Wednesday, August 11, 2010

Tazkirah Ringkas: Puasa dan Sabar

Rasulullah sollallahualaihiwasallam bersabda, Allah berfirman, "Setiap amalan anak Adam ialah untuk dirinya kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah untukKu dan Akulah yg akan membalasnya, dan sesungguhnya bau mulut orang yg berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau al-misk (kasturi)." Hadith Riwayat Bukhari.


Apabila seseorang berpuasa dengan ikhlas maka dia akan bersabar untuk menahan dirinya daripada segala perkara yg membatalkan puasa. Dia perlu bersabar dengan semua kategori kesabaran. 3 kategori sabar:

Kategori pertama: Sabar untuk melakukan ketaatan
Kategori kedua: Sabar untuk meninggalkan maksiat
Kategori ketiga: Sabar di atas ujian Allah yg menyakitkan

Ketiga-tiga kategori sabar terdapat di dalam ibadah puasa iaitu bersabar melakukan taat, bersabar meninggalkan maksiat dan bersabar di atas ujian lapar, dahaga dan lemahnya tubuh badan kesan daripada berpuasa.

Bahkan Baginda bersabda dalam sebuah hadith yg dinilai sebagai hasan oleh Imam Tirmizi, "Puasa itu sebahagian daripada kesabaran."

Allah berfirman dalam Surah az-Zumar ayat 10, "Sesungguhnya (Dia) memberi ganjaran kepada orang-orang yg sabar dengan ganjaran yg tidak terhitung."

Baginda juga bersabda, "Dan ia (Ramadhan) bulan kesabaran dan kesabaran itu ganjarannya syurga." Riwayat Ibnu Khuzaimah di dalam Kitab Sahihnya.

Ayuh berpuasa, ayuh bersabar, ayuh ke syurga!


p/s: Jangan lupakan saudara seIslam kita yg berlapar bukan sahaja di siang hari malah juga di malam hari.


Rujukan:

Lataif al-Ma'arif, Ibnu Rajab al-Hanbali rahimahullah

Setiap kali masuknya bulan Ramadhan, umat Islam di Malaysia akan dihidangkan dengan beberapa persoalan yg sejak dulu dan sehingga sekarang masih diperdebatkan. Antaranya, apakah hukum berselawat di antara dua rakaat solat sunat Terawih? Adakah ianya bidaah dan haram kerana ia tidak pernah wujud di zaman Rasulullah Sollallahualaihiwasallam dan tiga kurun yg pertama?

kredit kepada rizal tahir di flickr

Syeikh 'Atiyyah Saqr rahimahullah, Bekas Ketua Lajnah Fatwa al-Azhar di dalam kitabnya al-Fatawa min Ahsan al-Kalam fi al-Fatawa wa al-Ahkam, di halaman 507, ditanya bahawa terdapat jemaah yg berzikir antara dua atau empat rakaat Terawih dan sebahagian menganggap perbuatan itu bidaah yg tidak dibenarkan syarak. Apakah hukumnya di sisi agama?

Beliau menjawab bahawa, "Tiada nas yg melarang berzikir, berdoa atau membaca Al-Quran sebagai pemisah di celah antara setiap dua atau empat rakaat Terawih. Ia termasuk di bawah perintah umum berzikir dalam setiap keadaan. Ulama salaf tidak melakukannya tidak menunjukkan kepada larangan melakukannya, bahkan riwayat bahawa mereka melarang zikir itu tidak boleh dipercayai."

"Pemisah ini (zikir) menyerupai apa yg dilakukan oleh penduduk Mekah (satu ketika dahulu, bukan sekarang) yg bertawaf 7 kali mengelilingi Kaabah antara setiap dua rakaat terawih. Perkara demikian menyebabkan penduduk Madinah menambahkan bilangan solat terawih mereka melebihi 20 rakaat dan tambahan itu sebagai ganti kepada tawaf yg tidak dapat dilakukan. Ia juga merupakan satu cara yg tersusun dan bersistematik, dengan cara ini mereka akan mengetahui bilangan rakaat terawih yg telah dikerjakan. Di samping itu, ia juga menambahkan kecergasan orang yg solat."

"Maka, tidak ada larangan secara mutlak. Dengan sebab itu, ia tidak termasuk di bawah kategori bidaah. Nas-nas yg umum bukan sekadar tidak menentangnya bahkan menyokongnya. Jika dinamakan bidaah sekalipun, maka ia dikira selari dengan kata-kata Sayyiduna Umar bin al-Khattab radiyallahuanhu, "نعمت البدعة هذه" yg bermaksud, "Betapa nikmatnya bidaah ini" setelah melihat berhimpunnya umat Islam ketika itu mengerjakan solat terawih berimamkan Sayyiduna Ubai bin Ka'ab radiyallahuanhu."


