Sunday, January 11, 2009

Belajar dan berjihad

Ini merupakan entri sulung saya sempena Tahun Baru Masihi ini. Sudah agak lama saya menyepi. Menyepi bukan bereerti menyendiri. Tapi menganalisis dan memerhati. Ah, ini cuma alasan untuk diri sendiri. Em, ini gara-gara membaca nota sastera Arab. Terasa ingin membungakan kata-kata. Walaupun, tak berbunga tapi harapnya berbuah. Apa-apa pun, bencana peperangan di Palestin masih menjadi antara tajuk utama kebanyakan media. Saya jadi bingung apabila berhadapan dengan peristiwa ini. Saya cuba untuk mengupas isu berkaitannya sekadar termampu.

Saya ambil sebuah kitab tafsir yg cukup besar di rak Ustaz Ismail, walaupun diri ini terasa terlalu kerdil untuk menatap isi kandungannya. Kitab Al-Jami' li Ahkam Al-Quran, kitab Tafsir karangan Imam Abu Abdillah Muhammad bin Ahmad Al-Ansari Al-Qurtubi. Seorang ulama bermazhab Maliki. Gelarannya, Al-Qurtubi dinisbahkan kepada Kota Cordova di Sepanyol yg pernah menjadi pusat penyebaran pelbagai ilmu pengetahuan satu masa dahulu.

Daripada sejumlah 6000 lebih ayat yg terdapat di dalam Al-Quran, saya pilih ayat 41 daripada Surah At-Taubah. Ayat yg benar-benar dirasakan menghentam si penulis.

ٱنفِرُواْ خِفَافً۬ا وَثِقَالاً۬ وَجَـٰهِدُواْ بِأَمۡوَٲلِڪُمۡ وَأَنفُسِكُمۡ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ‌ۚ ذَلِكُمۡ خَيۡرٌ۬ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ

Maksudnya: "Berangkatlah kamu sama ada dalam keadaan ringan mahupun berat, dan berjihadlah dengan harta dan nyawa kamu di jalan Allah. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui." -Surah At-Taubah, ayat 41.

Diriwayatkan oleh Sufyan daripada Husain bin Abdul Rahman daripada Abi Malik Al-Ghifari, beliau berkata, "Ayat yg paling awal diturunkan daripada Surah Baroah(At-Taubah) ialah ٱنفِرُواْ خِفَافً۬ا وَثِقَالاً۬ .

Imam Al-Qurtubi mencatatkan sepuluh pendapat tentang makna ٱنفِرُواْ خِفَافً۬ا وَثِقَالاً۬. Saya nyatakan sekadar yg termampu. Sebahagian ulama menyatakan maknanya ialah dalam keadaan cergas dan tidak. Sebahagian menyatakan dalam keadaan kaya mahupun fakir. Sebahagian menyatakan dalam keadaan masih muda mahupun telah tua. Sebahagian menyatakan dalam keadaan sibuk dan tidak sibuk. Sebahagian menyatakan dalam keadaan mempunyai tanggungan mahupun tidak. Sebahagian menyatakan dalam keadaan berani mahupun pengecut.

Maknanya manusia diperintahkan untuk keluar berjihad dalam semua keadaan apabila pihak musuh menyerang. Marilah sama-sama kita belajar bilakah jihad itu menjadi fardhu ain ataupun fardhu kifayah ke atas kita. Belajarlah dengan tuan-tuan guru di luar sana. Saya tidak mahu berbicara tentang adakah ayat ini dinasakhkan ataupun tidak. Panjang ceritanya. Saya sudah rasa letih walaupun sebelum menulisnya. Saya sekadar ingin menulis tentang kisah-kisah pejuang di kalangan sahabat dan tabiin yg menyahut seruan Allah dalam ayat 41 ini. Mereka keluar berjihad mengorbankan nyawa semata-mata untuk meraih kedudukan syahid di sisi Allah. Walaupun keadaan mereka seolah-olah tidak memungkinkan mereka untuk keluar berjihad.


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


:: Kisah Satu
Ibnu Abbas meriwayatkan daripada Abi Thalhah tentang ayat ٱنفِرُواْ خِفَافً۬ا وَثِقَالاً۬ beliau berkata, dalam keadaan masih muda mahupun tua. Maka beliau keluar ke Syam untuk berjihad sehingga gugur syahid.

Diriwayatkan juga daripada Anas bahawa Abu Thalhah telah membaca Surah Baroah lalu membaca ayat ٱنفِرُواْ خِفَافً۬ا وَثِقَالاً۬. Maka beliau berkata, "Wahai anak-anakku, persiapkan aku, persiapkan aku." Maka anak-anaknya berkata, "Semoga Allah merahmatimu. Sesungguhnya engkau telah berperang bersama-sama Nabi Sollallahualaihiwasallam sehingga Baginda wafat. Dan engkau telah berperang bersama-sama Abu Bakar sehingga beliau wafat. Dan engkau telah berperang bersama-sama Umar sehingga beliau wafat. Maka biarlah kami berperang pula untukmu." Anak-anak beliau berasa kasihan terhadap ayahnya yg telah tua, lalu memujuknya untuk berehat. Lantas, Abu Thalhah menjawab, "Tidak! Persiapkanlah aku." Maka, beliau keluar berperang di laut sehingga gugur syahid. Tentera muslimin tidak menemui sebuah pulau pun untuk mengebumikan jasadnya yg mulia itu melainkan setelah berlalunya tujuh hari. Lalu, mereka mengebumikannya di situ. Akan tetapi, jasadnya langsung tidak berubah walaupun setelah tujuh hari.

