Sunday, December 21, 2008

Pembelaan terhadap kitab Ihya' Ulumiddin

Agak menghairankan apabila masih wujud sekelompok manusia yg mempertikaikan kehebatan kitab Ihya' Ulumiddin. Mereka juga telah menghentam peribadi agung yg pernah mendapat gelaran Hujjatul Islam. Tuduhan sesat yg dilontarkan kepada kitab Ihya' tidak pelik jika ia berlaku pada zaman dahulu ketika mana kitab Ihya' sedang mengalami saringan. Akan tetapi tuduhan ini kembali diulangi pada zaman sekarang walaupun setelah kitab Ihya' telah menerima perakuan dan pengiktirafan daripada ulama. Hebat dan peliknya mereka ini! Isu ini telah dijawab oleh banyak pihak sejak lama, tapi saya tetap mahu menulis tentangnya. Saya tak mahu menghalang diri saya daripada berkhidmat kepada tokoh ini. Mudah-mudahan Allah melihatnya sebagai amal ibadat, aminnn.

Kehebatan dan keunggulan kitab Ihya' Ulumiddin telah menyebabkan para ulama melakukan usaha-usaha membersihkannya dari keaiban lalu menerimanya. Mereka menyelami isi kandungannya, mengkritiknya, membongkar kesalahan-kesalahannya lalu menyanjungnya. Seolah-olah untuk mendapat kedudukan yg tinggi sebagaimana pada hari ini, kitab Ihya' perlu melalui beberapa proses saringan. Maka, kini kita menyaksikan kitab Ihya' telah menerima pengiktirafan hebat daripada masyarakat ulama dan masyarakat awam. Sebelum menjawab kritikan daripada 'ulama' zaman sekarang, saya ingin menulis terlebih dahulu kritikan dan komen para ulama silam secara ringkas terhadap kitab yg amat berharga ini.


:: Kritikan terhadap kitab Ihya'
Imam Ibnul Jauzi (wafat 597H) di dalam kitabnya, Al-Muntazim telah mengkritik kitab Ihya' kerana mengandungi banyak hadith-hadith maudu'. Beliau telah mengumpulkan kesalahan-kesalahan dalam kitab Ihya' di dalam kitabnya yg dinamakan, I'lam Al-Ahya' bi Agholitil Ihya'. Beliau juga menulis sebahagian kritikannya di dalam kitab Talbis Iblis. Bahkan terdapat ulama di Maghribi yg menyuruh supaya membakar kitab ini.

Imam Ibnu Kathir (wafat 774H) pula menyebut tentang kitab Ihya' di dalam kitabnya, Al-Bidayah wa An-Nihayah, " Dan beliau (Imam Ghazali) telah mengarang dalam tempoh ini kitabnya, Al-Ihya'. Ia adalah kitab yg mengagumkan yg mengandungi ilmu-ilmu syar'iyyat yg banyak, yg dicampur dengan perkara-perkara yg halus daripada Tasauf dan perbuatan-perbuatan hati. Akan tetapi padanya hadith-hadith yg gharib, munkar dan maudu'. "

Cukuplah dengan kritikan-kritikan di atas untuk membuktikan Kitab Ihya' pernah mengalami peringkat-peringkat tertentu dalam usahanya untuk naik ke peringkat yg lebih tinggi. Kritikan demi kritikan yg diberikan tidak mampu untuk menjejaskan kedudukan Imam Ghazali dan peranan kitabnya, Ihya' Ulumiddin dalam memandu ummah. Jasanya memang tidak dapat diingkari.

Jika kita teliti kritikan-kritikan ulama terhadap kitab Ihya', kita akan mendapati kebanyakannya berlegar di sekitar kritik terhadap kewujudan hadith-hadith maudu' di dalamnya. Ini mungkin disebabkan beliau bergantung kepada ingatannya sahaja, tanpa bertanya dan meneliti terhadap sanad-sanadnya dan sumber-sumbernya. Meriwayatkan hadith-hadith maudu' memang satu kesalahan besar tetapi jika ianya dilakukan secara sengaja. Dan mustahil individu sehebat dan semulia Al-Ghazali sengaja berdusta ke atas kekasihnya, Nabi Muhammad Sollallahualaihiwasallam. Sesiapa yg menuduh ianya disengajakan maka bersiaplah untuk berdebat dengan Al-Ghazali di mahkamah Agung di hadapan Tuhan Yang Maha Agung.

Bahkan bukti Imam Ghazali tidak sengaja meletakkan hadith-hadith maudu' di dalam kitab Ihya' ialah tulisannya di dalam kitab Ihya' sendiri. Bukti bertulis ini terdapat di dalam Kitab Aafat Al-Lisan, bahagian yg membicarakan keburukan lidah. Beliau menyatakan, "Dan mereka menyangka bahawa harus membuat hadith-hadith palsu untuk tujuan fadhail(kelebihan-kelebihan) dalam beramal dan menegah melakukan maksiat-maksiat. Dan mereka mendakwa tujuan itu betul sedangkan ianya jelas salah." Lalu beliau berdalil dengan sebuah hadith mutawatir, "Sesiapa yg berdusta ke atasku dengan sengaja maka sediakanlah tempat duduknya daripada neraka."

:: Takhrij Hadith Ihya'
Antara individu yg paling berjasa kepada Imam Ghazali ialah Al-Hafiz Zainuddin Al-'Iraqi
(wafat 806H). Ulama besar hadith ini telah bertindak mentakhrijkan keseluruhan hadith di dalam kitab Ihya'. Beliau menyatakan status hadith yg telah memudahkan untuk mengetahui hadith yg sohih, hasan dan maudu'. Pembelaan cara ini boleh dianggap sebagai pembelaan paling hebat dan ulung terhadap kitab Ihya'. Sehingga tidak salah jika dikatakan bahawa setiap cetakan kitab Ihya' pada hari ini pasti disertakan sekali takhrij Al-'Iraqi iaitu 'Al-Mughni 'an Hamlil Asfar fi Takhrij Ma fil Ihya' min Akhbar.

:: Imam Ghazali membela diri
Jika kita kembali ke zaman Imam Ghazali, kita akan mendapati satu kelompok yg sudah menjadi tabiat mereka untuk mengkritik. Mereka membongkarkan keburukan dan menyembunyikan kebaikan. Mereka menyerang bertubi-tubi kandungan kitab Ihya'. Maka, tugas Imam Ghazali pula membalas kritikan tersebut melalui kitabnya, Kitab Al-Imla' fi Ishkalatil Ihya' atau nama lainnya, Al-Ajwibah Al-Muskitah 'an Al-As ilah Al-Mubhitah'.

Di dalam mukaddimahnya, Imam Ghazali menyatakan sikap mereka yg melarang orang ramai daripada membacanya, berfatwa mengikut hawa nafsu... Seterusnya, Imam Ghazali mengugut mereka dengan hukum Allah. Kepada Allah beliau serahkan kesudahan mereka. Segalanya akan dibentangkan dan dihisab. Mereka akan dipersoalkan. Dan orang-orang yg zalim akan akan mengetahui di manakah kesudahan mereka... Kemudian, beliau memulakan penulisan membalas kembali serangan yg telah dimulakan.

Masalah kitab Ihya' dengan hadith-hadith maudu' juga telah selesai. Yang maudu' telah jelas maudu' nya. Tiada lagi yg perlu dibimbangi. Al-Hafiz Al-'Iraqi memang berjasa besar terhadap Imam Ghazali. Yang menariknya, Imam Ghazali akhirnya telah mempelajari Sohih Bukhari dan Muslim daripada seorang Muhaddith tersohor waktu itu, Al-Hafiz Umar bin Abul Hasan Al-Ruasi, malah mendapat ijazah daripadanya. Kitab Ihya' terus bertahan. Jangan buat-buat tak tahu bahawa kitab Ihya' telah menerima penerimaan yg membanggakan di kalangan ulama.

