Thursday, December 18, 2008

Khilaf Ulama siri 2

Khilaf yg berlaku di kalangan ulama bukanlah suatu perkara yg memang disengajakan. Tapi didesak oleh faktor-faktor tertentu. Kesemua ulama cuba untuk mencari kebenaran semampu yg mungkin. Bahkan tiada ulama yg mendakwa pendapatnya merupakan wahyu yg diturunkan, yg wajib berpegang kepadanya hingga tiada pilihan kedua atau ketiga.

Bahkan mereka berkata, "Ini pendapatku, ianya betul (di sisiku) tapi kemungkinan juga salah. Sekiranya betul, maka ianya daripada Allah. Sekiranya salah, maka daripadaku dan daripada syaitan."

Oleh kerana kemungkinan salah dalam pendapat dan ijtihad mereka, maka mereka menghias diri mereka dengan adab-adab ikhtilaf. Walaupun begitu saya pernah berada di dalam sebuah masjid untuk solat Jumaat. Seusai solat Jumaat, didatangkan jenazah untuk disolatkan. Selesai solat, syeikh diajukan dengan beberapa soalan. Kalau tak silap saya, berkenaan solat qabliyyah jumaat dan mengangkat tangan ketika setiap takbir dalam solat jenazah. Maka, dalam keadaan tergesa-gesa dia menjawab dan mengakhiri kalamnya dengan berkata, "Apa yg aku katakan ini ialah Sunnah dan selainnya menyalahi Sunnah," Huh. Sakit hati juga. Apa yg dikatakannya itu telah menghentam mazhab-mazhab yg tidak sependapat dengannya. Seolah-olah pendapat mazhab-mazhab lain tidak berlandaskan Sunnah bahkan menyalahi Sunnah. Orang awam tentu terpinga-pinga!

Sebelum saya menulis tentang sebab-sebab berlakunya khilaf di kalangan ulama, saya nyatakan dahulu secara ringkas sebab-sebab berlaku khilaf di kalangan Sahabat dan Tabiin dalam masalah furu'(cabang). Ketika bersama Nabi Sollallahualaihiwasallam, para sahabat akan terus menemui Baginda untuk bertanya sesuatu masalah. Tetapi setelah kewafatan Baginda, maka mereka perlu menggali jawapannya daripada dua pusaka yg ditinggalkan oleh Baginda. Al-Quran dan As-Sunnah.

:: Sebab-sebab khilaf di kalangan Sahabat & Tabiin

1-Perbezaan dalam menghafaz nas-nas syara'.
Sahabat yg sentiasa bersama Nabi menghafaz lebih banyak hadith berbanding dengan yg lain. Ada sahabat yg hanya meriwayatkan sebuah dua hadith. Mungkin disebabkan kesibukan mereka berniaga di pasar atau berkebun di ladang untuk mencari rezeki yg halal. Maka, mereka tidak mampu untuk bersama Nabi di kebanyakan waktunya. Dengan erti kata lain, sejumlah hadith tidak sampai kepadanya.

Ada pula sahabat yg sentiasa melazimi Nabi di kebanyakan waktunya seperti Abu Hurairah sehingga dicatatkan sebagai sahabat yg paling banyak meriwayatkan hadith iaitu 5374 buah hadith.

2-Perbezaan dalam memahami nas-nas syara'.
Ada sahabat yg hanya mendengar hadith tanpa menghafaz lafaz-lafaznya lalu meriwayatkannya secara makna berdasarkan apa yg difahaminya. Ada pula sahabat yg kuat ingatannya dan bagus kefahamannya seperti Ibnu Abbas. Ada juga yg sederhana. Bahkan peringkat kefahaman mereka terhadap sesuatu nas samada Al-Quran atau Hadith berbeza. Maka fatwa yg dikeluarkan juga berbeza. Dikatakan lebih daripada 130 buah fatwa telah dikeluarkan oleh para sahabat(lelaki dan perempuan).

3-Keluasan daerah ijtihad.
Banyak kota-kota di Timur dan Barat dibuka setelah Islam berkuasa. Lalu berpusu-pusu yg memeluk Islam. Para sahabat berpindah ke sana ke sini menjadi 'duta'. Maka para sahabat mendapati adat dan muamalat di tempat itu berbeza dengan di Semenanjung Arab. Perkara-perkara baru yg berlaku memerlukan fatwa daripada sahabat. Lalu mereka berfatwa berdasarkan hafazan mereka dan kefahaman mereka dalam beristinbat. Sekiranya tiada dalam hafazannya, maka mereka akan berijtihad. Pintu ijtihad terbuka luas. Tapi ia hanya layak dimasuki oleh orang yg ahli.

Perbezaan pendapat yg berlaku di antara 'mazhab-mazhab' para sahabat membawa kepada perbezaan di kalangan Tabiin dan golongan selepas mereka. Lalu setiap ulama tabiin mempunyai mazhabnya yg tersendiri berdasarkan apa yg mereka peroleh daripada sahabat. Sehingga setiap tempat mempunyai Imamnya yg tersendiri. Contohnya:

  • Sa'id bin Al-Musayyib, 'Urwah bin Az-Zubair, Al-Qosim bin Muhammad dan selain mereka daripada Fuqoha' As-Sab'ah(Fuqoha' 7) memimpin ummah di Madinah. Asal mazhab mereka ialah fatwa-fatwa Umar, Uthman, Ibnu Umar, 'Aisyah, Ibnu Abbas. Sa'id bin Al-Musayyib seolah-olah lidah Fuqoha' Madinah. Beliau orang yg paling kuat hafazan terhadap hadith riwayat Abu Hurairah dan fatwa Umar di kalangan mereka.
  • 'Ato' ibn Abi Robah, Towus bin Kisan, Mujahid dan 'Ikrimah pula di Mekah.
  • Ibrahim An-Nakha'ie, As-Sya'bi, Syuraih Al-Qadhi dan selain mereka daripada murid Ibnu Mas'ud dan Ali di Kufah.
  • Hasan Al-Basri, Muhammad ibn Sirin, Muslim bin Yasar dan selain mereka daripada murid Abu Musa Al-Asyaari dan Anas bin Malik di Basrah.
  • Samak bin Al-Fadl, Hisyam bin Yusuf dan Abdul Razak di Yaman.
  • Makhul, Qobisoh ibn Zuaib Al-Khuzaie, Abu Idris Al-Khoulani dan selain mereka daripada murid Muaz bin Jabal, 'Ubadah bin As-Somit dan Abu Darda' di Syam.

Di Madinah As-Salam (Baghdad), telah terhimpun di sana sejumlah besar para ulama. Setelah Al-Mansur membinanya, fuqoha' dan muhaddithin menuju ke sana.

Rujukan:
-Maklumat Tahummuk, karangan Syeikh Nuruddin Al-Banjari
-Adab Al-Ikhtilafat Al-Fiqhiyyah, karangan Dr. Tolaat Muhammad 'Afifi

Wednesday, December 17, 2008

Khilaf Ulama siri 1

Isu khilafiah merupakan isu yg tidak pernah berkesudahan. Saya rasa terpanggil untuk menulis entri berkaitan isu ini. Ini sebagai bekal saya untuk persediaan masa hadapan dalam menghadapi serangan yg merugikan ummah ini. Saya akan menulis dengan berpandukan kitab-kitab sambil merujuk kepada peristiwa sebenar yg berlaku di sekeliling.

Kita telah menyaksikan natijah kejayaan musuh-musuh Islam meruntuhkan Khilafah Islamiyyah. Dengan kejatuhan sistem ini, maka negara-negara Islam menjadi lumpuh lalu tanah umat Islam yg asalnya ibarat satu negara yg bernaung di bawah Khilafah telah dipecah dan dibahagikan. Islam kembali menjadi asing di kalangan penganutnya sendiri.

Maka, wujud sekumpulan umat Islam yg berusaha untuk mengembalikan semula hubungan yg telah hilang di antara manusia dan ajaran Islam yg syumul. Kesan daripada usaha mereka yg diberkati itu, timbul kesedaran di kalangan individu di dalam masyarakat Muslim lalu menyeru manusia supaya kembali kepada Islam dan memartabatkan syariatnya di muka bumi ini.

Akan tetapi, kesedaran dan kebangkitan ini tidak pernah sunyi dari kekurangan. Terutamanya dalam masalah taasub kepada mazhab atau jemaah tertentu. Natijahnya, golongan yg mempunyai kesedaran ini yg sepatutnya menyibukkan diri dengan melawan musuh Islam disibukkan dengan saling menyalahkan, membidaahkan, bahkan mengkafirkan sesama sendiri. Jangan lupa bahawa satu ketika dahulu isu kafir mengkafir pernah menempah tempat di dalam masyarakat. Sebagai contoh, tuduhan kafir dan syirik dilontarkan kepada golongan yg membenarkan tawassul. Tawassul bukanlah isu akidah tapi salah satu masalah fiqh. Rujuklah Usul 20 yg ditulis oleh Imam Mursyid Hasan Al-Banna. Fahamilah.

Saya pernah berada di sebuah kedai buku. Lalu ternampak sebuah kitab kecil yg membicarakan hukum penggunaan biji tasbih dalam berzikir. Saya tiada mood untuk membelek-belek kitab itu, bahkan terus saya buka muka surat terakhir. Maka tertulis di situ bahawa kesimpulannya penggunaan tasbih itu bidaah yg direka dan tasyabbuh bil kuffar!(menyerupai kafir). Mudahnya menghukum sesuatu perkara. Orang putih sebut, "As easy as ABC."

Ilmu Islam yg agung menghamparkan pelbagai contoh perselisihan yg berlaku di kalangan imam-imam fuqoha'. Tetapi dalam masa yg sama, mereka amat hormat menghormati antara satu sama lain. Insya Allah saya akan menulis tentang faktor-faktor yg membawa kepada perselisihan di dalam ilmu fiqh. Saya juga akan menulis tentang adab-adab yg diamalkan oleh para ulama zaman berzaman. Saya akan cuba mengupas secara ringkas masalah taasub yg melanda umat Islam satu ketika dahulu dan pada zaman sekarang. Saya akan menulis tentang kesungguhan para ulama memerangi taasub yg memecahbelahkan perpaduan ummah. Saya juga akan mengupas tentang faedah yg dapat diambil daripada perselisihan yg berlaku.

Semoga Allah memberi kekuatan kepada saya untuk membincangkan topik panas ini. Amin.

Sunday, December 14, 2008

Kehilangan yg menggembirakan

Semua orang pernah hilang barang. Saya hilang kunci rumah. Entah di mana letaknya. Terpaksa menyusahkan kawan-kawan untuk membuka pintu rumah. Biasanya ia menghilang selama 2-3 hari sahaja, tapi sekarang dah mencecah minggu. Sedih rasanya. Syukri pula hilang kaca matanya. Teraba-raba mencari barang. Sedih rasanya. Terlalu seksa saya lihat keadaannya. Tak sanggup melihatnya.


Azizi juga hilang sesuatu. Tapi, langsung tak kelihatan sedih di raut wajahnya. Makin gembira pula. Satu kehilangan yg menggembirakan. Azizi hilang zaman bujangnya. Selepas ini dia tidak akan makan Megi lagi. Bahkan dilarang makan Megi bagi yg sudah berkahwin kerana ia hak orang-orang bujang. Jangan cerobohi hak kami. 