Komentar saya: Kepada yg ingin berselawat di celah-celah solat sunat Terawih, jangan beriktikad bahawa ini memang sunnah yg ditunjukkan secara langsung oleh Baginda. Tapi terdapat perintah secara umum untuk berselawat tanpa mengkhususkan waktunya di celah-celah Terawih. Perkara ini harus diperjelas kepada masyarakat agar mereka memahami bahawa selawat di antara Terawih itu bukanlah suatu perkara yg wajib dan haram jika ditinggalkan.

Kepada yg tidak mahu berselawat pada waktu itu janganlah menghukum bidaah kepada amalan ini, ditambah pula dengan alasan ia dilakukan secara berjemaah, secara jahr (nyaring), dengan lafaz dan susunan yg tertentu, berhujah dengan hadith 'كل بدعة ضلالة'. Bukankah hadith ini juga ditemui oleh para ulama' yg lain? Namun kefahaman mereka terhadap hadith itu berbeza dengan kefahaman kamu. Ayuh kita mengamalkan sikap berlapang dada. Kita bantu membantu dalam perkara yg kita sepakati dan kita bertolak ansur dalam perkara yg kita perselisihkan.

Jangan lupa untuk memasukkan slot pengisian ilmu antara Terawih. Jangan buat selepas Terawih, nanti ramai ahli jemaah yg angkat punggung keluar dari masjid. Gunakan kesempatan yg ada untuk membincangkan perkara penting yg diabaikan oleh masyarakat. Bahkan pada awal-awal Ramadhan, boleh gunakan ruang ini untuk memberi kefahaman tentang hukum selawat antara Terawih, adakah ianya sunnah atau bidaah? Di manakah kesilapan yg perlu diperbetulkan. Kemudian, teruskan dengan pengisian-pengisian lain pada malam-malam berikutnya. Tapi slot ini jangan terlalu lama. Saya fikir 15-20 minit sudah mencukupi.


Rujukan:

al-Fatawa min Ahsan al-Kalam fi al-Fatawa wa al-Ahkam, Syeikh 'Atiyyah Saqr

Industri hiburan khususnya perfileman di Malaysia tidak mampu melahirkan generasi yg berguna, ini pendapat saya. Bahkan, sepatutnya UMNO yg merupakan parti komponen terpenting BN menggunakan kuasanya menghasilkan filem yg mempromosikan gagasan 1 Malaysia. Bukankah anak-anak muda sekarang gilakan hiburan? Undi mereka dalam PRU 13 amat berguna untuk memenangkan mana-mana parti yg bertanding. Arahan PM kepada mana-mana pengarah filem supaya menghasilkan satu filem gempak yg berlatarbelakangkan konsep 1Malaysia (walaupun sebenarnya hanya 1 retorik sebagaimana slogan-slogan yg lalu) pasti akan disambut hebat. Tapi rupanya UMNO tidak bijak menggunakan peluang. Sekarang mereka sibuk meminang PAS sehingga Khairi Jamaludin terpaksa meluahkan kata-kata, "Utusan makes UMNO look desperate!" gara-gara akhbar itu yg menggila, mewar-warkan berita yg akhirnya menunjukkan seolah-olah UMNO seorang yg gila talak!

Kembali kepada topik. Ke manakah halatuju industri perfileman tempatan sebenarnya?



Filem-filem import sudah terbiasa dengan adegan dan babak yg mengghairahkan, aksi yg merosakkan, jalan cerita yg menggugat akidah dan kepercayaan, dan memang itulah agenda syaitan-syaitan dan Dajjal Freemason yg berdiri di sebalik Hollywood. Tetapi, bagaimana pula dengan filem-filem tempatan? Banyak sungguh filem-filem seram dan tahyul yg ditayangkan sekarang. Oleh sebab filem-filem ini dianggap tidak melanggar garis panduan yg ditetapkan LPF, maka ia bebas ditayangkan di pawagam dan dijual dalam bentuk VCD. Apakah filem tempatan yg serius memberikan faedah selain dari faedah hiburan ya? Sesiapa yg ada cadangan, silalah utarakan. Mungkin sedikit sebanyak mampu mengubah persepsi saya terhadap industri perfileman tempatan.

Sebenarnya, saya irihati dengan industri perfileman di negara jiran kita, Indonesia. Filem seperti Laskar Pelangi sungguh menarik untuk ditonton. Filem garapan sutradara Riri Riza itu telah memenangi kategori The Best Picture pada Asia Pacific Film Festival tahun 2009. Filem Sepet yg juga pernah menang anugerah, bagi saya merupakan satu kebodohan juri yg buta menilai. Oh, ini bukan bidang saya. Persetankan sahaja. Saya pun tak pernah menonton filem bodoh itu kecuali trailernya.

