Wednesday, September 8, 2010

Sebab-sebab pengampunan di bulan Ramadhan

Terdapat banyak sebab pengampunan dosa pada bulan Ramadhan. Antara yg disebut di dalam kitab Lataif al-Ma'arif karangan Ibnu Rajab al-Hanbali rahimahullah ialah:

1- Puasa, menghidupkan Ramadhan dan Malam al-Qadr (lailatul Qadr) dengan beribadah.

Baginda bersabda,
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إيمَانًا وَاحْتِسَابًا ، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

"Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran daripada Allah nescaya diampunkan baginya dosanya yang telah lalu." (Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat yg lain, "Sesiapa yang menghidupkan Ramadhan dengan penuh keimanan..." Terdapat juga riwayat yg lain, "Sesiapa yang menghidupkan Lailatul Qadr dengan penuh keimanan..."



2- Memberi makan kepada orang yg berpuasa.

Salman al-Farisi radiyallahu'anhu meriwayatkan khutbah Baginda apabila menjelang Ramadhan. Antara isi kandungannya,

مَنْ فَطَّرَ فِيهِ صَائِمًا كَانَ مَغْفِرَةً لِذُنُوبِهِ وَعِتْقَ رَقَبَتِهِ مِنَ النَّارِ ، وَكَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْتَقِصَ مِنْ أَجْرِهِ شَيْءٌ

"Sesiapa yg memberi makan orang yg berpuasa di dalamnya (Ramadhan) maka itu menjadi pengampunan kepada dosa-dosanya dan membebaskannya daripada api neraka dan baginya pahala sebagaimana orang yg berpuasa tanpa kurang pahala orang itu sedikitpun. " (Sahih Ibn Khuzaimah, Syua'b al-Iman oleh al-Baihaqi)

-Imam Ibnu Khuzaimah meletakkan hadith ini di bawah Bab Kelebihan-Kelebihan Bulan Ramadhan Sekiranya Khabar (hadith) Ini Sahih. Imam al-'Ayni pula menghukum hadith ini sebagai munkar. Wallahu'alam.

Walaubagaimanapun sebahagian makna hadith khutbah ini disokong oleh hadith yg dinilai sebagai hasan sahih oleh Imam Tirmizi iaitu berkenaan kelebihan menyediakan juadah berbuka kepada orang berpuasa, tidak terhad pada bulan Ramadhan sahaja.

مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا

"Sesiapa yg memberi makan orang yg berpuasa maka baginya pahala sebagaimana orang yg berpuasa tanpa kurang pahala orang itu sedikitpun." (Sunan at-Tirmizi)

3- Berzikir.

Baginda bersabda,
ذَاكِرُ الله فِي رمضان مَغْفُورٌ لَهُ

"Orang yg berzikir mengingati Allah pada bulan Ramadhan, diampunkan baginya. (Diriwayatkan oleh at-Tabarani dan al-Baihaqi daripada Sayyidina Umar radiyallahu'anhu - al-'Ajluni, Kashful Khafa')

4- Beristighfar (memohon keampunan).

Istighfar ialah doa supaya dikurniakan keampunan. Doa orang yg berpuasa mustajab ketika sedang berpuasa dan ketika berbuka. Apabila berbuka puasa, Ibnu Umar radiyallahu'anhu akan berdoa, "Ya Allah Yang Maha Luas Pengampunannya, ampunkanlah aku."

Baginda bersabda,
ثَلاَثُ دَعَوَات لاَ تُرَدُّ دَعْوَةُ الوَالِدِ ودَعْوَةُ الصَائِمِ ودَعْوَةُ المُسَافِرِ

"Tiga doa yg tidak akan ditolak: Doa seorang bapa (kepada anaknya), doa orang yg berpuasa dan doa orang yg bermusafir." (Sunan al-Kubra oleh al-Baihaqi)

5- Istighfar para malaikat kepada orang-orang yg berpuasa sehingga mereka berbuka.

Baginda bersabda,
وَتَسْتَغْفِرُ لَهُمْ الْمَلَائِكَةُ حَتَّى يُفْطِرُوا

"Dan para malaikat beristighfar (memohon keampunan) bagi mereka sehinggalah mereka berbuka." (Riwayat Ahmad)



ليس العيد لمن لبس الجديد /// وإنما العيد لمن طاعته تزيد
وليس العيد لمن تجمّل باللباس والمركوب /// وإنما العيد لمن غفرت له الذنوب

"Bukanlah hari raya itu untuk orang yg berpakaian baru, sesungguhnya hari raya itu untuk orang yg bertambah ketaatannya. Dan bukanlah hari raya itu untuk orang yg bercantik-cantik dengan pakaian dan kenderaan, sesungguhnya hari raya itu untuk orang yg diampunkan dosanya."


Kata Imam Ibnu Rajab al-Hanbali rahimahullah,

Wahai orang-orang yg melakukan maksiat, dan kita semuanya sedemikian. Janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah dengan sebab buruknya perbuatan-perbuatan kamu. Maka berapa ramaikah orang-orang seumpamamu yg dibebaskan daripada api neraka pada hari-hari ini. Maka berbaik sangkalah kamu dengan Tuhanmu!


تقبّل الله منا ومنكم

Blog Widget by LinkWithin