Saturday, May 15, 2010

Kisah raja dan orang tua yang bijak



Petikan daripada khutbah Jumaat Al-Allamah As-Syeikh Usamah As-Sayyid Al-Azhari hafizahullah yg disampaikan pada 27/7/2007 di Masjid Sultan Hasan, Kaherah.

Jazakallahu khairan diucapkan kepada Ustaz Muhammad Syukri Nazar yg banyak membantu dalam usaha penterjemahan video pendek ini. Jika individu di luar sana ada mendapati sebarang kesilapan pada terjemahan, dipersilakan untuk memaklumkannya.

Sunday, May 9, 2010

Wanita sebelum Islam

Kelas bersama muslimat di Surau Idaman Bayu petang semalam berjalan dengan lancar. Kehadiran yg membanggakan. Saya cuba membuatkan kaum wanita yg hadir berasa sangat bersyukur, bertuah dan berbangga kerana beragama Islam. Saya sengaja menceritakan nasib kaum wanita yg ditindas sepanjang sejarah kehidupan manusia. Penindasan yg dahsyat dan berpanjangan memaksa mereka bangkit tetapi setelah bermandikan darah dan air mata.

Ketika Kristian mendominasi masyarakat barat, gereja cukup kejam membunuh manusia. Robert Held dalam bukunya, Inquisition memuatkan gambar-gambar yg sangat mengerikan akibat kejahatan dan kezaliman tokoh-tokoh gereja ketika itu. Dipaparkan lebih daripada 50 jenis alat-alat penyeksa yg digunakan. Anehnya, sekitar 85% korban penyeksaan dan pembunuhan ialah wanita! Antara tahun 1450 sehingga 1800, sekitar dua sehingga empat juta wanita dibakar hidup-hidup sama ada di kawasan yg dikuasai Katolik mahupun Protestan. Golongan feminis di barat satu ketika dahulu berusaha keras agar mereka diberikan hak sewajarnya sehingga mereka tidak lagi menulis God tapi juga Goddess merujuk kepada tuhan perempuan, akibat salah faham mereka bahawa tuhan dalam agama mereka ialah lelaki. Tivka Frymer-Kensky pernah menulis makalah berjudul Goddesses: Biblical Echoes.

Pamela J. Milne menyatakan bahawa Bible menjadi sumber terpenting bagi penindasan terhadap kaum wanita. Philip J. Adler dalam bukunya World Civilizations menukilkan kata-kata seorang penulis Jerman di abad ke-17, "It is a fact that women has only a weaker faith (In God)...", "Therefore, the female is evil by nature..." Maka, ini sesuai dengan konsep etimologi mereka tentang wanita kerana perkataan wanita dalam bahasa mereka disebut female yg berasal daripada bahasa Yunani iaitu femina. Perkataan femina berasal daripada fe dan mina. Fe bererti fides, faith iaitu keimanan dan mina pula dari minus yg bererti kurang. Jadi, femina ertinya seorang yg kurang imannya. Fakta-fakta di atas diambil dari buku Wajah Peradaban Barat, Dari Hegemoni Kristian ke Dominasi Sekular-Liberal tulisan Dr. Adian Husaini hafizahullah.
Orang-orang Greek mengangap wanita termasuk dalam kategori harta. Wanita dijual kepada sesiapa yg sanggup membayar harganya lalu menjadi tuannya. Undang-undang Roman pula meletakkan wanita pada kedudukan kanak-kanak dan orang gila serta tidak mempunyai hak. Ketua keluarga berhak menjual anak-anak perempuan, adik-adik perempuan atau mana-mana perempuan yg dipunyainya kepada sesiapa sahaja. Mereka terpaksa tunduk kepada tuannya sejak dari buaian hingga ke liang lahad. Tuannya berhak membuangnya, menjualnya, menyeksanya bahkan membunuhnya! Di sisi orang Yahudi pula wanita dianggap sebagai khadam dan diharamkan dari menerima harta pusaka jika si mati ialah lelaki.

Dalam undang-undang di China, wanita tiada nilai dan diberikan kerja-kerja yg amat hina. Dalam undang-undang di India, wanita tiada hak untuk memilih. Ketika kecil, dia mesti mengikut kehendak bapanya. Setelah berkahwin, mengikut kehendak suaminya dan apabila suaminya mati, dia mesti mengikut kehendak anak-anak lelakinya pula. Di England, antara kurun ke-5 hingga kurun ke-11, suami-suami menjual isteri-isterinya. Mahkamah-mahkamah gereja membuat peraturan yg membenarkan suami menyerahkan isterinya kepada lelaki lain dalam jangka masa tertentu sama ada dengan mendapat bayaran atau secara percuma. Peraturan ini terlaksana dalam satu tempoh yg agak lama sehinggalah akhirnya ia dibatalkan. Pada tahun 1933, seorang lelaki berbangsa Inggeris menjual isterinya dengan harga 500 pound sterling namun mahkamah membatalkan kontrak jualbeli itu. Sebelum tahun 1942, si suami yg menguruskan harta isterinya. Begitulah sebahagian tulisan Syeikh Mutawalli as-Sya'rawi rahimahullah yg saya kutip dari kitabnya, Fiqh al-Mar'ah al-Muslimah.

Di Semenanjung Arab, masyarakat jahiliyah menguburkan bayi perempuan hidup-hidup. Mempunyai anak perempuan dianggap satu keaiban yg perlu ditutup secepat yg mungkin. Kaum wanita diharamkan daripada menerima harta pusaka kerana mereka tidak ikut berperang. Harta pusaka hanya layak diwarisi oleh kaum lelaki yg membela kabilahnya.

Hakikat yg tidak dapat disangkal lagi bahawa wanita di barat terpaksa berusaha keras menuntut hak-hak asasi mereka dan baru-baru ini sahaja mereka memperolehinya. Jika dulu, barat menindas wanita habis-habisan, kini mereka pula memberi kebebasan kepada wanita habis-habisan. Islam tidak menunggu usaha keras kaum wanita menuntut hak-hak mereka bahkan Islam yg mengurniakannya terlebih dahulu sebelum sempat mereka menuntutnya. Malangnya, lahirnya kumpulan wanita yg tidak reti menilai hak-hak dan penjagaan yg telah dikurniakan Islam bahkan menganggapnya sebagai penindasan dan penghinaan. Jahil murakkab ialah status yg paling tepat untuk mereka. Jelas, mereka terpedaya dengan slogan-slogan yg dilaungkan golongan feminis di barat. Mereka mahu menelanjangkan diri mereka daripada syariat! Hakikatnya, mereka menyembah ideologi liberal barat!

Wednesday, April 14, 2010

Bermusafir dengan buku

Saya akan bermusafir selama beberapa hari tapi cuma seorang diri. Maksud seorang diri di sini ialah tidak ditemani sesiapa yg saya kenali. Tapi, saya harap saya tidak termasuk dalam apa yg dinyatakan oleh hadith berikut,


الراكب شيطان، والراكبان شيطانان، والثلاثة ركب

"Seorang yg menunggang itu ialah syaitan, dua orang yg menunggang ialah dua syaitan dan tiga orang yg menunggang itulah yg sepatutnya." (Riwayat Abu Daud)

Para ulama mengatakan makruh hukumnya bermusafir seorang diri, tanpa ditemani sesiapa. Antara alasan yg diberikan ialah kerana jika berlaku sebarang kecelakaan, tiada siapa yg akan membantunya. Jika sakit, tiada yg mampu merawatnya. Jika meninggal, tiada yg akan menguruskan jenazahnya.


Saya akan bermusafir bersama penumpang-penumbang bas yg lain. Jadi saya tidak keseorangan, insya Allah. Saya juga bawa bersama sebuah buku yg masih belum habis saya baca sejak lama. Insya Allah, akan dihabiskan dalam perjalanan. Buku tulisan Adian Husaini, Wajah Peradaban Barat - Dari Hegemoni Kristian ke Dominasi Sekular-Liberal. Menarik sungguh kupasannya. Didatangkan pula dengan fakta-fakta yg jarang saya temui.

Buku ini akan menjadi teman setia saya sepanjang perjalanan. Saya masih ingat sebuah artikel di akhbar Shoutul Azhar, yg menceritakan tentang Syeikhul Azhar Mustafa Al-Maraghi rahimahullah. Beliau ditanya oleh gurunya, Imam Muhammad Abduh rahimahullah, siapakah teman musafirnya?

Beliau menjawab, "Kitab Ihya' Ulumiddin karangan Hujjatul Islam Al-Ghazali rahimahullah...". Imam Muhammad Abduh berkata lagi, "Cukuplah kitab itu sebagai temanmu...". Hari ini ada sekelompok manusia biadap memperlekehkan kitab Ihya'. Dan kelompok itu mendakwa mereka mendokong idea tajdid yg dikemukakan oleh Imam Muhammad Abduh?!

Sunday, March 28, 2010

Motivasi pagi

Perjalanan pulang semalam mengambil masa lebih kurang sejam. Walaupun mata mengantuk, saya gagahkan juga diri untuk menunggang motosikal dari Shah Alam terus pulang ke Kajang. Tuan motosikal pula hanya mahu membonceng. Terpaksalah saya merempit sambil mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran, selawat, zikir munajat dan beberapa bait Qasidah Burdah yg terhafal. Alunan yg mendayu-dayu bererti menambahkan lagi perencah mengantuk, maka saya laungkan kalimah-kalimah suci itu sehingga tekak pun kering. Tips Ustaz Azhar Idrus untuk hilangkan mengantuk ialah tuangkan minyak cap kapak ke dalam mata. Saya yakin ia memang mujarab. Mata masih mengantuk. Ditambah pula dengan keletihan+kebosanan seharian berada di Pesta Buku PWTC. Tingkat-tingkat bawah PWTC dibanjiri manusia. Keadaan yg terlalu sesak memaksa saya untuk naik ke tingkat-tingkat atas yg kelihatan agak lengang.

Kami berhenti di stesen minyak untuk memberi minum kepada motosikal yg kelihatannya tersangatlah dahaga. Mujur motosikal tidak merajuk di tengah-tengah lebuhraya lalu memaksa saya untuk mengheretnya. Si pembonceng hanya kelihatan handal berlagak menjadi tukang tunjuk arah. Kanan, kiri, kanan, kiri, tapi tetap juga terlajak. Setelah menghabiskan setin Ali Cafe, kami kembali beraksi di lebuhraya. Saya menunggang dengan penuh berhemat, taat dan patuh pada setiap arahan di bahu jalan. Kalau derhaka pun cuma lebih 10km/j.

Pagi ini saya bangkit dengan tubuh yg masih letih+mengantuk. Teringat kisah Imam Haramain rahimahullah, guru kepada Hujjatul Islam Al-Ghazali rahimahullah. Semalam, karya teragung Imam Ghazali iaitu Ihya' Ulumiddin merupakan asas kepada syarahan Syeikh Dr. Abdul Hakim Murad hafizahullah. Jika tidak silap saya, di dalam kitab Qimat Az-Zaman karangan Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah rahimahullah ada menceritakan tentang sikap unik Imam Haramain rahimahullah iaitu tidak akan tidur melainkan tertidur dan tidak akan makan melainkan terlalu lapar. Bagaimana dengan KITA? Tidur walaupun tidak mengantuk dan makan walaupun setelah beberapa kali lidah mengucap Hamdalah dan tali pinggang terpaksa dilonggarkan. Oh, maafkan saya. Bukan KITA tapi mungkin saya. Maaf ya!

Membaca kisah-kisah ulama memang satu motivasi.

Jika diikutkan nafsu, saya akan mencari alasan untuk tidak ke Masjid Negara pada hari ini. Workshop mengenai 'The Crisis of Modern Consciousness' selama hampir sehari yg akan menampilkan Syeikh Dr. Abdul Hakim Murad dan Syeikh Siraj Hendricks mungkin tidak mampu mengalahkan nafsu mahu berehat. Mujurlah pembonceng semalam kelihatan bersemangat sekaligus menjadi motivasi pembakar diri.

"Ya, Mutawalli... saya datang ni!" jerit saya kepada teman selaku tuan rumah dan tuan motosikal. Mujur ada teman yg salih. Inilah kelebihan 'Suhbah As-Solihin'. Memberi semangat apabila futur. Jom ke Masjid Negara!

"Encik Malaysia, kamu berlagak kamu kebal. Ingat, serangan Allah maha sakti. Peluru-pelurunya berkuasa menembusi tubuh orang yg jauh lebih handal dan gagah dari kamu. Dia menyerang ikut kehendakNya. Jika ingkar perintahnya kamu mungkin tersungkur. Kamu mesti taatiNya, Dia kan Tuan kamu. Tahun lepas, Mr. Amerika cedera teruk kena peluru jenis Katrina. Tak sempat langsung nak mengelak. Jepun-kun yg pakar teknologi itu, satu dunia kenal tapi tak mampu juga lawan walaupun dah reka macam-macam ciptaan canggih untuk bertahan. Akhirnya, tersembam ke dalam bumi. Jiran kamu, Bapak Indonesia pula diserang menggunakan senjata berat jenis Tsunami. Kamu pun terluka terkena serpihan peluru itu bukan? Haiti pun menyembah bumi baru-baru ini. Si Israel celaka yg rampas tanah milik kita dan 'Ammu Palestin itu pula bergegas pergi curi organ dalaman Haiti. Baru-baru ini, dia halau pula saudara-mara kita yg beriktikaf di masjid. Dibina pula kuil jahanamnya di tepi masjid. Baiklah Encik Malaysia, saya sekadar menegur. Hmm... saya dan keluarga takut laknatNya..." kata Encik Brunei mengakhiri perbualan dengan jiran terdekatnya, Encik Malaysia yg sering mengingkari Tuannya sendiri. Encik Brunei pun memulakan langkahan dan pulang ke rumah.

Encik Malaysia kelihatan tenang sahaja bahkan otaknya sedang merancang beberapa projek mega. "Untung judi tahun 2008 dulu dapat RM 2.5 bilion. Duit ini digunakan untuk pengurusan dan pembangunan rumah.. yes!", kata Encik Malaysia lalu tersenyum tanda puas hati.

Menteri Hal Ehwal Agama Brunei, Zain Serudin menolak usul ahli Parlimen, Goh King Chin supaya zon khas jual beli arak diwujudkan untuk pelancong bukan Islam. “Yang paling kami takuti ialah laknat Allah. Laknatnya bukan pada mereka yang melakukannya sahaja tapi semua yang berada di negara ini." kata Zain Serudin. Di Mesir, Dr. Zainab Ridhwan juga pernah mengusulkan supaya arak, daging babi dan perjudian dihidangkan sebagai memuliakan tetamu-tetamu asing yg datang, bahkan menyifatkan bahawa tindakan itu ialah satu respons positif daripada kita setelah mereka meraikan kita yg tidak minum arak dan makan babi apabila berkunjung ke negara mereka!

Siapakah Dr. Zainab Ridhwan ini? Dia dan SIS di Malaysia muncul dalam satu versi yg sama. Gaya pemikiran liberal yg berselindung di sebalik nama Islam. Saya rasa anda sudah mula mengenali siapa gerangan Dr. Zainab Ridhwan ini. Beliau ialah pemegang Ijazah Kedoktoran dalam Falsafah Islamiah dari Universiti Iskandariah. Untuk pengetahuan bagi yg tidak tahu, selain Indonesia, Mesir juga merupakan sarang penyembah ideologi liberal. Bahkan tidak melampau jika saya mengatakan bahawa tokoh-tokoh liberal di Indonesia banyak menceduk pemikiran Dr. Nasr Hamid Abu Zaid, anak kelahiran Tanta, Mesir.


Jika Brunei lebih takut laknat Allah. Maka, Malaysia kelihatannya lebih takut laknat tauke-tauke arak dan judi. Laknat daripada mereka bermakna tiada lagi keuntungan haram berbilion ringgit masuk ke dalam akaun kerajaan dan saya yakin Malaysia cukup gerun dengan hal itu.


p/s: Coretan sebelum memulakan pengembaraan. Harapnya pengembaraan ini pengembaraan yg diberkati. Amiiinnn...

Thursday, March 25, 2010

Cinta Yahudi vs Cinta Melayu

Saya tertarik dengan kisah di akhir matan sebuah hadith riwayat Imam Bukhari rahimahullah. Kisah cinta satu pasangan Yahudi yg berzina lalu dijatuhkan hukuman rejam, setelah thabit wujudnya hukuman ini di dalam kitab Taurat walaupun hukuman ini cuba untuk disembunyikan oleh Yahudi ketika itu.


"... maka Baginda memerintahkan kedua-duanya (direjam) maka mereka berdua direjam dekat dengan tapak perkuburan di sisi masjid lalu aku melihat si lelaki mencondongkan badannya kepada si perempuan untuk melindunginya daripada terkena batu." (Riwayat Bukhari)

Si lelaki Yahudi itu berjaya membuktikan kecintaannya kepada buah hatinya sebelum menghembuskan nafas yg terakhir. Bahkan bukti cinta itu juga disaksikan masyarakat sekitarnya sehingga perawi hadith iaitu Ibnu Umar radiyallahuanhuma menyebut tentangnya. Cinta lelaki yahudi itu dibuktikan sehingga ke titisan darah yg terakhir.

Bagaimana pula dengan cinta lelaki-lelaki Melayu pada hari ini? Ke manakah mereka menghilangkan diri setelah membuntingkan anak-anak gadis orang? Titik noktah kisah cinta mereka ialah setelah berakhirnya ayat-ayat pujukan dan rayuan. Cinta semata-mata berlampiaskan nafsu. Cinta yg hanya dibuktikan sehingga ke titisan ........ yg terakhir sahaja, tidak lebih dari itu. Setelah puas, mereka lesap. Kekasih ditinggalkan menangis sendirian. Menangislah air mata darah sekalipun, jika sudah ditakdirkan Allah, perut yg pada asalnya kempis akan membesar.

Malaysia gempar dengan satu pendedahan terbaru iaitu seramai 17 303 anak luar nikah Melayu didaftarkan pada tahun 2009. Semua sedia maklum bahawa anak luar nikah a.k.a anak tidak sah taraf lahir melalui persetubuhan yg haram iaitu sama ada secara zina ataupun rogol. Oh, jika begitu ramai juga orang Melayu yg berzina. Zina ialah maksiat yg dilakukan sekurang-kurangnya antara dua individu iaitu secara berpasang antara lelaki dan perempuan. Tapi, bagaimana pula jika zina itu dilakukan secara beramai-ramai bahkan dianjurkan di tempat yg berlesen?! Gambar di bawah ini mungkin membantu menjawab persoalan yg timbul.

Saya tak pasti ini iklan zaman bila. Tapi yg saya pasti Melaka diperintah UMNO sejak zaman berzaman.

Bacalah peraturan kafe itu. Menggiurkan dan sudah cukup untuk promosi ke neraka. Ketika tidak mabuk arak pun manusia-manusia peneguk arak ini sudah kebal maksiat, maka apabila arak dituang percuma ke dalam gelas, mereka boleh bertukar menjadi kereta kebal yg menyerang semua yg berada di sekeliling. Baru-baru ini, Saifuddin Nasution mendedahkan bahawa ada sebahagian ahli parlimen UMNO yg teguk arak. Ada yg tertidur di kasino. "Oooo, baghu kami tau..."

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim, berkata bilangan itu meningkat 762 kes berbanding tahun sebelumnya. Pada 2008 seramai 16,541 anak luar nikah didaftarkan di JPN manakala pada 2007 seramai 16,100 orang. Malaysiaku memang cemerlang.

Cukuplah dengan gambar ini. Tak sanggup letak gambar yg lebih menyayat hati.

# Anak luar nikah tidak semestinya lahir daripada persetubuhan suka sama suka bahkan juga melalui jenayah rogol. Cuma saya berkhayal, bagaimanakah jika sejumlah besar anak luar nikah ini lahirnya memang hasil daripada zina. Maka, angka belasan ribu ini akan terhasil hanya jika sekurang-kurangnya berbelas-belas ribu pasangan telah berzina, lalu sperma si lelaki berjaya mensenyawakan ovum si perempuan. Dipendekkan cerita, bayi-bayi pun lahir dan seramai berbelas-belas ribu yg didaftarkan di JPN.

# Tapi, bagaimana pula jika ada bayi-bayi yg lahir tidak didaftarkan, bahkan dibuang sesuka hati? Berapa pula angka pasangan berzina yg terlibat dalam kes buang bayi? Malaysia mungkin berpeluang cerah menjadi juara dunia bagi acara buang bayi. Malaysia Boleh!

# Bagaimana pula jika bayi-bayi yg mana sains menghukum bahawa mereka sepatutnya lahir ke dunia, namun hukum Allah mendahului lalu mereka mati akibat digugurkan atau keguguran? Berapa pula angka pasangan berzina yg terlibat dalam kes pengguguran atau keguguran ini?

# Baiklah, bayi-bayi itu lahir atau sepatutnya lahir biasanya apabila hubungan zina dilakukan tanpa menggunakan kondom. Jika begitu berapa pula angka pasangan berzina dengan menggunakan kondom?

# Itu jika yg berzina. Bagaimana pula jika tidak berzina tapi cuma 'ringan-ringan' yg berat di sisi syarak?!

# Hmmm, berapakah jumlah kes rogol yg dilaporkan dan mengakibatkan kehamilan lalu melahirkan anak? Berapakah pula kes rogol yg dilaporkan tapi tidak mengakibatkan kehamilan? Berapakah pula kes rogol yg langsung tidak dilaporkan?!

# Oh ya, jangan lupa yg 17 303 itu angka anak luar nikah berbangsa Melayu! Ketuanan Melayu!

# Kesimpulannya cinta Melayu melahirkan ribuan anak luar nikah. Inikah sahaja bukti cinta Melayu?! Ada lagi, buang bayi juga bukti cinta Melayu! Berapakah kes buang bayi tahun 2009?


p/s: Apabila saya menyebut cinta Melayu maka saya maksudkan ialah cinta sebahagian orang Melayu bukan kesemuanya. Orang Melayu yg tak terlibat jangan pula terasa ya! Saya tahu cinta anda ialah cinta sejati.

Saturday, February 6, 2010

Selamat tinggal!

Tiada apa yg mahu dicoretkan. Sekadar memaklumkan jadual penerbangan pulang ke tanah air. Doakan agar segalanya dipermudahkan. Amiinnn.

Saya akan bertolak pada 8 Feb 2010, jam 12.15 am (waktu Mesir) dari Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah.




Insya Allah akan tiba di KLIA pada 8 Feb 2010, jam 3.50 pm (waktu Malaysia) di Terminal M. Di kesempatan ini saya ingin memohon maaf kepada semua. Jazakumullah juga kepada semua. Gunakan kesempatan berada di bumi Mesir ini dengan sebaik-baiknya. Kepada adik-adik perubatan khasnya ahli-ahli usramedic, manfaatkan keberadaan di Mesir dengan menghimpunkan ilmu agama dan ilmu perubatan. Jangan lupa tugas dakwah! Selamat tinggal Al-Azhar. Selamat tinggal Sayyiduna Husain radiyallahuanhu. Selamat tinggal para ulama dan auliya. Selamat tinggal kawan-kawan. Selamat tinggal... Selamat tinggal... Selamat tinggal... Selamat tinggal Mesir, bumi para nabi. Saya sedang berfikir apa yg ingin dibawa pulang untuk keluarga tercinta...

p/s: Saya mahu shopping dengan Ust Manan. Manan, anda masih dibuai mimpi atau sudah jaga?

Easy Cafe, H 10, Madinah Nasr

Blog Widget by LinkWithin