Showing posts with label Sirah. Show all posts
Showing posts with label Sirah. Show all posts
Thursday, December 31, 2009

Masih dengan isu talaqqi

Jika tulisan yg lepas membangkitkan isu 'memadai dengan kelas di dewan kuliah, tidak perlu ke kelas talaqqi', maka tulisan kali ini pula menyentuh isu yg agak bertentangan dengan tulisan sebelumnya.

Pagi tadi seorang kawan menyampaikan tazkirah subuh dan mengingatkan kesilapan yg berlaku sesama kami. Antaranya kurang kecaknaan terhadap pengajian talaqqi. Katanya, satu ketika dulu, tiada orang yg membuka jalan kepadanya untuk ke pengajian talaqqi berbeza sebagaimana hari ini. Bukan seorang ini sahaja yg merungut sebegini bahkan sudah beberapa orang menemui saya dan bercerita perkara yg sama. Dialognya sama cuma karakter yg berbeza. Saya senyum. Sejarah berulang. Itu juga derita yg saya rasai ketika mula menjejakkan kaki di Mesir satu masa dulu. Saya juga menyalahkan orang lain. Gara-gara tidak tahu di mana letaknya Madyafah, saya tersesat jauh. Walhal Madyafah hanya terletak di sebuah lorong berdekatan jalan raya. Akhirnya, sasaran dikenalpasti. Saya menemui Madyafah setelah berpeluh-peluh berjalan sambil melihat-lihat sekeliling. Pintu Madyafah tertutup rapat. Pada hari itu, saya berasa puas. Cukuplah untuk saya kenal dahulu lokasi taman syurga ini. Kelas pengajian di Al-Azhar lebih mudah dicari. Sudah tentu di dalam kawasan masjid.


Setelah beberapa ketika, saya berfikir semula tentang pendirian saya yg menyalahkan orang lain tadi. Saya cuba bersangka baik. Oh, mungkin saya tertinggal ketika kawan-kawan lain dibawa mengenali tempat-tempat talaqqi satu ketika dahulu. Maka, saya mula berpendapat bahawa kesedaran diri sebenarnya amat mampu memberi tunjuk tempat-tempat talaqqi jika tiada yg memberi tunjuk. Kesedaran diri itulah penunjuk jalan saya yg paling setia. Tapi, tugas memberi tunjuk di mana letaknya majlis-majlis ilmu tetap perlu diberikan penekanan. Atas dasar ini, saya membawa junior-junior ke tempat-tempat yg dimaksudkan. Tapi mungkin ada di kalangan junior yg juga tertinggal sebagaimana saya juga tertinggal satu ketika dahulu.

Saya sudah mahu pulang ke Malaysia. Saya tak mahu menyalahkan sesiapa. Saya pohon maaf daripada semua. Saya juga memaafkan semua.

Alhamdulillah, sekarang saya dapati semangat kawan-kawan ke kelas talaqqi semakin membara. AJKT juga tidak kurang hebatnya. Rasulullah Sollallahualaihiwasallam pernah mengutus surat kepada Hercules, mengajaknya supaya memeluk Islam. Baginda berkata, jika Hercules memeluk Islam, beliau akan mendapat dua pahala. Pahalanya memeluk Islam dan pahala rakyatnya yg mengikuti jejak langkahnya memeluk Islam. Begitu juga dengan AJKT, jika mereka ke kelas talaqqi lalu 'rakyat' turut mengikut. Maka, mereka juga dapat pahala ekstra.

Saya mahu kembali semula ke Mesir setelah pulang insya Allah. Dulu, hasrat murni saya pernah disindir. Saya kata mahu kekal empat tahun di Mesir tanpa pulang, bukan dengan nada bercakap besar tapi sebagai motivasi buat diri dan rakan-rakan. Tapi, ada suara-suara yg memperlekehkan walaupun mungkin tanpa niat. Ada juga yg mencabar. Alhamdulillah, terbukti saya berjaya menyahut cabaran. Sekarang, apabila saya menyuarakan keinginan untuk kembali semula ke Mesir setelah pulang ke Malaysia, suara-suara menyindir turut kedengaran di sekeliling. Maka, saya cuba menyahut cabaran seterusnya. Ada juga yg memujuk agar kembali. Maka, saya akan cuba termakan pujuk rayu anda.


*Madyafah ialah tempat pengajian talaqqi yg diasaskan oleh anak-anak Syeikh Ismail Sodiq Al-'Adawi, bekas Imam Masjid Al-Azhar.

p/s: Saya mahu menulis penulisan ilmiah tapi keadaan masih tidak mengizinkan :(

Saturday, December 12, 2009

Lahirnya sebilah pedang Allah

Alhamdulillah, akhirnya saya dikurniakan seorang lagi anak saudara. Hasil perkahwinan Kak Ngah dan Abang Ngah, mereka dikurniakan seorang cahaya mata pertama. Seorang putera yg bakal mendukung perjuangan Islam di masa hadapan, insya Allah. Nama yg dipilih ialah Ahmad Saifullah bin Mustafa.

Selepas ini, bolehlah saya panggil Abang Ngah dengan panggilan Abu Ahmad dan Kak Ngah pula dengan panggilan Ummu Ahmad. Begitu kebiasaaan masyarakat Arab. Rasulullah Sollallahualaihiwasallam sendiri digelar dengan Abu Al-Qasim. Al-Qasim merupakan anak Baginda yg pertama, berkat perkahwinannya dengan Sayyidatuna Khadijah Al-Kubra radiyallahuanha. Biasanya, nama anak pertama yg akan dipilih dan diletakkan 'Abu' di hadapannya bagi si bapa , manakala 'Ummu' bagi si ibu.

Namun, bukanlah satu kemestian untuk mempunyai anak. Masyarakat Arab juga menggelar seseorang dengan gelaran Abu atau Ummu walaupun seseorang itu tidak punya anak. Sayyidatuna Aisyah radiyallahuanhu digelar dengan Ummu Abdillah sedangkan beliau tidak mempunyai anak. Ada pendapat yg mengatakan beliau pernah melahirkan anak tetapi keguguran. Tapi, pendapat yg lebih kuat ialah beliau dipanggil dengan gelaran sedemikian kerana beliau mempunyai anak saudara yg bernama Abdullah yg merupakan anak kepada saudara perempuannya, Sayyidatuna Asma Zat An-Nitaqain binti Abi Bakar As-Siddiq, isteri Sayyiduna Zubair bin Al-Awwam radiyallahuanhum. Oleh sebab itulah Sayyidatuna Aisyah radiyallahuanha digelar dengan Ummu Abdillah. Sayyiduna Abdullah bin Az-Zubair akhirnya syahid dibunuh oleh Hajjaj bin Yusuf At-Thaqafi.

Abu Hurairah radiyallahuanhu yg bermaksud 'Bapa Kucing' pula digelar sedemikian kerana sifat kasih sayangnya kepada kucing. Akhirnya, Baginda mula menggelarnya dengan gelaran ini. Lalu, gelaran bagi sahabat yg paling banyak meriwayatkan hadis ini lebih masyhur daripada nama sebenarnya, berkat panggilan Baginda. Bahkan saya sendiri digelar Abu Hamid oleh seorang pakcik Arab yg baik hati, Ammu 'Azim. Saya tidak mempunyai anak, berkahwin pun belum. Tapi, mudah-mudahan berkat gelaran yg serupa dengan gelaran Hujjatul Islam Al-Ghazali rahimahullah menjadikan saya juga seorang yg gigih dalam perjuangan menuntut ilmu. Wahai Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad Al-Ghazali, engkau idolaku selain Nabi Muhammad Sollallahualaihiwasallam.

Saya setuju benar dengan nama Ahmad Saifullah. 'Ahmad' bermaksud 'yg sangat terpuji', juga merupakan salah satu nama Baginda. Terdapat 201 nama dan sifat Baginda yg tertulis di Masjid Nabawi bermula dari pintu sehingga ke mihrab. Jika yg pernah menjejakkan kaki ke sana, mungkin perasan. 'Saifullah' pula bermaksud 'pedang Allah'. Saifullah ialah gelaran Baginda kepada Sayyiduna Khalid bin Al-Walid radiyallahuanhu.


Kisah di sebalik gelaran 'Saifullah'

Rasulullah Sollallahualaihiwasallam telah mengutuskan segerombolan tentera bagi menyerang Rom sebagai menuntut bela atas kematian Al-Harith bin 'Umair Al-Azdiy radiyallahuanhu yg ditugaskan sebagai utusan Baginda kepada pemerintah Busra. Baginda telah menamakan 3 orang panglima. Panglima pertama, Zaid bin Harithah radiyallahuanhu. Jika gugur, maka Jaafar bin Abi Talib radiyallahuanhu. Jika gugur, maka Abdullah bin Rawahah radiyallahuanhu. Perang ini dikenali dengan Peperangan Mu'tah.

Pasukan tentera Muslimin yg berjumlah 3 ribu orang akan berhadapan dengan sejumlah 150 ribu tentera Rom dan golongan Kristian Arab. Perang meletus. Zaid bin Harithah radiyallahuanhu gugur syahid. Panji dipegang pula oleh Jaafar bin Abi Talib radiyallahuanhu sebagaimana yg diperintahkan Baginda. Lalu, Jaafar radiyallahuanhu juga terbunuh syahid. Lantas, Abdullah bin Rawahah radiyallahuanhu pula menggantikannya. Akhirnya , beliau juga syahid. Hampir sahaja tentera Muslimin berundur ke belakang sehinggalah 'Uqbah bin 'Amir radiyallahuanhu [1] menyeru, "Wahai kaum, sesungguhnya seorang manusia yg terbunuh dalam keadaan berhadapan dengan musuhnya lebih mulia daripada yg mati terbunuh membelakangi mereka." Tentera Muslimin kembali thabat.

Mereka sepakat melantik Khalid Al-Walid radiyallahuanhu untuk menjadi panglima perang menggantikan panglima terakhir. Amanah berat itu terpaksa ditanggungnya. Pada hari itu, beliau menyerang musuh penuh berani. Keesokannya, beliau yg terkenal dengan pakar strategi perang sejak di alam jahiliyah lagi telah menukar susunan tenteranya. Yang menunggang diarahkan supaya menggantikan kedudukan tentera yg berjalan kaki. Yang berjalan kaki pula diperintahkan menunggang kuda. Yang di sebelah kanan bertukar ke sebelah kiri. Yang kiri pula ke bergerak ke sebelah kanan. Maka, tentera Rom gentar kerana menyangka bahawa tentera bantuan telah tiba untuk menolong tentera Muslimin. Kehandalan dan kemahiran Khalid dalam ketenteraan tidak dapat disangkal lagi.

Setelah 7 hari bertempur, akhirnya tentera Rom berundur mengalah. Tentera Muslimin pula pulang ke Madinah. Sebelum berita kematian ketiga-tiga panglima sampai ke telinga Baginda, wahyu dari langit telah pun mendahului.

Baginda bersabda,
"Zaid memegang panji lalu terbunuh. Kemudian, Jaafar pula memegangnya lalu terbunuh. Kemudian, Ibnu Rawahah pula memegangnya lalu terbunuh." Air mata Baginda mengalir. Kemudian Baginda berkata, "Sehinggalah panji dipegang oleh sebilah pedang daripada pedang-pedang Allah hingga Allah memberi kemenangan kepada mereka." Riwayat Bukhari.

Ketika tentera tiba di Madinah, penduduk Madinah memanggil mereka, "Wahai orang-orang yg lari dari medan perang..." kerana menyangka bahawa berundurnya Khalid dan tentera sebagai satu kekalahan sedang Baginda pula menganggap itu sebagai strategi lalu bersabda, "Bahkan mereka ialah orang-orang yg mara...". Baginda juga memuji kehandalan Khalid Al-Walid.


Iklan tentang kecintaan Khalid Al-Walid radiyallahuanhu kepada Baginda. Kos iklan bernilai 2.5 juta Dollar


Hikmah kematian Khalid Al-Walid radiyallahuanhu di atas pembaringan

Sebahagian dari kita tertanya-tanya, mengapakah Khalid radiyallahuanhu mati di atas pembaringan sedangkan beliau telah menyertai peperangan yg teramat banyak? Mengapa Khalid radiyallahuanhu tidak terpilih mati sebagai syahid?

Para ulama kita menjawab dengan penuh bijaksana, "Pedang Allah (Saifullah) tidak akan sama sekali patah." Jika Khalid syahid di medan tempur, ini akan menjadi hujah kepada musuh Islam bahawa pedang Allah juga mampu untuk dikalahkan.

Mudah-mudahan anak buah saya yg baru lahir ini, Ahmad Saifullah mewarisi kewibawaan dan ketokohan Sayyiduna Khalid bin Al-Walid radiyallahuanhu yg bermati-matian memperjuangkan Islam tanpa mengenal erti penat dan lelah. Ya Allah, himpunkan kami bersama-sama mereka. Amin.


[1] Beliau dikebumikan di Kaherah. Sesiapa yg berada di Kaherah, luangkan masa untuk menziarahi beliau.

Monday, December 7, 2009

Drama cinta yg bagus untuk ditonton

Saya baru sahaja 'habis' menonton 'Muhammad Sollallahualaihiwasallam-The Final Legacy'. Menonton drama atau filem bersama saya sungguh mudah tapi mungkin tidak memuaskan anda. Filem Ketika Cinta Bertasbih selama lebih 2 jam berjaya saya habiskan sekitar 20 minit sahaja. Semasa menonton filem ini, saya lebih berminat untuk melihat latar tempat filem ini berlangsung. Seronok juga melihat tempat saya lalu lalang, kawasan belajar: kawasan yg menyimpan 1001 kenangan akhirnya masuk filem. Bahkan, kalau diminta untuk bercerita tentang filem ini, saya akan mensyarahkan latar tempatnya, bukan jalan ceritanya. Bagi drama bersiri 'Muhammad Sollallahualaihiwasallam-The Final Legacy' pula, saya tidak menghabiskan kesemua 30 episod. Ketika mulai menonton lagi, saya berkeyakinan penuh bahawa saya tidak akan menghabiskan kesemuanya. Saya bermula dengan episod ke-2 kerana tiada episod pertama. Selesai episod ke-2, saya tonton pula sebahagian episod ke-3, lalu saya terus melompat ke episod ke-24. Jika sudah ada episod ke-30, tentu episod itu mengakhiri slot menonton saya. Saya hanya menonton melalui Youtube. Walaupun kualitinya kurang bagus, saya boleh tersenyum tanda puas.


Trailer 'Muhammad Sollallahualaihiwasallam-The Final Legacy'

Drama berbahasa Arab ini disiarkan di Islam Channel. Drama ini agak bagus walaupun ada perkara yg kurang menyenangkan saya. Saya nyatakan kemudian. Bahasa Arab yg digunakan pula ialah Bahasa Arab Fusha (bukan bahasa pasar) yg memang merupakan bahasa pertuturan masyarakat Arab pada zaman dahulu. Ini membantu saya berkhayal membayangkan suasana sebenar di zaman itu. Tiada peluang untuk mendengar bahasa begini digunakan secara live kecuali dengan membaca Al-Quran, Hadis dan ketika di dewan-dewan kuliah dan masjid-masjid (bukan semua dewan kuliah/masjid dan bukan setiap waktu). Bagi yg tidak memahami bahasa Arab, anda masih berpeluang menontonnya dengan bantuan sarikata Bahasa Inggeris. Jikalau Bahasa Inggeris pun tidak membantu, maka sekurang-kurangnya anda masih boleh menonton gerak-geri para pelakonnya lalu mengangguk-angguk, samada kerana faham atau berlagak faham.

Barisan pelakon drama ini terdiri daripada 203 orang pelakon popular dari Jordan, Syria dan Lubnan. Drama ini mengisahkan sirah Rasulullah Sollallahualaihiwasallam sejak kelahirannya sehingga kewafatannya. Sirah hidup Baginda banyak keistimewaannya. Keistimewaan yg hanya ada pada sirah Baginda, tidak pada sirah para anbiya mahupun tokoh-tokoh agama dan ideologi lain.

"Keistimewaan ini tidak terdapat pada sirah nabi atau tokoh yg lain. Sebagai contoh, sirah Nabi Musa 'alaihissalam telah dicampur adukkan dengan tokok tambah yg dilakukan oleh Yahudi. Ini tidak memungkinkan kita untuk merujuk Taurat pada hari ini untuk mengetahui sirah sebenar Nabi Musa 'alaihissalam.

Pengkritik dari Barat menyatakan kesangsian mereka terhadap sebahagian kitab suci mereka. Mereka menegaskan bahawa sebahagian kitab itu tidak ditulis pada zaman kehidupan Musa 'alaihissalam ataupun selepas zamannya dalam jarak masa yg dekat tetapi ia ditulis selepas itu dalam jarak masa yg jauh tanpa diketahui pula siapa penulisnya. Ini sudah mencukupi untuk berasa syak terhadap sirah Musa 'alaihissalam yg terdapat dalam Taurat. Jadi tidak mungkin bagi seorang Muslim yg ingin mengetahui sirah Musa 'alaihissalam merujuk Taurat bahkan hendaklah dia merujuk apa yg disebut oleh Al-Quran dan Hadith yg sahih.


Begitu juga halnya dengan sirah Isa 'alaihissalam. Injil-injil yg diiktiraf secara rasmi oleh gereja seluruh dunia pada hari ini diakui ditulis ratusan tahun selepas zaman Isa. Injil-injil ini telah dipilih daripada ratusan injil yg tersebar di tangan-tangan Kristian pada waktu itu dan pemilihannya tidak berpandukan manhaj yg ilmiah. Bahkan penisbahan injil-injil ini kepada penulisnya juga tidak dapat dipastikan secara ilmiah. Ia tidak diriwayatkan dengan sanad yg bersambung kepada penulisnya. Pengkritik dari Barat juga berkhilaf tentang nama-nama penulis Injil ini dan pada zaman manakah mereka sebenarnya? Rujuk 'Is The Bible God's Word' karangan Ahmad Deedat Rahimahullah.
"


Untuk lebih lanjut lagi, boleh baca tulisan saya di sini dan di sini.

Drama ini boleh dikategorikan sebagai drama yg Islamik memandangkan ianya bersih dari adegan-adegan yg 'bahaya'. Lebih-lebih lagi ia mengisahkan tentang perjalanan hidup seorang Rasul. Namun, perkara yg kurang menyenangkan saya ialah sebahagian skripnya. Jika Muslim yg membacanya, saya bimbang akidahnya boleh tergugat. Contohnya ketika Kafilah Dagang Quraisy ingin bertolak menuju ke Syam dalam Rihlat As-Shoif mereka. Skripnya berbunyi, "Kita bertolak dengan pemeliharaan daripada Tuhan-tuhan..." Saya kira skrip seperti ini tidak diperlukan walaupun untuk menggambarkan kepercayaan dan pegangan masyarakat Arab Jahiliyah ketika itu. Cukup dengan patung-patung berhala di sekeliling tapak penggambaran. Saya bersangka baik di sebalik tabir penggambaran, ada ulama yg menjadi sumber rujukan.

Berkenaan hukum melakonkan watak nabi dan sahabat, saya pernah menulisnya di sini. Berdasarkan pemerhatian saya secara tidak menyeluruh, saya dapati drama ini mengikut sebahagian syarat yg digariskan ulama tapi saya tidak pasti adakah ia mengikut sebahagian syarat yg lain. Di dalam filem Ar-Risalah atau The Messenger arahan Mustafa Akkad yg disiarkan pada tahun 1976, pelakon utamanya ialah Anthony Quinn. Maka ada yg salah faham menganggap Anthony Quinn yg melakonkan watak Nabi sedangkan sebenarnya dia melakonkan watak bapa saudara Nabi, Saidina Hamzah radiyallahu anhu, Singa Allah. Jika tidak salah saya, watak Nabi di dalam filem itu ditunjukkan sebagai cahaya. Dalam drama 'Muhammad Sollallahualaihiwasallam-The Final Legacy' pula, hanya ditunjukkan sebatang tongkat yg merujuk kepada watak Baginda. Tiada watak 4 Khalifah, 10 Yang Dijanjikan Syurga dan Para Isteri Nabi Ummahatul Mukminin yg dilakonkan.

Maka syarat yg melarang melakonkan watak Nabi, dan para sahabat tertentu yg disebut di atas berjaya ditepati namun bagaimana pula dengan syarat-syarat yg lain? Antaranya, pelakon yg memegang watak para sahabat Nabi hendaklah di kalangan pelakon yg bagus cara hidupnya. Dia tidak boleh memegang watak sahabat nabi kemudian dalam waktu yg lain dia muncul dengan imej yg buruk. Wallahu'alam.


Sedutan filem Ar-Risalah

Mungkin ada yg tertunggu-tunggu apakah judul drama cinta yg saya promosikan. Drama inilah yg saya maksudkan. Drama cinta yg menambahkan cinta kepada Rasulullah Sollallahualaihiwasallam. Cinta pada hari ini disalahertikan bahkan lebih kerap merujuk kepada cinta antara lelaki dan wanita. Drama ini juga secara tidak langsung 'mengajar' subjek Sirah Nabawiyah yg mungkin tiada dalam bidang pengkhususan anda yg belajar di sekolah atau universiti.

Jika anda malas, bosan atau malu membaca buku Sirah, maka ini peluang terbaik untuk anda mengenal kisah perjuangan seorang Rasul yg teramat cinta dan sayangkan anda! Di saat ajal datang bertamu, lidah Baginda yg mulia tidak henti-henti menyebut "Ummati, ummati". Betapa sayangnya Baginda akan umatnya. Baginda berdoa memohon agar seksa maut umatnya ditimpakan ke atasnya. Baginda rela jasadnya menderita kesakitan menanggung seksa maut umatnya. Betapa cintanya Baginda kepada umatnya. Namun, adakah cinta itu berbalas?

Saya sedang menghitung hari. Detik-detik terakhir di Bumi Mesir sebelum pulang ke tanah air perlu digunakan sebaik mungkin. Ini mungkin tulisan-tulisan terakhir saya di sini. Hari ini Kak Ngah saya dijangka melahirkan anak. Doakan Kak Ngah dan anak saudara saya selamat. Insya Allah, lahir seorang lagi pejuang agamaMu Ya Allah!


Thursday, September 17, 2009

Jawapan Kuiz Syahrul Huda siri 1


Sempena Program Syahrul Huda anjuran KPT, al-faqir sekali lagi dilantik menjadi panel penggubal soalan kuiz. Sebelum ini, kuiz sempena HIKMAT. Siri satu telah berlalu. Di kesempatan ini, saya ingin berkongsi dengan para pembaca soalan-soalan tersebut berserta jawapan-jawapannya. Tahniah saya ucapkan kepada pemenang siri satu. Jawapan-jawapan untuk kuiz siri kedua dan ketiga akan menyusul.

Jawapan Kuiz Ramadhan Siri 1:


1-

Jawapan :

2- ialah . . . . .

Jawapan : (huruf sin berbaris atas) ialah makanan yang dimakan waktu bersahur – manakala (huruf sin berbaris depan) ialah perbuatan makan sahur.

3- Puasa Ramadhan difardhukan pada tahun ke - . . . . . Hijrah.
Jawapan : Tahun ke-2 Hijrah – pada bulan Syaaban.


4- Siapakah orang pertama yg menunaikan Solat Tarawih?
Jawapan : Nabi Muhammad Sollallahualaihiwasallam.


5- Solat Tarawih hanya boleh didirikan setelah menunaikan solat . . . . .
Jawapan : Solat Isyak


6- Salah satu riwayat daripada Imam Malik rahimahullah: Solat Tarawih ditunaikan sebanyak . . . . . rakaat berdasarkan ‘Amal Ahli Madinah, tetapi riwayat yg masyhur daripada beliau ialah 20 rakaat.
Jawapan : 36 rakaat

7- Hukum Al-Hijamah (berbekam) ketika berpuasa menurut Mazhab Syafie ialah . . . . .
Jawapan : Makruh – begitu juga di sisi Mazhab Abu Hanifah dan Mazhab Maliki, manakala membatalkan puasa di sisi Mazhab Hanbali apabila darah telah keluar.



8- Lelaki yg melakukan jimak dengan sengaja ketika puasa Ramadhan diwajibkan ke atasnya kaffarah iaitu, memerdekakan seorang hamba yg beriman dan jika tidak mampu, . . . . . . . . . . dan jika tidak mampu, memberi makan 60 orang miskin.
Jawapan : Puasa dua bulan berturut-turut – wajib mengikut tertib di atas berdasarkan pendapat Jumhur, manakala di sisi Mazhab Maliki wajib secara takhyir (pilihan) samada beri makan 60 orang miskin (paling afdhal), atau puasa 2 bulan berturut-turut atau memerdekakan seorang hamba.



9- Masuknya bulan Ramadhan ditentukan melalui dua perkara: 1- Nampak anak bulan Ramadhan. 2- . . . . . . .
Jawapan : Menyempurnakan bulan Syaaban sebanyak 30 hari – hanya dua cara di atas sahaja yg digunakan pada zaman Nabi SAW, namun pada zaman sekarang masuknya bulan Ramadhan boleh ditentukan dengan satu lagi cara iaitu kaedah ilmu falak.


10- Pada tarikh 19 Ogos 2009, hari Khamis, KPT telah menganjurkan sebuah program diskusi kitab yg khas hanya membicarakan hukum hakam puasa yg bertempat di Dewan Rumah Terengganu. Sebutkan nama penuh kitab itu.

Jawapan: – karangan Syeikh Hasan bin Ahmad bin Muhammad Al-Kaf hafizahullah.


Tuesday, June 23, 2009

Abu Ayyub Al-Ansari siri 3 (akhir)

Azhan, saya akan maklumkan pemergian kamu ke Turki kepada seorang kenalan saya di sana. Namanya Serdar. Saya kenalinya di Mekah. Dia seorang yg baik hati dan peramah. Kalau bernasib baik mungkin kamu dijemput ke rumahnya. Untuk pengetahuan kamu, Serdar merupakan seorang pemuda yg pernah menerima didikan di sebuah markaz Tullab An-Nur di Turki. Tullab An-Nur yg bermaksud Pelajar-pelajar Cahaya merupakan gelaran kepada para pendukung pemikiran Imam Mujahid Mujaddid Bediuzzaman Sa'id Nursi Rahimahullah.

Saya kira siri 3 ini merupakan siri terakhir bagi entri Abu Ayyub Al-Ansari radiyallahuanhu.

Pada siri yg lepas, saya menulis tentang kisah Abu Ayyub radiyallahuanhu yg menjamu Rasulullah Sollallahualaihiwasallam. Baginda tidak akan membiarkan begitu sahaja seseorang melakukan kebaikan kepadanya, bahkan beliau akan membalas kebaikannya itu. Baginda memanggil Abu Ayyub radiyallahuanhu dan menghadiahkannya seorang hamba perempuan yg kecil. Lalu, Baginda mewasiatkan supaya berlaku baik kepadanya. Abu Ayyub dan isteri berbincang cara untuk melaksanakan wasiat Baginda. Akhirnya, mereka sepakat untuk memerdekakan hamba itu. Itulah yg difikirkan oleh Abu Ayyub radiyallahuanhu sebagai cara terbaik untuk berlaku baik kepada hamba. Betapa mulianya Abu Ayyub dan isterinya!

Kita telah membaca kisah-kisah Abu Ayyub radiyallahuanhu ketika kehidupan biasanya. Bagaimana pula ketika waktu peperangan? Kesimpulan yg dapat saya buat, beliau ialah seorang pahlawan yg berani dan berjiwa besar.


Masjid Eyup Sultan di Istanbul. Kredit kepada cemsultan di trekearth.com


Abu Ayyub, Mujahid Ulung

Abu Ayyub radiyallahuanhu telah menghabiskan kebanyakan masa hidupnya dengan berjihad di jalan Allah. Sehingga dikatakan beliau tidak pernah ketinggalan dalam apa jua peperangan sejak zaman Rasulullah Sollallahualaihiwasallam sehingga ke zaman Muawiyah radiyallahuanhu, kecuali jika beliau juga sedang terlibat dalam peperangan yg lain pada masa yg sama.

Beliau berasa puas untuk hidup sebagai seorang tentera Islam. Berperang di bawah panji Islam. Mempertahankan kesucian Islam. Ketika berlakunya pertelingkahan antara Saidina Ali radiyallahuanhu dan Saidina Muawiyah radiyallahuanhu, beliau memilih untuk berpihak kepada Saidina Ali. Ijtihadnya tepat sekali.

Peperangan terakhir yg disertai Abu Ayyub radiyallahuanhu ialah peperangan untuk membuka Kota Konstatinople yg berlaku di zaman Saidina Muawiyah. Peperangan ini telah diketuai oleh Yazid. Ketika itu Abu Ayyub berusia sekitar 80 tahun. Namun, usianya yg tua langsung tidak menghalangnya untuk turut sama menyertai pasukan tentera Allah mengharungi lautan, berjihad di jalan Allah. Beliau tidak puas melihat tentera Muslimin bersedia menggempur musuh tanpa menggabungkan dirinya bersama. Lantas, beliau mengangkat pedangnya bersemangat lalu menuju ke medan jihad untuk mencari syahid yg telah lama dirindukan.

Tetapi takdir Alah mendahului segala-galanya. Abu Ayyub radiyallahuanhu jatuh sakit sekaligus menghalangnya daripada meneruskan perang. Yazid bin Muawiyah, sebagai panglima perang menziarahinya lalu bertanya,

"Adakah engkau mempunyai apa-apa hajat wahai Abu Ayyub?"

Ketika sedang bertarung dengan maut ketika detik-detik kematiannya itu, beliau telah menyampaikan pesanan yg menjadi pedoman kepada setiap pejuang Islam yg berjuang di jalan Allah. Abu Ayyub radiyallahuanhu seolah-olah enggan meninggalkan medan perang. Hidup dan matinya diwakafkan untuk perjuangan suci. Maka, Abu Ayyub radiyallahuanhu menjawab pertanyaan Yazid,

"Sampaikan salamku kepada tentera Muslimin. Katakan kepada mereka, Abu Ayyub mewasiatkan kamu supaya menyerang sejauh yg mungkin ke dalam perbatasan musuh. Dan hendaklah kamu membawa jasadnya bersama dan mengebumikannya di bawah kaki-kaki kamu di sisi dinding Kubu Konstatinople."