:: Kritikan 'ulama' sekarang
Walaubagaimanapun, kritikan 'ulama' sekarang berlegar sekitar akidah pula. Kononnya kitab Ihya' bersalahan dengan akidah salaf kerana Imam Ghazali menggunakan kaedah takwil dalam bermuamalah dengan ayat mutasyabihat. Kerana Imam Ghazali seorang ulama bermazhab Asyairah. Kerana Imam Ghazali begitu dan begini. Mereka juga menghukum sufi secara pukul rata.

Tahukah mereka kaedah sebenar Asyairah apabila berhadapan dengan ayat mutasyabihat? Dua kaedah. Kaedah utama: Tafwidh. Kaedah kedua pula digunakan apabila berhajat iaitu ketika akal umat Islam telah dicemari falsafah sesat, jauh dari pemikiran salaf yg sebenar iaitu kaedah Takwil. Bukan semata-mata Takwil. Jangan terlalu gopoh.

Jangan buat-buat tak tahu sejarah. Ahlus Sunnah sebenar ialah Asyairah, Maturidiah dan Fudhola' Hanabilah. Menghentam Imam Ghazali kerana beliau bermazhab Asyairah bereerti menghentam Imam Nawawi, Ibnu Hajar Al-Asqolani bahkan jumhur ummah! Dan memang itu yg sedang berlaku. Hampir keseluruhan ulama mazhab empat bermazhab Asyairah dan Maturidiah. Hanya sebahagian yg teramat kecil yg menyeleweng. Tuduhan mengatakan Asyairah bukan daripada Ahlus Sunnah bermakna menghukum sesat ke atas ummah. Rasulullah bersabda, "Ummatku tidak akan berhimpun di atas kesesatan." Selagi mana mereka tidak mengiktiraf mazhab Asyairah sebagai Ahlus Sunnah yg sebenar, selagi itulah mereka akan menyerang.

Jangan butakan mata dengan fakta-fakta ini. Sungguh letih rasanya berbicara isu ini. Ikuti sambungannya. Alamak, entri tentang khilaf ulama pun belum siap. Tapi entah kenapa saya lebih berminat untuk mendahulukan entri ini. Entri yg cuba membela karya tokoh pemikir besar dunia Islam. Karya yg amat berharga dan indah.


Bersambung...

#Link berkaitan:
Al-Ghazali's website
Lihat entri 'hujjatul islam' http://ishaqhanis.blogspot.com/2008_04_01_archive.html
http://hembusan.blogspot.com/2006/01/wahhabi-5-mengapa-ihya-ulumuddin-tetap.html

Rujukan:
Ihya Ulumiddin
Taqrib At-Turath Ihya' Ulumiddin oleh Syeikh Islah Abdul Salam Ar-Rifaie
Terjemahan Minhajul Abidin oleh Hj Engku Ali bin Engku Endut

3 comments:

Anonymous said...

Membaca kitab ihya perlu keseluruhannya , bukan dibaca terpotong potong.

al-aman said...

Terima kasih kepada encik/cik/tuan/puan anonymous. Anda memang pandai memberikan nasihat.

al-aman said...

Kitab Ihya' telah melalui peringkat saringan berkali2. Ia telah melalui peringkat 'pembersihan' khasnya berkaitan hadith2 yg terkandung di dalamnya. al-Hafiz al-'Iraqi telah memperhambakan dirinya mentakhrij hadith2 Ihya' dan diteruskan lagi oleh ulama' selepasnya. Kesan daripada itu, ia terus kekal hingga ke hari ini. Usaha2 utk menguburkan Ihya' dgn pelbagai alasan tidak pernah berjaya dan tidak akan berjaya insya Allah.

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin