Saturday, December 6, 2008

Islam agama keganasan?

Soalan 1: Mengapa Islam memerintahkan penganutnya supaya berperang?

Jawapan:

:: Surah Al-Baqarah, ayat 190 [2:190]

وَقَـٰتِلُواْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَـٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ

"Dan perangilah di jalan Allah akan orang-orang yg memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yg melampaui batas."
  • Islam hanya membenarkan untuk memerangi orang yg memerangi kami sahaja. Islam tidak membenarkan untuk membunuh orang awam. Jangan menghukum Islam berdasarkan perbuatan penganutnya yg tidak mengikut Islam. Sikap sebahagian penganutnya yg tidak patuh kepada ajaran Islam tidak menggambarkan kebatilan Islam kerana penganut agama Kristian juga tidak patuh kepada agama Kristian. Maka, Kristian juga akan dianggap batil jika kayu pengukur kesahihan atau kebatilan sesebuah agama ialah sikap penganutnya yg derhaka.
Entah mengapa saya amat sukakan gambar ini. Kredit kepada mzdu92's photostream di flickr.

Soalan 2: Mengapa Islam memaksa untuk memeluk Islam?

Jawapan:

:: Surah Al-Baqarah, ayat 256 [2:256]

لَآ إِكۡرَاهَ فِى ٱلدِّينِ‌ۖ

"Tiada paksaan dalam (menganut) agama Islam."

:: Surah Al-Kafirun, ayat 1-6 [109:1-6]

قُلۡ يَـٰٓأَيُّہَا ٱلۡڪَـٰفِرُونَ (١) لَآ أَعۡبُدُ مَا تَعۡبُدُونَ (٢) وَلَآ أَنتُمۡ عَـٰبِدُونَ مَآ أَعۡبُدُ (٣) وَلَآ أَنَا۟ عَابِدٌ۬ مَّا عَبَدتُّمۡ (٤) وَلَآ أَنتُمۡ عَـٰبِدُونَ مَآ أَعۡبُدُ (٥) لَكُمۡ دِينُكُمۡ وَلِىَ دِينِ (٦

"Katakanlah (Muhammad), "Wahai orang-orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yg kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah apa yg aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yg kamu sembah. Dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah apa yg aku sembah. Untukmu agamamu dan untukku agamaku."
  • Islam tidak memaksa sesiapapun untuk menganut Islam. "Tiada paksaan dalam agama" dan "Untukmu agamamu dan untukku agamaku" telah menjawab persoalan ini. Antara bukti terkini, Yvonne Ridley, bekas tawanan Taliban tidak pernah dipaksa memeluk Islam, bahkan beliau memeluknya dalam keadaan rela.

p/s: Kajilah Islam melalui sumbernya bukan melalui musuhnya.

Thursday, December 4, 2008

Kaitan antara Akidah dan Kerajaan

Baru-baru ini saya berbual dengan kawan-kawan tentang murtad. Apabila berbicara tentang isu ini, saya terkenang sebuah kisah penuh duka yg berlaku pada sekitar tahun 1950-an. Kisah Natrah, kisah yg menggambarkan tragedi perjuangan berdarah umat Islam ketika itu demi menyelamatkan akidah seorang muslimah yg ingin dimurtadkan. Malangnya, kisah Natrah kekal sebagai sejarah semata-mata. Tiada pengajaran yg diambil daripadanya.

:: Akidah binasa tanpa pembelaan
Pada hari ini kita menyaksikan puluhan bahkan ratusan ribu muslim telah murtad. Cuba renung, tragedi Natrah yg melibatkan seorang muslimah sahaja yg dimurtadkan telah cukup untuk menggelegakkan darah ummah ketika itu. Ada yg terkorban dan tidak sedikit yg cedera. Semata-mata untuk mempertahankan akidah seorang muslimah sahaja. Tragedi murtad pada hari ini pula melibatkan jumlah yg amat menakutkan, tapi darah ummah mengalir tenang. Ada pula mulut pemimpin yg cabul mendakwa jumlah sebenar yg murtad tidak sebagaimana yg digembar-gemburkan. Kasihannya orang ini. Bodoh atau buat-buat bodoh.