Abu Ayyub radiyallahuanhu pun menghembuskan nafasnya yg terakhir. Para tentera Muslimin menyahut permintaan sahabat Rasulullah Sollallahualaihiwasallam yg mulia itu. Mereka menyerang tentera musuh dengan penuh semangat. Serangan demi serangan yg dilancarkan akhirnya membolehkan mereka tiba ke dinding Kubu Konstatinople. Jasad mulia yg dibawa itu akhirnya diturunkan lalu dikebumikan di situ. Sebagai bukti bahawa hidup dan matinya ialah di medan jihad!

Beliau seolah-olah ingin jasadnya disemadikan di sana untuk menunggu saat terdengarnya bunyi kaki-kaki kuda tentera Muslimin masuk ke Kota Konstatinople dengan membawa kemenangan dan kemuliaan Islam. Impiannya itu kini disaksikan seluruh dunia. Islam bertapak bersama khilafah. Dunia menyaksikan bahawa kota Konstatinople yg dikenali dengan nama Istanbul pada hari ini menyimpan jasad seorang mujahid ulung, sahabat Rasulullah Sollallahualaihiwasallam.

Ya Allah, muliakanlah kami sebagaimana Engkau muliakan sahabat-sahabat NabiMu... Amiiinnn...

Saya tidak mengetahui secara tepat di manakah lokasi kubur Abu Ayyub radiyallahuanhu. Pandai-pandailah kamu mencarinya. Di Turki, nama Abu Ayyub Al-Ansari disebut dengan Eyup Sultan. Setakat ini sahaja yg mampu saya bantu. Saya mahu kamu sampaikan salam rindu, salam hormat dan salam kagum hamba hina ini kepada Abu Ayyub! Saya mahu kamu pulang dengan semangat Abu Ayyub!

Jangan lupa juga sampaikan salam saya kepada Sultan Muhammad Al-Fatih, Imam Bediuzzaman Sa'id Nursi (tapi lokasi kuburnya tidak diketahui kerana jasadnya dicuri tiga bulan selepas pengebumiannya oleh golongan yg celaka) dan sesiapa sahaja tokoh ummah di sana. Jangan lupa bawa pulang berkat khazanah peninggalan Rasulullah Sollallahualaihiwasallam dari Muzium Topkapi yg asalnya ialah sebuah istana khalifah. Kalau berkesempatan, ziarah juga Habibunnajjar di Antakia. Tentu masjidnya sudah siap diubahsuai. Begitu juga Jalaluddin Ar-Rumi di Konya. Jangan leka shopping di Grand Bazar.

Saya mengembara ke Turki dengan berbaju Melayu, tapi ini tidak bererti saya seorang nasionalis

Kenang kembali bahawa di bumi Turki pernah bertapaknya sebuah khilafah. Namun, ia runtuh dan meninggalkannya kenangannya. Semuanya gara-gara perbuatan durjana Ataturk. Tapi syukur, kini tiada lagi azan dalam bahasa Turki. Kalau bertemu Imam Masjid Sultan Ahmet, kamu katakan kepadanya dua tahun lepas kawan-kawan kamu pernah bertemu dan berbual dengannya. Ingat, Muzium Aya Sophea itu pernah dijadikan masjid. Oh ya, jangan lupa mewakili saya untuk memijak dan meludah kubur si celaka Ataturk yg dilaknat! Tapi, jangan pula dibuang duit syiling yg terukir padanya gambar si Ataturk laknat ini. Saya tidak suka memanggilnya dengan nama Mustafa Kamal kerana dia bukan seorang yg 'Mustafa' apatah lagi seorang yg 'Kamal'!

Kirim salam juga kepada Necmettin Erbakan, Abdullah Gul dan Recep Tayyip Erdogan!

Betulkan niat kamu. Doakan saya dalam permusafiran kamu. Doa orang musafir mustajab.

Anas bin Malik radiyallahuanhu berkata apabila tiba bulan Rejab, Baginda Sollallahualaihiwasallam berdoa,
اللهم بارِكْ لنا في رجب وشعبان وبَلِّغْـنا رمضان
"Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan."

Walaupun sanad hadith ini dhaif tetapi kebanyakan ulama mengatakan harus dan sunat beramal dengan hadith dhaif selagi mana tidak maudhu' atau terlalu teruk kedhaifannya. Jadi banyakkan berdoa dengan doa ini sepanjang bulan.

p/s: Jazakumullah kepada Ustaz Abdul Manan kerana memberi pinjam kitab-kitabnya.


Rujukan:

-Suwar Min Hayat As-Sohabah karangan Dr. Abd Rahman Ra'fat Al-Basha
-Rijal Haula Ar-Rasul Sollallahualaihiwasallam karangan Khalid Muhammad Khalid

Saya perlu menyiapkan kisah sahabat mulia ini secepat yg mungkin. Azhan, Zulfahmi dan Hisham akan bertolak ke Turki pada malam esok. Saya tahu mereka boleh google dan akan menemui kisah-kisah yg lebih bagus daripada hasil tulisan saya. Namun, saya telah pun seakan-akan berjanji dengan Azhan untuk menulis tentang sahabat Nabi ini.

Harapnya permusafiran mereka ke Turki adalah pengembaraan penuh spiritual. Banyak tempat menarik di sana. Kembara saya ke sana dua tahun lepas tidak sempurna. Masalah masa dan kewangan menghalang saya daripada menziarahi Abu Ayyub Al-Ansari radiyallahuanhu. Saya harap mereka dapat manfaatkan tempoh 8 hari di sana. Jangan lupa kirim saya yg hina ini kepada sahabat Nabi yg mulia, Abu Ayyub Al-Ansari!



Kisah Abu Ayyub menjamu Rasulullah, Abu Bakar dan Umar

Ibnu Abbas radiyallahuanhuma meriwayatkan, Abu Bakar radiyallahuanhu telah keluar ke masjid pada waktu panas terik lalu dilihat oleh Umar radiyallahuanhu seraya berkata, "Wahai Abu Bakar! Apa yg menyebabkan kamu keluar pada waktu ini?"

Abu Bakar radiyallahuanhu menjawab, "Tiada yg menyebabkan aku keluar melainkan rasa lapar yg teramat sangat."

Umar radiyallahuanhu berkata, "Demi Allah, tiada yg menyebabkan aku keluar selain perkara itu juga!" Rupa-rupanya Umar radiyallahuanhu juga kelaparan.

Lalu, datanglah Rasulullah Sollallahualaihiwasallam kepada mereka berdua dan bertanya, "Apa yg menyebabkan kamu berdua keluar pada waktu ini?"

Kedua-dua berkata, "Tiada yg menyebabkan kami keluar melainkan rasa lapar yg bersangatan."

Lalu berkatalah lidah yg mulia itu, "Dan aku, demi Allah yang aku berada di dalam genggamanNya, tiada yg menyebabkan aku keluar kecuali perkara itu. Bangunlah kamu berdua bersama aku."

Mereka menuju ke rumah Abu Ayyub Al-Ansari radiyallahuanhu. Setiap hari, beliau menyimpan makanan untuk Baginda. Apabila telah lewat dan Baginda tidak datang kepadanya pada waktu kebiasaannya, beliau akan memberi makanan itu kepada keluarganya.

Apabila tiba di pintu rumah, Ummi Ayyub radiyallahuanha iaitu isteri kepada Abu Ayyub radiyallahuanhu keluar lalu mempersilakan mereka, "Selamat datang Nabi Allah dan siapa saja yg bersamanya."

Lalu Baginda bertanya sahabiah mulia itu, "Abu Ayyub di mana?"

Maka, Abu Ayyub radiyallahuanhu terdengar suara mulia itu. Suara yg tidak perlu diperkenalkan lagi. Beliau cukup kenal suara itu. Lantas beliau meninggalkan kerjanya di kebun tamarnya untuk mengadap Baginda. Beliau berkata, "Selamat datang Rasulullah dan siapa saja yg bersamanya." Lalu bersuara lagi, "Wahai Nabi Allah, ini bukanlah waktu yg selalunya kamu datang."

Baginda menjawab, "Kamu benar." Kemudian Abu Ayyub radiyallahuanhu segera pergi ke pohon tamarnya. Beliau memotong serumpun tamar yg bercampur antara tamar yg masak dan separa masak.


Baginda memberitahu agar cukuplah dengan tamar yg masak sahaja. Namun, sahabat mulia ini tetap mahu menyediakan yg terbaiknya untuk tetamu-tetamu besarnya lantas berkata, "Wahai Rasulullah, aku lebih suka kamu makan tamar yg masak dan separa masak. Dan sesungguhnya aku akan menyembelih ternakan untuk kamu juga."

Baginda menjawab, "Jika kamu ingin sembelih, maka jangan sembelih yg sedang mengeluarkan susu."

Abu Ayyub radiyallahuanhu menyembelih seekor kambing muda. Si isteri pula mengadun tepung untuk dibuat roti. Sebahagian daging sembelihan diambil oleh Ummi Ayyub radiyallahuanha untuk dimasak sementara sebahagian lagi untuk dipanggang. Apabila hidangan telah pun tersedia di hadapan, Baginda mengambil sepotong daging dan diletakkan di dalam roti lalu berkata,

"Wahai Abu Ayyub! Segeralah pergi kepada Fatimah bersama sepotong daging ini. Sesungguhnya telah beberapa hari dia tidak merasa makanan sebegini."

Saksikanlah, betapa indahnya akhlak yg ditunjukkan oleh Abu Ayyub Al-Ansari dan isterinya. Masih wujud lagikah jiran semulia mereka?!


Hadith Al-Ifki: Abu Ayyub dan isterinya pembela Ummul Mukminin Aisyah Radiyallahuanha

Hadith Al-Ifki merujuk kepada peristiwa fitnah yg dilontarkan oleh golongan munafik terhadap Saidatina Aisyah radiyallahuanha dan Saidina Safwan radiyallahuanhu ketika pulang daripada peperangan Bani Mustaliq atau peperangan Al-Muraisi'. Abdullah bin Ubai bin Salul, ketua munafik Madinah berperanan besar dalam menyebarkan fitnah berat ini. Saidatina Aisyah dan Saidina Safwan ibnu Al-Mu'attol dituduh melakukan perbuatan terkutuk. Celakalah puak munafik!

Dalam peristiwa ini, para sahabat terbahagi kepada beberapa kumpulan:

  • Kumpulan pertama: Kebanyakan sahabat. Mereka memekakkan telinga dan membisukan lidah daripada terlibat dengan fitnah ini. Mereka tidak bersuara melainkan dengan kata-kata yg baik.

  • Kumpulan kedua: Mereka bersegera mendustakan fitnah ini. Mereka tidak mendiamkan diri untuk menghapuskan fitnah dahsyat ini. Antara mereka ialah Abu Ayyub Al-Ansari dan isterinya, Ummu Ayyub. Mereka menyifatkan khabar ini ialah fitnah yg besar. Mereka membersihkan Saidatina Aisyah radiyallahuanha daripada segala tohmahan dan tuduhan palsu ini. Inilah golongan contoh yg dipuji oleh Al-Quran dalam surah An-Nur ayat 12. Betapa mulianya Abu Ayyub dan isterinya!

  • Kumpulan ketiga: Mereka tidak membenarkan khabar ini. Tidak juga mendustakannya dan tidak juga menafikannya. Tetapi mereka berkata-kata dengan apa yg diperkatakan oleh golongan munafik tentang fitnah ini. Mereka fikir mereka hanya sekadar menukilkan kata-kata mereka sahaja, mereka tidak menuduh zina.

  • Kumpulan keempat: Kumpulan si celaka Abdullah bin Ubai bin Salul yg mereka-reka cerita. Al-Quran telah mengisyaratkan bahawa kematian mereka ialah di atas kekufuran, taubat mereka tidak akan diterima dan mereka akan dilaknat di dunia dan akhirat.

Akhirnya turunlah sepuluh ayat daripada Surah An-Nur iaitu daripada ayat 11 hingga 20, yg membersihkan Saidatina Aisyah daripada segala fitnah.


Saksikanlah betapa mulianya Abu Ayyub Al-Ansari dan si isteri. Mereka membela dengan bersungguh di kala orang lain sedang kebingungan akibat fitnah puak munafik.

Hadirkan kisah ini ketika menziarahi beliau. Beliau telah membersihkan ibu kita, Ummul Mukminin Aisyah radiyallahuanha ketika ibu difitnah dan ditohmah.


Rujukan:

-Suwar Min Hayat As-Sohabah karangan Dr. Abd Rahman Ra'fat Al-Basha
-Qutuf min Al-Huda An-Nabawi karangan Dr. Mustafa Muhammad Abu 'Imarah


"Saya ingin ke Turki", kata Doktor Azhan. Saya segera memberitahunya, "Jangan lupa ziarah Saidina Abu Ayyub Al-Ansari radiyallahuanhu!" Lalu, Azhan terus meminta saya menceritakan dengan lebih terperinci kepadanya kisah sahabat Rasulullah Sollallahualaihiwasallam yg mulia ini. Saya suarakan cadangan saya agar Azhan membacanya melalui blog hina ini. Saya mula membelek-belek kitab. Ketika sedang membaca sejarah hidup tokoh unggul ini, saya dipanggil oleh Budin untuk makan tengahari. Seusai makan, saya teruskan pembacaan. Saya sedang berusaha memenuhi permintaan sahabat seperjuangan saya, Azhan untuk menulis tentang seorang tokoh unggul ini. Khas untukmu wahai sahabat!

Abu Ayyub Al-Ansari radiyallahuanhu merupakan salah seorang sahabat Baginda yg amat rapat dengan Baginda. Nama sebenarnya ialah Khalid bin Zaid bin Kulaib. Beliau berasal dari Bani Najjar. Gelaran Al-Ansari yg diperolehnya ialah kerana nisbah kepada golongan Ansar. Beliau dikebumikan di Istanbul, Turki. Kisah kematiannya di sana amat unik sekali.

Sekumpulan muslim berdoa di hadapan makam Abu Ayyub Al-Ansari. Kredit kepada rigoletto di trekearth.com

Peristiwa hijrah yg bersejarah benar-benar mengubah hidupnya. Ketika tiba di Madinah, Baginda berjalan di tengah-tengah khalayak ramai yg telah sekian lama menanti ketibaannya. Hati mereka penuh dengan kerinduan dan kecintaan. Semua mahu Baginda berhenti di hadapan rumah mereka dan menjadi tetamu mereka. Pintu-pintu rumah dibiarkan terbuka. Unta yg ditunggang Baginda sampai di kediaman Bani Salim bin Auf. Mereka menyekat laluan unta semata-mata mengharapkan Baginda berhenti di situ dan menjadi tetamu mereka. Baginda berkata dengan lembut, sedang tangan mereka telah pun memegang tali unta, "Biarkan ia, sesungguhnya ia telah diperintahkan."

Unta tersebut melepasi satu demi satu kawasan di Madinah. Setiap kaum menyekat laluan unta dengan harapan Baginda turun dan menjadi tetamu mereka. Terukir di wajah Baginda senyuman lalu bersabda lagi, "Biarkan ia, sesungguhnya ia telah diperintahkan."

Akhirnya unta berhenti di satu kawasan lapang. Lalu duduk di hadapan kediaman Bani Malik bin An-Najjar itu. Baginda masih belum turun. Kemudian si unta bangkit kembali dan berpusing-pusing mengelilingi tempat itu sehinggalah ia kembali ke tempat asal tadi. Lalu, turunlah Baginda di tempat yg telah dipilih oleh Allah. Di tapak itulah akan dibina sebuah masjid. Di sampingnya akan dibina bilik-bilik untuk Baginda dan isteri-isterinya yg mulia.

Lalu, tampil seorang lelaki. Tapak perhentian unta taat itu telah ditakdirkan berada di kawasan depan rumahnya. Tampak jelas di wajahnya kegembiraan dan keceriaan. Beliau tampil lalu membawa barangan Baginda masuk ke rumahnya. Lalu, dijemput pula Baginda untuk masuk. Gembiranya lelaki itu bukan kepalang. Seolah-olahnya dia membawa masuk seluruh khazanah dunia ke rumahnya. Bahkan hakikatnya lebih daripada itu. Bahagianya lelaki itu bertetamukan kekasih Allah. Lelaki itu ialah Abu Ayyub Al-Ansari. Seorang pahlawan hebat, cucu kepada Malik bin An-Najjar.


Peristiwa Baiah Aqobah Kedua

Ketika delegasi dari Madinah pergi ke Mekah untuk berbaiah dengan Baginda, baiah yg diberkati yg terkenal dengan 'Baiah Aqobah Kedua', Abu Ayyub termasuk di kalangan 70 orang lelaki yg berjanji setia dengan Baginda.


Peristiwa di Rumah Abu Ayyub Al-Ansari

Rumah beliau dua tingkat. Beliau sengaja mengosongkan tingkat atas untuk dijadikan tempat penginapan Baginda. Namun, Baginda memilih untuk berada di tingkat bawah. Abu Ayyub Al-Ansari terpaksa akur. Apabila malam menjelang dan Baginda ingin masuk ke tempat tidur, Abu Ayyub dan isterinya naik ke tingkat atas. Lalu, barulah Abu Ayyub tersedar dan berpaling ke arah isterinya seraya berkata,

"Apa yg telah kita lakukan?! "

"Adakah Rasulullah berada lebih rendah dan kita lebih tinggi daripadanya? "

"Adakah kita berjalan di atas Rasulullah?! "

"Adakah kita berada di antara Rasulullah dan wahyu? Jika begitu, maka celakalah kita!!"

Maka, mereka tidak berjalan di bahagian tingkat atas yg selari dengan tempat tidur Baginda. Mereka tidak berjalan melainkan di kawasan tepi yg berjauhan daripada kawasan tengah yg selari dengan tempat tidur Baginda di tingkat bawah.

Pada paginya, Abu Ayyub mengadu kepada Baginda bahawa beliau tidak dapat tidur lena. Begitu juga si isteri. Lalu, beliau menceritakan, "Aku teringat bahawa aku berada di atas rumah, manakala engkau berada di bahagian bawah. Dan apabila aku bergerak, aku bimbang jika debu-debu berjatuhan ke atasmu lalu menyusahkanmu. Kemudian aku berjalan pula di antaramu dan di antara wahyu."

Baginda bersuara, "Bertenang wahai Abu Ayyub, sesungguhnya lebih baik bagi kami untuk berada di bawah, kerana ramainya orang yg menziarahi kami."

Abu Ayyub akur dengan perintah Baginda, sehinggalah tiba satu malam yg sejuk. Ketika di tingkat atas, bekas airnya pula pecah lalu airnya mengalir. Beliau dan isteri bersegera untuk mengelapnya. Mereka tidak punya kain lain melainkan sehelai kain yg digunakan sebagai selimut. Mereka menggunakannya juga bimbang-bimbang air tersebut mengalir terkena Baginda. Apabila pagi menjelang, beliau menceritakan apa yg berlaku dan memujuk Baginda supaya berpindah ke tingkat atas sehinggalah Baginda setuju. Abu Ayyub dan isteri pula turun ke bawah.

Baginda menetap di rumah Abu Ayyub selama lebih kurang 7 bulan sehinggalah siap pembinaan masjid. Baginda pun berpindah ke bilik-bilik sekitar masjid yg didirikan untuknya dan para isterinya, berjirankan keluarga mulia Abu Ayyub Al-Ansari.

Bersambung...


Rujukan:

-Suwar Min Hayat As-Sohabah karangan Dr. Abd Rahman Ra'fat Al-Basha
-Rijal Haula Ar-Rasul Sollallahualaihiwasallam karangan Al-Ustaz Khalid Muhammad Khalid

Bulan Rejab bakal tiba. Bersempena kedatangan bulan mulia ini, saya rasa cukup dengan tulisan saya untuk bulan Rejab tahun lalu, 'Bulan Rejab & Peristiwa Israk Mi'raj' siri 1 dan siri 2.


Bulan Rejab dan Peristiwa Israk Mi'raj siri 1

Kalendar umat Islam sebagaimana yg dinyatakan Al-Quran menetapkan dalam setahun terdapat 12 bulan. Pengiraannya berdasarkan pergerakan bulan dan bukan pergerakan matahari sebagaimana yg diamalkan oleh Ahli Kitab. Di antara bulan-bulan tersebut terdapat 4 bulan haram iaitu Zulqaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Firman Allah Taala,

إِنَّ عِدَّةَ ٱلشُّہُورِ عِندَ ٱللَّهِ ٱثۡنَا عَشَرَ شَہۡرً۬ا فِى ڪِتَـٰبِ ٱللَّهِ يَوۡمَ خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضَ مِنۡہَآ أَرۡبَعَةٌ حُرُمٌ۬‌ۚ ذَٲلِكَ ٱلدِّينُ ٱلۡقَيِّمُ‌ۚ فَلَا تَظۡلِمُواْ فِيہِنَّ أَنفُسَڪُمۡ‌ۚ وَقَـٰتِلُواْ ٱلۡمُشۡرِڪِينَ كَآفَّةً۬ ڪَمَا يُقَـٰتِلُونَكُمۡ ڪَآفَّةً۬‌ۚ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلۡمُتَّقِينَ -سورة التوبة الأية 36 

"Sesungguhnya jumlah bulan menurut Allah ialah 12 bulan, (sebagaimana) dalam ketetapan Allah pada waktu Dia menciptakan langit & bumi, di antaranya ada 4 bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yg lurus, maka janganlah kamu menzalimi dirimu dalam (bulan yg empat) itu, dan perangilah kaum musyrikin semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya. Dan ketahuilah bahawa Allah bersama orang-orang yg bertaqwa." Surah At-Taubah Ayat 36.


Bulan haram yg paling afdhal
Ulama berselisih pendapat dalam menentukan bulan manakah yg paling afdhal di antara bulan-bulan haram tersebut. Sebahagian Syafieyyah berpendapat bulan Rejab. Pendapat ini dikatakan lemah oleh Imam Nawawi. Imam Nawawi mentarjihkan pendapat Hasan Basri iaitu bulan Muharram. Pendapat Sa’id ibn Jubair ialah bulan Zulhijjah.

Sebab dinamakan bulan-bulan haram & sebab diharamkan
Dikatakan bahawa bulan-bulan ini dinamakan bulan-bulan haram ialah kerana kehormatannya yg besar dan besarnya dosa maksiat yg dilakukan di dalam bulan tersebut. Dikatakan juga kerana diharamkan berperang pada bulan tersebut. Dikatakan juga sebab bulan-bulan ini dipilih sebagai bulan-bulan haram adalah untuk membolehkan manusia mengerjakan umrah & haji pada bulan-bulan tersebut.

  • Bulan Zulqaedah: Kerana berlakunya perjalanan menuju ke Makkah untuk mengerjakan umrah & haji

  • Bulan Zulhijjah: Kerana berlakunya haji padanya.

  • Bulan Muharram: Supaya manusia pulang ke rumah mereka selepas mengerjakan haji dalam keadaan selamat & aman.

  • Bulan Rejab: Kerana manusia mengerjakan umrah pada bulan ini iaitu pada pertengahan tahun.Mereka yg tinggal berdekatan dengan Makkah akan mengerjakan umrah pada bulan ini.

Wujudnya bulan-bulan haram ini merupakan tradisi sejak zaman jahiliyyah lagi kemudian diteruskan oleh Islam.

Rejab

Bersempena bulan Rejab yg mulia ini, saya cuba untuk mengupas secebis maklumat tentang Rejab dan peristiwa bersejarah yg berlaku di dalamnya. Rejab diambil daripada perkataan رجب (tasydid atau sabdu di atas ج ) yg bermakna memuliakan atau mengagungkan. Maka, bulan Rejab dinamakan Rejab ialah kerana ia dimuliakan atau diagungkan oleh Allah. Terdapat ulama yg menyatakan nama-nama bulan Rejab iaitu sebanyak 14 nama. Sebahagian yg lain menyatakan 17 nama. Ulama berkata, bulan Rejab ialah bulan menanam, bulan Syaaban ialah bulan menyiram dan bulan Ramadhan ialah bulan menuai.


Solat Raghaib


Hadith-hadith yg diriwayatkan tentang kelebihan Solat Raghaib yg ditunaikan pada malam Jumaat pertama daripada bulan Rejab merupakan hadith-hadith maudu’. Jumhur ulama menyifatkan Solat Raghaib sebagai bidaah. Ianya wujud selepas tahun 400 Hijrah. Oleh sebab itu, ia tidak pernah dikenali oleh ulama sebelumnya maka mereka tidak pernah membicarakan tentangnya.


Puasa Rejab

Menurut Imam Ibn Rejab Al-Hanbali, tiada hadith shahih yg menyatakan secara khusus tentang kelebihan puasa di bulan Rejab. Tetapi terdapat hadith shahih yg menyatakan kelebihan puasa pada bulan-bulan haram dan Rejab adalah salah satu daripadanya. Antara hadith-hadith tersebut ialah,


أفضل الصيام بعد رمضان شهر الله الحرام وأفضل الصلاة بعد الفريضة صلاة الليل ~ رواه مسلم

“ Puasa yg paling afdhal selepas Ramadhan ialah puasa pada bulan-bulan haram, dan solat yg paling afdhal selepas solat fardhu ialah ialah solat malam.” Riwayat Muslim.


Bahkan, sebahagian salaf berpuasa pada keseluruhan bulan haram antaranya ialah Ibn Umar, Hasan Basri & Ibn Ishak As-Sabi’ey.

Anas bin Malik berkata apabila tiba bulan Rejab, Baginda Sollallahualaihiwasallam berdoa,

اللهم بارِكْ لنا في رجب وشعبان وبَلِّغْـنا رمضان

“Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab & Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan.” Walaupun sanad hadith ini dhaif tetapi sebagaimana yg disepakati oleh kebanyakan ulama, harus & sunat beramal dengan hadith dhaif selagimana tidak maudu’.



Israk Mi'raj

Antara peristiwa penting yg berlaku pada bulan Rejab ialah peristiwa bersejarah Israk Mi’raj. Ulama berselisih pendapat adakah Israk Mi’raj berlaku secara sedar atau mimpi?

Mereka terbahagi kepada beberapa kumpulan:
  • Ulama salaf terbahagi kepada 2 kumpulan. Terdapat salaf yg menyatakan ia berlaku secara sedar.
  • Terdapat salaf yg menyatakan secara mimpi.
  • Sebahagian ulama antaranya, Abu Bakar ibn Al-‘Arabi. Beliau telah membenarkan kedua-dua pendapat salaf dengan menyatakan peristiwa Israk Mi’raj berlaku 2 kali. Pendapat ini ialah hasil gabungan sejumlah hadith yg merakamkan peristiwa bersejarah ini. Kali pertama secara mimpi sebagai persediaan kepada Nabi Sollallahualaihiwasallam untuk memudahkan baginda menghadapi perjalanan sebenar kerana perjalanan ini merupakan perjalanan yg cukup mencabar. Israk Mi’raj yg kedua pula secara sedar.
  • Terdapat ulama yg menyatakan Israk ke Baitul Maqdis berlaku secara sedar dengan jasadnya manakala Mi’raj menembusi 7 petala langit pula berlaku dengan ruhnya sahaja.

Jumhur ulama berpendapat Isra’ Mi’raj berlaku hanya sekali iaitu pada waktu malam, secara ruh dan jasad dan secara sedar. Ulama juga sepakat bahawa ibadat Solat difardhukan pada malam Mi’raj.

Imam Nawawi mentarjihkan bahawa Israk Mi’raj berlaku pada malam 27 Rejab. Pendapat ini juga dipegang oleh Ibnul Athir dan Imam Rafie’…bersambung…


Rujukan:
Lathoiful Ma'arif, karangan Imam Ibn Rejab Al-Hanbali
Dhous-Siraj fi fadli Rejab wa Qissatil Mi'raj, karangan Syeikh Muhammad Amin Al-Kurdi
Maqolat Al-Kauthari, himpunan tulisan Imam Muhammad Zahid Al-Kauthari

_______________________________


Bulan Rejab dan Peristiwa Israk Mi'raj siri 2

Israk Mi'raj merupakan kisah yg telah masyhur sebutannya. Sebut sahaja 'Israk Mi'raj', insya Allah ramai orang Islam yg punya pengetahuan umum tentangnya. Saya tidak berniat untuk mengupas peristiwa Israk Mi'raj secara terperinci dari A hingga Z. Saya juga tidak punya ilmu sehebat itu. Cuma sekadar untuk cuba menyatakan sudut-sudut yg tertentu daripada peristiwa unik ini.

Jumhur ulama berpendapat bahawa Israk Mi'raj berlaku pada satu malam, secara ruh & jasad, dalam keadaan sedar. Andainya Israk Mi'raj hanyalah sebuah mimpi maka Rasulullah Sollallahualaihiwasallam tidak akan ditentang hebat & dihentam teruk oleh Musyrikin Makkah. Tetapi andainya bukan mimpi, maka ini dianggap mengundang kutukan dan cercaan daripada masyarakat sekeliling.



:: Hujjah menolak pendapat Isra' Mikraj berlaku secara ruh dan mimpi sahaja, bukan secara ruh dan jasad dan dalam keadaan sedar:

Hadith riwayat 'Aisyah yg menyatakan bahawa 'Tidak hilang jasad Rasulullah akan tetapi baginda diisra'kan dengan ruhnya' adalah hadith yg tidak thabit. Begitu juga halnya dengan hadith riwayat Muawiyah yg menyatakan bahawa 'Al-Isra' ialah Ru'ya Sodiqah(mimpi yg benar)' merupakan hadith yg tidak thabit kerana terputus sanad.

Adapun tentang ayat 60 Surah Al-Isra':

وَمَا جَعَلۡنَا ٱلرُّءۡيَا ٱلَّتِىٓ أَرَيۡنَـٰكَ إِلَّا فِتۡنَةً۬ لِّلنَّاسِ

"Dan Kami tidak menjadikan Ar-Ru'ya yg telah kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai ujian kepada manusia"

Pendapat Ibnu Abbas sebagaimana yg diriwayatkan oleh Imam Bukhari mentafsirkan kalimah Ar-Ru'ya dalam ayat di atas ialah penglihatan. Maksudnya, penglihatan yg dialami oleh Rasulullah pada malam Isra' Mikraj. [1] Kalaulah Ar-Ru'ya itu dengan makna mimpi maka sudah tentu kejadian ini tidak akan diingkari seteruk-teruknya oleh orang kafir ketika itu.

