Tuesday, June 23, 2009

Abu Ayyub Al-Ansari siri 1

"Saya ingin ke Turki", kata Doktor Azhan. Saya segera memberitahunya, "Jangan lupa ziarah Saidina Abu Ayyub Al-Ansari radiyallahuanhu!" Lalu, Azhan terus meminta saya menceritakan dengan lebih terperinci kepadanya kisah sahabat Rasulullah Sollallahualaihiwasallam yg mulia ini. Saya suarakan cadangan saya agar Azhan membacanya melalui blog hina ini. Saya mula membelek-belek kitab. Ketika sedang membaca sejarah hidup tokoh unggul ini, saya dipanggil oleh Budin untuk makan tengahari. Seusai makan, saya teruskan pembacaan. Saya sedang berusaha memenuhi permintaan sahabat seperjuangan saya, Azhan untuk menulis tentang seorang tokoh unggul ini. Khas untukmu wahai sahabat!

Abu Ayyub Al-Ansari radiyallahuanhu merupakan salah seorang sahabat Baginda yg amat rapat dengan Baginda. Nama sebenarnya ialah Khalid bin Zaid bin Kulaib. Beliau berasal dari Bani Najjar. Gelaran Al-Ansari yg diperolehnya ialah kerana nisbah kepada golongan Ansar. Beliau dikebumikan di Istanbul, Turki. Kisah kematiannya di sana amat unik sekali.

Sekumpulan muslim berdoa di hadapan makam Abu Ayyub Al-Ansari. Kredit kepada rigoletto di trekearth.com

Peristiwa hijrah yg bersejarah benar-benar mengubah hidupnya. Ketika tiba di Madinah, Baginda berjalan di tengah-tengah khalayak ramai yg telah sekian lama menanti ketibaannya. Hati mereka penuh dengan kerinduan dan kecintaan. Semua mahu Baginda berhenti di hadapan rumah mereka dan menjadi tetamu mereka. Pintu-pintu rumah dibiarkan terbuka. Unta yg ditunggang Baginda sampai di kediaman Bani Salim bin Auf. Mereka menyekat laluan unta semata-mata mengharapkan Baginda berhenti di situ dan menjadi tetamu mereka. Baginda berkata dengan lembut, sedang tangan mereka telah pun memegang tali unta, "Biarkan ia, sesungguhnya ia telah diperintahkan."

Unta tersebut melepasi satu demi satu kawasan di Madinah. Setiap kaum menyekat laluan unta dengan harapan Baginda turun dan menjadi tetamu mereka. Terukir di wajah Baginda senyuman lalu bersabda lagi, "Biarkan ia, sesungguhnya ia telah diperintahkan."

Akhirnya unta berhenti di satu kawasan lapang. Lalu duduk di hadapan kediaman Bani Malik bin An-Najjar itu. Baginda masih belum turun. Kemudian si unta bangkit kembali dan berpusing-pusing mengelilingi tempat itu sehinggalah ia kembali ke tempat asal tadi. Lalu, turunlah Baginda di tempat yg telah dipilih oleh Allah. Di tapak itulah akan dibina sebuah masjid. Di sampingnya akan dibina bilik-bilik untuk Baginda dan isteri-isterinya yg mulia.

Lalu, tampil seorang lelaki. Tapak perhentian unta taat itu telah ditakdirkan berada di kawasan depan rumahnya. Tampak jelas di wajahnya kegembiraan dan keceriaan. Beliau tampil lalu membawa barangan Baginda masuk ke rumahnya. Lalu, dijemput pula Baginda untuk masuk. Gembiranya lelaki itu bukan kepalang. Seolah-olahnya dia membawa masuk seluruh khazanah dunia ke rumahnya. Bahkan hakikatnya lebih daripada itu. Bahagianya lelaki itu bertetamukan kekasih Allah. Lelaki itu ialah Abu Ayyub Al-Ansari. Seorang pahlawan hebat, cucu kepada Malik bin An-Najjar.