Mengapa tragedi Natrah sanggup mengorbankan sejumlah nyawa walaupun yg dimurtadkan hanya seorang? Kerana mereka faham bahawa krisis murtad bukan krisis bilangan. Tapi krisis nilai. Seberapa banyak pun yg dimurtadkan bukan persoalannnya. Persoalannya ialah akidah ummah tidak terjaga! Akidah ummah tergadai begitu murah. Apakah nilai sebuah akidah sebenarnya? Tidak ternilai...

Isu Natrah membangkitkan kemarahan masyarakat Islam ketika itu.

Tidak cukup dengan itu, ada pula yg memohon daripada Jabatan Pendaftaran Negara untuk membuang perkataan Islam yg tercatat pada kad pengenalannya. Kononnya untuk membuktikan kekafirannya secara rasmi. Hakikatnya, tersirat di sebaliknya satu penghinaan besar terhadap agama Islam. Oh, silap! Bukan penghinaan terhadap agama Islam tetapi penghinaan terhadap umat Islam. Islam tidak pernah hina, tapi penganutnya yg hina apabila meninggalkan akidah, syariat dan akhlaknya.

Tragedi begini tidak mustahil berlaku kepada sesiapa sahaja. Masyarakat Malaysia berada dalam ancaman terbesar yg pernah melanda mereka. Ancaman terhadap akidah umat. Generasi akan datang berada dalam bahaya yg amat sangat. Ancaman bunuh nyawa hanya melibatkan nyawa. Ia akan bangkit semula dengan jasadnya di akhirat kelak. Tapi ancaman bunuh akidah jauh lebih berbahaya. Sekiranya tidak diselamatkan, ia tidak akan bangkit sama sekali di akhirat kelak. Kerana akidah yg dibunuh ini telah mati buat selama-lamanya. Nauzubillah.

Seolah-olah tiada halangan atau sekatan untuk murtad. Malangnya, sekelompok manusia pada hari ini sibuk menumpukan persoalan cabang dalam agama sedangkan persoalan usulnya tidak terjaga. Bergaduh sesama sendiri. Musuh bersorak sambil bertepuk tangan. Cukuplah pecah belahkan ummah atas nama yg suci itu! Kita sedang diancam bahaya.

Sekelompok yg lain hanya pentingkan perut dan takhta. Islam yg dinginkan hanya yg selari dengan nafsu celaka. Talam bermuka-muka. Apabila bersama dengan para ulama dan golongan profesional, maka ilmu, Al-Quran dan Hadith yg dibentangkan. Apabila bersama dengan muda mudi yg gila hiburan, maka muzik dan seks yg ditawarkan. Apabila bersama dengan orang kampung, maka kain pelekat, RM dan janji yg ditaburkan. Apabila bersama dengan yg sekepala dengan mereka, maka projek dan rasuah yg disuakan.

Saya juga sedang menyalahkan diri sendiri. Apakah yg telah saya sumbangkan untuk ummah ini? Saya perlu mencari sebelum memberi.' فاقد الشيء لا يعطي ' Orang yg tiada apa-apa tidak boleh memberi. Apa yg ingin diberi? Diri sendiri fakir. Fakir ilmu, fakir akhlak, fakir amal, fakir harta.

:: Tanggungjawab Kerajaan memelihara agama
Ah, cukup! Saya sudah menyalahkan diri sendiri. Masa untuk menyalahkan orang lain pula. Dan memang layak pun mereka dipersalahkan. Siapakah yg bertanggungjawab memelihara akidah ummah? Pihak nombor satu yg perlu dipersalahkan ialah kerajaan! Tanpa saya menafikan tanggungjawab dan peranan pihak-pihak lain. Imam Ghazali telah menjawab persoalan ini dalam kitab beliau, Ihya' Ulumiddin dalam Bab Kedua, Kitab Al-'Ilm. (m/s 23, cetakan Darul Fikr, Beirut)

Imam Ghazali mengatakan,

Tulisan di dalam kurungan ialah matan kitab Ihya' Ulumiddin dan yg berada di luar kurungan ialah Ithaf Sadat Al-Muttaqin syarah kepada Ihya, karangan Imam Murtadha Az-Zabidi.