Maka telah jelas lagi bersuluh bahawa Isra' Mikraj itu berlaku secara sedar dalam keadaan ruh dan jasad sebagaimana pendapat jumhur ulama.

:: Perhimpunan agung
Perhimpunan para nabi dan rasul 'alahimussalam pada malam yg bersejarah itu membuktikan kesatuan akidah & iman para nabi dan rasul 'alahimussalam. Pertemuan Rasulullah Sollallahualaihiwasallam dengan para nabi & rasul 'alaihimussalam pada malam itu merupakan pertemuan rohani & Taaruf maknawi di antara para utusan Allah. Sekaligus memperkenalkan kepada mereka kedudukan Rasulullah Sollallahualaihiwasallam di sisi Allah. Solat yg didirikan pada malam itu yg diimamkan oleh Rasulullah Sollallahualaihiwasallam dan diikuti oleh sekalian nabi itu membuktikan kepimpinan Rasulullah terhadap seluruh nabi bahkan seluruh makhluk!

:: Hikmah Mi'raj berlaku dari Masjidil Aqsa bukan Masjidil Haram
Hikmah berlakunya Mi'raj iaitu naiknya Rasululullah Sollallahualaihiwasallam ke langit bermula dari Masjidil Aqsa dan bukan dari Masjidil Haram ialah untuk membuktikan kebenaran kerasulan Rasulullah Sollallahualaihiwasallam apabila mampu menjawab tentang struktur Masjidil Aqsa di Palestin yg disoal oleh Musyrikin Makkah. Allah menguatkan lagi hujjah kerasulan baginda dengan menjelmakan Masjidil Aqsa di hadapan baginda lalu dengan mudah baginda menjawab setiap soalan yg dikemukakan itu. Maka akibat tetap berdegil dan taasub terhadap agama nenek moyang, telah terbongkar dengan jelas kekufuran mereka walaupun setiap soalan yg dilontarkan berjaya dijawab dengan tepat oleh Rasulullah Sollallahualaihiwasallam. Inilah mukjizat yg telah dikurniakan Allah kepada RasulNya!

Bahkan peristiwa Mi'raj merupakan isyarat bahawa Masjidil Aqsa satu ketika nanti akan dicabuli kehormatannya dan ummat Islam wajib mempertahankannya kerana ia merupakan kiblat pertama & lokasi Mi'raj Rasulullah Sollahualaihiwasalam.

:: Isra' Mikraj: Mukjizat atau Khususiyyat?
Kesan daripada isu hangat yg melanda penduduk Makkah ini, maka berlakulah kes murtad di kalangan umat Islam yg masih daif imannya. Dari sudut yg berlainan, makin bertambah iman sebahagian yg lain. Oleh itu, sebahagian ulama tidak menganggap peristiwa Isra' Mikraj ini sebagai mukjizat tapi menyenaraikannya dalam kategori Khususiyyat Rasul iaitu perkara yg hanya dikurniakan kepada Rasulullah Sollallahualaihiwasallam sahaja. Hujjah mereka ialah mukjizat sepatutnya melemahkan dan menundukkan orang kafir tapi peristiwa ini pula sebaliknya. Menurut mereka, peristiwa ini sebenarnya lebih bersifat ujian dan fitnah terhadap manusia ketika itu.

Orang yg paling bersungguh membenarkan kejadian yg mustahil saat itu ialah Sayyiduna Abu Bakar As-Siddiq Radiyallahu'anhu. Dengan sikapnya itu, beliau telah mendapat gelaran As-Siddiq. Kesimpulannya, Isra' Mikraj merupakan mukjizat & khususiyyat. Dan ini sekaligus meraikan pendapat kedua-dua belah pihak.

:: Soalan Akidah berkaitan Isra' Mikraj:
  1. Adakah perisitwa Mikraj menunjukkan Allah berada di langit?
  2. Adakah Mikraj ke langit untuk mendekatkan Rasulullah Sollallahualaihiwasallam kepada Allah, dengan hujjah Allah itu di langit?
Sebahagian manusia telah berhujjah dengan menyatakan Allah itu di langit berdasarkan perisitiwa Isra' Mikraj.

:: Jawapan:
  1. Tidak!!! Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah menyatakan bahawa Allah tidak bertempat. Belajarlah dengan alim ulama yg pakar dalam ilmu akidah. Belajar secara berguru dan lebih elok berkitab. Jangan jadikan kitab sebagai guru. Dan internet bukan madrasah untuk belajar Ma'rifatullah dengan serius!
  2. Mikraj bukanlah untuk mendekatkan Rasulullah Sollallahualaihiwasallam kepada Allah dengan hujjah semakin tinggi Rasulullah Sollallahualaihiwasallam diangkat, semakin hampir baginda kepada Allah. Kerana untuk mendekatkan diri kepada Allah bukanlah dengan mendekatkan jarak.
Antara dalilnya:

1-Ayat 19, Surah Al'Alaq:

وَٱسۡجُدۡ وَٱقۡتَرِب

"Dan sujudlah serta dekatkanlah (dirimu kepada Allah)"


2-Hadith:
أقرب ما يكون العبد من ربه وهو ساجد

" Paling hampir sesorang hamba itu dengan tuhannya dalam keadaan dia sujud"


3-Hadith:

لا تفضلوني على يونس بن متى

" Janganlah kamu melebih-lebihkan aku melebihi Yunus bin Matta".

Ini ialah di antara hujjah Imam Haramain yg menyatakan bahawa Allah suci daripada bertempat. Wajah pendalilan yg digunakan oleh Imam Haramain ialah bahawa ketika Rasulullah Sollallahualaihiwasallam tiba di Sidratul Muntaha tidaklah baginda lebih hampir kepada Allah melebihi hampirnya Nabi Yunus kepada Allah ketika munajat di dalam perut Ikan Hut dengan alasan yg salah iaitu lokasi Rasulullah lebih hampir kerana baginda dia atas langit.

Oleh sebab itulah Rasulullah Sollallahualaihiwasallam bersabda supaya janganlah melebih-lebihkan baginda melebihi Nabi Yunus dari segi hampirnya kepada Allah dalam situasi tersebut kerana kononnya jarak baginda lebih hampir dengan Allah kerana baginda berada tinggi di atas langit. Fahamilah, sesungguhnya hampirnya seseorang kepada Allah tidak melibatkan jarak kerana Allah suci dari bertempat. Tempat & jarak merupakan sifat makhluk dan tidak layak bagi Khaliq!




Nota kaki:
[1] Menurut sebahagian ulama tafsir, kalimah Ar-Ru'ya dalam ayat tersebut bermaksud mimpi tentang Perang Badar yg dialami oleh Rasulullah sebelum perang itu terjadi.


Rujukan:
Lathoiful Ma'arif, karangan Imam Ibn Rejab Al-Hanbali
Dhous-Siraj fi fadli Rejab wa Qissatil Mi'raj, karangan Syeikh Muhammad Amin Al-Kurdi
Maqolat Al-Kauthari, himpunan tulisan Imam Muhammad Zahid Al-Kauthari
Syaamil Al-Quran(terjemahan Al-Quran)


p/s: Entri 'Jangan hina ulama' siri akhir terpaksa saya tangguhkan.
Doktor Azhan, jangan marah ya! Saya sedang usaha untuk siapkan entri khas untuk anda sekarang :)

Biro Dakwah KPT 09 akan mengadakan Majlis 'Muhammad Sollallahu'alahiwasallam Hayyun fi Qulubina'. Maklumat program adalah seperti berikut:

Tarikh : 3 Rabiul Akhir 1430 H bersamaan 30 Mac 2009 M
Hari : Isnin
Masa : Selepas Maghrib
Lokasi : Asrama Darul Iman, Hayyu Asyir

Majlis ini akan dihadiri oleh seorang tetamu khas, Habib Umar bin Habib Zain bin Ibrahim bin Sumait. Semua anak Terengganu di Perlembahan Nil dijemput hadir.


طربت وما طربت بألة /// بل كان من لحن بمدح محمد
"I enjoyed (the tune) but not by an instrument /// it was from a melody, in the praise of Muhammad"

Thursday, March 26, 2009

Keistimewaan Sirah Nabawiyyah [siri 2]

Sambungan siri 1:

4-Sirah Nabawiyyah merupakan sirah yg meliputi setiap sudut kehidupan manusia.


Sirah Nabawiyyah menghikayatkan kisah perjalanan hidup seorang pemuda mulia dan amanah yg dipercayai masyarakatnya iaitu kisahnya ketika sebelum diangkat menjadi Rasul. Ketika peristiwa peletakan Hajarul Aswad, seluruh kaumnya bersaksi, “Kami redha dengan As-Sodiq Al-Amin.”

Ia juga menghikayatkan kisah seorang Rasul yg berdakwah membawa risalah Tauhid dengan menggunakan pelbagai cara untuk menarik umatnya. Baginda menggunakan segala kekuatan dan kesungguhan untuk menyampaikan risalah Tauhid kepada seluruh umatnya. Tugas Baginda bukanlah hanya dakwah Islam semata-mata. Jika begitu, maka memadai bagi Baginda untuk kekal di Mekah sahaja. Sesiapa yg menyahut dakwahnya, dia selamat. Sesiapa yg menolaknya, maka dia akan diazab. Tetapi tugas Baginda juga keluar ke tempat-tempat lain untuk menyebarkan dakwahnya. Perjalanan ke Taif yg sejauh 60 batu dari Mekah ditempuh oleh Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam bersama Zaid bin Harithah dengan hanya berjalan kaki, pergi dan pulang.

Ia juga menghikayatkan kisah seorang ketua Negara yg menggunakan undang-undang yg terbaik yg bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai asas pemerintahannya. Kisah orang nombor satu dalam Negara yg sentiasa memelihara negaranya dengan ikhlas dan jujur yg menjamin kejayaan kerajaannya. Maka wujudlah Piagam Madinah yg bersifat adil kepada seluruh penduduk tanpa mengira bangsa dan agama. Kefahaman tentang ‘Ummah’ yg hampir lenyap daripada Semenanjung Arab ketika itu dihidupkan kembali melalui piagam ini. Bermulalah era baru pemerintahan sebuah agama yg bertamadun.