Indonesia kelihatannya semakin rancak menghasilkan filem yg mengisahkan riwayat hidup tokoh-tokoh negara itu. Kumpulan-kumpulan Islam di sana sudah maju selangkah ke hadapan, menggunakan wasilah filem untuk tujuan dakwah mereka. Misalnya, Filem Sang Pencerah yg akan ditayangkan Aidilfitri ini. Kelihatannya menarik. Filem ini diadaptasi dari kisah hidup KH Ahmad Dahlan (1868-1923), pengasas gerakan Muhammadiyah di Indonesia. Secara jujurnya, saya kurang setuju dengan beberapa perkara dalam Muhammadiyah atas sebab-sebab tertentu. Saya tak mahu suarakannya. Bahkan Muhammadiyah sekarang tidak lagi seperti Muhammadiyah di awal penubuhannya dulu. Virus sekular-liberal telah meresap masuk dan menjangkiti organisasi yg berusia lebih kurang 100 tahun itu. Usaha Islah yg dibawa oleh Muhammadiyah kini tercemar dengan gelagat anak mudanya yg berkiblatkan barat dan mengkagumi orientalis. Akibatnya, al-Quran yg dipersoalkan. Mungkin filem ini ialah satu usaha murni Muhammadiyah untuk membersihkan semula dirinya serta memperkenalkan siapa sebenarnya KH Ahmad Dahlan yg mengasaskan Muhammadiyah dengan semangat pemurnian ajaran Islam, setelah terpengaruh dengan idea-idea al-Afghani, Muhammad Abduh dan Rashid Ridha.

PKS (Partai Keadilan Sejahtera), sebuah parti politik aliran Islam di Indonesia sebelum ini pernah muncul di medan perfileman melalui filem Sang Murabbi. Mungkin filem haraki ini tidak meletup seperti filem Ketika Cinta Bertasbih tapi ia berjaya menampilkan peribadi murabbi parti itu, Ustaz Rahmat Abdullah yg bertanggungjawab melahirkan kader-kader dakwah dalam PKS. Jujurnya, saya tidak pernah kenal nama ini kecuali setelah terbitnya filem Sang Murabbi.



Nampaknya PKS dan Muhammadiyah sudah mengorak langkah. Mungkinkah FPI (Front Pembela Islam) juga bakal menghasilkan filem? 'Sang Pembela Akidah', mungkin? Yg menceritakan kisah hidup pemimpinnya Habib Rizieq bin Shihab. FPI ialah NGO terbesar di Indonesia yg menjalankan operasi amar makruf, nahi munkar. Ketegasannya menentang Ahmadiyah (Qadiyani) yg kafir itu dibantah keras oleh kelompok liberal di sana. Kesan daripada itu, Habib Rizieq masuk penjara buat yg kesekian kalinya. Beliau pernah berkunjung ke Malaysia dan menyampaikan pidatonya di masjid berdekatan rumah saya. Pidatonya cukup bertenaga dan meyakinkan. Bilalah lagi saya akan bertemu beliau.

Mungkinkah NU (Nahdatul Ulama) juga akan tampil dengan filem yg menceritakan kisah hidup pengasasnya, KH Hashim Asyaari? Judulnya mungkin 'Sang Kiai'? Mungkin Majelis Rasulullah pimpinan Habib Munzir al-Musawa juga akan menghasilkan 'Sang Pendakwah'? Yg menceritakan kisah dakwah Habib Munzir yg telah berjaya menghimpunkan sejuta umat Islam di kota Jakarta. Mudah-mudahan usaha beliau untuk menjadikan Jakarta sebagai Kota Rasulullah berhasil, insya Allah. JIL (Jaringan Islam Liberal) yg sesat itu pula mungkin akan tampil dengan Pak Nurcholis Majidnya, pentaklid Harvey Cox.


Lajnah Seni dan Budaya

PAS di Malaysia telah maju setapak ke hadapan apabila menubuhkan satu lajnah baru yg diwar-warkan penubuhannya dalam muktamar ke-56 baru-baru ini. Lajnah Seni dan Budaya. Satu lajnah yg saya kira bakal berhadapan dengan 1001 cabaran dalam mempromosikan hiburan alternatif di bumi Malaysia. Produk pertama lajnah ini ialah Konsert Naskhah Cinta yg diadakan di PUTIK ketika muktamar baru-baru ini. Melalui lajnah ini, saya percaya PAS mampu pergi lebih jauh dalam dakwahnya dan ini akan menjadi mimpi ngeri yg menakutkan UMNO. Saya amat teruja jika PAS berjaya menghasilkan filem sebagaimana PKS dan Muhammadiyah di Indonesia. Mungkin peribadi yg layak ditampilkan ialah mereka yg telah menghadap Allah dengan janjinya seperti Prof Burhanuddin al-Helmi yg sufi lagi haraki atau mungkin Ust Fadhil Noor yg amat tegas dan berani.


p/s: Saya sedang menunggu terbitnya animasi Aiman Kembara yg lebih berunsur dakwah, jika nak dibandingkan dengan animasi Upin dan Ipin. Tahniah Al-Azhar Media!

