Nasir mengejutkan saya. Lebih kurang jam 12.30 tengah malam. Katanya ada solat hajat di dataran utk menghantar rombongan Yayasan Amal Malaysia. Mereka akan memulakan perjalanan menuju Gaza pada malam ini. Bertujuan menghantar bekalan yg diperlukan oleh saudara-saudara seIslam di sana. Mengantuknya. Fikiran yg masih bercelaru cuba disusun. Saya berada antara dua alam ketika itu. Antara sedar dan tidak sedar. Mujur Nasir memanjangkan perbualan. Saya semakin waras. Nasir pula sudah bergegas turun.
Saya mencari alasan untuk diri sendiri. Kata nafsu, saya tak perlu turun. Akal diberi motivasi oleh nafsu sambil disokong padu oleh syaitan. Nafsu berkata, saya kan seorang pelajar. Jihad saya ialah belajar. Tak perlu turun, belajar bersungguh-sungguh! Maka, saya kembali membungkus diri. Selesanya. Cuaca sejuk di luar tak mampu menembusi ketebalan selimut.
Tiba-tiba, saya termenung sejenak. Pertarungan sengit berlangsung. Ah, nampaknya giliran iman pula beraksi." أول التقوى اليقظة " Seawal-awal taqwa ialah kesedaran. Saya muhasabah diri. Nasyid jihad yg saya pasang sebelum tidur masih terpasang kedengaran. Saya segera keluar dari selimut. Selimut nafsu yg sebenarnya. Selimut nafsu yg membungkus hati. Hakikatnya, nafsu itu masih menyelimutinya. Ia tak akan berpisah dengannya. Cuma terkadang ia tertewas dengan keperwiraan iman. Lalu, barulah selimut yg membaluti tubuh pula ditanggalkan. Ya, selimut nafsu jauh lebih tebal daripada selimut jenama biasa.
Saya segera menuju ke tingkap, membukanya lalu mengintai ke bawah. Ah, masih sempat untuk turun. Saya berwuduk dan bergegas turun. Sehelai t-shirt dan sehelai jaket kulit sebagai uniform untuk jihad saya kali ini. Sudah cukup untuk menahan kesejukan di luar. Bagaimana agaknya dengan saudara-saudara di Gaza? Cukupkah pakaian mereka? Makanan? Ubat-ubatan?
Kami bermunajat agar diberikan kejayaan kepada mereka. Mudah-mudahan Allah mempermudahkan mereka untuk menjejakkan kaki ke Gaza. Permintaan mereka ialah agar bekalan selamat sampai. Keselamatan orang-orang yg membawanya, perkara kedua. Begitulah azam seorang mujahid. Nyawa melayang demi Islam ialah cita-cita tertingginya.
Seorang guru saya, Ustaz Syed Abdul Kadir Al-Jofree turut serta dalam rombongan ini. Seorang yg luas ilmu dan pengalamannya dalam medan dakwah. Saya sempat berpeluk dengan beliau sebelum bertolak, sambil meminta agar mendoakan saya. Kata beliau, "Sama-sama doa." Sedih juga hati mengenangkan perpisahan ini. Entah berpeluang atau tidak saya bertemu dengan mujahid keturunan Nabi ini selepas detik ini. Tapi kegembiraan pula mengambil tempat apabila saya berfikir panjang. Berjihadlah dengan segenap kepunyaan kamu!
Alhamdulillah. Sekiranya saya tak turun, tentu saya tak akan maafkan diri. Apa lagi yg mampu saya lakukan jika untuk solat dua rakaat, mengangkat tangan memohon kepada Allah pun saya tidak mampu? Bagaimana dengan anda?
1 comments:
Saya dapat tahu keberangkatan Ustaz Sayed melalui blog dia semalam. Tak tahu pula ada solat hajat.
Orang awam beramal, mengharukan.
Orang alim beramal, menginsafkan.
Post a Comment