:: Kisah Dua
Az-Zuhri menceritakan tentang kisah jihad seorang ulama tabiin tersohor di zamannya, Sa'id bin Al-Musayyib. Beliau keluar ke medan jihad sedangkan salah satu matanya telahpun buta. Lalu dikatakan kepadanya, "Sesungguhnya engkau ini sakit." Lalu beliau berkata, "Allah memerintahkan supaya keluar berjihad dalam keadaan ringan mahupun berat. Sekiranya aku tidak mampu berperang pun, maka aku boleh meramaikan bilangan tentera dan menjaga barang-barang."

:: Kisah Tiga
Diriwayatkan bahawa dalam peperangan di Syam, kelihatan seorang lelaki yg amat tua. Kelihatan bulu keningnya yg panjang telah menutup matanya disebabkan usianya yg tua itu. Maka dikatakan kepadanya, "Wahai pakcik, sesungguhnya Allah telah memberikan keuzuran kepadamu untuk tidak ikut berperang." Lalu pakcik tua menjawab, "Wahai anak saudaraku, sesungguhnya kita telah diperintahkan untuk keluar berperang dalam keadaan ringan mahupun berat."

Cita-cita kita kononnya untuk mati syahid tapi persoalannya layakkah kita dan mampukah kita? Dari segi kelayakan, saya rasa terlalu hina. Mudah-mudahan saya tergolong di kalangan mereka satu hari nanti. Amin. Dari segi kemampuan, memang saya tidak berkemampuan. Anda yg sedang membaca entri ini, adakah anda berkemampuan? Selagi mana keadaan tidak memungkinkan untuk keluar berjihad dengan nyawa maka, berjihadlah dengan kemampuan yg ada. Boikot juga merupakan salah satu jihad.

Sebagai seorang pelajar pula maka wajib bersungguh-sungguh menuntut ilmu. Itu juga merupakan satu jihad. Jihad itu luas pengertiannya. Jangan tertipu dengan syaitan yg kononnya meniupkan ruh jihad yg hakikatnya menyelewengkan kita dari tekun menuntut ilmu. Amanah menyebarkan ilmu tertanggung di atas bahu anda. Anda terpilih untuk menuntut ilmu. Laksanakan jihad ini! Para ulama di tanah air menunggu anda untuk menggantikan tugas mereka. Benar, jihad bukan hanya di tanah air tapi anda lebih bertanggungjawab terhadap tanah tumpah darah anda sendiri. Apabila sudah tiba masanya untuk keluar berjihad dengan pengertian yg lain pula, maka bersegera pula menunaikannya. Akan tetapi jihad menuntut ilmu ini kurang diambil perhatian bahkan ditunaikan sambil lewa. Seolah-olah jihad cara ini rendah martabatnya. Ah, terlalu mudah jari jemari ini menaip mengutuk diri sendiri.

Wahai penuntut ilmu! Janganlah suasana sekeliling mempengaruhi kita sehingga melarikan kita dari tugas yg berat dan mencabar ini. Sekarang isu Palestin, esok lusa isu lain pula. Dalam masa yg sama jangan pula langsung mengabaikan tanggungjawab yg lain.

Sebelum mengakhiri kalam ini, renungilah tauladan yg ditunjukkan oleh Imam Nawawi rahimahullah. Tragedi tentera Tatar yg menyerang Baghdad lalu merobekkan isi-isinya antara tragedi mengerikan yg merubah sejarah manusia. Baghdad merupakan pusat ilmu yg tersohor ketika itu. Imam Ibnu Kathir dalam kitabnya, Al-Bidayah wa An-Nihayah mengatakan bahawa tragedi paling teruk yg menimpa umat manusia setelah tragedi banjir besar yg melanda kaum Nabi Nuh ialah tragedi penaklukan Tatar terhadap Kota Baghdad. Akan tetapi, tragedi bersejarah hitam itu tidak mampu merosakkan peribadi Imam Nawawi yg ketika itu berusia belasan tahun. Bahkan Imam Nawawi mengikuti 12 kelas pengajian setiap hari. Akhirnya muncullah Imam Nawawi sebagai seorang ulama yg ulung dan tersohor! Ilmu-ilmu tentang jihad tersusun kukuh dalam kitab-kitab karangannya.

3 comments:

Unknown said...

"Menyepi bukan bereerti menyendiri. Tapi menganalisis dan memerhati. Ah, ini cuma alasan untuk diri sendiri. Em, ini gara-gara membaca nota sastera Arab. Terasa ingin membungakan kata-kata. Walaupun, tak berbunga tapi harapnya berbuah."

Nice one. Semakin cekap bermain kata...

Anonymous said...

subhanallah..it was a great writing and tasji'..but da question is..do we(actualy me) qualified 2 da title?i'm feel so embrassed 2 myself when read dis article..btw,4 da studen like us(me firstly)lets grab da opportunity dat play around us now so that we can build a strong ummah someday,inshaallh..but da important "syahid" here is da writer was a great person..gud luck 2 u ust f***i..najah always..

Naseh Ulwan said...

alhamdulillah..
tulisan yg amat sesuai untuk para daie yg sdg menuntut ilmu.. mudah2an kita mendapat apa yg kita cita2kan selama ini.. AMANINA SYAHEED!!!

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin