Tuesday, June 23, 2009

Abu Ayyub Al-Ansari siri 1

"Saya ingin ke Turki", kata Doktor Azhan. Saya segera memberitahunya, "Jangan lupa ziarah Saidina Abu Ayyub Al-Ansari radiyallahuanhu!" Lalu, Azhan terus meminta saya menceritakan dengan lebih terperinci kepadanya kisah sahabat Rasulullah Sollallahualaihiwasallam yg mulia ini. Saya suarakan cadangan saya agar Azhan membacanya melalui blog hina ini. Saya mula membelek-belek kitab. Ketika sedang membaca sejarah hidup tokoh unggul ini, saya dipanggil oleh Budin untuk makan tengahari. Seusai makan, saya teruskan pembacaan. Saya sedang berusaha memenuhi permintaan sahabat seperjuangan saya, Azhan untuk menulis tentang seorang tokoh unggul ini. Khas untukmu wahai sahabat!

Abu Ayyub Al-Ansari radiyallahuanhu merupakan salah seorang sahabat Baginda yg amat rapat dengan Baginda. Nama sebenarnya ialah Khalid bin Zaid bin Kulaib. Beliau berasal dari Bani Najjar. Gelaran Al-Ansari yg diperolehnya ialah kerana nisbah kepada golongan Ansar. Beliau dikebumikan di Istanbul, Turki. Kisah kematiannya di sana amat unik sekali.

Sekumpulan muslim berdoa di hadapan makam Abu Ayyub Al-Ansari. Kredit kepada rigoletto di trekearth.com

Peristiwa hijrah yg bersejarah benar-benar mengubah hidupnya. Ketika tiba di Madinah, Baginda berjalan di tengah-tengah khalayak ramai yg telah sekian lama menanti ketibaannya. Hati mereka penuh dengan kerinduan dan kecintaan. Semua mahu Baginda berhenti di hadapan rumah mereka dan menjadi tetamu mereka. Pintu-pintu rumah dibiarkan terbuka. Unta yg ditunggang Baginda sampai di kediaman Bani Salim bin Auf. Mereka menyekat laluan unta semata-mata mengharapkan Baginda berhenti di situ dan menjadi tetamu mereka. Baginda berkata dengan lembut, sedang tangan mereka telah pun memegang tali unta, "Biarkan ia, sesungguhnya ia telah diperintahkan."

Unta tersebut melepasi satu demi satu kawasan di Madinah. Setiap kaum menyekat laluan unta dengan harapan Baginda turun dan menjadi tetamu mereka. Terukir di wajah Baginda senyuman lalu bersabda lagi, "Biarkan ia, sesungguhnya ia telah diperintahkan."

Akhirnya unta berhenti di satu kawasan lapang. Lalu duduk di hadapan kediaman Bani Malik bin An-Najjar itu. Baginda masih belum turun. Kemudian si unta bangkit kembali dan berpusing-pusing mengelilingi tempat itu sehinggalah ia kembali ke tempat asal tadi. Lalu, turunlah Baginda di tempat yg telah dipilih oleh Allah. Di tapak itulah akan dibina sebuah masjid. Di sampingnya akan dibina bilik-bilik untuk Baginda dan isteri-isterinya yg mulia.

Lalu, tampil seorang lelaki. Tapak perhentian unta taat itu telah ditakdirkan berada di kawasan depan rumahnya. Tampak jelas di wajahnya kegembiraan dan keceriaan. Beliau tampil lalu membawa barangan Baginda masuk ke rumahnya. Lalu, dijemput pula Baginda untuk masuk. Gembiranya lelaki itu bukan kepalang. Seolah-olahnya dia membawa masuk seluruh khazanah dunia ke rumahnya. Bahkan hakikatnya lebih daripada itu. Bahagianya lelaki itu bertetamukan kekasih Allah. Lelaki itu ialah Abu Ayyub Al-Ansari. Seorang pahlawan hebat, cucu kepada Malik bin An-Najjar.


Peristiwa Baiah Aqobah Kedua

Ketika delegasi dari Madinah pergi ke Mekah untuk berbaiah dengan Baginda, baiah yg diberkati yg terkenal dengan 'Baiah Aqobah Kedua', Abu Ayyub termasuk di kalangan 70 orang lelaki yg berjanji setia dengan Baginda.


Peristiwa di Rumah Abu Ayyub Al-Ansari

Rumah beliau dua tingkat. Beliau sengaja mengosongkan tingkat atas untuk dijadikan tempat penginapan Baginda. Namun, Baginda memilih untuk berada di tingkat bawah. Abu Ayyub Al-Ansari terpaksa akur. Apabila malam menjelang dan Baginda ingin masuk ke tempat tidur, Abu Ayyub dan isterinya naik ke tingkat atas. Lalu, barulah Abu Ayyub tersedar dan berpaling ke arah isterinya seraya berkata,

"Apa yg telah kita lakukan?! "

"Adakah Rasulullah berada lebih rendah dan kita lebih tinggi daripadanya? "

"Adakah kita berjalan di atas Rasulullah?! "

"Adakah kita berada di antara Rasulullah dan wahyu? Jika begitu, maka celakalah kita!!"

Maka, mereka tidak berjalan di bahagian tingkat atas yg selari dengan tempat tidur Baginda. Mereka tidak berjalan melainkan di kawasan tepi yg berjauhan daripada kawasan tengah yg selari dengan tempat tidur Baginda di tingkat bawah.

Pada paginya, Abu Ayyub mengadu kepada Baginda bahawa beliau tidak dapat tidur lena. Begitu juga si isteri. Lalu, beliau menceritakan, "Aku teringat bahawa aku berada di atas rumah, manakala engkau berada di bahagian bawah. Dan apabila aku bergerak, aku bimbang jika debu-debu berjatuhan ke atasmu lalu menyusahkanmu. Kemudian aku berjalan pula di antaramu dan di antara wahyu."

Baginda bersuara, "Bertenang wahai Abu Ayyub, sesungguhnya lebih baik bagi kami untuk berada di bawah, kerana ramainya orang yg menziarahi kami."

Abu Ayyub akur dengan perintah Baginda, sehinggalah tiba satu malam yg sejuk. Ketika di tingkat atas, bekas airnya pula pecah lalu airnya mengalir. Beliau dan isteri bersegera untuk mengelapnya. Mereka tidak punya kain lain melainkan sehelai kain yg digunakan sebagai selimut. Mereka menggunakannya juga bimbang-bimbang air tersebut mengalir terkena Baginda. Apabila pagi menjelang, beliau menceritakan apa yg berlaku dan memujuk Baginda supaya berpindah ke tingkat atas sehinggalah Baginda setuju. Abu Ayyub dan isteri pula turun ke bawah.

Baginda menetap di rumah Abu Ayyub selama lebih kurang 7 bulan sehinggalah siap pembinaan masjid. Baginda pun berpindah ke bilik-bilik sekitar masjid yg didirikan untuknya dan para isterinya, berjirankan keluarga mulia Abu Ayyub Al-Ansari.

Bersambung...


Rujukan:

-Suwar Min Hayat As-Sohabah karangan Dr. Abd Rahman Ra'fat Al-Basha
-Rijal Haula Ar-Rasul Sollallahualaihiwasallam karangan Al-Ustaz Khalid Muhammad Khalid

Bulan Rejab bakal tiba. Bersempena kedatangan bulan mulia ini, saya rasa cukup dengan tulisan saya untuk bulan Rejab tahun lalu, 'Bulan Rejab & Peristiwa Israk Mi'raj' siri 1 dan siri 2.


Bulan Rejab dan Peristiwa Israk Mi'raj siri 1

Kalendar umat Islam sebagaimana yg dinyatakan Al-Quran menetapkan dalam setahun terdapat 12 bulan. Pengiraannya berdasarkan pergerakan bulan dan bukan pergerakan matahari sebagaimana yg diamalkan oleh Ahli Kitab. Di antara bulan-bulan tersebut terdapat 4 bulan haram iaitu Zulqaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Firman Allah Taala,

إِنَّ عِدَّةَ ٱلشُّہُورِ عِندَ ٱللَّهِ ٱثۡنَا عَشَرَ شَہۡرً۬ا فِى ڪِتَـٰبِ ٱللَّهِ يَوۡمَ خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضَ مِنۡہَآ أَرۡبَعَةٌ حُرُمٌ۬‌ۚ ذَٲلِكَ ٱلدِّينُ ٱلۡقَيِّمُ‌ۚ فَلَا تَظۡلِمُواْ فِيہِنَّ أَنفُسَڪُمۡ‌ۚ وَقَـٰتِلُواْ ٱلۡمُشۡرِڪِينَ كَآفَّةً۬ ڪَمَا يُقَـٰتِلُونَكُمۡ ڪَآفَّةً۬‌ۚ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلۡمُتَّقِينَ -سورة التوبة الأية 36 

"Sesungguhnya jumlah bulan menurut Allah ialah 12 bulan, (sebagaimana) dalam ketetapan Allah pada waktu Dia menciptakan langit & bumi, di antaranya ada 4 bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yg lurus, maka janganlah kamu menzalimi dirimu dalam (bulan yg empat) itu, dan perangilah kaum musyrikin semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya. Dan ketahuilah bahawa Allah bersama orang-orang yg bertaqwa." Surah At-Taubah Ayat 36.


Bulan haram yg paling afdhal
Ulama berselisih pendapat dalam menentukan bulan manakah yg paling afdhal di antara bulan-bulan haram tersebut. Sebahagian Syafieyyah berpendapat bulan Rejab. Pendapat ini dikatakan lemah oleh Imam Nawawi. Imam Nawawi mentarjihkan pendapat Hasan Basri iaitu bulan Muharram. Pendapat Sa’id ibn Jubair ialah bulan Zulhijjah.

Sebab dinamakan bulan-bulan haram & sebab diharamkan
Dikatakan bahawa bulan-bulan ini dinamakan bulan-bulan haram ialah kerana kehormatannya yg besar dan besarnya dosa maksiat yg dilakukan di dalam bulan tersebut. Dikatakan juga kerana diharamkan berperang pada bulan tersebut. Dikatakan juga sebab bulan-bulan ini dipilih sebagai bulan-bulan haram adalah untuk membolehkan manusia mengerjakan umrah & haji pada bulan-bulan tersebut.

  • Bulan Zulqaedah: Kerana berlakunya perjalanan menuju ke Makkah untuk mengerjakan umrah & haji

  • Bulan Zulhijjah: Kerana berlakunya haji padanya.

  • Bulan Muharram: Supaya manusia pulang ke rumah mereka selepas mengerjakan haji dalam keadaan selamat & aman.

  • Bulan Rejab: Kerana manusia mengerjakan umrah pada bulan ini iaitu pada pertengahan tahun.Mereka yg tinggal berdekatan dengan Makkah akan mengerjakan umrah pada bulan ini.

Wujudnya bulan-bulan haram ini merupakan tradisi sejak zaman jahiliyyah lagi kemudian diteruskan oleh Islam.

Rejab

Bersempena bulan Rejab yg mulia ini, saya cuba untuk mengupas secebis maklumat tentang Rejab dan peristiwa bersejarah yg berlaku di dalamnya. Rejab diambil daripada perkataan رجب (tasydid atau sabdu di atas ج ) yg bermakna memuliakan atau mengagungkan. Maka, bulan Rejab dinamakan Rejab ialah kerana ia dimuliakan atau diagungkan oleh Allah. Terdapat ulama yg menyatakan nama-nama bulan Rejab iaitu sebanyak 14 nama. Sebahagian yg lain menyatakan 17 nama. Ulama berkata, bulan Rejab ialah bulan menanam, bulan Syaaban ialah bulan menyiram dan bulan Ramadhan ialah bulan menuai.


Solat Raghaib


Hadith-hadith yg diriwayatkan tentang kelebihan Solat Raghaib yg ditunaikan pada malam Jumaat pertama daripada bulan Rejab merupakan hadith-hadith maudu’. Jumhur ulama menyifatkan Solat Raghaib sebagai bidaah. Ianya wujud selepas tahun 400 Hijrah. Oleh sebab itu, ia tidak pernah dikenali oleh ulama sebelumnya maka mereka tidak pernah membicarakan tentangnya.


Puasa Rejab

Menurut Imam Ibn Rejab Al-Hanbali, tiada hadith shahih yg menyatakan secara khusus tentang kelebihan puasa di bulan Rejab. Tetapi terdapat hadith shahih yg menyatakan kelebihan puasa pada bulan-bulan haram dan Rejab adalah salah satu daripadanya. Antara hadith-hadith tersebut ialah,


أفضل الصيام بعد رمضان شهر الله الحرام وأفضل الصلاة بعد الفريضة صلاة الليل ~ رواه مسلم

“ Puasa yg paling afdhal selepas Ramadhan ialah puasa pada bulan-bulan haram, dan solat yg paling afdhal selepas solat fardhu ialah ialah solat malam.” Riwayat Muslim.


Bahkan, sebahagian salaf berpuasa pada keseluruhan bulan haram antaranya ialah Ibn Umar, Hasan Basri & Ibn Ishak As-Sabi’ey.

Anas bin Malik berkata apabila tiba bulan Rejab, Baginda Sollallahualaihiwasallam berdoa,

اللهم بارِكْ لنا في رجب وشعبان وبَلِّغْـنا رمضان

“Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab & Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan.” Walaupun sanad hadith ini dhaif tetapi sebagaimana yg disepakati oleh kebanyakan ulama, harus & sunat beramal dengan hadith dhaif selagimana tidak maudu’.



Israk Mi'raj

Antara peristiwa penting yg berlaku pada bulan Rejab ialah peristiwa bersejarah Israk Mi’raj. Ulama berselisih pendapat adakah Israk Mi’raj berlaku secara sedar atau mimpi?

Mereka terbahagi kepada beberapa kumpulan:
  • Ulama salaf terbahagi kepada 2 kumpulan. Terdapat salaf yg menyatakan ia berlaku secara sedar.
  • Terdapat salaf yg menyatakan secara mimpi.
  • Sebahagian ulama antaranya, Abu Bakar ibn Al-‘Arabi. Beliau telah membenarkan kedua-dua pendapat salaf dengan menyatakan peristiwa Israk Mi’raj berlaku 2 kali. Pendapat ini ialah hasil gabungan sejumlah hadith yg merakamkan peristiwa bersejarah ini. Kali pertama secara mimpi sebagai persediaan kepada Nabi Sollallahualaihiwasallam untuk memudahkan baginda menghadapi perjalanan sebenar kerana perjalanan ini merupakan perjalanan yg cukup mencabar. Israk Mi’raj yg kedua pula secara sedar.
  • Terdapat ulama yg menyatakan Israk ke Baitul Maqdis berlaku secara sedar dengan jasadnya manakala Mi’raj menembusi 7 petala langit pula berlaku dengan ruhnya sahaja.

Jumhur ulama berpendapat Isra’ Mi’raj berlaku hanya sekali iaitu pada waktu malam, secara ruh dan jasad dan secara sedar. Ulama juga sepakat bahawa ibadat Solat difardhukan pada malam Mi’raj.

Imam Nawawi mentarjihkan bahawa Israk Mi’raj berlaku pada malam 27 Rejab. Pendapat ini juga dipegang oleh Ibnul Athir dan Imam Rafie’…bersambung…


Rujukan:
Lathoiful Ma'arif, karangan Imam Ibn Rejab Al-Hanbali
Dhous-Siraj fi fadli Rejab wa Qissatil Mi'raj, karangan Syeikh Muhammad Amin Al-Kurdi
Maqolat Al-Kauthari, himpunan tulisan Imam Muhammad Zahid Al-Kauthari

_______________________________


Bulan Rejab dan Peristiwa Israk Mi'raj siri 2

Israk Mi'raj merupakan kisah yg telah masyhur sebutannya. Sebut sahaja 'Israk Mi'raj', insya Allah ramai orang Islam yg punya pengetahuan umum tentangnya. Saya tidak berniat untuk mengupas peristiwa Israk Mi'raj secara terperinci dari A hingga Z. Saya juga tidak punya ilmu sehebat itu. Cuma sekadar untuk cuba menyatakan sudut-sudut yg tertentu daripada peristiwa unik ini.

Jumhur ulama berpendapat bahawa Israk Mi'raj berlaku pada satu malam, secara ruh & jasad, dalam keadaan sedar. Andainya Israk Mi'raj hanyalah sebuah mimpi maka Rasulullah Sollallahualaihiwasallam tidak akan ditentang hebat & dihentam teruk oleh Musyrikin Makkah. Tetapi andainya bukan mimpi, maka ini dianggap mengundang kutukan dan cercaan daripada masyarakat sekeliling.



:: Hujjah menolak pendapat Isra' Mikraj berlaku secara ruh dan mimpi sahaja, bukan secara ruh dan jasad dan dalam keadaan sedar:

Hadith riwayat 'Aisyah yg menyatakan bahawa 'Tidak hilang jasad Rasulullah akan tetapi baginda diisra'kan dengan ruhnya' adalah hadith yg tidak thabit. Begitu juga halnya dengan hadith riwayat Muawiyah yg menyatakan bahawa 'Al-Isra' ialah Ru'ya Sodiqah(mimpi yg benar)' merupakan hadith yg tidak thabit kerana terputus sanad.

Adapun tentang ayat 60 Surah Al-Isra':

وَمَا جَعَلۡنَا ٱلرُّءۡيَا ٱلَّتِىٓ أَرَيۡنَـٰكَ إِلَّا فِتۡنَةً۬ لِّلنَّاسِ

"Dan Kami tidak menjadikan Ar-Ru'ya yg telah kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai ujian kepada manusia"

Pendapat Ibnu Abbas sebagaimana yg diriwayatkan oleh Imam Bukhari mentafsirkan kalimah Ar-Ru'ya dalam ayat di atas ialah penglihatan. Maksudnya, penglihatan yg dialami oleh Rasulullah pada malam Isra' Mikraj. [1] Kalaulah Ar-Ru'ya itu dengan makna mimpi maka sudah tentu kejadian ini tidak akan diingkari seteruk-teruknya oleh orang kafir ketika itu.

Maka telah jelas lagi bersuluh bahawa Isra' Mikraj itu berlaku secara sedar dalam keadaan ruh dan jasad sebagaimana pendapat jumhur ulama.

:: Perhimpunan agung
Perhimpunan para nabi dan rasul 'alahimussalam pada malam yg bersejarah itu membuktikan kesatuan akidah & iman para nabi dan rasul 'alahimussalam. Pertemuan Rasulullah Sollallahualaihiwasallam dengan para nabi & rasul 'alaihimussalam pada malam itu merupakan pertemuan rohani & Taaruf maknawi di antara para utusan Allah. Sekaligus memperkenalkan kepada mereka kedudukan Rasulullah Sollallahualaihiwasallam di sisi Allah. Solat yg didirikan pada malam itu yg diimamkan oleh Rasulullah Sollallahualaihiwasallam dan diikuti oleh sekalian nabi itu membuktikan kepimpinan Rasulullah terhadap seluruh nabi bahkan seluruh makhluk!

:: Hikmah Mi'raj berlaku dari Masjidil Aqsa bukan Masjidil Haram
Hikmah berlakunya Mi'raj iaitu naiknya Rasululullah Sollallahualaihiwasallam ke langit bermula dari Masjidil Aqsa dan bukan dari Masjidil Haram ialah untuk membuktikan kebenaran kerasulan Rasulullah Sollallahualaihiwasallam apabila mampu menjawab tentang struktur Masjidil Aqsa di Palestin yg disoal oleh Musyrikin Makkah. Allah menguatkan lagi hujjah kerasulan baginda dengan menjelmakan Masjidil Aqsa di hadapan baginda lalu dengan mudah baginda menjawab setiap soalan yg dikemukakan itu. Maka akibat tetap berdegil dan taasub terhadap agama nenek moyang, telah terbongkar dengan jelas kekufuran mereka walaupun setiap soalan yg dilontarkan berjaya dijawab dengan tepat oleh Rasulullah Sollallahualaihiwasallam. Inilah mukjizat yg telah dikurniakan Allah kepada RasulNya!

Bahkan peristiwa Mi'raj merupakan isyarat bahawa Masjidil Aqsa satu ketika nanti akan dicabuli kehormatannya dan ummat Islam wajib mempertahankannya kerana ia merupakan kiblat pertama & lokasi Mi'raj Rasulullah Sollahualaihiwasalam.

:: Isra' Mikraj: Mukjizat atau Khususiyyat?
Kesan daripada isu hangat yg melanda penduduk Makkah ini, maka berlakulah kes murtad di kalangan umat Islam yg masih daif imannya. Dari sudut yg berlainan, makin bertambah iman sebahagian yg lain. Oleh itu, sebahagian ulama tidak menganggap peristiwa Isra' Mikraj ini sebagai mukjizat tapi menyenaraikannya dalam kategori Khususiyyat Rasul iaitu perkara yg hanya dikurniakan kepada Rasulullah Sollallahualaihiwasallam sahaja. Hujjah mereka ialah mukjizat sepatutnya melemahkan dan menundukkan orang kafir tapi peristiwa ini pula sebaliknya. Menurut mereka, peristiwa ini sebenarnya lebih bersifat ujian dan fitnah terhadap manusia ketika itu.

Orang yg paling bersungguh membenarkan kejadian yg mustahil saat itu ialah Sayyiduna Abu Bakar As-Siddiq Radiyallahu'anhu. Dengan sikapnya itu, beliau telah mendapat gelaran As-Siddiq. Kesimpulannya, Isra' Mikraj merupakan mukjizat & khususiyyat. Dan ini sekaligus meraikan pendapat kedua-dua belah pihak.

:: Soalan Akidah berkaitan Isra' Mikraj:
  1. Adakah perisitwa Mikraj menunjukkan Allah berada di langit?
  2. Adakah Mikraj ke langit untuk mendekatkan Rasulullah Sollallahualaihiwasallam kepada Allah, dengan hujjah Allah itu di langit?
Sebahagian manusia telah berhujjah dengan menyatakan Allah itu di langit berdasarkan perisitiwa Isra' Mikraj.

:: Jawapan:
  1. Tidak!!! Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah menyatakan bahawa Allah tidak bertempat. Belajarlah dengan alim ulama yg pakar dalam ilmu akidah. Belajar secara berguru dan lebih elok berkitab. Jangan jadikan kitab sebagai guru. Dan internet bukan madrasah untuk belajar Ma'rifatullah dengan serius!
  2. Mikraj bukanlah untuk mendekatkan Rasulullah Sollallahualaihiwasallam kepada Allah dengan hujjah semakin tinggi Rasulullah Sollallahualaihiwasallam diangkat, semakin hampir baginda kepada Allah. Kerana untuk mendekatkan diri kepada Allah bukanlah dengan mendekatkan jarak.
Antara dalilnya:

1-Ayat 19, Surah Al'Alaq:

وَٱسۡجُدۡ وَٱقۡتَرِب

"Dan sujudlah serta dekatkanlah (dirimu kepada Allah)"


2-Hadith:
أقرب ما يكون العبد من ربه وهو ساجد

" Paling hampir sesorang hamba itu dengan tuhannya dalam keadaan dia sujud"


3-Hadith:

لا تفضلوني على يونس بن متى

" Janganlah kamu melebih-lebihkan aku melebihi Yunus bin Matta".

Ini ialah di antara hujjah Imam Haramain yg menyatakan bahawa Allah suci daripada bertempat. Wajah pendalilan yg digunakan oleh Imam Haramain ialah bahawa ketika Rasulullah Sollallahualaihiwasallam tiba di Sidratul Muntaha tidaklah baginda lebih hampir kepada Allah melebihi hampirnya Nabi Yunus kepada Allah ketika munajat di dalam perut Ikan Hut dengan alasan yg salah iaitu lokasi Rasulullah lebih hampir kerana baginda dia atas langit.

Oleh sebab itulah Rasulullah Sollallahualaihiwasallam bersabda supaya janganlah melebih-lebihkan baginda melebihi Nabi Yunus dari segi hampirnya kepada Allah dalam situasi tersebut kerana kononnya jarak baginda lebih hampir dengan Allah kerana baginda berada tinggi di atas langit. Fahamilah, sesungguhnya hampirnya seseorang kepada Allah tidak melibatkan jarak kerana Allah suci dari bertempat. Tempat & jarak merupakan sifat makhluk dan tidak layak bagi Khaliq!




Nota kaki:
[1] Menurut sebahagian ulama tafsir, kalimah Ar-Ru'ya dalam ayat tersebut bermaksud mimpi tentang Perang Badar yg dialami oleh Rasulullah sebelum perang itu terjadi.


Rujukan:
Lathoiful Ma'arif, karangan Imam Ibn Rejab Al-Hanbali
Dhous-Siraj fi fadli Rejab wa Qissatil Mi'raj, karangan Syeikh Muhammad Amin Al-Kurdi
Maqolat Al-Kauthari, himpunan tulisan Imam Muhammad Zahid Al-Kauthari
Syaamil Al-Quran(terjemahan Al-Quran)


p/s: Entri 'Jangan hina ulama' siri akhir terpaksa saya tangguhkan.
Doktor Azhan, jangan marah ya! Saya sedang usaha untuk siapkan entri khas untuk anda sekarang :)

Tuesday, June 16, 2009

Jangan hina ulama | siri 2

Tulisan saya yg difokuskan kepada ulama bukanlah bertujuan untuk memisah-misahkan ulama dan profesional. Cuma bertujuan mengembalikan semula kedudukan ulama yg semakin terhakis dewasa ini. Penghinaan ke atas ulama semakin menjadi-jadi. Ada yg menghina secara sedar dan sengaja. Jelas, ia tindakan musuh Islam untuk mencemarkan ikon agama Islam yg suci ini. Ada juga yg menghina secara tidak disedari dan tidak disengajakan. Emosi yg meracau-racau akhirnya diterjemahkan ke dalam bentuk perkataan atau penulisan. Maka, lahirlah kata-kata atau tulisan yg tidak enak untuk didengar atau dibaca. Ditambah pula dengan penghinaan ke atas makhluk mulia yg pernah tercipta, Sayyiduna Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam. Sesungguhnya, dunia di ambang kehancuran...

Bentuk-bentuk penghinaan terhadap ulama:

Di Mesir, akhbar-akhbar dan majalah-majalah digunakan untuk menghina dan merendah-rendahkan golongan ulama. Para ulama dijadikan bahan ketawa dan sindiran. Antaranya:
Seorang yg celaka telah melukis karikatur seorang ulama yg sedang menaiki seekor keldai dalam keadaan terbalik. Kepala keldai berada di bahagian belakangnya, manakala punggung keldai berada di bahagian hadapannya. Serbannya pula jatuh ke tanah. Ini semua sebagai isyarat kepada kemunduran dan kejumudan ulama berdasarkan akal pendeknya.

Pelbagai cara digunakan untuk menghentam para ulama sehingga sanggup mereka-reka cerita dan mentohmah ulama dengan tujuan untuk menjauhkan masyarakat daripada ulama. Antaranya:
Tuduhan palsu terhadap Sayyid Qutb rahimahullah yg kononnya tidak mengotakan apa yg diseru olehnya sendiri. Kononnya, Sayyid Qutb rahimahullah telah membiarkan anak-anak perempuannya berhias-hias dan bersolek. Anak-anak perempuannya sering berulang alik ke kelab-kelab malam dan bergaul bebas dengan lelaki. Akhirnya, Allah membongkar pembohongan licik mereka apabila diketahui bahawa Sayyid Qutb rahimahullah tidak pernah pun berkahwin! Masakan mempunyai anak-anak?!

Sayyid Qutb ketika di penjara Mesir.

Tv dan panggung wayang turut menyumbang ke arah fitnah ini. Terdapat drama dan filem yg mempamerkan pelakon yg kononnya seorang ulama berserban putih tetapi melakonkan watak jenaka seperti seorang yg bodoh. Anehnya, tidak pernah pula dilihat perkara sebegini berlaku kepada tokoh agama Kristian atau Yahudi?!

Itu cerita di Mesir. Bagaimana pula dengan bumi tercinta? Dua kali lima, lima kali dua. Baca 'Kenyataan Mencabar Islam Serta Menghina Rasulullah dan Ulama' dalam petikan Memo Kepada Majlis Raja-Raja Melayu, 'Islam Dicabar, Rasulullah Sollallahualaihiwasallam dan Ulama Dihina' oleh Persatuan Ulama Malaysia (PUM). Antara kenyataan-kenyataan biadap yg menghina ulama ialah:

3.0 MENGHINA MUFTI DAN ULAMA'

"Perhaps the turbans of the mufti are too tight and therefore not enough oxygen is getting into their brains. They are not thinking straight."
("...Mungkin serban mufti-mufti terlalu ketat dan sebab itu tidak cukup oksigen masuk ke dalam otak mereka. Mereka tidak berfikran waras")

"make fatwa which most of the people, including other ulama and mufti, do not follow"
(membuat fatwa yang mana kebanyakan orang, termasuk ulama dan mufti lain, tidak ikuti)

"many ulama themselves are perveyours of...pagan practices"
(ramai dari ulama sendiri penjual amalan jahiliyah)

"the ulama themselves are incapable of intelligent thought"
(ulama sendiri tidak mampu berfikir dengan cerdik)

["Now The Mufti Blame Hindi Films", Akbar Ali - The Sun, 21 Februari 2001]

Isu Unity Government dan Adab

Semenjak isu Unity Government dipergunakan media, fitnah dan tohmah semakin bermaharajalela. Saya rasa semua setuju jika dikatakan Tuan Guru Presiden ialah ulama. Sekarang, ulama ini dihina. Mereka yg tidak sependapat dengan Tuan Guru Presiden menghentam beliau semahu-mahunya. Blogger juga penyumbang besar ke arah suburnya fitnah ini. Saya percaya hampir keseluruhan tulisan yg mengutuk beliau datangnya daripada blog-blog talibarut UMNO. Perkataan bodoh, celaka bahkan gelaran lembu dan laknat ditujukan kepada para ulama yg kononnya jahat di mata mereka. Saya bimbang di kala fitnah sedang marak menyala, ahli-ahli PAS jadi kurang marah kepada tulisan-tulisan durjana ini.


Tapi, yg lebih menyedihkan ialah ada juga tulisan sebegini datang daripada ahli-ahli gerakan sendiri semata-mata kerana tidak sekepala dengan Tuan Guru Presiden. Tuan Guru dituduh berbohong. Saya kira, tuduhan sebegini tersangat berat untuk dilontarkan kepada tokoh sehebat beliau. Saya tidak mendewakan beliau. Beliau layak untuk betul dan layak untuk salah. Tapi mengapa bersikap menyerang bahkan mengetepikan adab dan etika sebagai seorang muslim lebih-lebih lagi sebagai seorang ahli gerakan Islam?! Ini bukan soal Unity Government, ini soal adab dan akhlak. Kalau anda tidak sependapat dengannya sekalipun, sila jaga adab-adab anda. Jika anda sokong pendapat Tuan Guru Nik Aziz, maka hormatilah juga pendapat Tuan Guru Haji Hadi. Bukankah kedua-duanya tuan guru? Ayuh, kita kembali bersatu! Saya tegaskan, kita bersatu atas nama adab dan akhlak! Saya tidak menulis atas kapasiti penyokong Gagasan Unity Government mahupun penentangnya. Anggap saja saya neutral :)

Ikuti sambungan seterusnya...

Ulama dimaki hamun dan dihina. Mungkin ramai yg tertanya-tanya apakah maksud ulama yg saya nyatakan di sini. Yang saya maksudkan ialah ulama dalam bidang ilmu agama. Dalam masa yg sama saya juga setuju dengan penggunaan istilah ulama kepada mereka yg pakar dalam disiplin ilmu yg lain. Cuma istilah ulama biasanya digunakan secara meluas untuk mereka yg pakar ilmu agama. Ulama dengan maksud inilah yg menjadi elemen penting dalam topik perbincangan saya.

Gambar hiasan: Tiada bayi yg hina ulama.

Jadi, siapakah ulama ini? Adakah mereka yg mempunyai sijil BA, MA mahupun PhD dalam bidang pengajian Islam? Bagaimana pula dengan tok-tok guru lepasan pondok yg jauh lebih mendalam pengajiannya serta tidak terhad kepada silibus-silibus seperti di kebanyakan pusat pengajian tinggi? Bagaimana pula dengan pakcik-pakcik yg tidak pernah miss menghadiri siri-siri kuliah di masjid? Bagaimana pula dengan mereka yg menyelami dunia ilmu sekadar melalui pembacaan? Siapakah ulama? Kadang-kadang dari sudut tutur kata seseorang pun sudah boleh diukur tahap keilmuannya. Sebenarnya, saya tidak mahu bincangkan kayu ukur yg digunakan untuk menilai tahap keilmuan seseorang. Anda cari dan baca di tempat lain.

Saya ingin menulis tentang penghinaan demi penghinaan yg telah dilakukan terhadap ulama pewaris anbiya'. Siapakah ulama? Sekali lagi saya nyatakan, "Anda cari sendiri!" Saya tidak berniat untuk memanjangkan entri kali ini. Saya punya banyak agenda yg tertunda (meminjam kata-kata Dr. Mashitah, yg baik kita terima).

Ulama mengajar kita supaya menunaikan hak setiap sesuatu. Sekarang, saya ingin menunaikan sebahagian hak untuk jasmani. Saya ingin sepak bola sebagai senaman untuk kaki. Hmmm, kemenangan tipis Brazil ke atas Mesir semalam agak menganggu emosi saya. Bagaimana saya ingin berhadapan dengan komen dan pujian melampau sebahagian rakyat Mesir yg gila bola? Huh!

Friday, June 12, 2009

Apabila musibah melanda...

Musibah demi musibah datang menimpa. Yang terbaru, kemalangan yg melibatkan lima orang pelajar Perubatan di Mesir. Salah seorang daripada mereka telah kembali ke Rahmatullah. Innalillah... Saya tak mahu tulis panjang tentang ini. Saya sedih. Anda boleh baca di sini dan di sini.

~Takziah saya ucapkan kepada keluarga dan rakan-rakan mangsa yg terlibat.


Musibah lain ialah konflik antara Indonesia dan Malaysia merebut Pulau Ambalat. Demi mempertahankan Pulau Ambalat, Indonesia rela berperang. Indonesia seolah-olah tidak teragak-agak untuk mengerahkan tenteranya menyerang Malaysia jika rundingan dengan Malaysia tidak membuahkan hasil yg baik. Isu Ambalat dipanaskan lagi dengan isu-isu hangat sebelum ini seperti isu Manohara, amah didera dan Malaysia curi budaya Indonesia. Malaysia... Malaysia... Memalukan.

Gara-gara marahkan Malaysia. Malaysia pun satu. Huh!

Ambalat adalah blok laut seluas 15,235 kilometer persegi yang terletak di Laut Sulawesi atau Selat Makassar. Isu Ambalat timbul berpunca daripada salah faham lantaran tiada kejelasan garis sempadan di kawasan tuntutan bertindih oleh Malaysia-Indonesia. Perairan Ambalat kaya dengan minyak dan gas. Oleh sebab itu, kedua-dua negara tidak akan mudah mengalah untuk 'menyedekahkan' hasil kekayaan bumi itu kepada jirannya.

~Jika Ambalat milik saya, saya akan sedekahkan hasil kekayaannya kepada Palestin.


Musibah lain ialah berlakunya pertembungan antara dua blok dalam PAS. Dan yg penting untuk difahami, dua blok ini bukan blok profesional dan blok ulama. Saya yakin dua blok ini mampu diruntuhkan melalui perbincangan dan toleransi. Secara ringkasnya, dua blok ini wujud kesan daripada perselisihan faham tentang Gagasan 'Unity Government' yg kemudiannya membawa kepada terwujudnya dua pasukan. Dan setiap pasukan masing-masing diwakili oleh golongan profesional dan ulama. Saya lihat isu ini semakin dipergunakan media. Kenyataan-kenyataan yg disiarkan sering menghangatkan semula isu yg kian sejuk. Sepatutnya, sebagaimana kata Timbalan Presiden, Ust Nasarudin, waktu selepas muktamar ialah waktu untuk merapatkan saf.


Pertembungan ini juga mewujudkan beberapa suasana yg tidak sihat di kalangan ahli PAS. Sikap biadap dan tidak menghormati ulama kian menular. Jari-jemari yg menaip tidak lagi kenal siapakah ulama dan tok-tok guru. Asalkan mereka tidak sependapat dengan dirinya, maka berhamburlah kutukan, tohmahan, cercaan dan fitnah yg ditujukan kepada mereka. Jelas, masih ramai yg buta adab. Blogger-blogger (bukan semua) merupakan penyumbang utama ke arah bahana fitnah ini. Malangnya, ada juga ustaz yg tidak melepaskan peluang menyertai acara kutuk-mengutuk ulama dan rakan-rakan seangkatan mereka. Adab telah mati.

Ya Allah satukanlah hati-hati pejuang Islam! Amiinn...

~Saya bersama Presiden dan Mursyidul Am ??!! Kerana kedua-duanya sepakat tidak akan bergabung dengan UMNO. Media, anda jawab di akhirat!


Terlalu banyak musibah yg melanda. Tetapi saya percaya kepada kata-kata ini,
رُبَّ ضارّة نافعة

"Boleh jadi perkara yg memudaratkan itu bermanfaat."
Mudarat secara tersurat tetapi manfaat secara tersirat. Contohnya mudah. Abu berjanji akan menghantar Mat, rakan sekampungnya ke airport untuk penerbangan jam 3 petang. Malangnya, Abu tertidur. Mat pula tiada pengangkutan lain untuk ke sana. Maka, Mat terlepas penerbangan. Marah betul si Mat kepada si Abu. Lalu, Mat buka tv. Berita terkini melaporkan pesawat bagi penerbangan jam 3 petang tadi terhempas. Syukur. Nasib baik Mat terlepas kapal terbang. Nasib baik Abu tertidur.


Apabila musibah datang melanda, maka ucaplah Istirja' :
إنا لله وإنا إليه راجعون

"Sesungguhnya kita milik Allah dan kepadaNya kita kembali."

Ramai yg beranggapan Istirja' hanya diucapkan ketika berlaku kematian. Ini merupakan satu pemahaman yg salah dan perlu diperbetulkan. Pemahaman yg betul ialah, setiap musibah yg melanda, kita ucapkan Istirja'.

Ketahuilah, tiada ungkapan yg paling afdhal untuk diucapkan apabila ditimpa musibah melainkan Istirja'. Imam Said bin Jubair rahimahullah berkata, lafaz Istirja' merupakan khususiyyat yg hanya dikurniakan kepada Nabi Muhammad Sollallahualaihiwasallam sahaja. Ia tidak pernah dikurniakan kepada Nabi-nabi lain sebelumnya. Beruntungnya kita menjadi ummat Baginda.

Tuesday, June 9, 2009

Islam di mata rakyat Amerika

Kehadiran Obama ke Negara-negara Arab tidak menyenangkan sebahagian rakyat Amerika. Obama kononnya berusaha untuk memperbaiki imej Amerika di kaca mata dunia Islam, akan tetapi apa pula reaksi rakyat Amerika terhadap umat Islam? Statistik terbaru yg disiarkan Al-Jazeera menunjukkan masih ramai penduduk Amerika mempunyai pandangan yg negatif terhadap negara-negara umat Islam. Hasil undian yg dibuat oleh CNN/Opinion Research Corporation menunjukkan 46 peratus responden berpandangan negatif terhadap negara-negara umat Islam. Ini menunjukkan berlakunya pertambahan sebanyak 5 peratus berbanding hasil undian pada tahun 2002 iaitu 41 peratus.

Undian pada tahun 2007 menunjukkan 45 peratus responden bersetuju bahawa Islam ialah agama yg menganjurkan keganasan. Greg Smith yg berperanan sebagai Researcher Fellow di Pew Forum berkata, pandangan negatif ini meluas di kalangan penduduk Amerika yg terpengaruh dengan media dan tidak pernah bertemu Muslim.

Islam masih ganjil di kalangan penduduk Amerika. Bagaimana pula Islam di negara kita? Anda mempunyai jawapannya...




Monday, June 1, 2009

Pendakwah dan Khilaf Fiqh

Petang ini saya akan menduduki peperiksaan bagi subjek Fiqh Perbandingan Mazhab. Kerdilnya rasa diri ini apabila berhadapan dengan ilmu para ulama. Saya lemas dalam lautan perbahasan ilmiah yg bergelora. Lautannya dalam sekali. Ombaknya besar. Arusnya deras. Akan tetapi sedalam mana pun lautan ini, sebesar mana pun ombaknya, sederas mana pun arusnya, masih ada orang yg tak sedar diri. Baru saja belajar berenang tapi sudah berani bercakap besar dan mencabar pakar renang. Dia baru saja kenal pelampung, tetapi sudah pandai menempelak johan renang Olimpik. Dia perasan dirinya sehandal si johan renang.

Tidak salah belajar berenang. Tidak salah juga bergaul dengan johan renang. Bahkan tidak salah berenang di lautan. Tapi ingat, lautan dalam boleh menenggelamkan. Bermainlah di tepi-tepian dulu. Tanam azam untuk belajar berenang. Belajar pula biarlah dengan bimbingan guru renang. Jaga adab dengan guru renang. Jangan reka gaya renang sendiri lagi. Belajar dulu hinggalah benar-benar pakar. Ketika itu, tiada yg berani mencanggah. Kerana dia sudah punya kepakaran. Baru boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan johan-johan renang dunia yg lain.



Lautan ilmu fiqh hanya ada dua. Lautan ijmak dan lautan khilaf. Kenali kedua-dua lautan ini.

Antara ilmu yg perlu dikuasai oleh pendakwah ialah ilmu tentang permasalahan fiqh. Pendakwah yg berjaya ialah pendakwah yg tahu permasalahan ijmak dan khilaf. Seorang pendakwah perlu tahu status sesuatu masalah fiqh. Adakah sesuatu masalah itu telah diijmakkan hukumnya atau masih diperselisihkan para ulama. Jika jahil tentangnya, bimbang si pendakwah akan mengingkari masalah-masalah yg masih dikhilafkan. Tentu sahaja dia akan mencanggah setiap perkara yg tidak selari dengan pegangannya. Bahkan mungkin sahaja pegangan orang lain lebih kuat dan tepat. Dia juga mungkin akan bertoleransi pula dalam perkara yg telah diijmakkan akan keharamannya. Gara-gara jahil tentang permasalahan ini.

Oleh itu, berenanglah perlahan-lahan. Jangan berenang di kawasan dalam. Kita masih dalam proses pembelajaran. Jangan berenang terlalu laju, takut kejang.


p/s: Doakan saya berjaya. Amiinnn...

Blog Widget by LinkWithin