Wednesday, July 21, 2010

Peribadi yang mati

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang) - Surah al-Ahzab ayat 21

Saya sedang membaca buku Pendidikan Islam Membangun Manusia Berkarakter dan Beradab, karya baru Dr. Adian Husaini, seorang yg pakar dalam peradaban Islam dan barat, salah seorang anak didik Prof al-Attas, pengasas ISTAC. Latar belakang pendidikan Dr. Adian menarik minat saya untuk membaca karya-karyanya. Beliau serius dalam menuntut ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah. Beliau belajar di sekolah biasa, juga di pesantren. Bahkan ketika belajar di Fakultas Kedokteran Hewan IPB, beliau mampu menterjemahkan buku-buku berbahasa Arab, yg membuktikan penguasaan beliau terhadap bahasa al-Quran itu. Bererti beliau bukan ustaz jadian yg menulis buku-buku dengan hanya berpandukan terjemahan semata-mata lalu mendabik dada.

Bengang sungguh rasanya apabila sebuah buku yg mengupas hukum-hakam Fiqah ditulis oleh fulan bin fulan, yg merombak ilmu Fiqah yg diajar para ulama silam. Apabila melihat rujukan-rujukannya semuanya buku terjemahan. Tetapi mampu berijtihad menolak pendapat imam-imam besar? Kalau buku-buku cerita, novel sejarah Islam seperti yg dihasilkan oleh Pak Latif PTS itu maka saya teramat menghormati usaha sebegitu. Adik saya kelihatan 'taksub' benar kepada tulisan-tulisan Pak Latif. Tapi kalau seseorang yg tidak mempunyai latar belakang pendidikan agama yg serius lalu mengulas pula soal hukum, maka ini bala besar. Oh, saya sudah menyimpang. Kembali kepada topik.

Sebenarnya, saya hanya mahu berkongsi dengan rakan-rakan pembaca tulisan Prof HAMKA yg mengulas tentang peribadi. Saya sungguh tertarik dengan tulisan beliau yg dipetik oleh Dr. Adian di dalam buku barunya ini. Dalam bukunya yang berjudul, Pribadi (Jakarta: Bulan Bintang, 1982, cet.ke-10), Prof. HAMKA memberikan gambaran tentang sosok manusia yang pandai tapi tidak memiliki peribadi yang unggul:

”Banyak guru, dokter, hakim, insinyur (engineer), banyak orang yang bukunya satu gudang dan diplomanya segulung besar, tiba dalam masyarakat menjadi ”mati”, sebab dia bukan orang masyarakat. Hidupnya hanya mementingkan dirinya, diplomanya hanya untuk mencari harta, hatinya sudah seperti batu, tidak mampunyai cita-cita, lain dari pada kesenangan dirinya. Pribadinya tidak kuat. Dia bergerak bukan karena dorongan jiwa dan akal. Kepandaiannya yang banyak itu kerap kali menimbulkan takutnya. Bukan menimbulkan keberaniannya memasuki lapangan hidup.”

Menurut Prof HAMKA, seseorang dihargai kerana peribadinya, bukan kerana tubuhnya. Maka, apalah guna tubuh yg sihat, rupa paras yg cantik tapi akhlaknya tiada?

Prof HAMKA menulis lagi:

“Dua puluh ekor kerbau pedati, yang sama gemuknya dan sama kuatnya, sama pula kepandaiannya menghela pedati, tentu harganya tidak pula berlebih kurang. Tetapi 20 orang manusia yang sama tingginya, sama kuatnya, belum tentu sama “harganya”, sebab bagi kerbau tubuhnya yang berharga. Bagi manusia, pribadinya. Berilmu saja, walaupun bagaimana ahlinya dalam suatu jurusan, belum tentu berharga, belum tentu beroleh kekayaan dalam hidup, kalau sekiranya bahan pribadinya yang lain tidak lengkap, tidak kuat, terutama budi dan akhlak.”

Ayuh membina peribadi yg mulia. Peribadi termulia pernah tercipta ialah peribadi penghulu kepada sekalian Nabi, Nabi Muhammad sollallahualaihiwasallam. Baginda ialah uswatun hasanah, contoh ikutan terbaik dan terunggul. Menelusuri sirah Baginda tanpa mengambil 'ibrah, pengajaran daripadanya adalah satu kesilapan yg perlu diperbaiki. Maka umat Islam harus menjadikan kitab Sirah sebagai nas mafhum (teks yg difahami) bukan sekadar nas maqru' (teks yg dibaca).

Tarikh sebenar berlakunya peristiwa Isra' Mi'raj tidak dapat ditentukan secara tepat. Imam Nawawi berpendapat ianya berlaku pada 27 Rejab sebagaimana yg dinyatakan beliau di dalam kitabnya Raudhat at-Talibin[1]. Pendapat ini juga dipegang oleh Imam Ibnul Athir, Imam ar-Rafi'e dan Imam Ibnu Hazm al-Andalusi rahimahumullah. Walaubagaimanapun pendapat ini ditolak oleh ulama yg lain, dan antara ulama yg terkemudian ialah Syeikh Yusuf al-Qaradhawi hafizahullah. Beliau mengatakan bahawa pendapat ini lemah dengan hujah tiada hadith sahih mahupun kata-kata sahabat yg menyokongnya, sambil mendatangkan perakuan daripada Imam Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah. Fatwa beliau di sini. Pendapat 27 Rejab juga dinisbahkan kepada Qassas (tukang-tukang cerita) yg kebiasaannya banyak menyebarkan cerita-cerita palsu bahkan khurafat. Walaubagaimanapun, adalah sesuatu yg biadap jika mengatakan Imam Nawawi taklid pendapat Qassas. Mungkin beliau sudah berijtihad cuma boleh jadi hujahnya itu lemah, pendapat yg sama antara beliau dan Qassas tidak bererti beliau bertaklid kepada Qassas. Sila beradab.