Tahniah saya ucapkan buat Ustaz Azizi dan Ustazah Nor Hura. Selamat menempuh alam perkahwinan. Semoga berbahagia hingga akhirat. Rasulullah mengajar supaya mengucapkan,
بارك الله لكما وبارك عليكما وجمع بينكما في خير 
kepada pasangan yg telah berkahwin. Kawan-kawan tumpang gembira dengan berita baik ini. Bahkan Nasir yg teramat girang dan gembira tersasul ketika menyebut ucapan di atas. Huhu. Bilakah saya akan ucapkan ucapan ini kepada Nasir agaknya ya?
p/s: Saya hilang mood untuk buat urusan kuliah dan urusan visa sejak 3 tahun lalu. Saya juga kehilangan Manan sejak 3 bulan lalu. Hari ini saya akan menemuinya kembali. Saya rindukan kelunakan suaranya mengalunkan Qasidah dan Burdah. 

Friday, December 12, 2008

Coretan 1429 H

1429 H hampir melabuhkan tirainya. 1430 H sedang menanti gilirannya untuk menjelma. Umurku semakin bertambah, tapi bagaimana pula dengan ilmu dan imanku? Masa yg berlalu tiada gantinya. Imam Ahmad pernah berkata bahawa perumpamaan waktu muda itu seperti sesuatu yg berada di dalam lengan baju, lalu terjatuh. Kehilangannya tidak disedari. Al-Imam Al-Mursyid Hasan Al-Banna pula berkata, "Waktu itu ialah kehidupan."

Masa berlari begitu pantas. Sedar-sedar umurku sudah mencecah lebih dua dekad. Beberapa negara telah ku teroka. Pengalaman demi pengalaman telah ku timba. Namun belum cukup untuk menghadapi dunia mencabar ini. Saya semakin memahami bahawa ilmu merupakan kunci utamanya.

Benar, ilmu itu kuncinya. Lebih-lebih lagi apabila ditemukan dengan pelajar-pelajar Perubatan dalam majlis muzakarah berkelompok. Seolah-olah saya sedang berada di medan sebenar. Saya sedang berhadapan dengan masyarakat yg tidak belajar agama secara mendalam. Sebelum ini, di keliling saya ialah golongan ustaz dan ustazah. Kerdil rasanya. Nak bercakap sepatah, terasa seperti orang dah tahu.

Lalu, Allah kurniakan saya lima orang doktor. Malek, Hashim, Zulkhairi, Fahmi dan Najmi. Bolehlah kami saling berkongsi ilmu. Beberapa ketika selepas itu, saya dikurniakan seorang lagi doktor. Anas namanya. Seorang yg berjiwa besar. Alhamdulillah, semuanya enam orang. Kehadiran mereka membantu saya menyihatkan rohani dan jasmani saya.

Terima kasih adik-adikku!

Islamic Greeting Card by Alhabib. Visit al-habib.tripod.com for more greeting cards like this!

Saturday, December 6, 2008

Islam agama keganasan?

Soalan 1: Mengapa Islam memerintahkan penganutnya supaya berperang?

Jawapan:

:: Surah Al-Baqarah, ayat 190 [2:190]

وَقَـٰتِلُواْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَـٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ

"Dan perangilah di jalan Allah akan orang-orang yg memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yg melampaui batas."
  • Islam hanya membenarkan untuk memerangi orang yg memerangi kami sahaja. Islam tidak membenarkan untuk membunuh orang awam. Jangan menghukum Islam berdasarkan perbuatan penganutnya yg tidak mengikut Islam. Sikap sebahagian penganutnya yg tidak patuh kepada ajaran Islam tidak menggambarkan kebatilan Islam kerana penganut agama Kristian juga tidak patuh kepada agama Kristian. Maka, Kristian juga akan dianggap batil jika kayu pengukur kesahihan atau kebatilan sesebuah agama ialah sikap penganutnya yg derhaka.
Entah mengapa saya amat sukakan gambar ini. Kredit kepada mzdu92's photostream di flickr.

Soalan 2: Mengapa Islam memaksa untuk memeluk Islam?

Jawapan:

:: Surah Al-Baqarah, ayat 256 [2:256]

لَآ إِكۡرَاهَ فِى ٱلدِّينِ‌ۖ

"Tiada paksaan dalam (menganut) agama Islam."

:: Surah Al-Kafirun, ayat 1-6 [109:1-6]

قُلۡ يَـٰٓأَيُّہَا ٱلۡڪَـٰفِرُونَ (١) لَآ أَعۡبُدُ مَا تَعۡبُدُونَ (٢) وَلَآ أَنتُمۡ عَـٰبِدُونَ مَآ أَعۡبُدُ (٣) وَلَآ أَنَا۟ عَابِدٌ۬ مَّا عَبَدتُّمۡ (٤) وَلَآ أَنتُمۡ عَـٰبِدُونَ مَآ أَعۡبُدُ (٥) لَكُمۡ دِينُكُمۡ وَلِىَ دِينِ (٦

"Katakanlah (Muhammad), "Wahai orang-orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yg kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah apa yg aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yg kamu sembah. Dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah apa yg aku sembah. Untukmu agamamu dan untukku agamaku."
  • Islam tidak memaksa sesiapapun untuk menganut Islam. "Tiada paksaan dalam agama" dan "Untukmu agamamu dan untukku agamaku" telah menjawab persoalan ini. Antara bukti terkini, Yvonne Ridley, bekas tawanan Taliban tidak pernah dipaksa memeluk Islam, bahkan beliau memeluknya dalam keadaan rela.

p/s: Kajilah Islam melalui sumbernya bukan melalui musuhnya.

Thursday, December 4, 2008

Kaitan antara Akidah dan Kerajaan

Baru-baru ini saya berbual dengan kawan-kawan tentang murtad. Apabila berbicara tentang isu ini, saya terkenang sebuah kisah penuh duka yg berlaku pada sekitar tahun 1950-an. Kisah Natrah, kisah yg menggambarkan tragedi perjuangan berdarah umat Islam ketika itu demi menyelamatkan akidah seorang muslimah yg ingin dimurtadkan. Malangnya, kisah Natrah kekal sebagai sejarah semata-mata. Tiada pengajaran yg diambil daripadanya.

:: Akidah binasa tanpa pembelaan
Pada hari ini kita menyaksikan puluhan bahkan ratusan ribu muslim telah murtad. Cuba renung, tragedi Natrah yg melibatkan seorang muslimah sahaja yg dimurtadkan telah cukup untuk menggelegakkan darah ummah ketika itu. Ada yg terkorban dan tidak sedikit yg cedera. Semata-mata untuk mempertahankan akidah seorang muslimah sahaja. Tragedi murtad pada hari ini pula melibatkan jumlah yg amat menakutkan, tapi darah ummah mengalir tenang. Ada pula mulut pemimpin yg cabul mendakwa jumlah sebenar yg murtad tidak sebagaimana yg digembar-gemburkan. Kasihannya orang ini. Bodoh atau buat-buat bodoh.

Mengapa tragedi Natrah sanggup mengorbankan sejumlah nyawa walaupun yg dimurtadkan hanya seorang? Kerana mereka faham bahawa krisis murtad bukan krisis bilangan. Tapi krisis nilai. Seberapa banyak pun yg dimurtadkan bukan persoalannnya. Persoalannya ialah akidah ummah tidak terjaga! Akidah ummah tergadai begitu murah. Apakah nilai sebuah akidah sebenarnya? Tidak ternilai...

Isu Natrah membangkitkan kemarahan masyarakat Islam ketika itu.

Tidak cukup dengan itu, ada pula yg memohon daripada Jabatan Pendaftaran Negara untuk membuang perkataan Islam yg tercatat pada kad pengenalannya. Kononnya untuk membuktikan kekafirannya secara rasmi. Hakikatnya, tersirat di sebaliknya satu penghinaan besar terhadap agama Islam. Oh, silap! Bukan penghinaan terhadap agama Islam tetapi penghinaan terhadap umat Islam. Islam tidak pernah hina, tapi penganutnya yg hina apabila meninggalkan akidah, syariat dan akhlaknya.