Peristiwa Baiah Aqobah Kedua

Ketika delegasi dari Madinah pergi ke Mekah untuk berbaiah dengan Baginda, baiah yg diberkati yg terkenal dengan 'Baiah Aqobah Kedua', Abu Ayyub termasuk di kalangan 70 orang lelaki yg berjanji setia dengan Baginda.


Peristiwa di Rumah Abu Ayyub Al-Ansari

Rumah beliau dua tingkat. Beliau sengaja mengosongkan tingkat atas untuk dijadikan tempat penginapan Baginda. Namun, Baginda memilih untuk berada di tingkat bawah. Abu Ayyub Al-Ansari terpaksa akur. Apabila malam menjelang dan Baginda ingin masuk ke tempat tidur, Abu Ayyub dan isterinya naik ke tingkat atas. Lalu, barulah Abu Ayyub tersedar dan berpaling ke arah isterinya seraya berkata,

"Apa yg telah kita lakukan?! "

"Adakah Rasulullah berada lebih rendah dan kita lebih tinggi daripadanya? "

"Adakah kita berjalan di atas Rasulullah?! "

"Adakah kita berada di antara Rasulullah dan wahyu? Jika begitu, maka celakalah kita!!"

Maka, mereka tidak berjalan di bahagian tingkat atas yg selari dengan tempat tidur Baginda. Mereka tidak berjalan melainkan di kawasan tepi yg berjauhan daripada kawasan tengah yg selari dengan tempat tidur Baginda di tingkat bawah.

Pada paginya, Abu Ayyub mengadu kepada Baginda bahawa beliau tidak dapat tidur lena. Begitu juga si isteri. Lalu, beliau menceritakan, "Aku teringat bahawa aku berada di atas rumah, manakala engkau berada di bahagian bawah. Dan apabila aku bergerak, aku bimbang jika debu-debu berjatuhan ke atasmu lalu menyusahkanmu. Kemudian aku berjalan pula di antaramu dan di antara wahyu."

Baginda bersuara, "Bertenang wahai Abu Ayyub, sesungguhnya lebih baik bagi kami untuk berada di bawah, kerana ramainya orang yg menziarahi kami."

Abu Ayyub akur dengan perintah Baginda, sehinggalah tiba satu malam yg sejuk. Ketika di tingkat atas, bekas airnya pula pecah lalu airnya mengalir. Beliau dan isteri bersegera untuk mengelapnya. Mereka tidak punya kain lain melainkan sehelai kain yg digunakan sebagai selimut. Mereka menggunakannya juga bimbang-bimbang air tersebut mengalir terkena Baginda. Apabila pagi menjelang, beliau menceritakan apa yg berlaku dan memujuk Baginda supaya berpindah ke tingkat atas sehinggalah Baginda setuju. Abu Ayyub dan isteri pula turun ke bawah.

Baginda menetap di rumah Abu Ayyub selama lebih kurang 7 bulan sehinggalah siap pembinaan masjid. Baginda pun berpindah ke bilik-bilik sekitar masjid yg didirikan untuknya dan para isterinya, berjirankan keluarga mulia Abu Ayyub Al-Ansari.

Bersambung...


Rujukan:

-Suwar Min Hayat As-Sohabah karangan Dr. Abd Rahman Ra'fat Al-Basha
-Rijal Haula Ar-Rasul Sollallahualaihiwasallam karangan Al-Ustaz Khalid Muhammad Khalid

2 comments:

kwn azhan said...

untung dapat kwn mcm ni.
baik, a3lim pulak tu.
moga ALLAH jdkan pemilik blog ini pejuang Islam yg istiqamah n berjaya d dunia n akhirt

al-aman said...

Jazakumullah utk doa tu. Kebetulan semalam, malam awal Rejab. Harapnya dimakbulkan, amiiinnn. Imam Syafie berkata, "Telah sampai kepadaku khabar bahawa doa dimakbulkan pada 5 malam: 2 malam hari raya (idil adha n idil fitri), malam awal bulan Rejab, malam nisfu syaaban dan malam jumaat."

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin