Wednesday, December 31, 2008

Tiga kejutan menjelang Tahun Baru

Kesihatan saya agak terjejas beberapa hari ini. Kehidupan harian sedikit terganggu. Alhamdulillah, sekarang semakin sihat rasanya. Tetapi kejutan demi kejutan menganggu kembali.

:: Kejutan Pertama
Kita dikejutkan dengan blog yg menghina Nabi Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam. Ini bukan penghinaan kali pertama terhadap umat Islam. Ya, penghinaan ini bukan untuk Nabi, bahkan Baginda kekal dalam keadaan mulia. Tetapi umatnya yg menjadi hina apabila Nabi mereka dihina. Mereka perlu membersihkan kembali kotoran yg melekat pada mereka.

Sebelum ini, Salman Rushdie menghina Islam melalui tulisannya, The Satanic Verses. Tiba-tiba, beliau dianugerahkan 'Sir' oleh England. Penghinaan semakin bertambah. Paderi besar Vatican pernah menuduh Islam sebagai agama yg tersebar melalui mata pedang. Theo Van Gogh pula menghina Islam melalui filem pendeknya yg ada ditayangkan di Youtube. Sebagai balasan, dia dibunuh. Akhbar Denmark, Jylland Posten pula menyiarkan 12 karikatur menghina Nabi lalu diikuti pula oleh akhbar-akhbar lain di Eropah. Umat Islam seluruh dunia bangkit menentang. Di Malaysia pula seorang artis, Rosnah Mat Aris (semoga Allah memberi hidayah kepada kita semua) menghina Ummul Mukminin, Khadijah Al-Kubra dengan ucapan yg tak sanggup saya tulis di sini. Mungkinkah dia terlupa yg dihina itu ialah ibunya sendiri? Khadijah merupakan isteri pertama Rasulullah yg terlalu banyak jasanya terhadap Islam. Beliau merupakan ibu kepada orang-orang yg beriman-Ummul Mukminin.

Sebelum ini, pemimpin-pemimpin politik yg celupar pernah menghina Nabi dan hukum Hudud. Di manakah penasihat agama untuk menasihatinya? Bukankah telah diwujudkan satu jawatan khas iaitu penasihat agama perdana menteri? Yang terbaru, blog yg menyiarkan lebih kurang 20 karikatur menghina Nabi. Nama blogger tersebut palsu, begitu juga gambar di profilnya. Alhamdulillah, blog tersebut telah ditutup. Syabas saya ucapkan kepada yg telah flag blog celaka itu. Pihak media melaporkan blogger tersebut menggunakan server luar negara. Walaubagaimanapun masih wujud blog-blog yg seangkatan dengannya. Tindakan tegas perlu segera diambil termasuk kepada yg bergelar menteri dan kuncu-kuncunya jika mereka turut terlibat. Semoga Allah memelihara ummah ini. Banyakkan berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sollallahualaihiwasallam dan hidupkan sunnah warisannya.

:: Kejutan Kedua
Muncul seorang 'mujtahid' di Malaysia yg mendakwa babi atau khinzir telah turun status kenajisannya. Cukup dengan membasuh apa-apa yg terkena khinzir dengan basuhan air biasa. Kalau si 'mujtahid' ini taklid kepada mazhab lain maka tidaklah saya terkejut. Tapi si 'mujtahid' ini telah berijtihad sendiri dengan mendatangkan nas-nas syarak lalu mengupasnya satu persatu. Wow, hebatnya! Bahasa Arab masih kurang faham. Siap perlu belek kamus dan bertanya kepada orang lain. Ini pengakuannya sendiri. Adakah ciri-ciri ini memungkinkan dia berijtihad? Dengan selamba dia menulis bahawa hukum berkaitan babi ini merupakan hukum 'lama' maka, masyarakat menerimanya. Lalu kononnya bangkitlah si 'mujtahid' ini memecah tradisi memulakan kajian berkenaan hukum hakam babi.

Yang menyedihkan, dia sendiri mengaku bahawa gurunya secara face to face memang kurang tapi gurunya ialah pengarang-pengarang kitab yg dibacanya. Maknanya, dia banyak membaca sendiri tanpa mempunyai guru bahkan dengan mudah mendakwa bahawa pengarang kitab yg dibacanya sebagai gurunya. Di manakah pemahamannya terhadap hadith Jibril yg mengajar ummat supaya belajar secara berguru? Akhirnya kefahaman dalam sesuatu masalah tidak dapat diluruskan. Natijahnya, babi hanya haram dimakan. Ketahuilah, sesungguhnya pemahaman secara literal terhadap teks-teks syara' kadang-kadang boleh menjejaskan kemukjizatan Al-Quran.