"Kerajaan dan agama itu ialah 2 kembar. Dan agama itu asal (asas), dan pemerintah itu pengawal. Dan apa yg tiada asal (asas) baginya, maka ia akan runtuh. Dan apa yg tiada pengawal baginya, maka ia akan hilang."

Sebelum itu, Imam Ghazali menyebut bahawa Faqih (ulama) merupakan mu'allim atau guru kepada pemimpin atau mursyid kepadanya dalam perkara politik. Di negara kita, para ulama digam kerana menegur kerajaan. Tidak kurang juga yg di'ISA'kan. Ada yg dihantar jauh dari kaum keluarga. Tujuan mereka semata-mata untuk menutup mulut yg mengkritik mereka. Maka siapakah lagi yg akan meluruskan perjalanan kerajaan apabila kerajaan terpesong?

Agama dan kerajaan tidak boleh terpisah. Kerajaan merupakan sebuah pasukan yg dipimpin oleh seorang ketua. Ketua inilah yg akan memelihara agama daripada diserang dari segenap penjuru. Dialah yg memberikan arahan dan perintah. Sekiranya dia mengabaikan tanggungjawab memelihara agama ini bermakna dia telah mengabaikan tanggungjawab utamanya. Pengawasan terhadap agama terabai dan terbiar kerana tiada lagi pengawal yg menjaganya. Maka, agama akan binasa. Akidah hancur. Syariat musnah. Akhlak punah. Masyarakat terumbang-ambing.

Sehinggalah Allah menggantikan mereka dengan golongan yg lain. Ciri-ciri mereka disebut oleh Allah di dalam Surah Al-Maidah, ayat 54:

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَن يَرۡتَدَّ مِنكُمۡ عَن دِينِهِۦ فَسَوۡفَ يَأۡتِى ٱللَّهُ بِقَوۡمٍ۬ يُحِبُّہُمۡ وَيُحِبُّونَهُ ۥۤ أَذِلَّةٍ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى ٱلۡكَـٰفِرِينَ يُجَـٰهِدُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوۡمَةَ لَآٮِٕمٍ۬‌ۚ ذَٲلِكَ فَضۡلُ ٱللَّهِ يُؤۡتِيهِ مَن يَشَآءُ‌ۚ وَٱللَّهُ وَٲسِعٌ عَلِيمٌ (٥٤
"Wahai orang-orang yg beriman, sesiapa di kalangan kamu yg murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan satu golongan yg Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai Allah, bersikap lemah lembut terhadap orang beriman, tegas terhadap orang kafir, berjihad di jalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang yg mencela. Itulah kurniaan Allah yg Dia kurniakan kepada sesiapa sahaja yg dikehendakiNya. Dan Allah itu Maha Luas (pemberianNya) lagi Maha Mengetahui." Surah Al-Maidah, ayat 54.

Walaupun Asbab Nuzul ayat ini berkaitan dengan apa yg berlaku di zaman Nabi Sollallahualaihiwasallam, tetapi para ulama mengajar kita bahawa,' العبرة بعموم اللفظ لا بخصوص السبب ' Pengajaran diambil berdasarkan lafaz yg umum dan bukan sebab yg khusus.

Maka , marilah sama-sama kita membentuk peribadi kita berdasarkan ciri-ciri yg disebut di dalam ayat di atas. Terdapat 6 ciri:
  • Mereka dicintai Allah.
  • Mereka mencintai Allah (dengan menjunjung perintahNya dan menjauhi larangannya)
  • Bersikap lemah lembut terhadap orang beriman (kasihan belas dan merendahkan diri sesama mereka)
  • Bersikap tegas terhadap orang kafir(yg memerangi mereka)
  • Berjuang di jalan Allah (untuk meninggikan kalimah Allah)
  • Tidak takut kepada celaan orang yg mencela (kerana thabatnya mereka di atas agama Islam)
Sifat-sifat ini merupakan pemberian daripada Allah terhadap sesiapa sahaja yg Dia kehendaki. Tetapi orang beriman wajib berusaha untuk memiliki sifat-sifat ini. Seterusnya, mereka akan menjadi golongan yg layak untuk mewarisi kekuasaan memakmurkan bumi ini.

:: Kesimpulan
Kerajaan pada hari ini dianggap tidak pernah serius dengan gejala murtad yg berleluasa. Ditambah pula dengan gejala sosial yg bermaharajalela. Konsert tajaan kerajaan terus mendapat sambutan. Masjid-masjid sunyi. Bak kata seorang ustaz, "Masjid tunggu jemaah, mikrofon tunggu bilal, sejadah tunggu pak imam."

Jadi apa sikap anda terhadap kerajaan sekarang? Biarkan generasi masa depan terbunuh akidahnya? Syariat entah ke mana. Akhlak pula lebih keji dari binatang. Renungkan sendiri kemudian bertindak.


Rujukan:
Ihya' Ulumiddin, karangan Imam Ghazali
Tafsir Al-Munir, karangan Dr. Wahbah Az-Zuhaili

Sunday, November 30, 2008

Kisah Tauladan: Keadilan Islam

Diambil dari blog : 'Santapan Minda Pejuang' - Blog Ust Yussaine

Salam Islah,


Sejak menjawat jawatan sebagai gabenor, Amr bin Al-Ash tidak lagi turut serta di medan pertempuran. Dia lebih banyak tinggal di istananya di Mesir. Di hadapan istananya yang mewah itu terdapat sebidang tanah yang luas dan sebuah pondok usang milik seorang lelaki Yahudi tua. “Alangkah baik dan indahnya jika di atas tanah itu berdiri sebuah masjid”. Detik hati sang gabenor.

Dipendekkan cerita, Yahudi itu dipanggil mengadap gabenor untuk melakukan proses tawar-menawar bagi membeli tanah milik Yahudi tua itu. Namun keputusannya sungguh mengecewakan. Amr bin Ash sangat kesal kerana si tua itu menolak dan enggan menjual tanah dan pondok buruknya. Ini kerana harga yang ditawarkan oleh gabenor adalah lima kali ganda dari harga pasaran.

“Baiklah jika itu keputusanmu, saya harap anda tidak menyesal!”. Tegas gabenor dengan nada ancaman.

Setelah orang tua Yahudi itu berlalu, Amr segera memerintahkan orang bawahannya mengeluarkan sepucuk surat pemberitahuan bagi membongkar tanah milik Yahudi tersebut. Apabila peristiwa itu berlaku, orang tau tadi hanya mampu menangis kerana tidak berdaya melakukan apa-apa. Dalam situasi mengecewakan itu, terdetiklah dalam hati orang Yahudi itu untuk mengadu keputusan gabenor Mesir kepada Khalifah Umar al-Khattab.

“Ada apa-apa keperluan yang pentingkah wahai datuk, kerana kau datang begitu jauh ke sini?, Tanya Umar al-Khattab kehairanan.

Datuk tua itu sebenarnya sungguh gementar berdepan dengan seorang klhalifah yang berkedudukan tinggi dan penuh wibawa. Walaupun pada hakikatnya penampilan khalifah Umar amat sederhana dibandingkan dengan keluasan kekuasaan pemerintahan beliau. Setelah degup jantungnya bertambah reda, datuk tua itu mula bercerita bagaimana perjuangannya mempertahankan miliknya dan melaporkan aduan kesnya penuh kesedihan.

Merah padam wajah Umar apabila mendengar aduan datuk tua Yahudi itu. “Masya Allah, kurang sopan sungguh Amr!” kecam Umar.

“ Sungguh tuan saya tidak mengada-ngadakan cerita walau sepotong ayat” sahut datuk itu bertambah gementar dan kebingungan. Malah dia semakin bingung apabila Umar memintanya mengambil sepotong tulang lalu menggoreskan sesuatu pada tulang itu dengan pedangnya.

“ Berikan tulang ini kepada gabenorku, saudara Amr bin Ash di Mesir,” perintah khalifah Al-Faruq Umar al-Khattab.

Gambar hiasan.
Orang Yahudi itu semakin kebingungan, “Tuan, adakah tuan sedang mempermainkan saya?” kata Yahudi tua itu dengan suara yang perlahan. Dia mula cemas dan memikirkan perkara yang bukan-bukan. “Jangan –jangan khalifah dengan gabenornya dua kali lima saja. Yalah, di mana saja manusia yang majoriti dan memegang tampuk pemerintahan dan kekuasaan pasti akan menindas kaum minoriti. Malah mungkin aku akan ditangkap dan dituduh sebagai seorang subversif,” bisik hati orang tua itu dengan penuh curiga dan khuatir. Namun dia tetap mengadap gabenor Mesir sebagaimana yang diarahkan oleh khalifah Umar al-Khattab.

Setelah menyerahkan tulang goresan Umar kepada gabenor Mesir, datuk tua Yahudi itu semakin tidak faham. Dia semakin tak faham kerana gabenor Mesir dengan segera memerintahkan sesuatu yang di luar dugaan. “Bongkar dan runtuhkan masjid itu!” teriak Amr bin Ash dengan nada yang gementar. Wajah gabenor Mesir itu pucat, seperti dilanda satu situasi ketakutan yang amat dahsyat.

Yahudi itu segera berlari keluar dari isatana, menuju ke kawasan pondok usangnya bagi melihat akan kebenaran arahan gabenor tadi. Tepat sekali sebagaimana yang dijangkakan. Beberapa petugas sedang bersiap sedia menghancurkan masjid yang tersergam indah yang hampir siap dibina itu.

“Tunggu!” jerit orang tua Yahudi itu. “Maafkan saya tuan gabenor, tolong jelaskan kepada saya segala peristiwa yang pelik ini? Adakah ia berpunca daripada tulang itu? Apa keistimewaan tulang itu sehingga Tuan begitu nekad membuat keputusan membongkar semula bangunan yang amat mahal ini? Sesungguhnya saya benar-benar tak faham?” tanya orang tua itu bertalu-talu dengan nada yang penuh kehairanan.

Amr bin Ash memgang bahu datuk tua itu penuh mesra, “Wahai datuk, sebenarnya, tulang itu hanyalah tulang biasa, baunya juga busuk”.

“Tapi...” datuk tua itu cuba mencelah.

“ Namun, keran ia mengandungi perintah khalifah, maka tulang itu menjadi sangat bererti. Ketahuilah, tulang yang busuk itu adalah peringatan bahawa betapa pun tingginya kekuasaan seseorang ia akan kembali menjadi tulang yang busuk. Manakala huruf alif yang digores di atas tulang itu bermaksud kita mestilah berlaku adil sama ada ke atas (di kalangan pembesar) mahu pun ke bawah (di kalangan rakyat biasa). Lurus seperti huruf alif. Dan bila saya tidak mampu menegakkan keadilan, khalifah tidak akan teragak-agak untuk memenggal kepala saya!” jelas gabenor Mesir itu panjang lebar.

“Sesungguhnya, amat agung ajaran agama Tuan. Sungguh, saya rela menyerahkan tanah dan pondok usang saya itu. Dan bimbinglah saya dalam memahami ajaran Islam,” ujar orang Yahudi itu pasarah berserta linangan air mata yang tak tertahan.

Allahu Akbar!. Inilah Islam yang benar dan agung. Inilah antara deretan kisah sejarah dan keunikan pemerintahan Islam yang sedia mendengar rintihan dan keluhan walaupun ianya daripada seorang tua Yahudi!. Kita hendaklah sentiasa menegakkan keadilan tanpa memilih taraf dan agama. Lihatlah pula bagaimana pemerintah menerima teguran!. Sungguh mengharukan...tidak pernah berdendam atau bermusuhan. Menerima kebenaran dan segera membetulkan kesilapan tanpa berlengah atau ditangguhkan. Betapa kerendahan yang ada pada pemerintah- pemerintah teladan. Sehingga mampu menawan hati kufar yang asalnya ingin berlawan. Mengkagumkan!

Benarlah sebagaimana yang disabdakan oleh baginda Nabi Muhammad SAW, “... umat yang terbaik adalah semasa zamanku, kemudian selepasnya, serta berikutnya...”. (Amat besarlah kata-kata Rasulullah SAW)

Friday, November 28, 2008

Zulhijjah

Jika berminat untuk mendapatkan maklumat tentang Zulhijjah, sila berkunjung ke blog ini.

Wednesday, November 26, 2008

Hati-hati Muslimah! Anda dalam bahaya!

Semenjak menceburi dunia siber ini saya rasa semakin bertanggungjawab terutama apabila ingin menyiarkan artikel saya. Saya perlu bertanggungjawab terhadap setiap tulisan saya. Saya akan menyertakan sekali sumber atau rujukan saya terhadap sesebuah artikel yg ditulis. Jika rujukan saya itu ialah kitab maka saya akan tulis nama kitab dan pengarangnya. Jika sumber artikel saya itu laman web, maka saya akan sertakan alamatnya.

Kini, saya sudah tidak suka forward e-mail walaupun ianya mengandungi pelbagai maklumat. Ini kerana saya rasa bertanggungjawab untuk mengesahkan dahulu kebenaran setiap patah perkataannya. Saya juga tidak suka copy paste mesej-mesej yg melayang di alam siber ini. Tapi pada saat ini saya rasa tidak salah untuk saya abaikan dahulu sikap tidak suka saya untuk copy paste mesej-mesej yg berterbangan ini. Ada satu mesej yg saya berkenan. Saya agak yakin ianya dari Indonesia. Saya tidak kisah samada mesej ini sudah ketinggalan zaman atau masih dalam tempoh sah lakunya. Bahkan, andainya mesej ini tidak benar sekalipun, sesungguhnya ia mengandungi satu peringatan penting buat semua khasnya para muslimah! Anda dalam bahaya!

Saya copy paste mesej ini daripada lutfimj2006.blogspot.com . Mesejnya seperti berikut:

"penting untuk para akhwat! telah ditemukan beberapa website porno yang mengeksplitasi wajah2 muslimah, mulai dari istri aa gym hingga saskia mecca, bahkan banyak foto akhwat yang di download entah via friendster, multiply atau sejenisnya yang di edit dengan gambar gambar artis porno menjijikkan yang di ganti gambar kepalanya dengan foto foto akhwat tersebut seakan akhwat akhwat / wanita berjilbab itu sedang melakukan seks bebas dengan sembarang orang. maaf alamat situs tidak bisa di tulis takut menjadi lahan promosi gratis. PARA AKHWAT ATAU MUSLIMAH DIHARAPKAN BERHENTI MENAMPILKAN FOTO2 MEREKA ATAU KERABAT MEREKA UNTUK MENCEGAH DARI PENYALAGUNAAN TIDAK BERTANGGUNG JAWAB INI. Tolong sebarkan! ================="

:: Langkah berjaga-jaga
Jadi, untuk mengelakkan perkara ini melanda anda maka pastikan anda tidak meng'upload' foto-foto anda ke dalam laman-laman yg berkenaan dan yg sewaktu dengannya. Kalau anda ingin berkongsi gambar dengan rakan-rakan perempuan, maka 'private'kannya. Berkongsi dengan rakan-rakan lelaki? Tidak perlu! Saya tidak bersikap jumud bahkan saya yakin saya sedang berada di atas garisan wasatiyah. Lebih-lebih lagi jika foto tersebut dibiarkan beresolusi tinggi sehingga memenuhi skrin sebesar sekian-sekian inci. Sang buaya boleh mengintai sehingga ke liang roma anda.

