Showing posts with label Pendedahan. Show all posts
Showing posts with label Pendedahan. Show all posts
Tuesday, March 29, 2011

Fallujah satu masa dahulu

Walaupun kes Libya tidak sama dengan kes Iraq tetapi apabila barat mula campur tangan, segala-galanya mungkin terjadi. PBB melancarkan serangan dengan alasan mahu membela rakyat tertindas dan menghukum Gaddafi. Liga Arab pula seolah-olah tiada fungsi manakala PBB sudah mula bergerak jauh. Serangan yg dilancarkan PBB dikatakan untuk melumpuhkan persenjataan tentera Gaddafi. Taktik ini digunakan oleh pihak tertentu untuk monopoli suasana di Libya. Mereka mahu rakyat Libya bergantung harap kepada mereka. Mereka mahu Islam berada di bawah telapak kaki mereka.

Bekas Duta Jerman yg memeluk Islam, Dr Murad Hoffman pernah berkata, “Barat saling berbalah sesama mereka tapi apabila berbicara mengenai Islam, mereka bersatu..” Umat Islam di akhir zaman ibarat hidangan yg sedang menunggu masa untuk disantap. Saya bimbang Libya akan berakhir dengan kemusnahan seperti Iraq dan Afghanistan. Apabila membaca mengenai tajuk sebuah artikel ‘Libya jadi Iraq’, saya teringat satu kisah yg diceritakan oleh seorang tokoh ulama dari bumi Iraq. Beliau ialah Syaikh Dr. Abdul Malik as-Sa’di hafizahullah, bekas mufti Negara Iraq yg lepas. Seorang ulama dari Iraq pernah menulis, "Jika tiada ulama di Iraq kecuali keluarga as-Sa’di maka ia telah pun memadai." Keluarganya ialah keluarga ulama. Salah seorang adiknya mengajar di UIAM. Baru-baru ini seorang adiknya yg lain, Syaikh Abdul ‘Alim as-Sa’di terbunuh dalam satu kejadian yg dikatakan didalangi oleh kumpulan al-Qaeda at-Takfiri. Beliau dipercayai dibunuh oleh seorang lelaki yg berpura-pura meminta fatwa. Kononnya, Syaikh ini ialah seorang mufti upahan Amerika dan telah halal darahnya hanya kerana beliau berfatwa agar semua penduduk Iraq keluar mengundi. Al-Fatihah..

Ketika saya berkunjung ke bumi Jordan, saya menghabiskan masa lebih kurang sebulan di Mu’tah, lokasi berlakunya peperangan Mu'tah yg menyaksikan gugurnya sebilangan sahabat termasuk 3 orang ketua pasukan tentera yg dilantik Baginda iaitu Zaid bin Harithah, Jaafar bin Abi Talib dan Abdullah bin Rawahah radiyallahu'anhum. Saya tidak melepaskan peluang menghadiri kelas pengajian Syaikh Abdul Malik as-Sa’di yg diadakan pada waktu malam, khas untuk mahasiswa-mahasiswa Malaysia di sana. Ketika itu beliau bertugas sebagai pensyarah di Universiti Mu’tah. Dalam kelas pengajian khas itu, beliau mengajar Fiqh Mazhab Syafie menerusi kitab Minhaj at-Talibin, Ilmu Sarf menerusi kitab tulisannya dan Ilmu Mantiq menerusi kitab as-Sullam yg dipermudahkan sendiri olehnya.

Libya akan jadi Iraq? Mudah-mudahan tidak. Saya teringat bahawa Syaikh Abdul Malik as-Sa’di pernah bercerita mengenai Fallujah di Iraq yg lebih dikenali sebagai sarang pengganas sebagaimana yg dijaja oleh media barat. US telah menggunakan White phosphorus - WP (Fosforus putih) untuk menyerang Fallujah yg kononnya dihuni oleh golongan pengganas. Justeru, seorang ahli parlimen US meletakkan jawatan sebagai tanda protes tindakan kerajaannya yg kejam dan zalim terhadap Iraq yg sehingga sekarang masih tidak mampu dibuktikan bersalah. WP juga telah digunakan ketika serangan Israel ke atas bumi Gaza pada 2008-2009 yg lalu. Bom kimia ini telah diharamkan penggunaannya di seluruh dunia kerana boleh menyebabkan kebakaran dahsyat kepada orang awam. WP boleh mengakibatkan kecederaan bahkan kematian melalui 3 cara. Yg pertama melalui kebakaran yg membakar jauh ke dalam tisu tubuh. Yg kedua melalui cara menghidunya dalam bentuk asap. Yg ketiga melalui cara menelannya. Baca lagi mengenai WP di sini. Saksikan juga sebuah filem dokumentari, Fallujah, The Hidden Massacre. Saya berpeluang menontonnya ketika di Mesir dahulu. Terdapat pengakuan dari bekas anggota tentera US yg terlibat dalam operasi memusnah Fallujah. Antara yg diakuinya ialah terdapat penggunaan WP dalam serangan di Fallujah. Filem ini juga mendedahkan keadaan mayat-mayat yg sangat mengerikan akibat serangan menggunakan WP.


Syaikh berkata, ramai yg tidak mengenal Fallujah. Syaikh menyifatkan penduduk Fallujah tidak seperti yg disifatkan oleh media barat. Mereka ialah golongan yg sangat memuliakan tetamu. Syaikh mula bercerita. Di satu kawasan di Fallujah, tiada sebuah pun kedai makan. Sesiapa yg berkunjung ke sana pasti akan dijadikan tetamu. Sabda Baginda, “Sesiapa yg beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka muliakanlah tetamunya.”-Riwayat Bukhari dan Muslim. Dipendekkan cerita, akhirnya ada seorang lelaki yg membuka kedai makan di situ. Terdapat seorang badwi yg melintas di situ lalu dia terus dijemput untuk masuk ke kedai barunya. Si badwi dilayan dengan penuh mesra bahkan ditanya apa yg mahu dimakan. Si badwi tersenyum gembira. Hatinya girang dilayan umpama raja. Namun, si badwi tidak pelik. Memang itu adat kebiasaan penduduk di situ, suka memuliakan tetamu.

Selesai makan, si badwi bangun untuk beredar. Tiba-tiba tuan kedai menyebut harga makanan-makanan yg dimakannya. Si badwi terperanjat. Dia mengibas-ngibas bajunya, sebagai isyarat untuk menunjukkan rasa pelik - satu isyarat yg biasa dilakukan oleh penduduk di sana. Kata si badwi, “Makan pun kena bayar?!” Tidak tergambar pada pemikirannya bahawa dia perlu bayar apa yg dimakannya. Kebiasaannya, dia dijamu secara percuma. Fallujah yg dikenalinya ialah Fallujah yg melayan tetamu tanpa sebarang bayaran. Itulah Fallujah satu masa dahulu. Kini, apa cerita Fallujah?!

Memandangkan ramai yg terkeliru antara al-Ustaz Sa'id Ramadhan dan Syaikh Muhammad Sa'id Ramadhan al-Buti, maka saya ingin menceritakan serba sedikit tentang peribadi tokoh hebat ini.

al-Ustaz Sa'id Ramadhan rahimahullah (1929-1995M = 1345-1416H)


al-Ustaz Sai'd Ramadhan (Abu Aiman) rahimahullah merupakan seorang ahli pidato dan pendakwah yg berasal dari Tanta, Mesir. Beliau ialah menantu kepada as-Syahid Imam Hasan al-Banna rahimahullah. Imam Hasan al-Banna telah mengahwinkan beliau dengan anak sulungnya. Beliau antara individu paling rapat dengan as-Syahid. Beliau juga merupakan pimpinan gerakan Ikhwanul Muslimin dan mempunyai jasa yg besar dalam perjuangan umat Islam di Palestin. Beliau ialah Setiausaha Peribadi kepada as-Syahid. Beliau ialah bapa kepada Prof Tariq Ramadhan, cendekiawan Islam terkenal dewasa ini.

Beliau ialah seorang pendakwah yg petah, berakhlak mulia, berjiwa tentera tapi mudah mengalirkan air mata, pidatonya mampu membuatkan sidang pendengar menangis. Beliau antara pemuda Ikhwan yg aktif di Kuliyah Huquq, Universiti Kaherah. Beliau juga mengepalai penerbitan Majalah as-Syihab yg diterbitkan secara bulanan oleh as-Syahid Hasan al-Banna pada tahun 1948.


Jangan terkeliru! Ini pula ialah Syaikh Prof Dr. Muhammad Sa'id Ramadhan al-Buti hafizahullah. Seorang ulama besar dari negara Syria. Pengarang kitab Fiqh Sirah yg terkenal.


Jihad di Palestin

Beliau terlibat dalam jihad di Palestin bersama-sama Kataib Ikhwanul Muslimin. Pada tahun 1949, beliau menuju ke Baghdad setelah pulang dari Palestin, setelah pihak Mesir yg bekerjasama dengan penjajah Yahudi merancang untuk menangkapnya. Ikhwanul Muslimin Iraq telah menyambutnya dengan penuh kehormatan sebagai seorang mujahid dan pendakwah Ikhwan. Kerajaan Iraq diminta oleh Mesir supaya menyerahkan beliau ke negara asalnya. Kerajaan Iraq akhirnya bersetuju untuk tidak menyerahkan beliau dengan syarat beliau mesti keluar dari Iraq dalam waktu yg terdekat. Beliau merantau bersama al-Mustasyar Abdullah al-Aqil dari Baghdad ke Basrah dengan menaiki keretapi. Lalu dari Lapangan Terbang Basrah, beliau menaiki kapal terbang ke Pakistan. Mereka ditemani oleh seorang polis bagi memastikan mereka benar-benar berlepas keluar dari Iraq dan tidak tertinggal.

Kerajaan Mesir telah mencabut kewarganegaraannya lalu beliau terus hidup merantau. Raja Arab Saudi ketika itu, al-Malik Faisal telah memberikan kepadanya pasport khas untuk membolehkan beliau bergerak ke mana sahaja.


Sumbangan kepada Dunia Islam

Beliau ialah salah seorang pengasas Rabitah 'Alam Islami di Makkah. Beliau juga Setiausaha Agung al-Muktamar al-Islami lil-Quds. Beliau juga telah mengasaskan al-Markaz al-Islami di Geneva pada tahun 1961. Beliau juga membina markaz di London dan Munich pada tahun 1964. Beliau juga telah menerbitkan Majalah al-Muslimun sebagai ganti kepada Majalah as-Syihab. Antara tokoh-tokoh yg pernah berdampingan dengan beliau ialah as-Syahid Imam Hasan al-Banna, as-Sayyid Abul Hasan an-Nadwi, Abul 'Ala al-Maududi, Dr. Mustafa Sibaie, Dr. Mustafa Zarqa dan Imam Muhammad Abu Zahrah.


Sa'id Ramadhan pada zaman mudanya


Nota an-Nadwi

As-Sayyid Abul Hasan an-Nadwi melalui kitabnya, Muzakkirat Saih fi as-Syarq al-'Arabi menceritakan tentang kehebatan al-Ustaz Sa'id Ramadhan rahimahullah. Setelah mengetahui bencana dahsyat yg melanda dunia Arab ketika itu, pengarang menyusun pertemuannya dengan tokoh-tokoh pejuang di sana khususnya Sa'id Ramadhan. Beliau suarakan hasratnya itu melalui al-Ustaz Soleh 'Ashmawi. Antara yg hadir sama dalam pertemuan itu ialah Syaikh Yusuf al-Qaradhawi, Muhammad ad-Damardash dan al-Mustasyar Abdullah al-'Aqil.

Pada petang esoknya, pengarang menghadiri syarahan Sa'id Ramadhan di Dewan Abdul Hamid Sa'id di Dar as-Syubban al-Muslimin di Kaherah. Syarahannya memakan masa 2 jam. Kehadiran sungguh membanggakan. Syarahan itu sesekali diselang seli dengan laungan takbir dan tahmid oleh audien yg hadir. Pada hari perbicaraannya di mahkamah iaitu 4 Februari 1951, mahkamah telah berubah menjadi dewan syarahannya. Beliau berbicara dengan bersemangat. Suasana mahkamah berubah menjadi suasana masjid. Mereka yg hadir menitiskan air mata mendengar kalamnya yg menusuk hati, mendengar satu demi satu ayat al-Quran dan Hadith yg dilafazkannya. Kata pengarang, "Kami keluar dari mahkamah dalam keadaan terharu dengan apa yg kami lihat dan apa yg kami dengar."


Hidup terbuang

Beliau menghabiskan kebanyakan hidupnya dalam buangan. Beliau juga enggan untuk pulang ke tanah airnya, Mesir setelah melihat pemerintahan negara itu yg bersilih ganti dengan pemerintah taghut. Pada tahun 1958, beliau berhijrah ke Geneva. Beliau memilih untuk hidup di negara barat bersama isterinya, Ummu Aiman dan anak-anaknya. Beliau telah dikurniakan 5 anak lelaki dan seorang anak perempuan. Beliau banyak menghabiskan masanya dengan membaca dan menulis. Beliau telah memperoleh PhD dalam Islamic Law di University of Cologne, Germany.


Kembali ke Rahmatullah

Beliau meninggal dunia pada 5 Ogos 1995. Sebenarnya, beliau bercita-cita untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan al-Baqi' di Madinah tetapi hasratnya ditolak oleh kerajaan Arab Saudi. Beliau akhirnya dikebumikan di tanah airnya, Mesir yg tidak dimasuki sejak 1954. Al-Fatihah!

______________

Rujukan:

Min 'Alam ad-Dakwah wa al-Harakah al-Islamiyyah al-Mu'asirah (ms 288-298), tulisan al-Mustasyar Abdullah al-'Aqil

http://www.ikhwanonline.com/

http://www.ikhwanwiki.com/

Sunday, May 9, 2010

Wanita sebelum Islam

Kelas bersama muslimat di Surau Idaman Bayu petang semalam berjalan dengan lancar. Kehadiran yg membanggakan. Saya cuba membuatkan kaum wanita yg hadir berasa sangat bersyukur, bertuah dan berbangga kerana beragama Islam. Saya sengaja menceritakan nasib kaum wanita yg ditindas sepanjang sejarah kehidupan manusia. Penindasan yg dahsyat dan berpanjangan memaksa mereka bangkit tetapi setelah bermandikan darah dan air mata.

Ketika Kristian mendominasi masyarakat barat, gereja cukup kejam membunuh manusia. Robert Held dalam bukunya, Inquisition memuatkan gambar-gambar yg sangat mengerikan akibat kejahatan dan kezaliman tokoh-tokoh gereja ketika itu. Dipaparkan lebih daripada 50 jenis alat-alat penyeksa yg digunakan. Anehnya, sekitar 85% korban penyeksaan dan pembunuhan ialah wanita! Antara tahun 1450 sehingga 1800, sekitar dua sehingga empat juta wanita dibakar hidup-hidup sama ada di kawasan yg dikuasai Katolik mahupun Protestan. Golongan feminis di barat satu ketika dahulu berusaha keras agar mereka diberikan hak sewajarnya sehingga mereka tidak lagi menulis God tapi juga Goddess merujuk kepada tuhan perempuan, akibat salah faham mereka bahawa tuhan dalam agama mereka ialah lelaki. Tivka Frymer-Kensky pernah menulis makalah berjudul Goddesses: Biblical Echoes.

Pamela J. Milne menyatakan bahawa Bible menjadi sumber terpenting bagi penindasan terhadap kaum wanita. Philip J. Adler dalam bukunya World Civilizations menukilkan kata-kata seorang penulis Jerman di abad ke-17, "It is a fact that women has only a weaker faith (In God)...", "Therefore, the female is evil by nature..." Maka, ini sesuai dengan konsep etimologi mereka tentang wanita kerana perkataan wanita dalam bahasa mereka disebut female yg berasal daripada bahasa Yunani iaitu femina. Perkataan femina berasal daripada fe dan mina. Fe bererti fides, faith iaitu keimanan dan mina pula dari minus yg bererti kurang. Jadi, femina ertinya seorang yg kurang imannya. Fakta-fakta di atas diambil dari buku Wajah Peradaban Barat, Dari Hegemoni Kristian ke Dominasi Sekular-Liberal tulisan Dr. Adian Husaini hafizahullah.
Orang-orang Greek mengangap wanita termasuk dalam kategori harta. Wanita dijual kepada sesiapa yg sanggup membayar harganya lalu menjadi tuannya. Undang-undang Roman pula meletakkan wanita pada kedudukan kanak-kanak dan orang gila serta tidak mempunyai hak. Ketua keluarga berhak menjual anak-anak perempuan, adik-adik perempuan atau mana-mana perempuan yg dipunyainya kepada sesiapa sahaja. Mereka terpaksa tunduk kepada tuannya sejak dari buaian hingga ke liang lahad. Tuannya berhak membuangnya, menjualnya, menyeksanya bahkan membunuhnya! Di sisi orang Yahudi pula wanita dianggap sebagai khadam dan diharamkan dari menerima harta pusaka jika si mati ialah lelaki.

Dalam undang-undang di China, wanita tiada nilai dan diberikan kerja-kerja yg amat hina. Dalam undang-undang di India, wanita tiada hak untuk memilih. Ketika kecil, dia mesti mengikut kehendak bapanya. Setelah berkahwin, mengikut kehendak suaminya dan apabila suaminya mati, dia mesti mengikut kehendak anak-anak lelakinya pula. Di England, antara kurun ke-5 hingga kurun ke-11, suami-suami menjual isteri-isterinya. Mahkamah-mahkamah gereja membuat peraturan yg membenarkan suami menyerahkan isterinya kepada lelaki lain dalam jangka masa tertentu sama ada dengan mendapat bayaran atau secara percuma. Peraturan ini terlaksana dalam satu tempoh yg agak lama sehinggalah akhirnya ia dibatalkan. Pada tahun 1933, seorang lelaki berbangsa Inggeris menjual isterinya dengan harga 500 pound sterling namun mahkamah membatalkan kontrak jualbeli itu. Sebelum tahun 1942, si suami yg menguruskan harta isterinya. Begitulah sebahagian tulisan Syeikh Mutawalli as-Sya'rawi rahimahullah yg saya kutip dari kitabnya, Fiqh al-Mar'ah al-Muslimah.

Di Semenanjung Arab, masyarakat jahiliyah menguburkan bayi perempuan hidup-hidup. Mempunyai anak perempuan dianggap satu keaiban yg perlu ditutup secepat yg mungkin. Kaum wanita diharamkan daripada menerima harta pusaka kerana mereka tidak ikut berperang. Harta pusaka hanya layak diwarisi oleh kaum lelaki yg membela kabilahnya.

Hakikat yg tidak dapat disangkal lagi bahawa wanita di barat terpaksa berusaha keras menuntut hak-hak asasi mereka dan baru-baru ini sahaja mereka memperolehinya. Jika dulu, barat menindas wanita habis-habisan, kini mereka pula memberi kebebasan kepada wanita habis-habisan. Islam tidak menunggu usaha keras kaum wanita menuntut hak-hak mereka bahkan Islam yg mengurniakannya terlebih dahulu sebelum sempat mereka menuntutnya. Malangnya, lahirnya kumpulan wanita yg tidak reti menilai hak-hak dan penjagaan yg telah dikurniakan Islam bahkan menganggapnya sebagai penindasan dan penghinaan. Jahil murakkab ialah status yg paling tepat untuk mereka. Jelas, mereka terpedaya dengan slogan-slogan yg dilaungkan golongan feminis di barat. Mereka mahu menelanjangkan diri mereka daripada syariat! Hakikatnya, mereka menyembah ideologi liberal barat!