Tragedi begini tidak mustahil berlaku kepada sesiapa sahaja. Masyarakat Malaysia berada dalam ancaman terbesar yg pernah melanda mereka. Ancaman terhadap akidah umat. Generasi akan datang berada dalam bahaya yg amat sangat. Ancaman bunuh nyawa hanya melibatkan nyawa. Ia akan bangkit semula dengan jasadnya di akhirat kelak. Tapi ancaman bunuh akidah jauh lebih berbahaya. Sekiranya tidak diselamatkan, ia tidak akan bangkit sama sekali di akhirat kelak. Kerana akidah yg dibunuh ini telah mati buat selama-lamanya. Nauzubillah.

Seolah-olah tiada halangan atau sekatan untuk murtad. Malangnya, sekelompok manusia pada hari ini sibuk menumpukan persoalan cabang dalam agama sedangkan persoalan usulnya tidak terjaga. Bergaduh sesama sendiri. Musuh bersorak sambil bertepuk tangan. Cukuplah pecah belahkan ummah atas nama yg suci itu! Kita sedang diancam bahaya.

Sekelompok yg lain hanya pentingkan perut dan takhta. Islam yg dinginkan hanya yg selari dengan nafsu celaka. Talam bermuka-muka. Apabila bersama dengan para ulama dan golongan profesional, maka ilmu, Al-Quran dan Hadith yg dibentangkan. Apabila bersama dengan muda mudi yg gila hiburan, maka muzik dan seks yg ditawarkan. Apabila bersama dengan orang kampung, maka kain pelekat, RM dan janji yg ditaburkan. Apabila bersama dengan yg sekepala dengan mereka, maka projek dan rasuah yg disuakan.

Saya juga sedang menyalahkan diri sendiri. Apakah yg telah saya sumbangkan untuk ummah ini? Saya perlu mencari sebelum memberi.' فاقد الشيء لا يعطي ' Orang yg tiada apa-apa tidak boleh memberi. Apa yg ingin diberi? Diri sendiri fakir. Fakir ilmu, fakir akhlak, fakir amal, fakir harta.

:: Tanggungjawab Kerajaan memelihara agama
Ah, cukup! Saya sudah menyalahkan diri sendiri. Masa untuk menyalahkan orang lain pula. Dan memang layak pun mereka dipersalahkan. Siapakah yg bertanggungjawab memelihara akidah ummah? Pihak nombor satu yg perlu dipersalahkan ialah kerajaan! Tanpa saya menafikan tanggungjawab dan peranan pihak-pihak lain. Imam Ghazali telah menjawab persoalan ini dalam kitab beliau, Ihya' Ulumiddin dalam Bab Kedua, Kitab Al-'Ilm. (m/s 23, cetakan Darul Fikr, Beirut)

Imam Ghazali mengatakan,

Tulisan di dalam kurungan ialah matan kitab Ihya' Ulumiddin dan yg berada di luar kurungan ialah Ithaf Sadat Al-Muttaqin syarah kepada Ihya, karangan Imam Murtadha Az-Zabidi.

"Kerajaan dan agama itu ialah 2 kembar. Dan agama itu asal (asas), dan pemerintah itu pengawal. Dan apa yg tiada asal (asas) baginya, maka ia akan runtuh. Dan apa yg tiada pengawal baginya, maka ia akan hilang."

Sebelum itu, Imam Ghazali menyebut bahawa Faqih (ulama) merupakan mu'allim atau guru kepada pemimpin atau mursyid kepadanya dalam perkara politik. Di negara kita, para ulama digam kerana menegur kerajaan. Tidak kurang juga yg di'ISA'kan. Ada yg dihantar jauh dari kaum keluarga. Tujuan mereka semata-mata untuk menutup mulut yg mengkritik mereka. Maka siapakah lagi yg akan meluruskan perjalanan kerajaan apabila kerajaan terpesong?