Golongan sebegini berhujjah bahawa agama ini bukan milik ulama. Betul, tapi urusan hukum hakam agama adalah milik mereka yg bergelar ulama. Setiap bidang ada pakarnya. Bidang perubatan misalnya, memerlukan kepakaran pakar perubatan. Yang lain jangan masuk campur nanti merosakkan. Begitu juga dengan urusan hukum hakam agama bahkan ia terlebih utama untuk diawasi daripada menerima kemasukan unsur-unsur luar yg tidak layak memasukinya.

Titik perbincangan sebenar ialah kepakaran seseorang dalam memahami nas-nas syara'. Andainya anda seorang doktor atau engineer tapi anda juga seorang yg layak untuk memahami nas-nas syara' bahkan mampu berijtihad, maka silakan sahaja. Bahkan ustaz-ustaz pun jika tidak layak, maka perlu disekat. Bukanlah profesion anda sebagai seorang doktor atau engineer semata-mata menghalang anda dari terjun ke dalam bidang hukum hakam agama ini. Saya tahu ramai golongan profesional yg memahami hakikat ini cuma sebahagian profesional yg lain termasuk ustaz-ustaz jadian yg buta mengenainya. Apakah syarat-syarat yg wajib dipenuhi oleh seorang mujtahid? Sekiranya anda mampu memenuhi syarat-syarat tersebut maka silalah untuk kembali mengkaji nas-nas syara' lalu keluarkan hukum baru. Kalau anda betul-betul layak, saya rela bertaklid kepada mazhab baru anda.

Seorang kawan berseloroh, "Saya nak pergi beli jaket kulit babi" gara-gara penghalalan terhadap penggunaan kulit dan tulang babi yg difatwakan itu.

Jangan merosakkan fiqh dan jangan menyumbang ke arah kerosakan fiqh!

:: Kejutan Ketiga
Palestin diserang dengan dahsyat. Gencatan senjata yg dimeterai sudah terbatal. Umat Islam di negara-negara lain menyambut tahun baru Hijrah dengan gembira manakala umat Islam di Palestin menyambut peluru dan bom. Pegawai perubatan menyatakan jumlah penduduk Palestin terbunuh sejak Israel mula melancarkan serangannya Sabtu lalu adalah 360 mangsa manakala penduduk cedera pula seramai 1,690 orang. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata lebih 62 yang terbunuh adalah orang awam. Serangan ganas Israel juga tidak pernah mengenal usia.

Saya menyeru kepada semua supaya terus memboikot Amerika, sekutu kuat Israel. Barack Obama dalam ucapannya di dalam satu persidangan di hadapan orang-orang Yahudi dengan jelas berkata bahawa berbilion-bilion USD akan diperuntukkan untuk tujuan Israel.

Saya tahu ada orang yg berhujjah tidak perlu memboikot. Tapi, saya hanya mencadangkan agar kita mempunyai hujjah untuk bersemuka dengan Allah jika ditanya tentang kewajipan yg telah kita tunaikan kepada Al-Aqsa. Boikotlah sekadar yg kita mampu. Mungkin dalam sesetengah keadaan kita terpaksa tidak memboikot. Yang membimbangkan ialah jika kita langsung tidak menunaikan kewajipan terhadap Al-Aqsa bahkan membantu memusnahkannya pula tanpa kita sedari. Yg boikot jangan pula memandang hina kepada yg tidak boikot. Begitu juga sebaliknya. Masing-masing punya maslahah. Hidup secara aman damai. Islam is peace!

Buat saudara-saudaraku di Palestin, teruskan berjihad! Buat saudara-saudaraku di tempat lain, teruskan merasa perit dan pedih kerana sebahagian daripada kamu sedang menanggung sakit. Bukankah orang-orang beriman itu ibarat sebatang tubuh? Jika satu anggota mengadu kesakitan, maka anggota-anggota yg lain turut merasainya, berjaga malam dan ditimpa demam. Berusahalah untuk membebaskan Al-Aqsa dan Palestin dari cengkaman Kuffar Ahlil Kitab dengan seluruh kemampuanmu!

Cukuplah dulu untuk kali ini. Saya memohon maaf daripada semua sempena Tahun Baru Hijrah ini. Semoga Allah memberkati kita semua. Aminnn.

p/s: Jazakumullah kepada Nasir yg meminjamkan bilik. Jazakumullah kepada Ismail yg meminjamkan laptop.

3 comments:

syabab said...

laknat yahudi!!!

Solehah Muhammad said...

hanya menenggu dunai hancur berkeping2 seperti debu!

Suraya said...

Blog terbaru hina Nabi....

adibahahmed.blogspot.com

Jom FLAG!

Lepas Adibah Ahmad, keluar lah pula blog Adibah Ahmed! Aduhai...

Short Talk

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin