~ Majlis Akad Nikah Ustaz Syukri ♥ Ustazah Safinah ~

  • 14 Zul Qa'idah 1431 H bersamaan 22 Oktober 2010 M
  • Khamis Malam Jumaat, Jam 9 Malam
  • Kemasik, Kemaman, Terengganu.


Ustaz Syukri pernah menjadi usrahmate saya. Beliau juga housemate saya di Bait al-Hikmah pada tahun terakhir saya di Kota Seribu Menara. Beliau merupakan mantan Ketua Biro Dakwah dan juga mantan Timbalan Yang Di Pertua KPT (Keluarga Penuntut Terengganu, Mesir). Alhamdulillah, saya amat gembira dengan majlis akad nikah semalam. Semuanya berjalan lancar. Antara rakan-rakan pelajar Mesir yg datang menghadiri majlis pernikahan ialah tokey jam antik; Ustaz Manan, driver yg hensem; Ustaz Salam, Ustaz Tarmizi yg setia menjadikan saya pembonceng ketika di Mesir dan Ustaz Bukhari Kain Pelekat. Semuanya tersenyum lebar melihat rakan mereka yg kini sudah berstatus suami orang.




Sudah lama blog ini tidak mengucapkan doa kepada pasangan pengantin. Sebuah doa yg telah diajar oleh Rasulullah Sollallahualaihiwasallam yg diriwayatkan oleh Imam Tirmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah dengan lafaz:

بارك الله لك وبارك عليك وجمع بينكما في خير


Maka, kepada kedua-dua pengantin saya ucapkan,

بارك الله لكما وبارك عليكما وجمع بينكما في خير

"Semoga Allah memberkati kamu berdua (ketika dalam keadaan bahagia), semoga Allah memberkati kamu berdua (ketika dalam keadaan renggang), semoga Allah menghimpunkan kamu berdua dalam kebaikan."


Saya tujukan juga doa ini kepada pasangan yg baru berkahwin, Ustaz Muzani, Ustaz Nizam, Ustaz Nik Rosdi, Dr Fakruddin dan Dr Firdaus Mansurah serta pasangan masing-masing.


p/s: Jazakallah Ustaz Syukri kerana hadiahkan kitab itu. Kamu yg kahwin, saya pula yg dapat hadiah.

Wednesday, October 20, 2010

Wahai pemegang Sijil Pengajian Islam

Sesungguhnya ilmu agama itu tidak dipelajari untuk dikebumikan di dalam hati, atau untuk dirasakan keenakannya oleh akal, atau untuk mendapatkan sijil, atau untuk meraih jawatan. Akan tetapi ilmu agama dipelajari untuk menjadi pelita, dengannya tuannya mendapat petunjuk, kemudian dia memberi petunjuk pula kepada yg lain, beramal dengannya, kemudian mengajarnya kepada manusia. Sesiapa yg berilmu, beramal dan mengajar maka dia diseru dengan agung di langit.

Sesungguhnya ulama salaf telah ijmak bahawa seseorang tidak akan menjadi rabbani sehinggalah dia berilmu, beramal dan mengajar. Benarlah firman Allah,

"Tetapi (sepatutnya ia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyyin (yg hanya menyembah Allah Taala - dengan ilmu dan amal yg sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu pula mempelajarinya." [Surah Aali Imran, ayat 79]

(Risalah al-Azhar bayna al-Ams wa al-Yaum wa al-Ghad, Dr Yusuf al-Qaradhawi)


Sijil yg diperolehi hasil usaha yg bersungguh itu sepatutnya digunakan semaksima mungkin. Jangan memadai dengan photocopy untuk salinan lalu memohon jawatan di sekolah, universiti atau mana-mana syarikat. Setelah itu jangan pula memadai dengan pengajian bergaji tetap bersama murid di sekolah, mahasiswa di universiti dan kakitangan pejabat. Masyarakat kampung menunggu setia di masjid dan surau, mahu menumpang ilmu dari yg bergelar graduan pengajian Islam. Jangan sampai mereka dakwa kamu di hadapan Allah di alam akhirat sana. Sedarlah, bahawa sijil itu tidak akan menyelamatkan kamu walau termaktub padanya Mumtaz Syaraf Ula.



Jangan juga memadai dengan mengajak kepada yg makruf. Islam itu bukan sebegitu sifatnya. Ia juga menyuruh mencegah yg mungkar. Perjelaskan kepada masyarakat supaya jangan buat mungkar dan jangan bantu orang buat mungkar. Perjelaskan bahawa membantu ke arah kemungkaran itu juga satu kemungkaran. Jangan tutup mata dengan maksiat yg berlaku. Diamnya para ustaz menyebabkan masyarakat beranggapan maksiat yg berlaku bukanlah satu maksiat. Sebab kalau ia maksiat, sudah tentu ustaz tidak akan berdiam diri, fikir mereka.

Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah berkata,

إذا سكت العالم تقية والجاهل يجهل فمتى يتبين الحق

"Apabila orang alim mendiamkan diri kerana takut dan orang jahil terus dengan kejahilannya, maka bilakah akan ternyata kebenaran?"