Bagi saya, alam siber ini ibarat peti simpanan yg mengandungi bermacam-macam maklumat. Foto-foto anda tersimpan di dalam peti ini. Hakikatnya, foto-foto anda sedang berada di dalam 'peti simpanan' buaya-buaya dan sedang berada di dalam zon yg amat tidak selamat. 'Peti simpanan' yg tidak terkunci pula lebih mudah dibuka. Seolah-olah anda memberi izin untuk diperlakukan seenaknya. Jangan terlalu mudah memberi peluang kepada sang buaya. Bimbang dingappppnya!

Walaupun pahit untuk ditelan tapi inilah hakikatnya. Kita sedia maklum bahawa tiada yg mustahil di dunia teknologi ini. Kepala anda boleh terbang berpindah ke badan orang lain bahkan ke badan haiwan atau apa-apa sahaja! Semuanya boleh berlaku hanya dengan menggunakan jari-jemari dan kekreatifan akal yg disalahguna.

Tentang gambar-gambar lelaki pula saya kurang pasti. Adakah ia cukup berpotensi untuk dieksploitasi sebagaimana gambar-gambar wanita? Jadi fikirlah masak-masak sebelum pamerkan 'keaiban' anda kepada umum!

Ya Allah, selamatkanlah kami dari fitnah yg melanda ini! Aminnn... Ya Allah, saksikanlah sesungguhnya aku telah menyampaikan!

p/s: Seingat saya, isu foto yg dipamerkan untuk umum ini pernah dibincangkan di iluvislam.com

Sunday, November 23, 2008

Bas Dakwah: 14 peluk Islam di Amerika

14 warga Amerika memeluk Islam melalui iklan yg terpampang pada bas yg beroperasi sekitar Chicago. Iklan yg terpampang membawa mesej ringkas yg berbunyi "ISLAM" Got Questions? Get Answers!". Kempen dakwah ini bertujuan membetulkan salah faham dan memperkenalkan Islam secara lebih mendalam kepada warga Amerika yg sedang dihantui Islamophobia.

Projek dakwah (GainPeace) ini diusahakan oleh Islamic Circle of North America (ICNA). Kempen ini tidak dijalankan di Chicago sahaja, bahkan juga di Seattle dan New York. Pertubuhan ini mengeluarkan kos sebanyak $30 900 untuk meletakkan iklan pada 25 buah bas yg bergerak mengelilingi Chicago. Pada iklan tersebut diletakkan nombor talian bebas dan alamat website untuk menjawab sebarang persoalan berkaitan Islam.



Kita sedang menyaksikan dakwah Islam sedang berkembang pesat di negara-negara Barat. Bagaimana pula usaha dakwah di tanah air kita? Satu persoalan yg perlu dijawab bersama.






Sumber: World Bulletin

Thursday, November 20, 2008

Cara potong kuku

Memotong kuku merupakan sunnah Nabi Sollallahualaihiwasallam. Ia termasuk di dalam fitrah[1]. Sabda Rasulullah Sollahualahiwasallam:


عن أبي هريرة عن رسول الله صلى الله عليه وسلم أنه قال الفطرة خمس الاختتان والاستحداد وقص الشارب وتقليم الأظفار ونتف الإبط -رواه مسلم
Daripada Abu Hurairah Radiyallahuanhu, daripada Rasulullah Sollallahualaihiwasallam, Baginda bersabda "Fitrah itu lima: Berkhatan, mencukur bulu ari-ari, memotong misai, memotong kuku dan mencabut bulu ketiak." (Riwayat Muslim)

Sekarang saya ingin berkongsi cara memotong kuku sebagaimana yg diajar oleh para ulama. Saya akan menyatakan 3 cara untuk memotong kuku jari tangan dan 1 cara untuk memotong kuku jari kaki. Kalau anda menemui cara yg lain, silalah kongsikan bersama. Err, lebih tepat jika disebut tertib potong kuku.

:: Bilakah sunat memotong kuku?
Disunatkan memotong kuku pada hari Isnin, Khamis dan pagi Jumaat. Setelah selesai, disunatkan membasuh jari. Disunatkan memulakan dengan memotong kuku jari tangan terlebih dahulu sebelum kuku jari kaki.

:: Cara potong kuku jari tangan

Pertama: Di sisi Imam Ghazali
Mulakan dengan tangan kanan. Mulakan dengan memotong kuku jari telunjuk hingga kelingking. Biarkan dahulu ibu jari. Terus berpindah ke tangan kiri. Mulakan dengan jari kelingking hingga ke ibu jari tangan. Kemudian barulah potong kuku ibu jari tangan kanan. Nak senang, tengok gambar!


Kedua: Di sisi Imam Nawawi.
Imam Nawawi menyebut cara ini di dalam kitabnya, Syarah Sohih Muslim ketika mensyarahkan hadith yg tertulis di atas. Hadith tersebut berada di dalam Kitab Thoharoh di bawah Bab Khisal Al-Fitrah. Kalau ada masa, rujuklah.

Mulakan dengan tangan kanan. Mulakan dengan kuku jari telunjuk hingga ke kelingking. Kemudian ibu jari. Berpindah ke tangan kiri. Mulakan dengan kelingking hingga ibu jari. Tengok gambar.


Ketiga: Di sisi Imam Ahmad
Mulakan dengan tangan kanan. Gunakan kaedah 'خوابس '. Kemudian gunakan kaedah ' أوخسب ' untuk tangan kiri. Huruf-huruf ini ialah permulaan kepada nama jari-jemari dalam bahasa Arab. Jadi potong kuku anda berdasarkan susunan huruf-huruf ini.

Saya terjemahkan nama jari-jemari dalam bahasa Arab ini ke dalam bahasa Malaysia mengikut susunan daripada ibu jari hingga kelingking untuk memudahkan anda.
إبهام (ibham) : Ibu jari
سبابة (sabbabah) : Jari telunjuk

وسطى (wusto) : Jari tengah
بنصر (binsir) : Jari manis

خنصر (khinsir) : Jari kelingking
Kaedah خوابس untuk jari tangan kanan ertinya: Mulakan dengan jari kelingking, tengah, ibu jari, manis dan telunjuk. Maknanya anda selang-selikannya.

Kaedah أوخسب untuk jari tangan kiri ertinya: Mulakan dengan ibu jari, tengah, kelingking, telunjuk dan akhir sekali jari manis. Maknanya anda selang-selikannya juga. Nak mudah lagi terus tengok gambar!


Imam Ahmad menyatakan bahawa sunat menggunakan tertib ini berdasarkan sebuah hadith. Hadith itu ada disebut di dalam Kitab Al-Mughni, karangan Ibnu Qudamah. Hadithnya,
من قص أظافره مخالفا لم ير في عينيه رمدا
"Sesiapa yg memotong kukunya secara 'mukholifan' tidak akan diserang penyakit mata."

Makna 'mukholifan' ialah seperti tertib yg disebutkan di atas atau seumpamanya.

:: Cara potong kuku jari kaki

Sebagaimana yg diajar oleh Imam Nawawi di dalam Syarah Sohih Muslim, setelah selesai potong kuku jari tangan maka barulah potong kuku jari kaki. Cara yg disebut oleh Imam Nawawi ialah:

Mulakan dengan jari kelingking kanan hinggalah ke kelingking kiri. Straight je! Sama seperti teknik menyelat jari kaki ketika berwuduk.

Terima kasih kepada Rdhanz yg 'hias' sikit kaki ini. p/s: Ini bukan kaki saya.


Rujukan:
1-Syarah Sohih Muslim, karangan Imam Nawawi
2-At-Taqrirat As-Sadidah fil Masail Al-Mufidah, karangan Al-Habib Hasan Al-Kaf

Nota kaki:
[1] Menurut Imam Nawawi, jumlah fitrah tidak terhad kepada lima sahaja. Bahkan tidak terhad kepada sepuluh sebagaimana di dalam hadith yg lain.

Ulama khilaf tentang makna fitrah yg terdapat di dalam hadith ini dan yg sewaktu dengannya. Pendapat kebanyakan ulama, maknanya Sunnah. Bahkan disebut oleh sekumpulan ulama maknanya sunnah-sunnah para anbiya. Dikatakan: maknanya Ad-Din.

Blog Widget by LinkWithin