Ia juga menceritakan kisah Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam sebagai seorang suami mithali dan bapa penyayang. Etika pergaulannya dengan ahli keluarga, kebijaksanaannya mengatur urusan rumah tangga dan kesabarannya berhadapan dengan masalah keluarga. Tragedi Hadith Al-Ifki yg terlalu dahsyat melanda Madinah. Ia berlaku pada tahun ke-5 Hijrah. Munafik mula mencucuk jarumnya. Tetapi ianya tidak menghilangkan kewarasan Baginda berfikir dan berbincang. Akhirnya turunlah ayat menyucikan Ummul Mukminin Aisyah Radiallahu’anha.

Ia juga merupakan kisah seorang Murabbi atau guru pendidik yg mursyid. Ia menceritakan cara tarbiyyah atau didikannya terhadap anak-anak tarbiyyahnya sehingga mempengaruhi mereka untuk mengikut Murabbi mereka dalam setiap gerak geri dan tingkah lakunya. Daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah kepada sebesar-besar perkara. Pada suatu hari, hamba Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam menjemput Baginda untuk menjamu hidangan yg disediakannya. Anas bin Malik Radiallahu'anhu juga turut bersamanya. Antara hidangan tersebut ialah labu. Anas menyaksikan Baginda memakan labu itu dengan berselera, maka sejak dari saat itu, Anas mula menyukai labu.

Ia juga hikayat tentang seorang kawan yg amat setia dalam persahabatannya. Seorang kawan yg menunaikan hak-hak persahabatan, menjaga adab-adab dalam bergaul sehingga menyebabkan sahabat-sahabatnya terlalu menyayanginya melebihi kasih sayang mereka terhadap diri sendiri dan ahli keluarga mereka. Kisah yg berlaku antara Baginda dan Abu Bakar ketika di Gua Thur tidak akan akan dilupakan sejarah.

Ia kisah seorang pemimpin politik yg berjaya. Baginda mengutus utusan dan surat kepada pemimpin-pemimpin dunia. Ia juga kisah seorang pahlawan berani di medan pertempuran. Ia kisah seorang panglima tentera yg perkasa. Ia kisah seorang jiran yg amanah. Ia kisah seorang yg tidak pernah memungkiri janjinya.

Sirah Nabawiyyah meliputi setiap aspek kehidupan bagi seluruh lapisan dalam sesebuah masyarakat. Peribadi seorang manusia yg agung ini cukup untuk menjadi contoh dan ikutan bagi manusia-manusia mengikut posisi masing-masing. Baginda contoh bagi setiap pendakwah, setiap pemimpin, setiap bapa, setiap suami, setiap kawan, setiap pendidik, setiap ahli politik, setiap ketua negara…

Kita tidak akan menemui seorang tokoh pun yg mempunyai keperibadian sesempurna keperibadian Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam. Kita menemui keperibadian Nabi Musa sebagai seorang tokoh pemimpin yg gigih menyelamatkan kaumnya. Tapi kita tidak akan menemui keperibadian beliau sebagai seorang panglima perang, seorang ahli politik, seorang pemimpin negara, seorang suami ataupun seorang bapa.

Nabi Isa pula seorang nabi yg zuhud kepada dunia. Tetapi sirahnya yg terdapat di tangan-tangan Kristian pada hari ini tidak menggambarkannya sebagai seorang pemimpin tentera, seorang ketua negara, apatah lagi seorang bapa dan suami kerana beliau tidak berkahwin. Tetapi segala keperibadian ini wujud pada peribadi yg bernama Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam!

Maka, bagaimana pula keperibadian tokoh-tokoh dunia seperti Buddha, Confucius, Aristotle, Plato, Napoleon? Jika dikatakan layak untuk dijadikan contoh sekalipun, maka hanyalah contoh dari satu sudut sahaja tidak dari sudut-sudut yg pelbagai. Satu-satunya tokoh yg layak untuk dijadikan contoh dalam setiap sudut ialah Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam! Tiada yg setanding Baginda!

5-Sirah Nabawiyyah merupakan dalil kebenaran dan kerasulan Nabi Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam.

Sirah seorang insan kamil yg menyebarkan dakwahnya melalui cara mengambil sebab. Bukan menggunakan mukjizat semata. Baginda telah berdakwah lalu disakiti. Baginda terus menyampaikan sehingga mempunyai ramai pengikut. Lalu, terpaksa menghadapi peperangan, maka Baginda berperang. Baginda juga berhijrah. Wafatnya Baginda dalam keadaan Semenanjung Arab telah diliputi dakwahnya melalui jalan iman dan bukan jalan perang dan paksaan.

Sesiapa yg mengetahui adat dan akidah kepercayaan masyarakat Jahiliyyah yg tersangat jelas menentang dakwah Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam, bahkan mengetahui pula betapa tidak seimbangnya situasi dalam setiap peperangan, lalu melihat pula jangka masa yg amat singkat yg ditempuhi oleh dakwah Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam iaitu 23 tahun, maka pasti akan meyakini bahawa Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam ialah seorang Rasul!

Mukjizat yg dikurniakan kepadanya bukanlah faktor utama kepada berimannya seluruh Arab dengan dakwahnya. Bahkan kita tidak mendapati mukjizat yg menundukkan kekufuran Musyrikin walaupun ia berjaya menundukkan akal pemikiran mereka. Bahkan manusia zaman sekarang yg langsung tidak pernah melihat Nabi Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam dan mukjizat-mukjizatnya yg mengkagumkan tetap beriman kepadanya. Mereka beriman dengan risalahnya kerana dalil-dalil aqli yg teramat membenarkan kerasulannya. Di antara dalil-dalil ini ialah Al-Quran. Ia adalah mukjizat yg bersifat akal yg mewajibkan setiap yg berakal mengimani kebenaran kerasulan Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam.

Ini jelas berbeza dengan sirah para nabi terdahulu. Sirah yg menunjukkan bahawa manusia beriman dengan para nabi terdahulu setelah melihat mukjizat-mukjizat yg dizahirkan oleh para nabi. Bukan dengan meneliti apa yg didakwah lalu tunduk kepadanya.

Contoh paling jelas ialah sirah Nabi Isa yg dirakamkan Al-Quran. Al-Quran menyatakan bahawa faktor utama untuk memuaskan hati kaumnya dengan kebenaran risalahnya ialah mukjizatnya yg mampu merawat buta dan penyakit kusta, menyembuhkan orang sakit, menghidupkan orang mati dan menceritakan apa yg dimakan dan apa yg disimpan di rumah mereka. Injil-injil pada hari ini juga menyebut bahawa sejumlah mukjizat inilah satu-satunya sebab kepada berimannya sejumlah manusia yg ramai secara serentak. Bahkan bukanlah keimanan yg disebut Injil itu keimanan kepada kerasulan Isa tetapi keimanan kepada ketuhanan Isa berdasarkan iktikad kufur mereka bahawa Isa ialah anak Tuhan.

Jadi keimanan mereka tidak diasaskan di atas dasar akal yg sejahtera tetapi di atas dasar mukjizat yg mencarik adat semata-mata. Maka, kita dapat melihat perbezaan yg jelas pada Sirah Nabawiyyah. Keimanan para sahabat Baginda bukanlah melalui penyaksian mereka terhadap mukjizat yg mencarik adat tetapi melalui akal pemikiran yg waras. Apabila Allah mengurniakan mukjizat kepada RasulNya, maka ia adalah sebagai kemuliaan kepadanya dan sebagai hujjah ke atas penentangnya agar terkelu, tidak mampu berbicara.

Sesiapa yg menyelidiki ayat-ayat Al-Quran akan mendapati bahawa Al-Quran menggunakan hujjah yg bersifat akli. Al-Quran dengan jelas menerangkan bahawa Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam ialah seorang manusia tetapi Baginda dimuliakan dengan risalah lalu disokong dengan mukjizat. Baginda tidaklah bergantung kepada mukjizat untuk menarik umatnya akan tetapi Baginda berbicara dengan akal dan hati mereka. Hayati ayat 90-93 daripada Surah Al-Isra':

90. Dan mereka berkata: "Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (Wahai Muhammad), sehingga Engkau memancarkan matair dari bumi, bagi kami.
91. Atau (sehingga) Engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian Engkau mengalirkan sungai-sungai dari celah-celahnya Dengan aliran Yang terpancar terus-menerus.
92. Atau (sehingga) Engkau gugurkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana Yang Engkau katakan (akan berlaku); atau (sehingga) Engkau bawakan Allah dan malaikat untuk Kami menyaksikannya.
93. Atau (sehingga) Engkau mempunyai sebuah Rumah terhias dari emas; atau (sehingga) Engkau naik ke langit; dan Kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum Engkau turunkan kepada Kami sebuah Kitab Yang dapat Kami membacanya". Katakanlah (Wahai Muhammad):" Maha suci Tuhanku! Bukankah Aku ini hanya seorang manusia Yang menjadi Rasul?

Bahkan sifat tidak tahu membaca dan menulis yg ada pada Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam semakin membuktikan kebenaran risalahnya. Apabila teguhnya iman para sahabat, maka mereka menerima apa sahaja yg termaktub di dalam Al-Quran walaupun ianya sukar diterima akal. Baru-baru ini sahaja penemuan demi penemuan sains menegaskan lagi kebenaran risalah suci ini. Tapi para sahabat terlebih dahulu mengimaninya walaupun persoalannya baru terjawab terjawab selepas 1000 tahun. Dari manakah datangnya pengetahuan Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam tentang perkara-perkara tersebut jika bukan melalui jalan wahyu?


Rujukan:
-As-Sirah An-Nabawiyyah Durus wa ‘Ibar karangan Dr. Mustafa As-Siba’ie.
-Syamail Muhammadiyyah karangan Imam Tirmizi.
-Nurul Yaqin karangan Syeikh Muhammad Al-Khudori.
-Fiqh As-Sirah An-Nabawiyyah Qiraah Siyasiyyah Dakwiyyah Harakiyyah karangan Dr. Muwaffik Salim Nuri.

Blog Widget by LinkWithin