Showing posts with label Gambar. Show all posts
Showing posts with label Gambar. Show all posts

Memandangkan ramai yg terkeliru antara al-Ustaz Sa'id Ramadhan dan Syaikh Muhammad Sa'id Ramadhan al-Buti, maka saya ingin menceritakan serba sedikit tentang peribadi tokoh hebat ini.

al-Ustaz Sa'id Ramadhan rahimahullah (1929-1995M = 1345-1416H)


al-Ustaz Sai'd Ramadhan (Abu Aiman) rahimahullah merupakan seorang ahli pidato dan pendakwah yg berasal dari Tanta, Mesir. Beliau ialah menantu kepada as-Syahid Imam Hasan al-Banna rahimahullah. Imam Hasan al-Banna telah mengahwinkan beliau dengan anak sulungnya. Beliau antara individu paling rapat dengan as-Syahid. Beliau juga merupakan pimpinan gerakan Ikhwanul Muslimin dan mempunyai jasa yg besar dalam perjuangan umat Islam di Palestin. Beliau ialah Setiausaha Peribadi kepada as-Syahid. Beliau ialah bapa kepada Prof Tariq Ramadhan, cendekiawan Islam terkenal dewasa ini.

Beliau ialah seorang pendakwah yg petah, berakhlak mulia, berjiwa tentera tapi mudah mengalirkan air mata, pidatonya mampu membuatkan sidang pendengar menangis. Beliau antara pemuda Ikhwan yg aktif di Kuliyah Huquq, Universiti Kaherah. Beliau juga mengepalai penerbitan Majalah as-Syihab yg diterbitkan secara bulanan oleh as-Syahid Hasan al-Banna pada tahun 1948.


Jangan terkeliru! Ini pula ialah Syaikh Prof Dr. Muhammad Sa'id Ramadhan al-Buti hafizahullah. Seorang ulama besar dari negara Syria. Pengarang kitab Fiqh Sirah yg terkenal.


Jihad di Palestin

Beliau terlibat dalam jihad di Palestin bersama-sama Kataib Ikhwanul Muslimin. Pada tahun 1949, beliau menuju ke Baghdad setelah pulang dari Palestin, setelah pihak Mesir yg bekerjasama dengan penjajah Yahudi merancang untuk menangkapnya. Ikhwanul Muslimin Iraq telah menyambutnya dengan penuh kehormatan sebagai seorang mujahid dan pendakwah Ikhwan. Kerajaan Iraq diminta oleh Mesir supaya menyerahkan beliau ke negara asalnya. Kerajaan Iraq akhirnya bersetuju untuk tidak menyerahkan beliau dengan syarat beliau mesti keluar dari Iraq dalam waktu yg terdekat. Beliau merantau bersama al-Mustasyar Abdullah al-Aqil dari Baghdad ke Basrah dengan menaiki keretapi. Lalu dari Lapangan Terbang Basrah, beliau menaiki kapal terbang ke Pakistan. Mereka ditemani oleh seorang polis bagi memastikan mereka benar-benar berlepas keluar dari Iraq dan tidak tertinggal.

Kerajaan Mesir telah mencabut kewarganegaraannya lalu beliau terus hidup merantau. Raja Arab Saudi ketika itu, al-Malik Faisal telah memberikan kepadanya pasport khas untuk membolehkan beliau bergerak ke mana sahaja.


Sumbangan kepada Dunia Islam

Beliau ialah salah seorang pengasas Rabitah 'Alam Islami di Makkah. Beliau juga Setiausaha Agung al-Muktamar al-Islami lil-Quds. Beliau juga telah mengasaskan al-Markaz al-Islami di Geneva pada tahun 1961. Beliau juga membina markaz di London dan Munich pada tahun 1964. Beliau juga telah menerbitkan Majalah al-Muslimun sebagai ganti kepada Majalah as-Syihab. Antara tokoh-tokoh yg pernah berdampingan dengan beliau ialah as-Syahid Imam Hasan al-Banna, as-Sayyid Abul Hasan an-Nadwi, Abul 'Ala al-Maududi, Dr. Mustafa Sibaie, Dr. Mustafa Zarqa dan Imam Muhammad Abu Zahrah.


Sa'id Ramadhan pada zaman mudanya


Nota an-Nadwi

As-Sayyid Abul Hasan an-Nadwi melalui kitabnya, Muzakkirat Saih fi as-Syarq al-'Arabi menceritakan tentang kehebatan al-Ustaz Sa'id Ramadhan rahimahullah. Setelah mengetahui bencana dahsyat yg melanda dunia Arab ketika itu, pengarang menyusun pertemuannya dengan tokoh-tokoh pejuang di sana khususnya Sa'id Ramadhan. Beliau suarakan hasratnya itu melalui al-Ustaz Soleh 'Ashmawi. Antara yg hadir sama dalam pertemuan itu ialah Syaikh Yusuf al-Qaradhawi, Muhammad ad-Damardash dan al-Mustasyar Abdullah al-'Aqil.

Pada petang esoknya, pengarang menghadiri syarahan Sa'id Ramadhan di Dewan Abdul Hamid Sa'id di Dar as-Syubban al-Muslimin di Kaherah. Syarahannya memakan masa 2 jam. Kehadiran sungguh membanggakan. Syarahan itu sesekali diselang seli dengan laungan takbir dan tahmid oleh audien yg hadir. Pada hari perbicaraannya di mahkamah iaitu 4 Februari 1951, mahkamah telah berubah menjadi dewan syarahannya. Beliau berbicara dengan bersemangat. Suasana mahkamah berubah menjadi suasana masjid. Mereka yg hadir menitiskan air mata mendengar kalamnya yg menusuk hati, mendengar satu demi satu ayat al-Quran dan Hadith yg dilafazkannya. Kata pengarang, "Kami keluar dari mahkamah dalam keadaan terharu dengan apa yg kami lihat dan apa yg kami dengar."


Hidup terbuang

Beliau menghabiskan kebanyakan hidupnya dalam buangan. Beliau juga enggan untuk pulang ke tanah airnya, Mesir setelah melihat pemerintahan negara itu yg bersilih ganti dengan pemerintah taghut. Pada tahun 1958, beliau berhijrah ke Geneva. Beliau memilih untuk hidup di negara barat bersama isterinya, Ummu Aiman dan anak-anaknya. Beliau telah dikurniakan 5 anak lelaki dan seorang anak perempuan. Beliau banyak menghabiskan masanya dengan membaca dan menulis. Beliau telah memperoleh PhD dalam Islamic Law di University of Cologne, Germany.


Kembali ke Rahmatullah

Beliau meninggal dunia pada 5 Ogos 1995. Sebenarnya, beliau bercita-cita untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan al-Baqi' di Madinah tetapi hasratnya ditolak oleh kerajaan Arab Saudi. Beliau akhirnya dikebumikan di tanah airnya, Mesir yg tidak dimasuki sejak 1954. Al-Fatihah!

______________

Rujukan:

Min 'Alam ad-Dakwah wa al-Harakah al-Islamiyyah al-Mu'asirah (ms 288-298), tulisan al-Mustasyar Abdullah al-'Aqil

http://www.ikhwanonline.com/

http://www.ikhwanwiki.com/

Wednesday, September 30, 2009

Biar gambar yg berbicara...

Posting saya kali ini untuk menggambarkan rasa gembira dan rasa bengang. Rasa gembira kerana Aidilfitri. Rasa bengang pula kerana pengurusan UMNO yg tidak profesional.

5 tahun beraya di perantauan...

Syawal 1426 H / 2005 Kaherah

Masih segar di ingatan, tetamu pertama yg datang ke rumah saya (bukan gambar di atas) ialah Ustaz Asri Bait Muslim KPT. Ketika itu beliau belum berkahwin. Saya dan Hanbali hidangkan biskut arab, tiada biskut raya.


1427 H / 2006 Kaherah

Err, sebenarnya gambar di atas ialah semasa Aidiladha. Gambar semasa Aidilfitri tidak ditemui. Saya letakkan juga gambar di atas untuk menyempurnakan koleksi gambar 5 tahun raya versi di perantauan :)


Syawal 1428 H / 2007 Kaherah


Syawal 1429 H / 2008 Mekah, indahnya memori itu


Syawal 1430 H / 2009 Kaherah



Bersama Syeikh Yusri hafizahullah

Selesai solat Aidilfitri di Masjid Asyraf, rempit versi Mesir


Di hadapan Rumah Terengganu




Lawak di bulan Syawal.

Manila kad yg tertampal ialah 'banner' yg dipasang oleh pihak Pejabat Pengurusan Pentadbiran Siswa/wi Terengganu yg bernaung di bawah Kerajaan Negeri Terengganu. Manakala banner yg tergantung ialah banner yg dipasang oleh Unit Sambutan Mahasiswa/wi Baru (USMB KPT 09).

Sejak beberapa tahun lalu, Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) telah dinafikan peruntukan LE10 ribu dan peruntukan tersebut telah disalurkan kepada Ikatan Ulul Albab Mesir yg halimunan. Tetapi, KPT nampaknya 'lebih kaya' dan masih mampu mengeluarkan sedikit kos untuk menyambut adik-adik baru berbanding krew-krew penculik tajaan UMNO! Semoga Allah memelihara kita semua.


5 Syawal 1430 H - Mahasiswa/wi baru tajaan Yayasan Terengganu seramai 38 orang yg baru tiba...

...sebelum diculik selama 10 hari. Pihak USMB diugut agar tidak turut sama menyambut mahasiswa/wi baru di airport. Believe it or not?!

Sepanjang diculik, kebajikan mahasiswa/wi baru tidak terjaga. Saya tak bohong. Tak percaya, sudah!


9 Syawal 1430 H - Mahasiswa/wi baru persendirian seramai 10 orang disambut oleh USMB dengan aman, damai dan harmoni tanpa sebarang ugutan


Wajah-wajah ceria mahasiswa baru yg selesai menunaikan solat dengan tenang sedang rakan-rakan mereka tajaan Yayasan Terengganu sudah berkali-kali solat di akhir waktu akibat ketidakcaknaan UMNO dalam keghairahan bersiar-siar. Jangan marahkan mereka yg baru, mereka masih bingung dengan dengan waktu solat di Mesir.

Sebagai penutup, hayati kata-kata keramat ini "UMNO tidak pernah serius menangani isu akidah, inikan pula isu ibadah?! Isu akhlak? Jauh sekali..."


~Coretan dari Kota Seribu Menara, 1430 H

Tuesday, March 31, 2009

Fesyen t-shirt tentera Israel

Tadi saya membaca blog Ust Yussaine Yahya. Posting tentang fesyen t-shirt tentera Israel. Setelah itu, saya terus bertanya Encik Google. Maka sebahagian jawapan yg diberikannya ialah seperti berikut:

Anda boleh klik di sini, sini dan sini. Kalau mahu lebih maklumat, sila cari sendiri ya.

Ini sebahagian tulisan yg menjelaskan makna gambar-gambar pada t-shirt tentera Israel. Maklumat ini saya dapat di sini. Menurutnya, gambar-gambar pada t-shirt itu hanya boleh dilihat di website Haaretz berbahasa Hebrew.

-'1 shot, 2 kills.' Satu peluru membunuh dua nyawa. Itulah tulisan yg tertulis pada t-shirt tentera Israel. Di atasnya, gambar seorang wanita yg sarat mengandung, berpurdah dan berjubah yg berada dalam sasaran seorang sniper.


-'Better use Durex.' Saya rasa Durex ialah jenama kondom. Adapun Dumex, ia jenama susu. Bunyinya agak sama bukan? Kalau di'google' tentang Durex, bimbang bertemu dengan maklumat 'bahaya'. Tulisan ini menafsirkan bahawa wanita Palestin lebih elok tidak mengandungkan anak kerana anaknya akan dibunuh.


-'No matter how it begins, we'll put an end to it.' Tulisan ini sebagai penjelasan kepada gambar seorang bayi yg kemudiannya membesar sebagai seorang kanak-kanak pejuang dan kemudiannya sebagai seorang tentera dewasa.

-'Bet you got raped.' Tulisan lucah ini pula penjelasan kepada gambar lukisan seorang askar yg berada di sebelah seorang wanita muda yg lebam-lebam. Celaka kamu Yahudi!

-'Let every Arab mother know that her son's fate is in my hand.' Walaubagaimanapun, ia telah diharamkan tetapi setelah berdozen-dozen t-shirt, jaket bulu dan seluar dicetak dengan slogan ini. Siapa yg haramkannya? Hmmm...

Kononnya fesyen t-shirt ini ialah sebagai motivasi kepada tentera mereka untuk terus berjuang setelah tertekan dengan kematian rakan-rakan seperjuangan. Kononnya sebagai pembakar semangat untuk membunuh dua nyawa dengan hanya satu peluru. Kononnya lebih menjimatkan dan menjamin masa depan. Hakikatnya, mereka sedang berada dalam ketakutan yg membunuh.

Kerja gila ini tidak dianggap terlalu gila dan teruk jika dilihat dari kaca mata sejarah, jika ingin dibandingkan dengan kejahatan-kejahatannya yg terlalu banyak yg pernah dirakam sejarah. Yang terbaru ialah serangan ala penghapusan etnik ke atas Gaza. Namun, mereka gagal. Palestin terus berdiri gagah. Tarbiyah dan didikan Hamas terhadap rakyatnya menjadikan mereka terus cekal dan sabar.

Sepatutnya saya tidak perlu komen banyak tentang kerja keji bangsa Yahudi terkutuk ini. Lebih teruk daripada ini pun mereka pernah buat. Dunia membisu seribu bahasa. Kejadian pencerobohan Khemah Pelarian Shabra Shatila tidak akan dilupakan sejarah. Saya lupa nama si celaka yg bertanggungjawab mengetuai kerja gila ini. Mungkin kerana emosi yg sedikit terganggu akibat marahkan Yahudi yg telah dinyatakan oleh para ulama bahawa merekalah yg dimaksudkan dengan ''...yang dimurkai ke atas mereka...'' di akhir Surah Al-Fatihah.

Bangsa yg angkuh ini berbangga apabila menjadi pemegang rekod dunia sebagai bangsa yg paling ramai dibangkitkan nabi daripada kalangan mereka. Tetapi jangan lupa bahawa mereka juga diumumkan sebagai pemegang rekod dunia kategori bangsa yg paling ramai membunuh nabi.

Saya terpaksa merujuk lagi Encik Google untuk mencari kembali nama si pembunuh keparat yg telah hilang daripada memori saya. Lalu saya taip 'israel former president' maka daripada sejumlah maklumat yg saya dapat ialah berita Bekas Presiden Israel, Moshe Katsav yg didakwa bersalah melakukan jenayah rogol dan serangan seksual terhadap beberapa orang wanita yg pernah bekerja bersamanya. Memang dasar keparat. Kalau dia tak bersalah sekalipun dia tetap keparat! Baca di sini.

Setelah itu, baru saya teringat bahawa ketua pembunuh pelarian Shabra Shatila itu bukanlah bekas Presiden Israel tetapi bekas Perdana Menteri Israel. Dan ketika peristiwa sadis itu si celaka ini memegang jawatan Menteri Pertahanan Israel. Jawapan daripada Google menyatakan namanya 'Ariel Sharon'. Otak saya kembali ligat berputar. Ketika bertanding untuk kerusi Perdana Menteri, lawannya ialah orang yg mempunyai rekod yg lebih bersih daripadanya. Akan tetapi Yahudi tetap Yahudi. Yang memenangi kerusi itu ialah si bedebah Ariel Sharon.

Yahudi akan terus menggila. Livni dan Netanyahu sama-sama jahat. Generasi selepas mereka juga jahat. Realiti menghukum sebegini. Tanpa saya nafikan ada sejumlah bangsa Yahudi yg tidak fanatik atau memeluk Islam.

Ini merupakan laporan yg disediakan oleh New Profile tentang rekrut ketenteraan yg dilakukan terhadap kanak-kanak di Israel. Saya masih belum membacanya dan berat untuk membacanya. Laporan setebal 61 muka surat. Huh! Itu pun belum tentu faham kesemuanya.


p/s: Adakah kita juga perlu pelbagaikan fesyen pakaian kita untuk menaikkan semangat Jihad? Fikir-fikirkan sendiri...

Terima kasih kepada Munir yg menyediakan teh susu panas dan biskut di tengah malam yg sunyi ini. Jazakumullah!

Biro Dakwah KPT 09 akan mengadakan Majlis 'Muhammad Sollallahu'alahiwasallam Hayyun fi Qulubina'. Maklumat program adalah seperti berikut:

Tarikh : 3 Rabiul Akhir 1430 H bersamaan 30 Mac 2009 M
Hari : Isnin
Masa : Selepas Maghrib
Lokasi : Asrama Darul Iman, Hayyu Asyir

Majlis ini akan dihadiri oleh seorang tetamu khas, Habib Umar bin Habib Zain bin Ibrahim bin Sumait. Semua anak Terengganu di Perlembahan Nil dijemput hadir.


طربت وما طربت بألة /// بل كان من لحن بمدح محمد
"I enjoyed (the tune) but not by an instrument /// it was from a melody, in the praise of Muhammad"

Sempena bulan kelahiran Rasul Pembawa Rahmat Ke Seluruh Alam, Nabi Besar kita, Sayyiduna Muhammad Sollallahualaihiwasallam, marilah sama-sama kita meningkatkan lagi kecintaan kita kepada Baginda. Perbanyakkan selawat ke atas junjungan mulia, Penghulu Sekalian Rasul, makhluk termulia di alam semesta.


Ya Allah, hidupkanlah Baginda di dalam hatiku.

Ya Allah, tingkatkanlah kecintaanku kepadanya.

Ya Allah, sampaikanlah salamku kepadanya. Salam dari salah seorang umatnya yg hina, penuh dengan dosa.

Ya Allah, kurniakanku kekuatan untuk menghidupkan Sunnahnya.

Ya Allah, tempatkanlah aku bersama-samanya di SyurgaMu. Aminnn...

Tontonlah video ini dengan penuh rasa kasih dan sayang kepada Baginda Sollallahualaihiwasallam.



طربت وما طربت بألة /// بل كان من لحن بمدح محمد
"I enjoyed (the tune) but not by an instrument /// it was from a melody, in the praise of Muhammad"

Sunday, February 1, 2009

Menjejaki Syeikhul Islam Mustafa Sabri

Syeikhul Islam Mustafa Sabri
Kubur Syeikhul Islam Mustafa Sabri akhirnya ditemui. Misi kami pada petang Jumaat itu berjaya. Saya, Ustaz Munir dan Doktor Anas berpuas hati. Alhamdulillah, segala-galanya berjalan lancar. Saya akan menceritakan tentang peribadi Syeikhul Islam ini dalam posting yg lain.

Sudah 3 tahun lebih saya melalui jalan yg sama tapi tidak pernah saya perasan kewujudan papan tanda tersebut. Kali pertama saya perasan ialah ketika pulang daripada peperiksaan, menaiki teksi. Kebetulan, jalan sesak. Teksi terpaksa bergerak perlahan. Ketika itu kami berada di kawasan perkuburan. Maka, tatkala itulah saya terpandang sebuah papan tanda kecil di dinding sebuah bangunan. Akan tetapi, saya agak ragu. Adakah Syeikhul Islam dikebumikan di sini?


Apabila tiba di rumah, saya mencari-cari kitab karangan Syeikhul Islam. Satu-satunya kitab karangan Syeikhul Islam yg saya miliki, tajuknya Qouli fil Mar'ah. Malangnya, ia tidak memuatkan biodata beliau. Seingat saya, perpustakaan di Rumah KPT ada tersimpan kitab karangan beliau, Mauqiful 'Aqli wal... Saya memulakan pencarian. Tujuan utama hanya untuk mendapatkan maklumat tentang lokasi kubur beliau. Juga tiada biodata beliau.

Jadi, saya terpaksa menggoogle untuk mencari maklumat ini. Walaupun sejak awal lagi saya memang boleh merujuk kepada Encik Google tapi akhlak penuntut ilmu cuba saya amalkan. Rujukan utama untuk ilmu bukanlah internet. Tapi ketika mana terlalu berhajat, maka harapnya dimaafkan. Kaedah fiqhiyyah menyebut,' الحاجة تنزل منزلة الضرورة '. Maklumat ditemui. Terima kasih Islamweb.

Ya, beliau memang meninggal dunia di Mesir dan dikebumikan di Mesir. Beliau meninggal pada tahun 1373 Hijrah bersamaan 1954 Masihi. Saya yakin di situlah tempatnya. Tulisan pada papan tanda itu bukan tulisan Arab. Sangkaan saya mengatakan ia ditulis dalam bahasa Turki. Tulisannya rumi tapi bukan bahasa Inggeris. Mungkin ditulis sendiri oleh orang Turki untuk memberitahu lokasi kubur syeikh besar pada zaman Khilafah Turki Uthmaniah. Misi untuk menjejaki Syeikhul Islam mesti dilakukan.

Maka, saya menetapkannya pada hari Jumaat. Misi bermula setelah solat Jumaat di Masjid Al-Azhar. Kami menaiki bas 24 Jim. Lalu, kami berhenti berdekatan kawasan bangunan yg tertampal padanya papan tanda kecil itu. Kami berjalan dan terus berjalan. Sambil mata kami meliar mencari-cari tulisan berkaitan. Kami berundur kembali ke belakang dan terus mencari. Alhamdulillah, misi menjejaki kubur Syeikhul Islam akhirnya berjaya tapi setelah sesat beberapa ketika dan disalak anjing. Kubur beliau terletak dalam sebuah kawasan yg dikelilingi pagar batu. Pintu pagarnya pula dikunci dengan mangga.

Kubur Syeikhul Islam Mustafa Sabri

Kebetulan penjaga kubur Syeikhul Islam ada di situ. Lalu kami meminta beliau membukakan pintu untuk kami. Kami masuk lalu membaca Al-Fatihah dan berdoa. Di sekitarnya terdapat 3 buah kubur yg lain. Salah satunya kubur seorang ulama Al-Azhar. Jika ada kesempatan saya akan menulis tentang Syeikhul Islam Mustafa Sabri, insya Allah.

Batu nisan yg telah patah


Serpihan batu nisan yg disimenkan


Tertera, 1286 Hijrah - 1373 Hijrah. Hanya sebahagian kecil tulisan pada kepingan batu ini ditulis dalam bahasa Arab. Abjadnya abjad Arab tapi bukan bahasa Arab. Mungkin seperti tulisan jawi di Tanah Melayu satu ketika dahulu.


Kubur di sebelah kiri gambar merupakan kubur seorang ulama Al-Azhar


Misi berjaya!

p/s: Klik gambar untuk paparan lebih besar.

Wednesday, January 21, 2009

Gaza...

بسم الله الرحمن الرحيم

" يأيها الذين آمنوا إذا لقيتم فئة ، فاثبتوا / واذكروا الله كثيرا لعلكم تفلحون . / وأطيعوا الله ورسوله / ولا تنازعوا فتفشلوا وتذهب ريحكم / واصبروا إن الله مع الصابرين . / ولا تكونوا كالذين خرجوا من ديارهم بطرا ورئآء الناس ويصدون عن سبيل الله والله بما يعملون محيط . "

( الأنفال : 45-47)








Adakah Israel mengumumkan gencatan senjata semata-mata bagi memberikan laluan dan penghormatan kepada Obama untuk angkat sumpah???

p/s: Buntu... tiada idea untuk menulis. Untuk lihat gambar yg lebih menyayatkan hati, klik sini.

Friday, December 26, 2008

Pendedahan: Gambar palsu makam Nabi

Sila lihat gambar di bawah. Gambar ini dikatakan sebagai gambar makam Nabi Muhammad Sollallahualaihiwasallam dari bahagian dalam. Di bahagian bawah gambar tertulis kononnya umat Islam tidak pernah berpeluang untuk melihat pemandangan ini kecuali bilangan yg sangat sedikit. Bahkan disarankan pula untuk mengedarkan gambar ini kepada orang lain. Klik untuk lihat lebih jelas.
Gambar yg didakwa gambar Makam Nabi dari bahagian dalam.

Sila lihat pula gambar ini. Gambar ini ialah gambar makam Maulana Jalaluddin Ar-Rumi yg terletak di Konya, Turki.
Makam Maulana Jalaluddin Ar-Rumi di Konya, Turki.

Baiklah, sekarang sila lihat pula gambar di bawah. Sila lihat bahagian yg dibulatkan dan juga persekitarannya. Serban, khat yg terdapat pada dinding, tiang dan tingkapnya. Bukankah ia tempat yg sama? Klik untuk lihat lebih jelas.
Saya temui maklumat ini ketika merayau-rayau mencari gambar barang-barang peninggalan Nabi Muhammad Sollallahualaihiwasallam. Lalu saya terjumpa maklumat ini di Islam-The Modern Religion. Menurutnya, fakta bahawa gambar tersebut bukan gambar makam Nabi telah ditegaskan lagi oleh seorang jurugambar Muslim yg terkenal, Peter Sanders. Pendedahan ini telah dibuat sejak 2001. Berikut temuramah pemilik laman Islam-The Modern Religion dengan Peter Sanders.

The fact that this picture (below) is not of the tomb of the Prophet (saw) was also comfirmed by Peter Sanders the Muslim photographer. He revealed this during my interview with him on Thursday, 17th May 2001. He said, "Inside the Prophet's (saw) tomb - no I have not seen inside. I asked a sheikh what's inside - he's one the people who clean the area. He said light, light..nothing but light. The picture going round on the Internet - it's not a real picture, it's a painting from someone's vision because there's nothing in there, they've completely concealed it up. That might have been what it was like in the Turkish times, I don't know. It seems very authentic - I've seen in different shuyukh's houses. It's possible that it is what it did look like or what it does look like in the unseen, I don't know. Allahuwalam. As far as I know, there is nothing there. The sheikh said there is only light and he added, people who don't see this light only see their own darkness."
Peter Sanders. Diambil dari Mas'ud Ahmed Khan di flickr.


Saya juga terjumpa maklumat ini di forum-forum berbahasa Arab. Jadi jelaslah bahawa gambar yg didakwa sebagai makam Nabi itu merupakan lukisan makam Maulana Ar-Rumi dan bukannya makam Nabi. Kawan saya sendiri pernah menjadikan gambar tersebut sebagai wallpaper di komputernya. Saya tidak pasti sejauh mana gambar ini telah tersebar dan sejauh manakah pembetulan fakta telah dibuat. Dan adakah ianya sebuah propaganda untuk mengelirukan umat Islam atau ianya berlaku secara tidak disengajakan?

Ini pula gambar yg saya temui entah di mana. Seolah-olah satu keratan akhbar atau majalah berbahasa Inggeris. Tertulis di bawah gambar ini, "The only known photograph, an undated 19th century print, of the tomb of the Prophet Mohammed (PBUH)." Wallahu'alam. Juga tidak dapat dipastikan kesahihannya.

Ini pula gambar lukisan yg biasa dijual dalam bentuk poster. Saya rasa ia dilukis berdasarkan gambar foto hitam putih di atas.

"Hanya Allah Yang Maha Mengetahui hakikat setiap sesuatu."

p/s: Entri tentang khilaf ditangguh lagi. Entri kali ini dipenuhi gambar-gambar :)
-Untuk melihat hasil seni Peter Sanders sila ke sini.
-Jangan lupa untuk flag blog celaka adibahahmad.blogspot.com!

Blog Widget by LinkWithin