Ulama juga berkhilaf tentang tahun berlakunya peristiwa bersejarah ini. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang perselisihan ulama sekitar tarikh dan tahun peristiwa Isra' Mi'raj anda boleh rujuk tulisan Ust Khairul Azmi di sini.



Apa yg perlu diambil pengajaran bukannya pada tarikh sesebuah peristiwa itu berlaku tapi intipati peristiwa itu. Jika kita tahu sekalipun tarikh yg tepat apakah kelebihannya untuk akidah dan ibadah kita? Tiada nas menyatakan kelebihan khusus beribadah di siang hari atau malamnya, bahkan ia seperti hari-hari dan malam-malam yg lain.

Yang penting, janganlah berbalah dalam perkara sebegini. Penjelasan secara hikmah perlu diberikan kepada masyarakat. Salah satu caranya ialah dengan memberikan pendedahan tentang perselisihan ulama berkenaan tarikh Isra' Mi'raj di dalam ceramah yg biasa diadakan sempena tarikh 27 Rejab itu. Insya Allah masyarakat akan mula sedar dan tidak lagi berkeras dengan pendapat yg satu sahaja. Setelah itu, pada tahun-tahun mendatang jika ceramah Isra' Mi'raj masih diadakan pada tarikh yg sama juga maka bagi saya tiada salahnya sebab mereka tidak lagi beriktikad sepertimana sebelumnya. Bahkan pendedahan sebegini elok diberikan setiap kali ceramah Isra' Mi'raj tanpa menghina dan memperlekehkan pendapat-pendapat yg ada.


Sambutan yg bidaah?!

Bagi saya yg jahil ini tiada salahnya untuk mengadakan sambutan Isra' Mi'raj berbentuk kuliah atau ceramah, ditambah dengan persembahan nasyid dan sebagainya dengan syarat tidak berlaku perkara-perkara yg bertentangan dengan syariat. "Tapi Nabi tidak pernah ceramah Isra' Mi'raj!" kata seorang kawan. Lucu juga rasanya melayan kerenah kawan-kawan sebegini. Masyarakat buta tentang sejarah nabi mereka. Apa salahnya menganjurkan ceramah bagi mencelikkan mata masyarakat Islam yg jahil? Pada waktu-waktu lain bukankah masyarakat kita sibuk dengan pengajian Akidah dan Fiqah? Ini sekadar sindiran. Jangan ambil serius. Maka, dikhususkan satu tarikh untuk menceritakan peristiwa besar ini. Jika tidak boleh pada 27 Rejab, maka tidak mengapa. Kita buat pada 28 Rejab atau tarikh-tarikh lain. Puas hati? Nasyid yg didendangkan pula boleh berperanan sebagai penghibur saat otak sedang sarat dengan maklumat-maklumat yg mungkin agak berat bagi mereka.

Masih juga bidaah? Sebab mengkhususkan tarikh tertentu? Sebab sambutan cara ini tidak pernah dilakukan Nabi? Itu kefahaman bidaah menurut aliran kamu bukan kefahaman bidaah menurut ulama lain di luar sana. Ini bukan medan membahaskan takrif bidaah yg sebenar mahupun pembahagiannya sama ada kepada hasanah dan dolalah atau dari segi lughawi dan syar'ie. Silalah berlapang dada. Hadith yg biasa kamu gunakan sebagai hujah itu juga ditemui oleh para ulama yg lain, namun difahami oleh mereka dengan cara yg berbeza dengan cara aliran kamu.


الفائدة :

Sayyiduna Anas bin Malik radiyallahuanhu meriwayatkan bahawa apabila masuknya bulan Rejab, Rasulullah Sollallahualaihiwasallam akan berdoa dengan doa ini:

اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ، وَشَعْبَانَ، وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ

"Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan kami ke bulan Ramadhan."

Riwayat Ibnu Ahmad, Ibnu Majah dan al-Baihaqi (Kashful Khafa', al-'Ajluni). Juga diriwayatkan oleh al-Bazzar (Musnad al-Bazzar) dan at-Tabarani (al-Mu'jam al-Awsat). Statusnya dhaif, tapi boleh digunakan (beramal) dalam perkara fadhail 'amal.

-------------------------

[1] Imam Nawawi juga mempunyai pendapat yg lain dalam kitabnya yg lain sebagaimana yg disebut oleh Syeikh al-Qaradhawi di dalam fatwanya.

