui akal pemikiran yg waras. Apabila Allah mengurniakan mukjizat kepada RasulNya, maka ia adalah sebagai kemuliaan kepadanya dan sebagai hujjah ke atas penentangnya agar terkelu, tidak mampu berbicara.
Sesiapa yg menyelidiki ayat-ayat Al-Quran akan mendapati bahawa Al-Quran menggunakan hujjah yg bersifat akli. Al-Quran dengan jelas menerangkan bahawa Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam ialah seorang manusia tetapi Baginda dimuliakan dengan risalah lalu disokong dengan mukjizat. Baginda tidaklah bergantung kepada mukjizat untuk menarik umatnya akan tetapi Baginda berbicara dengan akal dan hati mereka. Hayati ayat 90-93 daripada Surah Al-Isra':
91. Atau (sehingga) Engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian Engkau mengalirkan sungai-sungai dari celah-celahnya Dengan aliran Yang terpancar terus-menerus.
92. Atau (sehingga) Engkau gugurkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana Yang Engkau katakan (akan berlaku); atau (sehingga) Engkau bawakan Allah dan malaikat untuk Kami menyaksikannya.
93. Atau (sehingga) Engkau mempunyai sebuah Rumah terhias dari emas; atau (sehingga) Engkau naik ke langit; dan Kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum Engkau turunkan kepada Kami sebuah Kitab Yang dapat Kami membacanya". Katakanlah (Wahai Muhammad):" Maha suci Tuhanku! Bukankah Aku ini hanya seorang manusia Yang menjadi Rasul?
Bahkan sifat tidak tahu membaca dan menulis yg ada pada Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam semakin membuktikan kebenaran risalahnya. Apabila teguhnya iman para sahabat, maka mereka menerima apa sahaja yg termaktub di dalam Al-Quran walaupun ianya sukar diterima akal. Baru-baru ini sahaja penemuan demi penemuan sains menegaskan lagi kebenaran risalah suci ini. Tapi para sahabat terlebih dahulu mengimaninya walaupun persoalannya baru terjawab terjawab selepas 1000 tahun. Dari manakah datangnya pengetahuan Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam tentang perkara-perkara tersebut jika bukan melalui jalan wahyu?
Rujukan:
-As-Sirah An-Nabawiyyah Durus wa ‘Ibar karangan Dr. Mustafa As-Siba’ie.
-Syamail Muhammadiyyah karangan Imam Tirmizi.
-Nurul Yaqin karangan Syeikh Muhammad Al-Khudori.
-Fiqh As-Sirah An-Nabawiyyah Qiraah Siyasiyyah Dakwiyyah Harakiyyah karangan Dr. Muwaffik Salim Nuri.
0 comments:
Post a Comment