"Encik Malaysia, kamu berlagak kamu kebal. Ingat, serangan Allah maha sakti. Peluru-pelurunya berkuasa menembusi tubuh orang yg jauh lebih handal dan gagah dari kamu. Dia menyerang ikut kehendakNya. Jika ingkar perintahnya kamu mungkin tersungkur. Kamu mesti taatiNya, Dia kan Tuan kamu. Tahun lepas, Mr. Amerika cedera teruk kena peluru jenis Katrina. Tak sempat langsung nak mengelak. Jepun-kun yg pakar teknologi itu, satu dunia kenal tapi tak mampu juga lawan walaupun dah reka macam-macam ciptaan canggih untuk bertahan. Akhirnya, tersembam ke dalam bumi. Jiran kamu, Bapak Indonesia pula diserang menggunakan senjata berat jenis Tsunami. Kamu pun terluka terkena serpihan peluru itu bukan? Haiti pun menyembah bumi baru-baru ini. Si Israel celaka yg rampas tanah milik kita dan 'Ammu Palestin itu pula bergegas pergi curi organ dalaman Haiti. Baru-baru ini, dia halau pula saudara-mara kita yg beriktikaf di masjid. Dibina pula kuil jahanamnya di tepi masjid. Baiklah Encik Malaysia, saya sekadar menegur. Hmm... saya dan keluarga takut laknatNya..." kata Encik Brunei mengakhiri perbualan dengan jiran terdekatnya, Encik Malaysia yg sering mengingkari Tuannya sendiri. Encik Brunei pun memulakan langkahan dan pulang ke rumah.

Encik Malaysia kelihatan tenang sahaja bahkan otaknya sedang merancang beberapa projek mega. "Untung judi tahun 2008 dulu dapat RM 2.5 bilion. Duit ini digunakan untuk pengurusan dan pembangunan rumah.. yes!", kata Encik Malaysia lalu tersenyum tanda puas hati.

Menteri Hal Ehwal Agama Brunei, Zain Serudin menolak usul ahli Parlimen, Goh King Chin supaya zon khas jual beli arak diwujudkan untuk pelancong bukan Islam. “Yang paling kami takuti ialah laknat Allah. Laknatnya bukan pada mereka yang melakukannya sahaja tapi semua yang berada di negara ini." kata Zain Serudin. Di Mesir, Dr. Zainab Ridhwan juga pernah mengusulkan supaya arak, daging babi dan perjudian dihidangkan sebagai memuliakan tetamu-tetamu asing yg datang, bahkan menyifatkan bahawa tindakan itu ialah satu respons positif daripada kita setelah mereka meraikan kita yg tidak minum arak dan makan babi apabila berkunjung ke negara mereka!

Siapakah Dr. Zainab Ridhwan ini? Dia dan SIS di Malaysia muncul dalam satu versi yg sama. Gaya pemikiran liberal yg berselindung di sebalik nama Islam. Saya rasa anda sudah mula mengenali siapa gerangan Dr. Zainab Ridhwan ini. Beliau ialah pemegang Ijazah Kedoktoran dalam Falsafah Islamiah dari Universiti Iskandariah. Untuk pengetahuan bagi yg tidak tahu, selain Indonesia, Mesir juga merupakan sarang penyembah ideologi liberal. Bahkan tidak melampau jika saya mengatakan bahawa tokoh-tokoh liberal di Indonesia banyak menceduk pemikiran Dr. Nasr Hamid Abu Zaid, anak kelahiran Tanta, Mesir.


Jika Brunei lebih takut laknat Allah. Maka, Malaysia kelihatannya lebih takut laknat tauke-tauke arak dan judi. Laknat daripada mereka bermakna tiada lagi keuntungan haram berbilion ringgit masuk ke dalam akaun kerajaan dan saya yakin Malaysia cukup gerun dengan hal itu.


p/s: Coretan sebelum memulakan pengembaraan. Harapnya pengembaraan ini pengembaraan yg diberkati. Amiiinnn...

Sunday, January 24, 2010

Manfaat daripada non-muslim. Bolehkah?

Sesetengah orang terlalu jumud dengan pegangan mereka. Sesetengah lagi terlalu terbuka sehingga menjejaskan prinsip. Sikap tidak mahu mengambil manfaat daripada non-muslim ialah sikap yg merugikan. Ada yg berhujah, jangan menyerupai atau tasyabbuh dengan mereka. Ini kerana terdapat hadith yg melarangnya,
"Sesiapa yg menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka." Riwayat Abu Daud.

Namun, kita sepatutnya memahami dengan pemahaman yg sebenar, adakah mengambil kebaikan daripada orang kafir itu dikira tasyabbuh yg dicela syarak? Maka, bezakan antara mengambil manfaat daripada mereka dengan tasyabbuh dengan mereka. Jauh sekali perbezaannya. Kesilapan dalam memahami maksud hadith ini menyebabkan seseorang akan ketinggalan jauh di belakang. Janganlah kerana terlalu bencikan barat, maka kita abaikan segala manfaat yg boleh diambil daripada mereka.

Dalam Sunan Tirmizi dan Ibnu Majah terdapat hadith yg berbunyi,

"Hikmah itu laksana barang tercicir kepunyaan orang beriman, di mana dia menemuinya, dialah yang paling berhak mengambilnya."

Kesilapan dalam memahami hadith di atas juga bakal menjerumuskan seseorang ke lembah kesesatan dan kekufuran. Adakah kita boleh mengambil manfaat daripada non-muslim secara mutlak? Saya tertarik dengan ulasan Habib Ali Al-Jifri hafizahullah mengenai perbezaan antara mengambil faedah daripada non-muslim dan menyerupai atau tasyabbuh dengan mereka. Kita hendaklah terlebih dahulu melihat kepada apa yg ingin kita ambil daripada non-muslim. Adakah ianya dicela oleh syarak atau tidak? Jika ia tidak dicela syarak, maka ambil faedah daripadanya dan ini dikira beramal dengan hadith di atas. Jika sebahagian juzuknya dicela syarak manakala sebahagian juzuk lagi tidak, maka ambil faedah daripada juzuk yg tidak dicela sahaja lalu tinggalkan juzuk yg dicela. Sifirnya mudah sekali.

Ilmu mantik misalnya telah diislamkan oleh para ulama kita. Ilmu mantik telah dibersihkan daripada segala unsur kekufuran dan akhirnya menjadi antara silibus penting pengajian di Al-Azhar sehingga ke hari ini. Imam Ghazali dan Imam Fakhruddin Ar-Razi rahimahumallah menganggap bahawa hukum mempelajari ilmu mantik ialah fardhu kifayah dan ianya bertujuan untuk mendirikan dalil-dalil secara akli untuk membela akidah Islam sekaligus menolak syubuhat yg dilontarkan oleh musuh-musuh Islam. Manakala sebahagian ulama seperti Imam Ibnu Solah dan muridnya, Imam Nawawi rahimahumallah mengharamkan ilmu mantik hanya apabila ilmu mantik bercampur baur dengan kalam ahli falsafah yg sesat. Maka ilmu mantik yg telah suci daripada najis falsafah sesat tidaklah dilarang untuk mempelajarinya bahkan ianya termasuk dalam fardhu kifayah. Wallahu'alam. Hmmm, baru-baru ini saya terbaca komen seorang kawan yg menghentam ilmu mantik. Cukuplah menhentam ilmu mantik wahai saudara. Jangan jadi seperti anjing yg menyalak bukit.