Wednesday, June 30, 2010

Al-Mukhatab itu saya - Sa'id Nursi

Di dalam mukadimah kutayyib "Zahirat ad-Dha'f an-Nafsi wa Subulu 'Ilajiha" karangan Dr. Majdi al-Hilali, sebuah kutayyib (kitab bersaiz kecil) yg mengulas tentang gejala keruntuhan jiwa yg melanda umat ini, beliau menyebut,

"Di penghujung mukadimah ini aku berharap setiap orang yg membaca helaian-helaian kertas ini agar tidak menyangka bahawa dirinya jauh daripada gejala ini, dan yg dimaksudkan dengan kata-kata (dalam kutaib) ini ialah individu lain, selainnya. Bahkan kita (mestilah) membaca bersama dan (menganggap) bahawa kitalah yg dimaksudkan dengan kata-kata ini,
al-Mukhatabun (yang ditujukan percakapan) di dalam kata-kata ini.. Mudah-mudahan kita dapat memeriksa penyakit kita, mengetahui ubat kita, dan itu tidaklah sukar bagi Allah..."

Saya telah dihadiahkan sebuah kutayyib bertajuk 'Lamahat min Hayat wa Aathar Badi'izzaman Sa'id an-Nursi' ketika berkunjung ke pameran kitab di Kaherah. Seorang pemuda Turki yg menjaga kedainya menyerahkan kepada saya kutayyib yg mempunyai 32 halaman itu. Kutayyib ini menceritakan sejarah hidup Imam Sa'id Nursi, seorang sufi besar, yg dikupas secara ringkas tapi padat. Kini karyanya 'Risale-I Nur' sudah tersebar ke seluruh pelusuk dunia dan diterjemah ke dalam pelbagai bahasa termasuk Bahasa Melayu. Antara intelektual yg banyak mempengaruhi dan membentuk idea serta pemikiran Fethullah Gülen, seorang ulama Turki yg semakin mengharum namanya di barat ialah Sa'id Nursi, walaupun mereka tidak pernah bersua muka. Adnan Oktar atau lebih terkenal dengan nama penanya Harun Yahya yg cukup hebat mengkritik Darwinisme juga mengaku bahawa dirinya ialah pengikut Nursi. Katanya lagi, "Saya menganggap beliau sebagai seorang yg paling istimewa, muslim paling kuat dan paling tulus di abad ini."



Imam Badiuzzaman Sa'id Nursi rahimahullah dianggap sebagai seorang mujaddid. Di dalam tulisannya, beliau bercerita tentang kisah hidupnya yg berhadapan dengan cabaran dan tribulasi yg tidak henti-henti. Beliau bercerita tentang titik perubahan, pemisah antara dirinya yg lama dengan dirinya yg baru. Sebelum berlaku revolusi dalam pemikirannya, beliau menggelar dirinya sebagai Sa'id al-Qadim (lama) dan setelah itu pula sebagai Sa'id al-Jadid (baru). Sa'id al-Jadid memikul di atas bahunya tanggungjawab menyelamatkan roh ummah setelah penyakit dan wabak yg membunuh iman merebak dengan dahsyat ketika itu.

Sa'id al-Qadim berada dalam keadaan yg sungguh membingungkan. Jalan yg manakah yg harus ditempuhinya? Jalan-jalan yg ada terlalu banyak di hadapannya. Akhirnya, beliau mengambil kitab Futuh al-Ghaib karangan alim besar, Syeikh Abdul Qadir al-Kailani rahimahullah. Beliau membuka kitab itu dengan penuh optimis. Tiba-tiba berlaku satu keajaiban! Beliau mendapati ayat-ayat berikut terbentang di hadapannya:

"Kamu di Dar al-Hikmah, maka carilah tabib untuk merawat hatimu."

Sa'id menceritakan kisah penuh makna itu, "Sungguh mengkagumkan! Sesungguhnya di saat itu aku ialah salah seorang anggota di Dar al-Hikmah al-Islamiyah. Seolah-olah aku telah datang ke situ untuk merawat luka-luka umat Islam, sedang sekarang aku pula yg paling sakit dan tersangat berhajat kepada rawatan berbanding orang lain. Maka terlebih utama bagi pesakit untuk merawat dirinya sendiri sebelum merawat pesakit yg lain. Ya, beginilah Syeikh berbicara denganku, "Kamu sakit... Carilah tabib yg merawatmu!"

"Aku berkata, "Jadilah kamu tabibku wahai Syeikh!"

Satu kebetulan yg amat hebat. Sa'id mulai membaca kitab itu. Beliau berasa seolah-olah Syeikh Abdul Qadir al-Kailani benar-benar bercakap dengannya. Beliau menganggap pengarang kitab menujukan segala tulisan itu kepada dirinya. Begitulah cara Sa'id membaca kitab itu. Sa'id terus meletakkan dirinya sebagai orang yg sedang dibicarakan oleh pengarang kitab sehingga hampir separuh kitab itu dibacanya. Bahasa kitab itu benar-benar tajam, menusuk dan menikam hatinya. Sa'id seolah-olah sedang menjalani satu pembedahan yg sukar dan menderitakan.

Kata Sa'id, "Aku tidak mampu lagi meneruskannya. Aku letakkan kitab di tempatnya. Kemudian setelah beberapa ketika, aku dapat merasakan bahawa kesakitan pembedahan tadi telah pun hilang dan yg menggantikannya ialah kelazatan spiritual yg mengkagumkan."

Lalu, Sa'id kembali meneruskan pembacaannya dan menghabiskannya. Kemudian, beliau mengambil pula kitab Maktubat yg dikarang oleh Imam Ahmad al-Faruqi as-Sirhindi rahimahullah, Mujaddid Kurun ke-12. Dengan penuh optimis, beliau membukanya. Sekali lagi keajaiban berlaku! Di dalam kitab itu, pengarang menyertakan tulisan dua pucuk surat yg tertulis padanya nama 'Mirza Badi'uzzaman'. Maka beliau dapat merasakan penulis surat itu sedang berbicara dengannya bahkan dengan menggunakan namanya!

Kata Said, "Kerana nama bapaku Mirza dan kedua-dua pucuk surat itu ditujukan kepada Mirza Badiuzzaman." Kebetulan itu tidak dibiarkan sekadar itu sahaja bahkan Sa'id seolah-olah mencari kebetulan demi kebetulan dan membayangkan dirinya sedang berinteraksi dengan pengarang, menganggap dirinya sebagai al-mukhatab.

Sa'id al-Qadim akhirnya menghilang dan muncul kembali sebagai Sa'id al-Jadid yg telah berjaya menghasilkan karya tersohornya, Risale-I Nur (Rasail an-Nur - yg bermaksud Risalah-risalah Cahaya). Kehebatan dan keberkatan Risale-I Nur terserlah apabila sebanyak 70 000 naskhah kitab itu telah disalin dengan hanya menggunakan tangan-tangan Tullab an-Nur (gelaran pengikut Sa'id Nursi), gara-gara sekatan untuk mencetak sebarang bahan berunsur Islam atas arahan regim Ataturk ketika itu.



Beliau kembali ke rahmatullah dengan meninggalkan jasa yg cukup besar kepada kebangkitan umat, pada tanggal 25 Ramadhan 1379 Hijrah bersamaan 23 Mac 1960 Masihi. Beliau telah dikebumikan di Urfa, Turki. Tetapi setelah empat bulan kematiannya, pihak kerajaan telah membongkar semula kuburnya lalu memindahkan jasadnya menaiki pesawat menuju ke tempat yg tidak diketahui sehingga kini. Pengaruh Sa'id Nursi cukup besar terhadap masyarakat Islam Turki. Oleh sebab itu, beliau telah dibuang negeri, ketika hidup dan juga ketika matinya.

Ayuh menjadi al-Mukhatab! Bukan sahaja ketika mendengar bahkan juga ketika membaca, sebagaimana perihal Imam Badiu'zzaman Sa'id Nursi rahimahullah. Al-Fatihah untuk beliau!

Saturday, June 26, 2010

40 orang yang membingungkan

25 Jun 2010 mungkin dianggap tarikh keramat dalam sejarah UMNO apabila seramai 40 orang ustaz yg dilaporkan media kebanyakannya masih muda menyerahkan borang UMNO kepada Presidennya Dato' Seri Najib. Tarikh 25 Jun iaitu hari Jumaat mungkin dipilih sempena mengambil keberkatan Sayyidul Ayyam, penghulu segala hari. Islamik sungguh. Berita semalam melaporkan kerajaan tidak jadi keluarkan lesen judi sukan. Ayah saya menyindir. Hebat sungguh ustaz-ustaz muda ini. Baru masuk sebentar, ataupun belum pun masuk, tiba-tiba UMNO, parti komponen yg menerajui kerajaan pusat sudah jadi waras.



Jika ustaz-ustaz tidak menyertai PAS, saya boleh berlapang dada. Tapi jika mereka sertai UMNO, saya rasa sempit dada. Tidak memilih PAS sebagai wadah mungkin boleh terganti dengan memilih jemaah-jemaah Islam seperti Jemaah Tabligh, atau mana-mana NGO Islam. Bahkan bagi saya, lebih baik ustaz bergerak sendirian berbanding memilih UMNO sebagai wadah. Ini kerana sokongan agamawan terhadap UMNO akan terus mengelirukan umat Islam yg jahil dan UMNO akan terus mendapat undi. Justeru, segala bentuk dosa yg telah berlaku akan terus berlaku. Kecuali jika UMNO serius berubah maka PAS bubar. Ubah dasar dan prinsip perjuangan. Kita bersatu atas dasar akidah yg satu. Dan ketika itu kekuatan kita ialah Satu Akidah dan bukan lagi Satu Malaysia. Akidah Islam menghormati akidah-akidah agama lain. Non-muslim tidak perlu bimbang. Lihat sahaja gerombolan non-muslim yg berpusu-pusu menjadi ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS walaupun PAS sudah jelaskan dasar dan prinsipnya secara terang-terangan tanpa berselindung. Mereka perlu tunduk kepada syarat-syarat yg telah diputuskan oleh Majlis Syura Ulama dan mereka sanggup. Non-muslim ini semakin mengenali Islam yg sifatnya membela dan bukan menindas.

Kemasukan ustaz-ustaz ke dalam UMNO cukup membingungkan saya. Adakah mereka sudah fikir dalam-dalam untuk masuk UMNO? Ustaz-ustaz itu mungkin beranggapan merekalah yg mempergunakan UMNO untuk tujuan dakwah tapi saya bimbang yg berlaku ialah sebaliknya. Harapnya mereka tidak dipanggil sekadar untuk membaca doa di awal majlis lalu di pertengahan majlis, maksiat yg mengambil tempat.

Darah yg mengalir di dalam tubuh ini kadang-kadang menyirap dengan tindakan biadap UMNO. Perkataan-perkataan yg pernah dilafazkan oleh pimpinan mereka agak berat dosanya jika ditimbang dengan neraca syara'. Di sinilah peranan ustaz-ustaz di dalam UMNO. Tapi persoalannya, beranikah mereka? Walaupun saya tetap tidak bersetuju dengan kemasukan mereka ke dalam UMNO tapi bukannya mustahil akal mahupun adat yang kita akan melihat perubahan ketara dalam lanskap politik UMNO. Namun, secara jujurnya saya langsung tidak menaruh harapan tinggi kepada UMNO untuk berubah.

Saya masih ingat majlis bersama Dr. Abdullah Mat Zin di Hotel Grand Continental, Kuala Terengganu pada tahun 2005. Beliau ulas tentang gagasan Islam Hadhari, "Tahun 2005, tahun penjelasan. Tahun 2006, tahun pelaksanaan." Kasihan Dr. Abdullah Mat Zin. Beliau tidak diberi ruang yg luas oleh UMNO. Anda berhak menilai sejauh mana keberkesanan Islam Hadhari. Malaysia di tangga ke-10 pengambil arak terbanyak di dunia. Jumlah anak luar nikah semakin meningkat. Kes buang bayi menjadi-jadi. Baca sahaja harian Metro untuk berita-berita lucah.

Sebenarnya masih terlalu awal untuk saya membuat telahan. Saya cuba bersabar untuk melihat perubahan dalam UMNO dengan kemasukan sekumpulan ustaz ini. Ini baru kumpulan pertama, akan ada kumpulan kedua yg menyusul. UMNO janjikan 100 orang. Saya pasti sangat teruja jika ulama' dalam kedua-dua parti, PAS dan UMNO dapat duduk semeja bermuzakarah. Sudah lama PAS menunggu saat ini. Saya tidak mahu lagi menonton debat olok-olok PAS-UMNO yg menampilkan pelakon-pelakon UMNO belaka. Memalukan. Sungguh memalukan. Entah bagaimana video itu boleh terlepas masuk internet dan terjual di pasaran terbuka. Selepas ini harapnya ada debat yg tidak olok-olok atau lebih mesra jika dibuat muzakarah atau munaqasyah, bukan debat. Harapnya kemasukan ustaz-ustaz ini ke dalam UMNO tidak membisukan mereka. Bukankah Nabi pernah bersabda "Sebaik-baik jihad ialah berkata benar di hadapan pemerintah yg zalim." Saya yakin mereka faham benar maksud hadith ini. Status hadith ini sahih. Bahkan syeikh rujukan kebanyakan mereka iaitu Syeikh Al-Albani rahimahullah pun menghukum sahih ke atas hadith ini.




Sejarah membuktikan ulama UMNO lebih banyak mendiamkan diri. Mereka menyepi. Ketokohan mereka tercemar. Nama yg sepatutnya mengharum dalam persada dakwah tiba-tiba membusuk. Kata salah seorang ustaz yg baru dalamUMNO itu, “Kita cukup optimis dengan jaminan pemimpin tertinggi UMNO yang akan memberi ruang seluasnya untuk berdakwah”. Semoga UMNO mengotakan jaminannya. Kita tunggu dan lihat. Hmm, bimbang juga saya terhadap pertembungan kaum muda dan kaum tua dalam UMNO.

Saya harap mereka tidak mengikut jejak langkah Anwar Ibrahim yg kecundang di pertengahan jalan, tersingkir sebelum mencapai kejayaan. Setelah Anwar mengambil keputusan masuk UMNO, ABIM buat resolusi: Penyertaan Anwar ke dalam UMNO tidak syarie. Akibat tidak mengendahkan nasihat, beliau terus berjuang dalam dunia korup itu tapi akhirnya dihalau keluar. Sejarah mungkin berulang. Saya harap saya tidak akan dengar media arus perdana melaporkan Ustaz dot dot dituduh liwat, terlibat dengan skandal seks, rasuah, salahguna kuasa dan pelbagai jenayah lagi. Sangat buruk jika ketika dicekup polis beliau sedang berkuliah di masjid. Berjubah, berserban. Hati-hati dengan permainan UMNO wahai ulama' muda!

p/s: Sekadar membebel. Sudah lama tidak menulis di sini. Nasib baik belum ada sarang labah-labah.

Blog Widget by LinkWithin