Agama dan kerajaan tidak boleh terpisah. Kerajaan merupakan sebuah pasukan yg dipimpin oleh seorang ketua. Ketua inilah yg akan memelihara agama daripada diserang dari segenap penjuru. Dialah yg memberikan arahan dan perintah. Sekiranya dia mengabaikan tanggungjawab memelihara agama ini bermakna dia telah mengabaikan tanggungjawab utamanya. Pengawasan terhadap agama terabai dan terbiar kerana tiada lagi pengawal yg menjaganya. Maka, agama akan binasa. Akidah hancur. Syariat musnah. Akhlak punah. Masyarakat terumbang-ambing.

Sehinggalah Allah menggantikan mereka dengan golongan yg lain. Ciri-ciri mereka disebut oleh Allah di dalam Surah Al-Maidah, ayat 54:

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَن يَرۡتَدَّ مِنكُمۡ عَن دِينِهِۦ فَسَوۡفَ يَأۡتِى ٱللَّهُ بِقَوۡمٍ۬ يُحِبُّہُمۡ وَيُحِبُّونَهُ ۥۤ أَذِلَّةٍ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى ٱلۡكَـٰفِرِينَ يُجَـٰهِدُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوۡمَةَ لَآٮِٕمٍ۬‌ۚ ذَٲلِكَ فَضۡلُ ٱللَّهِ يُؤۡتِيهِ مَن يَشَآءُ‌ۚ وَٱللَّهُ وَٲسِعٌ عَلِيمٌ (٥٤
"Wahai orang-orang yg beriman, sesiapa di kalangan kamu yg murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan satu golongan yg Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai Allah, bersikap lemah lembut terhadap orang beriman, tegas terhadap orang kafir, berjihad di jalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang yg mencela. Itulah kurniaan Allah yg Dia kurniakan kepada sesiapa sahaja yg dikehendakiNya. Dan Allah itu Maha Luas (pemberianNya) lagi Maha Mengetahui." Surah Al-Maidah, ayat 54.

Walaupun Asbab Nuzul ayat ini berkaitan dengan apa yg berlaku di zaman Nabi Sollallahualaihiwasallam, tetapi para ulama mengajar kita bahawa,' العبرة بعموم اللفظ لا بخصوص السبب ' Pengajaran diambil berdasarkan lafaz yg umum dan bukan sebab yg khusus.

Maka , marilah sama-sama kita membentuk peribadi kita berdasarkan ciri-ciri yg disebut di dalam ayat di atas. Terdapat 6 ciri:
  • Mereka dicintai Allah.
  • Mereka mencintai Allah (dengan menjunjung perintahNya dan menjauhi larangannya)
  • Bersikap lemah lembut terhadap orang beriman (kasihan belas dan merendahkan diri sesama mereka)
  • Bersikap tegas terhadap orang kafir(yg memerangi mereka)
  • Berjuang di jalan Allah (untuk meninggikan kalimah Allah)
  • Tidak takut kepada celaan orang yg mencela (kerana thabatnya mereka di atas agama Islam)
Sifat-sifat ini merupakan pemberian daripada Allah terhadap sesiapa sahaja yg Dia kehendaki. Tetapi orang beriman wajib berusaha untuk memiliki sifat-sifat ini. Seterusnya, mereka akan menjadi golongan yg layak untuk mewarisi kekuasaan memakmurkan bumi ini.

:: Kesimpulan
Kerajaan pada hari ini dianggap tidak pernah serius dengan gejala murtad yg berleluasa. Ditambah pula dengan gejala sosial yg bermaharajalela. Konsert tajaan kerajaan terus mendapat sambutan. Masjid-masjid sunyi. Bak kata seorang ustaz, "Masjid tunggu jemaah, mikrofon tunggu bilal, sejadah tunggu pak imam."

Jadi apa sikap anda terhadap kerajaan sekarang? Biarkan generasi masa depan terbunuh akidahnya? Syariat entah ke mana. Akhlak pula lebih keji dari binatang. Renungkan sendiri kemudian bertindak.


Rujukan:
Ihya' Ulumiddin, karangan Imam Ghazali
Tafsir Al-Munir, karangan Dr. Wahbah Az-Zuhaili

Blog Widget by LinkWithin