Teori bahawa 'Kita perlu mengambil segala yg dilaksanakan barat' dengan hujah bahawa mereka telah mencapai kemajuan dan kemodenan, maka kita perlu meniru mereka secara total ialah teori yg amatlah menyesatkan. Teori inilah yg digunapakai oleh Ataturk dalam usaha memodenkan Turki setelah meruntuhkan institusi khilafah satu ketika dahulu. Si bedebah ini beranggapan Islam dan kemodenan ialah dua perkara yg saling bertentangan dan tidak boleh bersama. Ajaran Islam kononnya dilihat sebagai tidak selari dengan kemajuan dan kemodenan. Teori sesat ini masih dianuti oleh golongan muslim sekular di Turki pada hadir ini. Kekaguman mereka terhadap Ataturk masih di tahap yg tinggi. Ini jelas dilihat pada duit syiling Turki yg masih lagi terukir wajah Ataturk yg diwarwarkan sebagai Bapa Kemodenan Turki. Hakikatnya, si bedebah Ataturk dan penyembah ideologi sekular di Turki memang buta sejarah atau buat-buat buta sejarah. Lupakah mereka bahawa Islam terlebih dahulu merintis keilmuan dan kemodenan yg kemudiannya hanya diteruskan sahaja oleh barat. Barat bukanlah perintis, tapi hanya penerus. Oh ya, sila fahami bahawa saya mengkritik barat bukan kerana geografinya. Islam tiada masalah dengan geografi.

Islam semakin berkembang di barat.

Sebagaimana kita tidak menerima apa yg dibawa oleh barat secara mutlak, kita juga tidak menolaknya secara mutlak. Hujah bahawa barat ialah musuh Islam maka kita diharamkan mengambil apa sahaja yg dibawa barat merupakan hujah yg tidak berasas sama sekali. Saya masih ingat kalam Habib Umar hafizahullah yg pernah menyifatkan bahawa media elektronik yg asalnya digunakan oleh barat sebagai هادم (pembinasa) yg merosakkan umat Islam hendaklah ditukar peranannya kepada خادم (hamba) kepada umat Islam. Umat Islam perlu menjadikan kemodenan dan teknologi sebagai hamba untuk menyebarkan dakwah Islam ke seluruh pelusuk dunia. Senjata yg digunakan oleh barat untuk menyerang kita perlu dimanipulasi untuk digunakan bagi menyerang balas.

Saya kagum dengan Tuan Guru Haji Abdul Hadi hafizahullah yg telah menguasai ilmu IT sejak lebih 20 tahun yg lalu. Bahkan dari sudut penggunaan komputer atau laptop, beliau ialah seorang heavy user. Baca di sini. Alhamdulillah, sekarang kebanyakan ulama telah mempunyai laman web peribadi walaupun mungkin bukan mereka sendiri yg menguruskannya. Sekurang-kurangnya ilmu-ilmu mereka boleh berlegar-legar di alam siber setelah lama bertapak di alam maya. Himpunan kitab, artikel, audio dan video para ulama juga semakin membanjiri alam siber.

Berpegang dengan prinsip tetapi jangan sehingga jadi jumud. Berfikiran terbuka tapi jangan sehingga keluar dari orbit Islam.

~Faedah daripada cerita kartun animasi Naruto: Jiraiya menasihati Naruto, "Ninja yg sebenar bukanlah yg mempunyai banyak ilmu dan kemahiran semata-mata tetapi ninja yg sebenar ialah yg tidak berputus asa." Saya kira ini juga sikap sebenar seorang penuntut ilmu. Jangan berputus asa.

p/s: Saya bukanlah penggemar Naruto. Maka, saya minta maaf jika tersalah dalam menukilkan kalam Jiraiya.


Rujukan:

Muqawwimat Ad-Daieyah, ringkasan pengajian Al-Fikr Ad-Da'wi oleh Habib Ali Al-Jifri
Syarah As-Sulam fil Mantik karangan Syeikh Abdul Rahim Farj Al-Jundi

Blog Widget by LinkWithin