Maka diamnya para ustaz ialah satu dosa besar apatah lagi jikalau menyokong bahkan mendokong sesiapa sahaja yg mengizinkan maksiat berleluasa. As-Syahid Dr Abdul Qadir 'Audah rahimahullah menyindir para ulama' yg 'bertenang' sedangkan bahaya besar sedang melanda Islam:

Undang-undang buatan manusia terlaksana di negara-negara Islam sedangkan ianya bertentangan dengan Islam. (Misalnya arak dan judi jadi halal apabila diluluskan kerajaan - komentar saya) Pelaksanaannya membawa kepada penghapusan Islam, menghalalkan apa yg diharamkan Allah, mengharamkan apa yg dihalalkan Allah. Para ulama' itu tidak terganggu dengan kehancuran Islam. Mereka tidak marah demi masa depan mereka sedangkan mereka makan, berpakaian dan hidup cara Islam.

Kemaksiatan dan seks bermaharajalela. Bar dan disko dibina. Kerajaan Islam membenarkan para wanita Islam melacurkan dirinya. Manusia secara terang-terangan melakukan perkara yg bercanggah dengan Islam. Tetapi para ulama' mengecil, memadai dengan menggelengkan kepala dan menggigit bibir.

(al-Islam bayna Jahli Abnaihi wa 'Ajzi 'Ulamaihi, Dr. Abdul Qadir 'Audah)

Saturday, October 16, 2010

Permusafiran yg kurang 'azab'

Insya Allah, beberapa jam lagi saya akan memulakan permusafiran. Kali ini saya tidak keseorangan. Saya ditemani seorang teman dari Terengganu, Ustaz Abdul Mannan yg baru sahaja pulang dari Mesir. Saya percaya bau Mesir masih kuat melekat pada badannya. Semoga terubat rindu saya pada Bumi Anbiya' yg penuh kontroversi itu. Asalnya kami berlima. Sepatutnya bersama-sama kami ialah Ustaz Syukri Nazar, abangnya dan Ustaz Farezuan. Tapi, oleh sebab terdapat kesulitan yg tidak dapat dielakkan, mereka tidak dapat menyertai kami. Mudah-mudahan Allah mempermudahkan segala urusan kamu dan kami.

Syaikhul Azhar, Syaikh Mustafa al-Maraghi rahimahullah ketika bermusafir ke Sudan, beliau membawa bersamanya kitab Ihya' Ulumiddin, karangan Hujjatul Islam al-Ghazzali rahimahullah sebagai teman dalam permusafirannya. Gurunya, Imam Muhammad Abduh rahimahullah memujinya dan berkata, telah memadai kitab itu sebagai teman.


Dua orang dalam gambar ni bukan saya dan Manan. Kami tak naik unta.


Para ulama sentiasa berdampingan dengan kitab. Bahkan ada di kalangan mereka yg terlalu asyik bersama kitab sehinggalah luput waktu solat tanpa disedari. Imam Jamaluddin al-Isnawi rahimahullah, seorang alim besar dalam Ilmu Usul Fiqh, kitabnya Nihayat as-Sul syarah kepada matan Minhaj al-Wusul karangan Imam al-Baidhawi merupakan silibus bagi subjek Usul Fiqh Nassi di al-Azhar. Beliau pernah membaca kitab pada suatu malam dan beliau hanya berhenti membaca ketika terik matahari memancar ke wajahnya. Barulah beliau tersedar yg hari sudah pun siang. Bererti, beliau telah pun terlepas solat Subuh dan puncanya ialah kerana tersangat asyik bersama temannya iaitu kitab!

Maka, saya cuba tiru jejak langkah mereka. Menjadikan kitab sebagai teman. Kitab yg saya akan bawa bersama ialah tulisan Syaikh Yusuf al-Qaradhawi hafizahullah, berjudul Risalah al-Azhar bayna al-Ams wa al-Yaum wa al-Ghad terbitan Maktabah Wahbah, bersaiz sederhana, setebal 123 muka surat. Mudah-mudahan dapat dihabiskan pembacaannya sepanjang permusafiran ini.


Dalam sebuah hadith Bukhari, Rasulullah Sollallahualaihiwasallam bersabda, "Permusafiran itu sebahagian daripada azab..."

Imam Al-Haramain rahimahullah ditanya, "Mengapakah permusafiran itu sebahagian daripada azab?"

Beliau menjawab, "Kerana pada permusafiran itu ada perpisahan dengan al-Ahbab (orang yg dikasihi)."


Walaubagaimanapun, saya fikir permusafiran saya ini tidaklah terlalu terasa 'azab' itu, insya Allah. Kerana walaupun saya akan meninggalkan al-Ahbab, saya akan pergi bertemu pula dengan al-Habaib. Mudah-mudahan Allah memberkati dan mempermudahkan permusafiran ini. Amiiinnn.

Sunday, October 10, 2010

Aduh! Kena atas kepala!

“If I asked for people to die for the sake of God, I would have them lining up at my house; but when I ask people to live for the sake of God, I can’t find anyone.”
- Shaykh Abdallah bin Bayyah



Aduh! Saya sungguh terasa. Jazakumullah kepada Syaikh Abdullah bin Bayyah hafizahullah kerana kata-katanya yg cukup bermakna. Jazakumullah juga kepada Syaikh Hamza Yusuf hafizahullah sebab saya ambil kata-kata tersebut dari blog beliau.


p/s: Sudah lama rasanya tidak berblog. Nasib baik masih ingat password.

Blog Widget by LinkWithin